Pengumuman penarafan terbaharu oleh agensi antarabangsa,
Fitch Ratings yang menyemak naik unjuran Malaysia kepada stabil, terbukti
menyuntik kelegaan kepada pasaran tempatan, sekaligus melenyapkan kebimbangan
sebelum ini.
Ringgit dibuka lebih kukuh apabila menokok 385 mata atau
0.97 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini, dipacu
peningkatan permintaan terhadap unit tempatan yang menyusuli pengumuman Fitch
berkenaan.
Pada rehat tengah hari, ringgit mengukuh pada 3.7355/3.7395
berbanding dolar AS daripada 3.7740/7770 yang dicatatkan pada 5 petang,
semalam.
Di pasaran ekuiti, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI
(FBM KLCI) turut melonjak 30.56 mata atau 1.79 peratus kepada 1,737.20 pada
tengah hari, didorong saham mewah perladangan dan pengguna.
Mengulas perkembangan ini, Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam
Malaysia Bhd, Mohd. Afzanizam Abdul Rashid, menyifatkan berita baik ini
seharusnya memberi sedikit kelegaan kepada ketidaktentuan pasaran mengenai
kemungkinan Fitch menyemak turun unjurannya terhadap Malaysia.
“Kita gembira dengan penarafan Fitch terhadap akaun semasa
Malaysia ketika ini yang dikaitkan dengan peningkatan dalam aktiviti pelaburan.
“Ini akan mengukuhkan profil penarafan itu kerana kerajaan
dijangka meningkatkan perbelanjaan bagi projek infrastruktur seperti
disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11),” katanya kepada Bernama,
hari ini.
Menerusi penarafan terbaharunya hari ini, Fitch mengesahkan
penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) mata wang asing jangka panjang Malaysia
kepada ‘A-‘ selain menyemak semula unjuran Malaysia kepada stabil daripada
negatif.
Menurut agensi penarafan itu, ia menilai kemajuan Cukai
Barang dan Perkhidmatan (GST) serta langkah penyelarasan subsidi bahan api
sebagai menyokong kewangan fiskal.
Defisit itu juga diunjurkan terus mengecil tahun ini
walaupun harga minyak rendah.
Ia juga menyifatkan kedudukan pasaran modal tempatan sebagai
turut menyokong keperluan pembiayaan domestik negara.-
Unjuran stabil Fitch bukti dasar, pengurusan kewangan
kerajaan baik – Najib
Semakan menaik Fitch Ratings ke atas unjuran Malaysia kepada
stabil sesungguhnya membuktikan dasar ekonomi dan pengurusan kerajaan yang
baik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Saya gembira kerana Fitch, agensi penarafan antarabangsa,
mengekalkan penarafan kredit Malaysia dan menyemak naik unjuran kita kepada stabil,”
katanya dalam muat naik terkini dalam Facebook dan Twitter beliau.
Fitch Ratings mengesahkan penarafan penerbit mata wang asing
jangka panjang pada ‘A-‘ dan IDR mata wang tempatan pada ‘A’.
Penarafan terbitan bon mata wang tempatan tidak bercagar senior
Malaysia juga disahkan pada ‘A’.
Unjuran ke atas IDR jangka panjang itu disemak menaik kepada
stabil daripada negatif.
Dalam membuat penarafan ke atas Malaysia, Fitch berkata,
kewangan fiskal negara semakin meningkat sejak tahun lepas dengan defisit umum
kerajaan susut daripada 4.6 peratus Keluaran Dalanm Negara Kasar (KDNK) pada
2013 kepada 3.8 peratus bagi 2014.
Hutang kerajaan secara amnya juga menguncup daripada 54.7
peratus pada akhir 2013 kepada 53.9 peratus pada akhir 2014.
Fitch berkata kemajuan yang direkodkan ke atas pelaksanaan
Cukai Barang dan Perkhidmatan serta reformasi subsidi bahan api, turut
menyokong kewangan fiskal,
Defisit fiskal juga diunjurkan terus mengecil tahun ini
walaupun harga minyak masih rendah.
Ia berkata kedudukan pasaran modal tempatan yang kukuh turut
menyokong keperluan pembiayaan domestik negara.
BERNAMA