Monday, October 17, 2011

Najib terima pengiktirafan PBB

KUALA LUMPUR 17 Okt. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menjadi pemimpin Asia kelima menerima pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ekoran kejayaan Malaysia muncul destinasi pelancongan ke sembilan paling menarik di dunia.

Serentak dengan itu, PBB melalui Pertubuhan Pelancongan Dunia (WTO) mengharapkan sokongan politik daripada Perdana Menteri bagi memperkasakan lagi sektor tersebut yang kini muncul sebagai industri ketiga terbesar di dunia.

Setiausaha Agung WTO, Dr. Taleb Rifai berkata, kejayaan Malaysia muncul selaku salah satu daripada 10 destinasi paling menarik di dunia membuktikan keupayaan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam membangunkan sektor pelancongan.

"Sebab itu kami memilih untuk berkerjasama dengan kerajaan Malaysia terutamanya sokongan daripada Perdana Menteri sendiri bagi membangunkan industri ini secara keseluruhan. Kami percaya banyak idea positif Malaysia boleh dimanfaatkan bersama.

"Negara ini merupakan negara Asia kedua selepas China yang tersenarai sebagai 10 destinasi paling menarik di dunia," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan surat bertajuk 'Pemimpin Global Bagi Kempen Pelancongan' di Parlimen, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen.

Dalam pada itu, Yen Yen berkata, menjelang 2020, kerajaan menyasarkan kedatangan pelancong asing ke negara ini meningkat kepada 26 juta berbanding 24.6 juta pada tahun lalu.

Katanya, peningkatan tersebut akan menyumbang sebanyak RM168 bilion kepada pendapatan negara iaitu peningkatan hampir tiga kali ganda berbanding tahun lalu yang mencatat RM56 bilion.

"Ketika ini negara memperoleh pendapatan kira-kira RM1 bilion seminggu dan ia menjana peluang pekerjaan kepada 1.2 juta penduduk.

''Jadi saya berterima kasih kepada WTO kerana mengiktiraf kejayaan kita dalam sektor pelancongan," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Sungai Tua Baharu: Sememangnya layak DS Najib dan Malaysia menerima pengiktirafan Malaysia sebagai tarikan pelancung yang kesembilan di dunia. Negara indah keselamatan juga tidak dinafikan. Yang bercakap Malaysia tak selamat tu eloklah jangan berpolitik sangat.

No comments:

Post a Comment