Showing posts with label Tanah runtuh. Show all posts
Showing posts with label Tanah runtuh. Show all posts

Monday, August 8, 2011

Tragedi tanah runtuh


CAMERON HIGHLANDS 7 Ogos – Tiga wanita maut, tiga parah manakala tiga lagi dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil di Tanah Rata di sini petang ini.

Kejadian yang berlaku pada pukul 5.45 petang itu turut mengakibatkan enam buah rumah tertimbus manakala tiga lagi terbenam terus.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Wan Zahri Wan Busu berkata, tanah runtuh itu berlaku selepas hujan lebat sejak semalam dan tiga mangsa yang parah ialah dua lelaki dan seorang wanita.

“Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan dan kita percaya ramai lagi penduduk yang tertimbus dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

Sehingga pukul 12.00 tengah malam ini, katanya, dianggarkan tiga lagi mangsa masih tertimbus dalam runtuhan tanah itu.

Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil terletak di Tanah Rata dan kebanyakan penduduknya terdiri daripada masyarakat Suku Semai.

Menurut Wan Zahri, mangsa yang terkorban dan parah dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Tanah Rata.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat mangsa yang tertimbus membabitkan 120 anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Utusan Malaysia

Saturday, May 21, 2011

24 Orang Tertimbus Dalam Kejadian Tanah Runtuh Di Hulu Langat



KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Seramai 24 orang terdiri daripada anak yatim, warden dan kakitangan Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Hulu Langat dekat sini Sabtu.

Setakat 8 malam, lima mayat kanak-kanak berusia 11 dan 14 tahun dikeluarkan dari runtuhan itu manakala sembilan lagi ditemui cedera termasuk seorang lelaki dewasa berusia 22 tahun, kata polis.

Penghuni yang cedera berusia antara 11 dan 17 tahun manakala lelaki dewasa itu dipercayai pekerja di rumah anak yatim berkenaan.

Kesemua yang cedera dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan dan setakat ini keadaan mereka tidak diketahui, kata Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah pada sidang akhbar di sini.

Beliau berkata rumah anak yatim yang terletak berhampiran bukit itu menempatkan 49 orang termasuk penghuni termasuk lima penjaga. Kesemua penghuni rumah itu adalah lelaki.

Ketika kejadian pada pukul 2.30 petang kesemua penghuni rumah anak yatim itu berada dalam sebuah khemah yang dipasang untuk persiapan satu majlis yang dijadual pada pukul 5 petang.

Runtuhan tanah dari bukit itu dikatakan menimbus keseluruhan khemah itu yang terletak di luar rumah anak yatim itu, yang terletak di lereng bukit itu.

Turut terkena runtuhan tanah itu ialah sebuah surau.

"Kami difahamkan berlaku dua kali tanah runtuh secara serentak dalam sekelip mata. Semua mereka yang berada dalam dewan itu tidak sempat menyelamatkan diri," kata Tun Hisan pada sidang akhbar di tempat kejadian.

Beliau berkata polis akan menyiasat punca kejadian.

Beliau berkata pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat, polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mengeluarkan mayat pertama pada pukul 4.30 petang, diikuti mayat kedua setengah jam kemudian dan mayat ketiga dikeluarkan pada pukul 6.10 petang.

Penolong Pesuruhjaya Bomba dan Penyelamat Putrajaya Morni Mamat berkata sehingga 8.20 malam operasi mencari dan menyelamat diteruskan dalam keadaan hujan lebat.

-- BERNAMA

Sungai Tua Baharu: Ya lah bak kata orang malang tidak berbau, jika telah dijangka sudah tentu kehilangan nyawa sudah pasti dapat dielakkan. Musim hujan sekarang apa sahaja boleh berlaku terutama kejadian tanah runtuh. Mana-mana mereka yang tinggal di lereng-lereng bukut yang tinggi atau di atas bukit eloklah berhati-hati.