Thursday, June 30, 2011

300 sukarelawan AS ajar BI

WASHINGTON 29 Jun – Seramai 300 sukarelawan rakyat Amerika Syarikat (AS) akan dihantar di sekolah-sekolah luar bandar di bawah program Fulbright, bagi meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar mulai tahun depan.

Program itu dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Barack Obama semasa pertemuan mereka pada Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) September lalu.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, program ala projek Peace Corps tajaan kerajaan AS itu, melibatkan siswazah rakyat negara itu yang akan membantu pengajaran bahasa Inggeris secara sukarela.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan Malaysia sendiri akan membiayai sebahagian kos seperti tempat tinggal dan imbuhan sukarelawan berkenaan melibatkan peruntukan sebanyak RM1.4 juta.

“Untuk fasa pertama, seramai 50 orang sukarelawan akan dihantar ke negara ini bagi memulakan program itu pada Januari tahun depan.

“Kita akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi mengenal pasti bentuk kerjasama dan rujukannya. Kita berharap penghantaran pertama dapat dibuat sebelum akhir tahun,” katanya kepada wartawan Malaysia di Hotel Four Seasons selepas jamuan tengah hari yang dihoskan oleh anggota Majlis Perniagaan AS-ASEAN di sini.

Sebelum ditempatkan di mana-mana zon untuk membantu sekolah terlibat, menurut beliau, suatu program suai kenal akan diadakan selama seminggu supaya mereka lebih mengenali adat resam dan budaya tempatan.

“Selepas ditempatkan di zon tertentu, penyelia kita ada untuk memantau, mereka akan pergi ke sekolah-sekolah untuk memulakan pengajaran tanpa melibatkan waktu khusus.
“Biarpun dalam kurikulum pendidikan, yang mengajar guru kita tapi mereka (sukarelawan) akan membantu menokok tambah program yang diajar dalam bahasa Inggeris,” ujarnya.

Berdasarkan makum balas yang diterima, katanya, program itu menerima sambutan amat baik, disukai pelajar malah sukarelawan yang menyertai Fulbright didapati bersungguh-sungguh dan bijak berinteraksi dalam bahasa Inggeris.
Beliau difahamkan yang tahap penguasaan bahasa Inggeris pelajar di Pahang bertambah baik sejak pelaksanaan program itu.

“Maka kita tidak perlukan projek perintis. Kita akan tetapkan sekolah-sekolah untuk menempatkan para sukarelawan ini termasuk di Sabah dan Sarawak, luar bandar dan kawasan pedalaman,” tambahnya.

Bagi peringkat awal ini, selain kos tempat tinggal dan kemudahan mereka di sini, kementeriannya akan memohon peruntukan sebanyak AS$1 juta daripada Kementerian Kewangan untuk membayar sedikit imbuhan kepada sukarelawan berkenaan.
“Imbuhan ini adalah sumbangan kecil tetapi ikhlas daripada kita dan bukannya diminta oleh kerajaan AS,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga akan berbincang dengan para sukarelawan dan Kedutaan AS sebelum memutuskan sama ada menghantar mereka ke sekolah rendah atau menengah mengikut kecenderungan masing-masing.

Ditanya lebih lanjut mengenai program Fulbright itu, Muhyiddin menjelaskan ia berbeza dengan program ‘under master teachers’ membabitkan kerajaan British yang sedang berjalan kerana mereka tidak mengajar di bilik darjah sebaliknya hanya membimbing guru bahasa Inggeris serta memantau kaedah pengajaran secara dekat bagi mencari jalan untuk memantapkannya.

Sumber: Utusan Malaysia

Wednesday, June 29, 2011

BUBAR SAHAJA DEWAN UNDANGAN NEGERI JIKA TAK YAKIN DENGAN PROSES PILIHAN RAYA – SHAFIE


SEMPORNA, Naib presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meminta empat kerajaan yang diperintah parti pembangkang supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri masing-masing jika tidak yakin dengan proses pilihan raya selama ini. Beliau berkata adalah tidak wajar pembangkang terus memerintah Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan tetapi pada masa yang sama mempertikai kewibawaan Suruhanjaya Pilihan Raya mengendalikan pilihan raya di negara ini.

“Yang kita yakini, proses (pilihan raya) yang dilakukan di negara ini adalah adil dan telus. Sebelum ini semuanya berjalan lancar termasuk pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini atau pilihan raya umum 2008,” kata Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Pembangunan Pendidikan Kawasan Parlimen Semporna sempena Hari Guru peringkat daerah itu di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai hasrat kumpulan pengacau untuk mengadakan perhimpunan haram secara serentak di Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu pada 9 Julai depan. Shafie berkata sekiranya proses pilihan raya yang diamalkan di negara ini selama ini tidak telus dan adil, bagaimana pembangkang boleh menang di lima negeri dalam pilihan raya umum 2008 manakala PAS pula terus memerintah Kelantan melebihi 20 tahun.

Sumber :BERNAMA

Friday, June 3, 2011

Agong Bersyukur Malaysia Dilindungi Daripada Sengketa Dan Kekacauan

Kuala Lumpur, 3 Jun - Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bersyukur kerana Malaysia yang mempunyai rakyat berbilang bangsa dan agama dilindungi daripada sengketa dan kekacauan.

Dalam ucapan sempena ulang tahun Hari Keputraan pada Sabtu, Seri Paduka bertitah bahawa rakyat negara ini telah sama-sama membuktikan bahawa walaupun berbeza agama, budaya dan cara hidup, mereka masih dapat tinggal bersama dalam keadaan aman sentosa dan saling menghormati. - BERNAMA

Sungai Tua Baharu: Daulat Tuanku! Rakyat Malaysia bersyukur Malaysia masih lagi aman damai. Rakyat tidak mampu mengharung kehidupan sekiranya keadaan negara kacau bilau. Malaysia adalah salah satu negara di dunia yang menjadi contoh bagaimana rakyat berbilang bangsa, agama dan kebudayaan hidup bebas untuk mencari rezeki. Jika rakyat rajin mereka akan berjaya di dalam perniagaan dan kehidupan. Kerajaan tidak menyekat kegiatan mencari keselesaan hidup. Semoga Tuanku berada di dalam keadaan sihat selalu. Amin!