Thursday, April 3, 2014
MH370: "Perbezaan diketepikan, pada saat 26 negara bersatu dengan satu matlamat..." - Najib
Masa susah baru kita tahu nilai persahabatan, dan dalam kes kehilangan pesawat MH370, Malaysia dikira bertuah sebab banyak negara yang sangguh bantu mencari pesawat malang yang hilang begitu sahaja dari radar pada 8 Mac lalu.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak "perbezaan diketepikan, pada saat 26 negara bersatu dengan satu matlamat. Kehilangan MH370 merupakan insiden yang tidak pernah dialami sebelum ini; begitu juga dengan misi pencarian ini."
Beliau yang kini berada di Perth untuk melihat perkembangan operasi mencari MH370 sekali lagi melahirkan rasa terima kasih kepada pihak berkuasa Australia dan negara-negara yang turut serta dalam misi ini.
“Dalam situasi yang sukar begini, Australia telah membuktikan persahabatan yang tidak ternilai kepada Malaysia.
“Pihak berkuasa Australia bersama-sama pihak berkuasa negara lain telah menawarkan bantuan tanpa teragak-agak mahupun kelewatan,” kata Najib pada sidang media bersama Perdana Menteri Australia, Tony Abbott di Perth Australia.
Najib turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Australia yang telah bersetuju secara formal untuk mengetuai operasi menjejaki MH370 di Selatan Lautan Hindi selain turut serta dalam proses siasatan.
Beliau yang sebelum itu telah membuat lawatan ke Pangkalan Udara Pearce menjelaskan kesukaran yang dihadapi pasukan mencari selama lebih 20 hari telah bertungkus lumus menjalankan tugas di selatan Lautan Hindi.
“Semasa MH370 dilaporkan hilang, puluhan negara menyahut panggilan Malaysia yang memerlukan bantuan. Komitmen mereka memang tidak mungkin dapat kami lupakan,” tambah Najib.
Menurut Najib, sepanjang tiga minggu lepas, beratus-ratus orang telah mengharungi perjalanan beribu-ribu kilometer untuk membantu. Mereka telah melakukan pencarian dalam keadaan laut bergelora, berkabus dan suhu amat sejuk.
"Mereka belayar dalam keadaan ribut petir untuk mencari pesawat. Kita terhutang budi kepada setiap seorang daripada mereka.
"Ini merupakan satu usaha yang amat mengagumkan, telah menyatukan negara-negara dari seluruh dunia. Semasa MH370 didapati hilang, berpuluh-puluh negara menjawab seruan bagi bantuan. Komitmen mereka tidak akan dilupakan.
"Pagi ini saya berjumpa dengan anggota tentera laut dan tentera udara di Pangkalan Udara Pearce. Saya juga berbual dengan komander dari tujuh negara yang berada di sini untuk misi mencari MH370.
"Mereka memberitahu saya tentang kesukaran misi pencarian seperti ini; dari segi jarak, dan cuaca, dan untuk mengekalkan semangat jitu untuk tempoh yang lama.
"Ketika ini, 10 pesawat dan sembilan kapal sedang melakukan pencarian di Lautan Hindi bagi mengesan sebarang petanda berhubung pesawat yang hilang. Kawasan pencarian amat luas, dan keadaannya bukan mudah.
"Tetapi kawasan pencarian baharu yang telah dikecilkan memberikan kita harapan baharu. Dan saya percaya semangat dan keberanian adalah setara dengan tugas itu. Sekali lagi, saya mengucapkan terima kasih atas apa yang mereka sedang lakukan,"ujarnya.
Sementara itu, Tony Abbot pada sidang media yang sama mengingatkan ahli keluarga penumpang MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu supaya terus bersabar.
“Saya faham ini memang satu situasi yang sukar buat anda tetapi kami tidak akan menghampakan anda. Apabila tiba masa untuk anda datang ke Australia, kami akan memastikan lawatan anda dialu-alukan.
“Kami tidak dapat menjanjikan kejayaan mutlak dalam pencarian MH370, tetapi kami akan memastikan usaha yang diberi tidak akan berhenti sehinggalah kami telah melakukan usaha yang mampu dilakukan,” kata Abbott.
Menurut Abbott, misi pencarian MH370 ini merupakan misi paling sukar yang pernah dilakukan mana-mana negara dimana pasukan mencari terpaksa menempuhi pelbagai kesukaran – kawasan yang sangat terpencil, sukar dilalui selain keadaan lautan yang tidak menentu.
“Ini adalah misi paling sukar dalam sejarah dunia. Saya pasti setiap hari pasukan mencari melakukan yang terbaik dalam mendapatkan maklumat dan kami masih lagi sedang cuba untuk mencari jawapan kepada misteri ini,” tambahnya.
Perdana Menteri mengadakan lawatan kerja ke Perth, Australia selama dua hari bermula semalam bagi meninjau operasi pelbagai negara dalam pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370, dari Perth.-3/4/2014
Sumber: Ajenda Daily
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment