BN pernah alami kekalahan yang mengecewakan tinggal 12
kerusi Dewan Undangan Negeri di Selangor pada pilihanraya umum ke 13 dan
kemenangan manis pada pilihanraya kecil Sungai Besar baru-baru ini.
Jika ambil contoh kekalahan BN 1,100 undi di kerusi Parlimen
Sepang pada PRU13 dan kemenangan di PRK Sungai Besar dengan majoriti 9,191 undi
ia dapat beri pengajaran yang bermakna kepada UMNO Selangor dalam usaha mereka
untuk tawan balik negeri itu pada PRU14 nanti.
Ingatan tentang ini diberi oleh Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak ketika melancarkan serentak mesyuarat perwakilan UMNO
bahagian-bahagian seluruh negeri Selangor di Sepang petang Sabtu.
Beliau berkata faktor terbesar yang menyebabkan kekalahan di
Sepang adalah kerana perpecahan dalaman UMNO di peringkat bahagian.
"Ini amat jelas bila kita hitung majoriti kekalahan
kita di peringkat parlimen agak kecil iaitu 1,100 dengan ada dua calon bebas
yang kedua-duanya bekas pemimpin (UMNO) di peringkat bahagian.
"Jika dihitung undi bebas yang sepatutnya merupakan undi
UMNO/BN, kita pasti menang di Parlimen Sepang dan bukan itu sahaja, kalau kita
ambil angka undi rosak pun kita boleh menang, apatah lagi kalau kita campur
undi rosak dan undi calon bebas kita boleh menang dengan selesa," katanya.
Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan
Sri Noh Omar yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan
Tempatan, Ketua Wanita UMNO Selangor Datuk Nor Hayati Onn, Ketua Pemuda UMNO
Selangor Zainuri Zainal dan Ketua UMNO Bahagian Sepang Datuk Marsum Paing.
Najib berkata perkara itu mesti dijadikan sebagai pengajaran
supaya tidak memilih calon secara semberono sehingga menolak calon popular yang
mampu memberi kemenangan kepada parti hanya kerana individu tersebut bukan
daripada 'kem' yang sama.
Mengambil kira faktor tersebut, ketika berdepan dengan PRK
Sungai Besar, beliau berpesan supaya formula baharu dicari untuk memilih calon
yang diterima oleh semua pihak.
"Sekarang kita sudah ada sistem baharu, sebab itu bila
buat pemilihan, timbul calon kita saudara Budiman Mohd Zohdi. Sedikit sebanyak
'The Budiman factor' menyumbang kepada kemenangan kita.
"Pemilihan kita tepat kali ini. Kita juga menang kerana
Tan Sri Noh Omar kerja keras ketuai jentera kita, bila kita ada 'teamwork' yang
kukuh dan padu, bila kita bertindak sebagai semangat sepasukan yang jitu, maka
kemenangan dapat kita peroleh," katanya.
Najib juga mengingatkan anggota UMNO supaya tidak menolak
parti keramat yang telah membangunkan negara ini hanya disebabkan perbezaan
pendapat, sebaliknya menggunakan proses dalaman parti untuk menyelesaikan
masalah.
"Bukan keluar, bukan kutuk parti, bukan cerca negara,
bukan subahat dengan orang asing. Kita yang tentukan siapa pemimpin negara,
bukan di tangan orang asing. Ini soal kedaulatan," katanya.
Najib juga menolak dakwaan bahawa negara akan menuju
kehancuran jika beliau terus menjadi Perdana Menteri.
"Saya tidak nampak orang tak hormat Malaysia. Presiden
Ukraine (Petro Poroshenko) datang baru-baru ini bertanya jika Malaysia boleh
menguruskan sebuah lapangan terbang baharu di Kiev memandangkan syarikat
Malaysia menguruskan sebuah lapangan terbang di Istanbul, Turki.
"Presiden Joko Widodo (Presiden Indonesia) juga kata
hendak beri banyak projek kepada syarikat Malaysia antaranya projek lebuh raya
bertol, perumahan mampu milik 40,000 unit. Apakah ini gambaran Malaysia gagal?
Tidak," tegas beliau.
Najib berkata bantuan langsung kepada rakyat seperti Bantuan
Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dianggap sebagai 'dedak' oleh sesetengah pihak
juga adalah menghina golongan yang memerlukan bantuan.
"Jangan hina orang, dedak makanan binatang. Kita bagi
kerana nak bantu orang memerlukan pertolongan. Dengan itu ekonomi peringkat
makro yang terdiri daripada sumber mikro juga berkembang.
"Kuasa beli rakyat adalah sebahagian daripada komponen
KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) negara sebab itu bila kita buat dasar kita
buat pertimbangan sebaiknya," jelas perdana menteri.
Beliau berkata negara berada di landasan yang betul ke arah
perkembangan ekonomi yang pesat dengan keseimbangan agenda bumiputera sebagai
agenda nasional dan UMNO akan meneruskan perjuangan membangunkan negara dengan
semangat baharu.-6/8/2016
Sumber : http://www.agendadaily.com/Muka-Hadapan/nak-tawan-balik-selangor%E2%80%A6pm-minta-umno-ingat-pada-sepang-dan-sungai-besar.html