Ramai pemimpin pembangkang melihat keprihatinan Kerajaan Pusat yang diterajui Barisan Nasional (BN) itu sebagai satu bala yang bakal menjahanamkan propaganda politik persepsi yang sedang mereka galak jalankan sekarang.
Riuh rendah dan kehangatan kem pembangkang yang bernaung di bawah Pakatan Rakyat (PR) dapat dilihat jelas dari komen ramai pemimpin mereka yang cuba meremehkan setiap usaha dan program bermanfaat yang dijayakan oleh Kerajaan BN.
Tidak terkecuali, jentera propaganda maya mereka juga tumpang semangkuk untuk merencatkan keberkesanan usaha-usaha pemimpin BN dengan menabur seribu satu tohmahan.
Dalam satu rencana di blog suarapakatanrakyat.com pada 27 Julai lepas, blog tersebut telah memanjangkan hasad dengki pemimpin PR dengan secara terbuka menuduh Kerajaan BN telah meminjam wang dari IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) semata-mata untuk melunaskan bonus Aidilfitri tempohari.
Selain itu, semua program transformasi dan agenda membantu rakyat yang diterjemahkan melalui beberapa program seperti BR1M, KR1M, KAR1SMA, bantuan persekolahan dan lain-lain juga didakwanya datang dari wang pinjaman IMF.
Tanpa satu pun fakta dan bukti jelas, blog tersebut meneruskan tradisi kelaziman pembangkang dengan menuduh semberono dan membuat dakwaan serong yang tidak jelas hujung pangkalnya.
Sedangkan Kerajaan BN melalui kenyataan PM, Dato' Seri Najib yang juga Menteri Kewangan acapkali menjelaskan apa sahaja program bantuan mahupun pemberian bonus yang telah, sedang dan akan dilaksanakan semuanya dilakukan mengikut kemampuan kantung kerajaan.
Kerajaan BN takkan mencari nahas dengan sengaja meminjam wang dari IMF apatah lagi sejarah merekodkan saat negara dihimpit dengan masalah ekonomi berikutan serangan penyangak matawang pada 1997/98 dulu pun tidak sesekali kita tunduk dengan bantuan kewangan yang mahu dihulur oleh IMF.
Jika adapun pinjaman yang pernah kita buat ialah melalui Bank Dunia, sebuah institusi kewangan antarabangsa yang berbeza fungsinya dengan IMF.
Bank Dunia boleh diibaratkan sama seperti bank-bank tempatan yang memberi pinjaman jangka masa pendek dan panjang untuk pelanggannya manakala IMF saling tak ubah seperti along yang gemar mencekik darah orang susah yang terperangkap dengan janji manisnya.
Ringkasnya, beza kedua-duanya umpama jauhnya langit dari bumi. Pun begitu, walau kedua-duanya jelas berbeza peranannya, rasanya ramai yang tidak lupa pemimpin pembangkang pernah juga mempolemikkan isu pinjaman dengan Bank Dunia untuk menggambarkan kantung kerajaan telah kempis dan tak berduit.
Walhal, bagi yang celik akal, urusan kita dengan Bank Dunia sudah bermula sejak tahun 1950-an malah tatkala Anwar Ibrahim memegang jawatan Menteri Kewangan pun pernah beberapa kali Anwar mewakili kerajaan melakukan urusan pinjaman dengan Bank Dunia.
Apapun, satu perkara yang perlu kita faham nawaitu utama pembangkang melontarkan tuduhan terhadap kerajaan bersabit soal kewangan, tujuannya tak lain tidak bukan hanyalah semata-mata mahu rakyat kebanyakan menjadi ragu dan was-was dengan keupayaan urus tadbir Kerajaan BN yang memerintah.
Source: Sent by Beruang Biru via Email on 31/7/12
No comments:
Post a Comment