Tuesday, March 26, 2013

The Economist Akui BN Cemerlang Walaupun Korup?

The Economist Akui BN Cemerlang Walaupun Korup?

The Economist baru-baru ini menyiarkan artikel ‘Malaysia’s Looming Election’ yang mengulas senario politik Malaysia sempena  Pilihanraya yang bakal menjelang tiba.  Seperti kebanyakan media barat yang lain, The Economist juga cenderung mengkritik kerajaan serta memberi sokongan kepada pembangkang. 

Ini tentulah tidak mengejutkan kerana George Soros telah melabur lebih USD48 million untuk organisasi media di seluruh dunia.  Dan jumlah itu adalah satu anggaran paling rendah, selain mempunyai pengaruh besar yang berangkai dan berkait di antara media-media di dunia.  Media di bawah kawalannya digerakkan untuk merealisasikan misi pertukaran rejim dan seterusnya menakluk dunia di mana pembangkang Malaysia juga adalah dikhuatiri menjadi sebahagian daripada ‘pasukannya’.

Malaysia merupakan salah satu negara sasaran yang masih belum berjaya ditundukkan.  Selain itu, terdapat juga dendam peribadi Soros terhadap Tun Mahathir Mohamad yang berjaya memecahkan tembelangnya kepada dunia serta memberikannya gelaran ‘penyangak matawang’, yang kekal sehingga kini. 

Kita tidak menuduh yang The Economist juga berada di bawah kawalan Soros tetapi, kita juga tidak boleh mengenepikan persepsi itu, apatah lagi dengan pendirian media tersebut yang begitu pro-pembangkang dan prejudis terhadap kerajaan Malaysia. 

Dalam memperkatakan mengenai pilihanraya di Malaysia, The Economist masih lagi cuba membangkitkan ‘roh’ Altantuya walaupun telah terbukti bahawa pembunuhannya sengaja dikaitkan dengan Datuk Seri Najib untuk kepentingan politik pembangkang.  Kononnya, pembunuhan tersebut bermotifkan komisen dari urusniaga kapal selam Scorpene yang dilakukan secara tidak telus oleh kerajaan.  

Entah kenapa The Economist telah terlepas berita mengenai pengakuan Raja Petra Kamaruddin iaitu penulis skrip asal kisah pembunuhan dan korupsi ini bahawa beliau telah sebenarnya membuat cerita palsu berdasarkan arahan dan dengar cakap semata-mata.   Manakala SUARAM pula telah pun dibuktikan sebagai pembohong dan pengkhianat paling hina dalam sejarah sebuah pertubuhan bukan kerajaan kerana telah menjaja dan memperbesarkan kisah yang sama sehingga ke seluruh dunia. 

Dan jangan sekali-kali lupa bahawa SUARAM juga telah terbukti menerima dana dari rangkaian Soros. 

Apabila RPK dan SUARAM gagal, maka Bala, seorang bekas polis yang korup pula muncul kembali untuk membantu menghidupkan semula kisah ini.  Namun beliau telah terlebih dahulu meninggal dunia sebelum sempat ‘berjuang’.   Apa yang menarik ialah nama Bala juga tidak terlepas dari ‘sentuhan’ The Economist’ dalam artikel tersebut.    

The Economist juga ‘cekap’ sekali memetik kisah video lakonan sepupu Taib Mahmud yang menunjukkan kononnya Ketua Menteri Sarawak itu korup.  Namun, media antarabangsa ini gagal memetik kisah di sebalik lakonan itu, iaitu sepupu Taib Mahmud menyimpan dendam lama kerana Taib Mahmud telah membatalkan konsesi balak bapanya.  Motif lakonan dikuatkan lagi dengan hakikat bahawa sepupu Taib Mahmud itu berkahwin dengan pembangkang yang rapat dengan Anwar Ibrahim dan bercita-cita ingin menerajui PKR di Sarawak.    

Malah, The Economist juga tidak lupa membayangkan insiden Lahad Datu dengan masalah pemberian kad pengenalan kepada warga asing sambil menuduh media dikawal oleh kerajaan.  Ayat tersebut jelas memberi gambaran seolah-olah kerajaan bersandiwara dan menutupnya melalui kawalan media. 

Jika kita tidak begitu arif tentang politik dunia, maka kita tentu menyangka yang The Economist adalah media milik peribadi Tian Chua atau Anwar Ibrahim.  

Untuk pengetahuan The Economist, Rakyat Malaysia, terutama di Sabah cukup maklum bahawa satu-satunya pihak yang bersandiwara dalam insiden Lahad Datu ialah Anwar, Tian Chua dan semua pihak pembangkang, dan tidak salah rasanya, jika dikatakan bahawa The Economist juga turut memainkan peranan kecil dalam sandiwara ini. 

Jika tidak, tentulah The Economist akan turut memberi perhatian kepada laporan risikan Filipina dan juga pihak Malaysia sendiri yang menjurus kepada Anwar Ibrahim dan kuncu-kuncunya menjadi dalang keganasan terhadap rakyat di negara sendiri.  Tidak mungkin media seperti The Economist boleh terlepas pandang akan hakikat terdapatnya bukti pertemuan sulit Anwar dan Tian Chua dengan pihak pengganas tidak lama sebelum keganasan tercetus.  Tidak mungkin media yang konon berkredibiliti ini tidak melihat bukti itu sebagai penting untuk diketengahkan dalam laporannya? 

Walaupun The Economist ingin menanam persepsi buruk terhadap kerajaan Malaysia, namun media itu cukup maklum dan terpaksa melaporkan hakikat bahawa kerajaan Malaysia telah berjaya mentadbir ekonomi dengan baik dengan mencatatkan perkembangan sehingga 5.6% pada 2012, berjaya menghapuskan kemiskinan serta merekodkan penurunan dalam kes rasuah dengan mengetengahkan 400 kes mengenainya.  Pemberian pelbagai bantuan tunai kepada rakyat juga merupakan bukti kecekapan Barisan Nasional. 

Kini, kita tertanya-tanya, adakah The Economist mampu memahami tulisan mereka sendiri, yang jelas tidak konsisten itu? 

Di satu sudut media itu begitu ghairah menggambarkan Najib dan BN sebagai korup, malah kejam kerana sanggup membunuh kerana komisen, hatta sanggup membazirkan wang, masa dan tenaga untuk mementaskan sandiwara berdarah di Lahad Datu yang tidak membawa apa-apa keuntungan kepada sesiapa. 

Tetapi, di satu sudut lagi, The Economist juga mengaku bahawa Najib atau BN adalah sebuah kerajaan yang cekap sehingga berjaya melonjakkan ekonomi dan memastikan kesejahteraan rakyat. 

Logiknya, tiada sebuah kerajaan yang korup yang mampu memastikan kesejahteraan rakyatnya.  Tiada sebuah kerajaan yang kejam, yang memberi wang dan berbagai bantuan dan kemudahan kepada rakyatnya.  Kerajaan yang korup dan kejam pasti akan mengakibatkan kemiskinan negara dan kesengsaraan rakyat.  

Hanya kerajaan yang telus, prihatin, cekap, bijak dan ikhlas berkhidmat sahaja yang mampu merealisasikan keamanan, kestabilan, kemajuan dan kemakmuran di masa yang sama.  Dengan fakta ekonomi yang tidak mampu dinafikan oleh The Economist sendiri, maka jelaslah bahawa BN bukanlah kerajaan yang kejam dan korup, tetapi sebuah kerajaan yang cekap dan prihatin. 

Oleh itu, The Economist wajar belajar mengaitkan mesej yang ingin disampaikan dengan fakta yang ada agar konsisten supaya tidak dilihat sebagai berat sebelah.  Mungkin sudah sampai masanya untuk The Economist mengambilkira integriti media itu sendiri, sebelum membangkitkan perihal integriti pihak yang menjadi subjek artikel mereka. 


Beruang Biru

No comments:

Post a Comment