Putrajaya: Buat pertama kali, 146,500 perwakilan UMNO di 191
bahagian akan mengundi bagi menentukan pucuk pimpinan utama parti pada
pemilihan UMNO hujung tahun ini.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan (gambar), berkata
ia selaras dengan pindaan perlembagaan parti yang diluluskan pada 2009 bagi
membolehkan ahli peringkat bahagian dan cawangan terbabit dalam proses
pemilihan kepemimpinan parti.
Sebelum ini, pengundian pada pemilihan UMNO terhad kepada
kira-kira 2,500 perwakilan yang hadir ketika perhimpunan agung parti.
Bagaimanapun, tahun ini kita laksanakan sistem baru yang
mana ratusan hingga ribuan ahli peringkat akar umbi akan menjalankan pemilihan
secara serentak di semua bahagian dan cawangan UMNO seluruh negara.
Buat masa ini, mekanisme pemilihan belum dimuktamadkan,
namun kita harap semuanya akan berjalan dengan baik dan teratur termasuk dari
segi logistik, katanya selepas memulakan tugas sebagai Timbalan Menteri
Kewangan, di sini, semalam.
Perhimpunan Agung Khas UMNO pada Oktober 2009 meluluskan
pindaan perlembagaan parti, antara lain bagi bagi membolehkan 146,500
perwakilan menentukan kepemimpinan UMNO mulai pemilihan 2011 tetapi ia
ditangguhkan sehingga selesai PRU-13.
Selain itu, pindaan juga dilakukan bagi menghapuskan sistem
kuota, mengadakan persidangan mesyuarat perwakilan secara serentak, menambah
bilangan ahli jawatankuasa lantikan wanita dan menjadikan yuran keahlian
sebagai yuran seumur hidup.
Pindaan turut dilakukan bagi memberi kuasa Pemuda, Wanita
dan Puteri untuk meluluskan keahlian baru UMNO selain mengiktiraf sumbangan
setiausaha bahagian.
Ahmad berkata, tarikh bagi perhimpunan agung dan mesyuarat
bahagian serta cawangan masih belum ditetapkan, namun beliau berharap pemilihan
pada semua peringkat dapat dijalankan secara sihat, lebih-lebih lagi selepas
mengharungi PRU-13 yang mencabar.
Mengulas mengenai jawatan baru di Kementerian Kewangan pula,
beliau berkata pengalamannya sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri akan membantunya melaksanakan tugas baru dengan cekap lagi berkesan.
Sumber: Berita Harian
No comments:
Post a Comment