Tuesday, May 23, 2017




Laporan Tahunan Program Transformasi Negara 2016


Bismillahir Rahmannir Rahim

Alhamdullillahi Rabbil A’lamin wabihi Nasta’in
Allahumma Solli A’la Saidina Muhammad Wa A’la A-li Saidina Muhammad

Saudara dan Saudari Rakyat Malaysia Dikasihi Sekalian

Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

1. Alhamdulillah, didahulukan semuanya dengan mengangkat setinggi-tinggi pujian dan rasa kesyukuran ke-hadrat Allah SWT kerana atas izin dan limpah perkenan-Nya jua, sekali lagi Laporan Program Transformasi Negara, atau NTP dapat diadakan.

2. Tidak seperti tahun-tahun yang lalu, sebanyak lima pembentangan laporan ini telah diadakan bertempat di Auditorium Angkasapuri.

3. Akan tetapi, malam ini,… saya memilih untuk membentangkannya di Dewan Agong Tuanku Canselor UiTM Shah Alam,…kerana apa? Kerana hendak saya sampaikan kepada kelompok yang lebih menyeluruh yang bukan sahaja terdiri daripada Jemaah Menteri, Anggota Pentadbiran serta Pegawai Tinggi Kerajaan, sebaliknya,… saya mahukan agar dijemput bersama-sama ke majlis ini untuk turut hadir, adalah pemimpin-pemimpin daripada kesemua 14 Parti Komponen Barisan Nasional,… ahli-ahli korporat,… GLC dan swasta serta pelbagai lapisan rakyat.

4. Sesungguhnya pun, apa yang akan saya sampai dan utarakan malam ini, adalah hal-ehwal yang berkait langsung dengan kepentingan semua pihak sebagai stakeholders of the nation.

5. Dari itu,… sebelum saya mulakan ucapan ini untuk membangkitkan sedikit semangat bak lirik lagu yang telah dinyanyikan tadi,…
Selamatlah Malaysia Jaya,… Negaraku yang Kucintai,… Seumurnya Maha Perkasa,… Kedaulatan Ibu Pertiwi…

Saudara dan saudari,

6. Lantaran itu, bolehkah kita mendengar sorakan suara daripada para wakil NGO,… pemimpin sukarelawan,… pelbagai lapisan masyarakat,… serta sekali lagi suara dan sorakan semangat daripada para mahasiswa dan mahasiswi,… yang turut hadir kerana saudara-saudarilah,… anak-anak Malaysia dan pewaris masa depan Malaysia generasi TN50.

7. Sesungguhnya, saudara dan saudari, apa yang saya dan pihak Kerajaan buat, adalah untuk kepentingan seluruh rakyat, tidak kira kaum, keturunan ataupun bangsa.

8. Jadi kita tidak mahu gaduh-gaduh, kita nak semua berbaik-baik, tolong –menolong antara satu sama lain, agar negara kita aman dan makmur.

9. Ni,… depan saya ni, nampaknya Saudara Mat-Over pun hadir dan saudara David Teoh pun ada,…duduk sama-sama lagi,…macam ni la kita hendak,… Kerajaan hendak lihat rakyat kita bersatu-padu, seia sekata…barulah Malaysia akan berjaya.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

10. Sesungguhnya, ketika mana saya mengambil alih tampuk kepimpinan negara pada tahun 2009, barangkali semua masih ingat bahawa, dunia pada masa itu sedang melalui detik-detik kemuncak krisis ekonomi dan kewangan global atau Global Economic and Financial Crisis,… yang secara langsung telah memberi kesan kepada ekonomi kita.

11. Sehinggakan, Malaysia tidak ketinggalan antara negara diancam terjerumus dalam kancah kegawatan berlarutan, eksport yang rendah, para pekerja hilang punca pendapatan dan kemerosotan permintaan domestik. Hatta, keyakinan para pelabur menjunam dan hampir hilang.

12. Malah, kesuraman iklim ekonomi pada waktu tersebut, menjadi bahan dan peluru kepada pelbagai pihak dalam menghentam dan menghasut rakyat tentang kemampuan, keupayaan, mahupun kewibawaan Kerajaan,… untuk berdepan dengan cabaran yang amat getir itu.

13. Alhamdulillah,… berkat usaha gigih yang terancang, kecekalan pentadbiran Kerajaan yang cekap, sistematik, pelaksanaan dan penyampaian perkhidmatan efisien terhadap dasar-dasar fiskal serta monetari yang relevan lagi jitu,… tahun demi tahun, kita telah mampu menongkah segala rintangan tersebut.

14. Makanya, kalau selama ini, ada orang sangsi akan kemampuan Kerajaan Barisan Nasional, untuk menangani pelbagai kemelut yang melanda, bahkan tidak henti-henti menuduh negara ini sebagai a failed state atau sebuah negara gagal; waima sampai ke tahap menyebarkan ramalan palsu kepada rakyat,… kononnya Malaysia akan tersungkur muflis dan bankrap.

15. Akan tetapi, saudara dan saudari sekalian,… rakyat Malaysia yang dikasihi, dengan kehendak Tuhan Yang Maha Berkuasa, terbukti,… terbukti,… langkah-langkah berani yang telah diambil sejak lebih lapan tahun kebelakangan ini, berjaya mencetus momentum demi momentum, yang meletakkan kita terus teguh berada pada landasan ekonomi yang sihat dan betul.

16. Kerana itulah, walau mana-mana pihak berkata begitu atau berkata begini,…Saya selaku Perdana Menteri,… mewakili Kerajaan dan anggota pentadbiran,… mengambil sikap ‘gentleman’ dan ‘anak jantan’, telah berani membentangkan laporan prestasi transformasi negara, semenjak tahun 2010 lagi.

17. Malah, sebetulnya pun, jika ditinjau,… mana ada Kerajaan lain di dunia ini, yang sebegini telus dan mempunyai discipline of action demi melaksanakan janji-janji, mendahulukan kepentingan rakyat dan bukanlah sekadar omong-omongan kosong semata-mata.

18. Ini ternyata,… melalui laporan-laporan yang telah saya sampaikan selama lima tahun berturut-turut sebelum ini, sebagaimana yang telah diseliakan, dirumuskan dan dilaporkan secara jelas oleh pihak PEMANDU, selaku sekretariat kepada Program Transformasi Negara.

19. Apa yang paling mustahak,… seperti saban kali saya ulang, segala fakta, angka mahupun peratusan kejayaan yang dilaporkan,… bukannya rhetoric, rekaan atau pun bak kata orang, Kerajaan hanya ‘syok sendiri’, namun,… dengan tegas ingin saya nyatakan bahawa,… kesemua fakta dan maklumat ini, telah diaudit dan diabsah oleh pihak antarabangsa yang berkecuali lagi berwibawa.

20. Berhubung ini, jika kita lihat di paparan skrin, pencapaian dalam pertumbuhan ekonomi diukur melalui Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK, sejak tahun 2010,… menunjukkan puratanya adalah pada,… 5.1 peratus. Bahkan, angka ini, untuk makluman semua, adalah dua kali ganda daripada purata pertumbuhan ekonomi dunia.

21. Berkait ini juga,… rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian, tahun 2016, sekalipun sebagai tahun yang amat mencabar, komitmen Kerajaan terhadap Program Transformasi Negara telah memungkinkan asas atau fundamental ekonomi negara terus berdiri teguh.

22. Buktinya,… Malaysia menjadi antara negara terawal yang menerima manfaat daripada pemulihan ekonomi dunia.

23. Pucuk pangkalnya, saudara dan saudari sekalian,… Rakyat Malaysia yang dikasihi,… this Government,… has taken many bold actions,… and many tough decisions,… to achieve Malaysia’s goal of becoming a High Income Advanced Economy…

24. The measures taken include… removal of fuel subsidies, reducing dependence on oil revenue, rationalising subsidies, and the introduction of GST – are now, delivering huge dividends to the people and the country.

25. Oleh itu, saudara dan saudari,… walau apa pun, yang hendak diperkata dan ditohmah,… biar apa pun yang difitnah oleh segelintir pihak tertentu,…

26. Alhamdulillah,… Alhamdulillah,… mutakhir,.. hasilnya,… ekonomi kita telah berkembang pada kadar yang di luar jangka Kerajaan mahupun Bank Dunia,… iaitu…pada, 5.6 peratus untuk suku pertama tahun 2017.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

27. Kerana itulah, saya,… bagi pihak Kerajaan dengan rasa berbesar hati, mengajak kita semua, melahirkan rasa syukur bahawa,… Malaysia terus dilimpah Rahmat kestabilan dan trajektori pertumbuhan ekonomi yang kekal positif.

Saudara dan saudari,

28. Justeru,… pada malam ini,… kita akan dapat lihat dengan jelas bagaimana usaha-usaha Kerajaan telah meletakkan fundamental ekonomi negara di atas landasan yang utuh dan mampan, dan hasil mahsulnya telah secara langsung membawa manfaat besar seperti yang dikecapi oleh Negara dan rakyat teramai pada hari ini.

Antaranya:

29. Pertama: Usaha Kerajaan yang konsisten dalam membela rakyat, telah berjaya menurunkan kadar kemiskinan daripada 3.8 peratus pada tahun 2009, kepada 0.6 peratus pada tahun 2014, dan statistik terkini akan dikeluarkan pada bulan September ini, di mana kadar kemiskinan dijangka akan mengecil lagi. Sementara, kemiskinan tegar sebenarnya telah hampir disifarkan kesemuanya.

30. Kedua: Kerajaan ini juga telah berupaya mengurangkan kebergantungan negara kepada hasil minyak daripada 41 peratus pada tahun 2009, kepada 14.7 peratus pada tahun 2016, dengan mempelbagaikan sektor ekonomi sebagai sumber pendapatan Negara.

Saudara dan saudari,

31. Ketiga: Kita berasa amat bersyukur,… kerana sasaran 3.3 juta peluang pekerjaan baharu menjelang tahun 2020 setakat ini, telahpun mencapai angka 69 peratus,… di mana sebanyak 2.26 juta pekerjaan baharu telah diwujudkan.

Ini satu lagi bukti usaha kita membuahkan hasil dan berada di landasan yang tepat.

32. Keempat: Menurut Bank Dunia yang mengguna pakai kaedah Atlas, mendefinisikan Pendapatan Negara Kasar per Kapita atau PNK per Kapita bagi negara maju pada tahun 2010, adalah pada nilai 12,275 dolar Amerika.

Sedangkan berbanding pada masa itu, Malaysia hanyalah berada pada tahap 8,230 dolar Amerika,… yakni, jurangnya pada tahap 33 peratus.

Dalam kata mudah, waktu itu, negara kita masih bergelut dalam keadaan apa yang disifatkan sebagai middle income trap.

Lantas, ingin dilaporkan,… terkini,… dalam tempoh 6 tahun, anggaran sasaran bagi PNK per Kapita 2016 untuk negara maju, adalah pada nilai 12,272 dolar Amerika.

Maksudnya, pelaksanaan NTP oleh Kerajaan sebenarnya adalah satu usaha penting untuk membantu meningkatkan pendapatan dan kuasa beli rakyat Malaysia yang sewajarnya.

Setakat ini, fakta menunjukkan kita telah mencapai 10,010 dolar Amerika,… yakni jurang telah berjaya dirapatkan daripada 33 peratus pada tahun 2010, kepada kini hanya 18 peratus.

33. Selanjutnya, rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian, kita bersyukur,… kerana Malaysia telah diiktiraf oleh firma antarabangsa iaitu, BAV Consulting & Wharton School dari Amerika Syarikat bahawa, kita adalah negara yang terbaik untuk para pelabur bagi tahun 2017.

Bahkan,… baru sahaja minggu lepas, majalah Forbes meletakkan Malaysia kedudukan paling atas di kalangan semua negara Asia untuk pelaburan asing.

34. Seterusnya lagi, dari sudut fiskal negara, Kerajaan telah berjaya mengurangkan lebih separuh defisit fiskal, daripada 6.7 peratus pada tahun 2009, kepada 3.1 peratus pada tahun 2016.

Saudara dan saudari,

35. Bercakap tentang aspek GST pula, hakikatnya jika sebelum tahun 2015, 41 peratus daripada pendapatan negara datangnya daripada hasil minyak.

36. Namun, akibat daripada kesuraman ekonomi global dan penurunan mendadak harga minyak mentah dunia yang begitu ketara sekali, menyebabkan hasil Kerajaan telah berkurangan,… dengan amat signifikan.

37. Syukur kepada Allah SWT, seperti yang saya sebutkan tadi, dengan iltizam yang tidak kunjung jemu, atau strong and unwavering political will,… demi kestabilan ekonomi dan kemakmuran negara dan rakyat,… Kerajaan kekal dengan pendirian melaksanakan GST.

38. Dengan sebab keputusan itulah, Kerajaan telah berupaya menampung kekurangan daripada hasil minyak melalui perolehan hasil kutipan GST sebanyak 42 bilion ringgit pada tahun 2016.

39. Merujuk perkara ini, bagaimanakah mungkin ada pihak di luar sana, yang bercakap merepek dan mengarut, dengan ‘menipu rakyat’ kononnya kalau mereka menjadi Kerajaan, GST hendak di-zero-rated atau dihapuskan.

40. Lalu saya nak bertanya,… kalau begitulah sifir pembangkang, daripada hasil sumber manakah yang mereka hendak dapatkan 42 bilion ringgit itu?

41. Kata orang…talk is cheap. Semua orang boleh berkata apa sahaja, menjanjikan itu dan ini. Ertinya,… seandainya Kerajaan ini tidak cekal dan tabah, mana mungkin kita mampu menampung perbelanjaan operasi dan pembangunan negara.

42. Malah,… macam mana tujuh juta rakyat nak menerima bantuan BR1M, Kad Diskaun Siswa 1Malaysia,…tak mungkin,… peruntukan untuk 35 kampus UiTM di seluruh Malaysia,… barangkali subsidi dan bantuan perubatan untuk rakyat terpaksa ditarik, ramai orang juga akan hilang pekerjaan.

43. Begitulah pula kos pendidikan anak-anak kita di sekolah dan universiti akan turut meningkat dan harus ditampung secara langsung oleh para ibubapa.

44. Itulah yang akan terjadi, sekiranya Kerajaan tidak mengambil langkah dan keputusan fiskal yang tepat lagi bertanggungjawab.

45. Oleh itu,… ternyata perancangan pembangkang tidak realistik dan tidak berpijak di bumi nyata, lagi memesongkan rakyat.

46. Sedangkan, negara India, umpamanya, sebagai antara kuasa ekonomi terbesar dunia pun, dengan pertumbuhan purata ekonomi sekitar 7 peratus, memutuskan untuk melaksanakan 4 peringkat kadar GST, di mana kadar tertingginya adalah 28 peratus.

47. Malah negara-negara Teluk pun (GCC) akan turut mengikut jejak bagi melaksanakan sistem cukai GST.

Kesimpulannya,… langkah pragmatik Kerajaan Barisan Nasional dalam melaksanakan GST adalah tepat pada masa, wajar dan telah terserlah buktinya.

Saudara dan saudari,

48. Sekali lagi pada malam ini, saya dengan sukacitanya ingin melaporkan dari segi pencapaian keseluruhan, tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara atau NKRA telah merekodkan pencapaian purata KPI sebanyak 101 peratus.

49. Bagi Bidang Ekonomi Utama Negara atau NKEA pula, kita telah berjaya mencatatkan pencapaian purata KPI sebanyak 110 peratus.

50. Semestinya lagi, NKRA dan NKEA ini tidak akan tercapai tanpa Inisiatif Pembaharuan Strategik atau SRI sebagai pemangkin, yang mampu mencatat purata KPI sebanyak 100 peratus.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

51. Pada sisi yang lain, Malaysia yang kita cintai ini telah 60 tahun merdeka. Diam tak diam, kita telah dari mulanya bertatih,… kini sedang berjalan jauh sehingga sampai ke tahap ini.

52. Kita akan terus berjalan, kita akan terus mengorak langkah, setapak demi setapak, merancang strategi tersusun, untuk bergerak menuju visi 30 tahun berikutnya.

53. Lantas pada malam ini, saya ingin memulakan laporan pencapaian NTP, dengan berfokus kepada ehwal yang menjadi bualan dan dekat di hati saya, pihak Kerajaan yang dekat di hati rakyat, yakni projek-projek infrastruktur, ataupun InfraRakyat yang sedang giat dilaksanakan.

54. Apa yang penting, pada hemah saya, semua projek ini menyentuh dan sampai kepada semua golongan rakyat, tidak kira di bandar, di ceruk kampung, kawasan pedalaman, hatta di Ulu Tembeling Jerantut, Pahang dan Lachau, Sarawak pun jalannya kita bina.

55. Sudah terang lagi bersuluh, bagi penduduk bandar khususnya di Lembah Klang, pelaksanaan projek LRT Extension telah pun kita laksanakan.

56. Manakala yang ditunggu-tunggu pula, yakni projek High Speed Rail yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura dalam tempoh hanya 90 minit, bakal menjadi kenyataan.

57. Pada sudut lain, saudara dan saudari sekalian, Kerajaan sentiasa menekankan aspek kualiti dan kesejahteraan hidup rakyat. Contohnya, menerusi inisiatif River of Life dan Projek Taman Tugu.

58. Kedua-dua inisiatif ini, akan menyaksikan Kuala Lumpur bertukar wajah menjadi sebuah bandar yang lebih vibrant dan lebih liveable.

59. Malah, kita akan melihat lebih banyak aktiviti riadah, menerusi ruang-ruang awam seperti kegiatan sukan, kebudayaan, kesenian dan kemasyarakatan, kelak menjadi realiti.

60. Menjengah ke pesisir pantai timur pula, rakyat akan menikmati connectivity terbaru seperti pembinaan East Coast Rail Link atau ECRL, menghubungkan Pengkalan Kubor, Kelantan ke Pelabuhan Klang yang akan memberi limpahan ekonomi di sepanjang laluannya.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

61. Kepada orang-orang Sabah dan Sarawak pula, apatah lagi selepas diberi mandat yang besar dalam Pilihanraya Negeri Sarawak pada tahun lalu, Kerajaan tatap mengotakan janji melalui pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo, dari Teluk Melano ke Lawas di Sarawak, membawa ke Sabah dari Sindumin ke Tawau, yang keseluruhannya sepanjang 2,325 kilometer, dengan kos hampir 30 bilion ringgit.

62. Keseluruhannya, 11 pakej kerja di Sarawak telah dilancarkan, dan lima daripada 35 pakej kerja di Sabah pula telah mula dijalankan.

63. Merujuk kepada MRT Fasa 1, yang telah mula beroperasi pada 16 Disember 2016 lalu, uniknya projek ini,… kerana ia berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual yang ditetapkan, dengan pelaksanaan below what was budgeted, namun yang mustahak, ia tidak menjejaskan kualiti.

64. Pada hemah saya lagi, kejayaan ini sungguh menakjubkan, sebab ianya telah menghasilkan satu ‘Big, Fast Result’, dengan memberi impak positif kepada kehidupan seharian penduduk, khususnya di Lembah Klang.

65. Insya-Allah, Fasa 2 MRT yang seterusnya ini, akan memulakan operasi pada bulan Julai 2017, akan melengkapkan jajaran Sungai Buloh – Kajang sepanjang 51 kilometer.

Saudara-saudari sekalian,
66. Sememangnya, pembang
unan luar bandar terus menjadi keutamaan selama ini kepada Kerajaan.

67. Melalui NKRA Mempertingkatkan Pembangunan Luar Bandar, dari tahun 2010 sehingga 2016, kita telah membina dan menaik taraf 6,042 kilometer jalan raya luar bandar.
Jika kita ingin bayangkan,… jauhnya jarak jalan raya ini, adalah hampir bersamaan jaraknya dari Kuala Lumpur ke Riyadh, Arab Saudi, yakni 6,347 kilometer.

68. Selain daripada jalan raya, di bawah NKRA ini juga, Kerajaan telah menyediakan akses bekalan air bersih kepada lebih 350 ribu buah rumah.

69. Bukan setakat itu sahaja, dalam masa yang sama, lebih 153 ribu buah rumah di kawasan luar bandar telah disambungkan dengan khidmat bekalan elektrik.

70. Seterusnya, Kerajaan turut membina dan membaik-pulih hampir 100 ribu buah rumah untuk golongan miskin luar bandar, dari tahun 2010 hingga 2016.

71. Jelas sekali, saudara dan saudari,… apa yang ingin saya nyatakan di sini, secara keseluruhannya setakat 2016 sahaja, kesemua inisiatif ini,… telah membantu meningkatkan kualiti dan kesejahteraan hidup 6.2 juta rakyat Malaysia di luar bandar, sekaligus membolehkan mereka untuk turut serta dalam arus perdana pembangunan negara.

Rakyat Malaysia sekalian,

72. Bercakap dari soal kemanusiaan dan Kerajaan yang mendahulukan kepentingan dan kebajikan rakyat, ada satu cerita benar yang menyentuh hati saya dan ramai,… kerana ia telah menjadi viral walaupun kisah itu berlaku pada tahun 2013.

73. Kisah ini berkaitan dengan apa yang telah dialami oleh Encik Razali Tompang dan bapanya dari Melaka.

74. Kisah ini, amat menyentuh hati saya secara peribadi, kerana Encik Razali Tompang melalui ceritanya di media sosial,… melahirkan syukur dan terharu sebab terkejut, apabila bil perubatan rawatan kanser bapanya, yang tercatat berjumlah 11 ribu ringgit di Hospital Kuala Lumpur.

75. Namun,…keadaan beliau yang amat susah hati ketika itu, kerana , yang ada dalam poket beliau masa itu, hanya 100 ringgit sahaja,… yang cukup-cukup bagi belanja makan, duit minyak dan tol untuk mereka pulang ke Melaka,…bayangkan, macam mana nak bayar bil 11 ribu ringgit itu?

76. Kemudian, beliau berasa amat terharu apabila diberitahu oleh pihak Hospital Kuala Lumpur milik Kerajaan di kaunter pembayaran bahawa beliau hanya perlu membayar 31.80 ringgit sahaja,… kerana jumlah lain atas bil itu ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan!

77. Apa yang menarik untuk semua orang tahu tentang kisah ini adalah,… di Malaysia… semua warganegara layak untuk menerima bantuan khidmat kesihatan, yang tidak mungkin seumpamanya di mana-mana negara dalam dunia ini.

78. Walau apapun, saya ucapkan takziah kepada Encik Razali sekeluarga, kerana saya difahamkan, bapanya yang sakit itu, telah pun kembali ke Rahmatullah, tujuh bulan selepas peristiwa tersebut.

Saudara dan saudari sekalian,

79. Merujuk kepada pembangunan golongan B40 pula, tahap purata pendapatan bulanan telah meningkat, daripada 1,847 ringgit kepada 2,537 ringgit, yakni peningkatan sebanyak 17 peratus.

80. Pencapaian ini, merupakan salah satu daripada hasil NKRA bagi Mempertingkatkan Taraf Kehidupan Isi Rumah Berpendapatan Rendah,… antaranya melalui program 1AZAM.

81. Buktinya, sejak tahun 2010 sehingga 2016, daripada lebih 300 ribu peserta program 1AZAM, syukur kepada Allah SWT, saya berasa gembira untuk melaporkan setakat ini sahaja,… seramai hampir 100 ribu peserta telah berjaya Kerajaan keluarkan daripada kepompong kemiskinan.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

82. Dari itu, seperti mana lazimnya setiap kali laporan dibentangkan,… saya akan berkongsi kisah-kisah kejayaan rakyat, hasil pelaksanaan Program Transformasi Negara.

83. Kisah pertama…marilah sama-sama kita saksikan video di skrin…

84. Saudara dan saudari, saya difahamkan. Encik Mohd Jaafar,.. ada bersama kita pada malam ini. Dijemput berdiri, Encik Mohd Jaafar.

85. Seterusnya, saudara dan saudari,… cerita kejayaan yang kedua,… tentang Encik Paddy Anak Sidung, dari Kampung Patung, Tebedu, Sarawak.

Beliau juga adalah pekebun yang turut menyertai program AZAM Tani sejak tahun 2011.

86. Melalui program ini, Encik Paddy Anak Sidung menjalankan projek tanaman jagung manis yang membolehkan beliau meningkatkan pendapatan bulanan sebanyak dua kali ganda.

87. Dikhabarkan, atas sebab-sebab tertentu Encik Paddy Anak Sidung tidak dapat hadir pada malam ini,… walaupun begitu marilah kita ucapkan tahniah kepada Anak Sarawak ini.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

88. Menyonsong jendela yang lain, kita sewajarnya bersyukur,… kerana rakyat di negara ini menikmati kehidupan yang aman dan sentosa, serta selamat secara umumnya dari unsur-unsur jenayah.

89. Malah, saya berasa gembira apabila laporan Global Peace Index 2016 oleh Institute for Economics and Peace, menyebut bahawa, Malaysia merupakan salah sebuah daripada 30 negara paling aman di dunia.

90. Sebetulnya pun,… kalau diimbau pada peringkat awal pelaksanaan NTP, keseluruhan jenayah indeks meningkat pada kadar hampir 3 peratus setiap tahun.

91. Namun, melalui langkah-langkah seperti meningkatkan keselamatan sempadan menerusi penubuhan Agensi Keselamatan Sempadan pada April 2016, dan Inisiatif Kepolisan Moden yang berorientasikan transformasi perkhidmatan polis menerusi penggunaan teknologi, maka dengan sukacitanya,… saya melaporkan bahawa,… hasil daripada NKRA Jenayah, Indeks Jenayah telah berjaya pihak Kerajaan kurangkan sebanyak 47 peratus.

92. Tahniah kita ucapkan kepada YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Menteri Dalam Negeri, dan tentunya kepada Pasukan Polis DiRaja Malaysia dan Anggota Keselamatan di seluruh Malaysia, yang telah berkorban siang dan malam demi tanah air tercinta.

Saudara dan saudari sekalian,

93. Sememangnya lagi, sejak kita meraih kemerdekaan, pembikinan dan pembangunan negara turut sama dinadikan dan dimainkan peranan penting oleh kaum wanita.

94. Apa yang mustahak, usaha untuk memperkasakan martabat kaum wanita, terus menjadi komitmen Kerajaan.

95. Misalannya, sebelum perlaksanaan NTP, golongan wanita hanya memegang 7.6 peratus keahlian di peringkat Lembaga Pengarah, bagi syarikat awam tersenarai.

96. Oleh yang demikian, Kerajaan pada tahun 2011, telah mensasarkan 30 peratus penglibatan wanita di peringkat pembuat keputusan.

97. Maka itu, program NTP ini, turut merangkumi pelbagai lapisan, termasuklah golongan korporat.

98. Setakat 2016, bagi sektor awam, saya berasa gembira melaporkan usaha ini, telah melebihi sasaran dan mencapai tahap 35.8 peratus.

99. Manakala, di sektor swasta pula, bagi 100 Syarikat Awam Dalam Senarai Teratas, penglibatan wanita di peringkat Lembaga Pengarah mencapai 16.8 peratus, dan di peringkat pembuat keputusan pula, adalah pada 26.7 peratus.

100. Sebagai contoh, saya ingin kongsikan bersama khabar yang gembira untuk para wanita,… bahawa baru-baru ini, kita menyambut baik perlantikan beberapa wanita yang kental lagi berhati waja, dalam dunia korporat; iaitu pertamanya,… Datuk Mohaiyani Shamsudin.

101. Yang Berbahagia Datuk Mohaiyani, merupakan wanita pertama dilantik sebaga
i Pengerusi Kumpulan Bank Terbesar di Malaysia iaitu Maybank. Marilah kita menyampaikan tahniah kepada Yang Berbahagia Datuk Mohaiyani Shamsudin.

102. Keduanya, saudara dan saudari, adalah Yang Berbahagia Dato’ Dr. Nirmala Menon, seorang tokoh korporat wanita yang berpengalaman di dalam sektor Insurans dan Kesihatan,… seperti yang wajahnya dipaparkan di skrin.  Kini,… Kerajaan telah melantik beliau sebagai Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad.

103. Sekalipun Yang Berbahagia Dato’ Dr. Nirmala Menon berada di luar negara, dan tidak dapat bersama kita pada malam ini, marilah kita tetap ucapkan syabas dan tepukan tahniah kepada beliau.

Saudara dan saudari sekalian,

104. Dan ketiganya, suka saya memperkenalkan Puan Nor Fadhilah Mohd Ali,… yang telah dilantik ke jawatan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Telekom Malaysia.

105. Untuk pengetahuan para hadirin, Puan Nor Fadhilah Mohd Ali, yang turut hadir bersama kita pada malam ini, merupakan wanita pertama sebagai Group Chief Financial Officer Telekom Malaysia.

106. Sememangnya pun, seperti yang sering saya nyatakan bahawa,…wanita adalah sentiasa dianggap oleh Kerajaan sebagai rakan-kongsi kepada pembangunan dan kemajuan negara.

107. Jadinya, demi mengangkat semangat dan memperkasa wanita Malaysia,… marilah kita beri tepukan yang gemuruh kepada kaum wanita di seluruh negara.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

108. Sebetulnya, pendidikan merupakan satu bidang penting modal insan untuk menjamin kecerahan masa depan rakyat dan negara.

109. Makanya, melalui hasil usaha yang digembleng oleh NKRA Pendidikan, enrolmen prasekolah kebangsaan telah meningkat daripada 67 peratus pada tahun 2009 kepada 85.6 peratus pada tahun 2016.

110. Insya-Allah, saya bagi pihak Kerajaan Barisan Nasional,… yakin dan percaya jika inisiatif-inisiatif murni di bidang pendidikan ini diteruskan, … hari demi hari,… kita akan menghampiri tahap 100 peratus enrolmen pra-sekolah kebangsaan menjelang tahun 2020.

111. Bahkan, menurut laporan Climbing the Ladder: Socio-Economic Mobility in Malaysia oleh Khazanah Research Institute, menunjukkan bahawa, faktor mobiliti sosial paling berkesan adalah melalui akses kepada pendidikan dan kemahiran.

112. Selanjutnya pula,…dalam memartabatkan Malaysia sebagai hab pendidikan Antarabangsa bertahap global, sebagai contoh EduCity@Iskandar di Johor, telah menempatkan institusi pendidikan terkemuka antaranya University of Reading, Marlborough College Malaysia, Newcastle University of Medicine Malaysia dan University of Southampton.

113. Malah, setakat 2016 sahaja, kita telah merekodkan enrolmen melebihi 170 ribu pelajar antarabangsa.

114. Insya-Allah, menjelang tahun 2020 nanti, kita menjangkakan, enrolmen pelajar antarabangsa akan mencecah jumlah lebih 200 ribu pelajar.

Rakyat Malaysia Yang Dikasihi,

115. Kisah kejayaan seterusnya yang ingin saya kongsikan adalah tentang Bidang Ekonomi Utama Negara di sektor Kelapa Sawit.

116. Baru minggu lepas, kita dan saya telah merasmi dan meraikan ulangtahun ke-100 kejayaan industri sawit negara.

117. Berhubung laporan malam ini, mari sama-sama kita saksikan cerita kejayaan yang seterusnya…

118. Saudara dan saudari, saya difahamkan Encik Cheng Yin Teong turut hadir bersama kita pada malam ini. Berikan tepukan tahniah kepada beliau.

Saudara dan saudari,

119. Sesungguhnya lagi, Malaysia ini negara yang kaya dengan khazanah alam, kepelbagaian budaya dan warisan, kemajmukan masyarakat dan bangsa, menjadi tarikan orang luar untuk datang melancong.

120. Pada tahun 2016, industri pelancongan mencatatkan kehadiran 26.7 juta pelancong,… berbanding 25.7 juta pelancong pada tahun 2015, dengan perolehan pelancongan meningkat daripada 69 bilion ringgit pada tahun 2015, kepada 82 bilion ringgit pada tahun 2016.

121. Sebagai contoh, melalui pengenalan kemasukan tanpa visa dan eVisa, telah berjaya memacu peningkatan ketibaan pelancong dari negara China, dari 1.1 juta pada tahun 2010, kepada 2.1 juta pada tahun 2016.

122. Insya-Allah, dengan hubungan akrab antara Malaysia dan negara China, kita telah mensasarkan 3 juta pelancong dari negara Tembok Besar ini pada tahun 2017.

123. Bahkan, apa yang lebih membanggakan kita lagi, apabila Malaysia telah diiktiraf sebagai Asia’s Leading Destination, selama dua tahun berturut-turut di World Travel Award 2015 dan 2016.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

124. Berkaitan NKEA Kesihatan pula, satu lagi cerita kejayaan yang ingin kita papar, dan kongsikan pada malam ini, adalah kisah Encik Saravanan Govindasamy.

125. Encik Saravanan ada bersama kita pada malam ini, dan marilah kita beri tepukan syabas dan Kerajaan mengucapkan selamat maju jaya kepada usaha perniagaan beliau!

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

126. Seterusnya lagi, demi mempastikan Malaysia terus menjadi sebuah negara yang makmur lagi berjaya, kita perlu menggiatkan usaha dalam merancakkan aktiviti-aktiviti ekonomi kita, antaranya untuk memacu lebih banyak penyertaan swasta dalam ekonomi negara melalui NTP.

127. Sukacita saya melaporkan, aktiviti pelaburan sektor swasta telah meningkat daripada 55 peratus pada tahun 2010, kepada 67 peratus pada 2016.

128. Ini membuktikan,… keyakinan para pelabur semakin kukuh terhadap iklim ekonomi Malaysia yang kondusif, dan dasar-dasar Kerajaan Barisan Nasional yang pro-perniagaan.

129. NTP juga saudara dan saudari, turut menyumbang kepada daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan asing. Buktinya, jumlah pelaburan langsung asing telah meningkat daripada hanya 5.1 bilion ringgit pada tahun 2009, dan kini melonjak kepada 41 bilion ringgit pada tahun 2016.

130. Jumlah ini, tidak termasuk potensi pelaburan baharu yang bakal kita terima menerusi 14 MoU perniagaan bersama negara China, yang bernilai 144 bilion ringgit.

131. Ini semua adalah hasil daripada persahabatan akrab kita dengan China yang mendatangkan untung kepada kedua-dua buah negara.

Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,

132. Selanjutnya, usaha gigih dan kerja keras Kerajaan tidak terhenti di situ sahaja.

133. Pembukaan tirai tahun 2017 telah diserikan lagi, dengan pelaburan oleh Saudi Aramco yang bernilai 31 bilion ringgit, dalam Kompleks Bersepadu Pengerang di Johor.

134. Sesungguhnya, ini merupakan pelaburan asing tunggal terbesar yang pernah berlaku, dalam sejarah Malaysia setakat hari ini.

135. Seiring dengan itu, selain Malaysia dijadikan role model di kalangan negara Islam, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, turut memuji negara ini yang mengamalkan wasatiyah, atau kesederhanaan dengan begitu berjaya sekali.

136. Terkini pula, baru pagi tadi, saya pulang dari menghadiri Sidang Kemuncak Negara-Negara Arab, Islam dan Amerika Syarikat.

137. Pada sidang tersebut, kita berbesar hati apabila Malaysia telah mendapat kepercayaan Arab Saudi, dalam usaha antarabangsa memerangi keganasan, apabila diminta memainkan peranan penting, dalam kerjasama membabitkan negara-negara Islam dan Amerika Syarikat.

138. Ini merupakan satu pengiktirafan, bukan sahaja daripada Arab Saudi, tetapi juga dari negara serata dunia, terhadap peranan aktif Malaysia menangani keganasan pada peringkat global.

139. Tidak terhenti di situ, hasil kunjungan rasmi saya dan rombongan Kerajaan ke India baru-baru ini, kita telah berjaya membawa pulang potensi nilai pelaburan sebanyak 158.4 bilion ringgit, menerusi 31 MoU perniagaan.

Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,

140. NTP juga turut menetapkan sasaran 100 Multi-National Corporation, atau MNC baharu untuk beroperasi di Kuala Lumpur, sebagai pusat operasi serantau mereka, menjelang tahun 2020.

141. Sehingga tahun 2016, InvestKL telah berjaya membawa masuk sejumlah 64 MNC ke tanah air kita.

142. Menerusi inisiatif ini, anak watan kita turut dapat menimba pengalaman berharga. Antaranya ialah saudari Anniza Soh, dari Tawau, Sabah yang bekerja dengan Schlumberger, iaitu sebuah syarikat perkhidmatan medan minyak yang terbesar di dunia.

143. Untuk menyelami kisah dan pengalaman menarik saudari Anniza, marilah kita sama-sama saksikan cerita beliau.

144. Nampaknya, saudara dan saudari,… sungguh penuh berinspirasi kisah Saudari Anniza tadi.

145. Seperti yang kita dengar tadi, apa yang menyentuh hati kita semua adalah, tekad beliau untuk terus memberikan sumbangan kepada tanahair Malaysia, yang telah memberi beliau peluang kerjaya yang amat bernilai.

146. Semangat patriotik gadis dari Tawau, Sabah ini, perlulah dicontohi dan marilah kita beri tepukan yang gemuruh kepada Saudari Anniza Soh.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

147. Menjengah masa depan negara, kini, seluruh dunia berada di ambang Fourth Industrial Revolution, yang datang dalam kombinasi pelbagai bentuk agen perubahan seperti teknologi maklumat dan internet, robotik, teknologi nano, task automation serta percetakan 3D.

148. Laporan oleh World Economic Forum menjangkakan, Revolusi ini akan memberi kesan yang sangat signifikan kepada pasaran buruh dan pekerjaan.

149. Antaranya, peluang pekerjaan baharu menerusi Digital Economy, yang dianggap sebagai industry of the future.

150. Melalui pelancaran DFTZ, pada 23 Mac lalu, yang menjadikan Malaysia sebagai hab ekonomi digital pertama di dunia, di luar negara China.

151. Insya-Allah, melalui inisiatif seperti ini, Kerajaan menjangkakan, Ekonomi Digital mampu mewujudkan 60 ribu peluang pekerjaan berpendapatan tinggi baharu, sekaligus berupaya menyumbang lebih 20 peratus penghasilan kepada KDNK negara.

152. Tambahan lagi, bermula 1 Oktober tahun ini, sebanyak 1,500 PKS Malaysia yang layak, akan disenaraikan di platform e-dagang, Alibaba.com untuk menembusi pasaran negara China.

153. InsyaAllah, DFTZ ini menerusi inisiatif Kuala Lumpur Internet City, akan dimajukan di Bandar Malaysia sebagai hab e-commerce yang terhebat lagi terunggul di dunia.

Saudara- saudari,

154. Selanjutnya, melalui Pelan Tindakan Produktiviti Malaysia yang baru sahaja dilancarkan 8 Mei lalu, telah menetapkan sasaran pertumbuhan minima produktiviti buruh kepada 3.7 peratus setiap tahun, menjelang tahun 2020.

155. Selain itu, Kerajaan mahu meningkatkan pekerja mahir dalam pasaran buruh, daripada 28 peratus pada tahun 2015 kepada 35 peratus.

Saudara dan saudari,

156. Di samping itu, pada bulan April lalu, kita telah melakarkan sejarah baharu, apabila saya melancarkan Dasar Transformasi Kesejahteraan Bumiputera, setelah DEB 45 tahun berlalu.

157. Jadinya, bertolak daripada itu, kini,… sebarang dasar yang melibatkan Bumiputera, tidak boleh menjadi satu program yang bersifat tersendiri, terasing atau stand alone.

158. Ertinya, Dasar Transformasi Kesejahteraan Bumiputera, sewajibnya bersifat terangkum yakni, all encompassing,… merentasi setiap daripada tiang-tiang utama yang menjunjung Dasar Transformasi Nasional.

Saudara dan saudari sekalian,

159. Di sisi lain pula, pada bulan lepas juga, saya bagi pihak Kerajaan telah melancarkan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia atau MIB,… menjadi satu ‘kenyataan’ atau dalam Bahasa Tamilnya disebut,… ‘NIJ-JEM’.

160. Dengan MIB yang inklusif ini, kepada masyarakat India khususnya, mereka dapat menyatakan bahawa,.. ‘the future also belongs to us’ atau dalam bahasa Tamilnya juga ‘NAA-LAY NAMA-THEY’.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

161. Selanjutnya, Kerajaan juga akan terus berusaha gigih dalam meningkatkan nilaian ekonomi dan dagangan semasa negara daripada 1.3 trilion ringgit, kepada 2 trilion ringgit menjelang tahun 2025.

162. Atas segalanya, Saya,… bersama-sama dengan YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri, berserta Barisan Jemaah Menteri, dan penjawat-penjawat awam, demi rakyat Malaysia seluruhnya,… kita akan terus berjuang memakmurkan negara, menuju TN50 nanti, seraya menjulang Malaysia kepada kedudukan negara 20 termaju di dunia kelak. Insya-Allah.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

163. Sebagai kesimpulan, jelasnya, para cendekiawan dan ahli sejarawan dahulukala, sejak dari zaman berzaman menyebut-nyebut bahawa, sesuatu kejayaan itu tidak akan terjelma dengan sendirinya.

As the saying goes, Rome was not built in a day.

164. Jadinya, untuk menempa sesebuah kejayaan, ia menuntut kepada usaha dan sokongan padu daripada segenap rakyat untuk sama-sama, bahu-membahu, ganding-berganding, seiring dan sejalan, senada dan seirama, rakyat dan Kerajaan, demi mensejahterakan Malaysia.

165. Sejak 6 dekad,… Indeed, between two roads diverged in a wood, we have taken the one less travelled by,… and that,… has made all the difference and it is now paying-off…

166. Also to us,… kepada Kerajaan, failure is not an option.

167. Sekali kita melangkah ke hadapan,… kita tidak akan berpatah pulang dan berbalik haluan,… Sebaliknya, kita hanya ada satu pilihan sahaja,… untuk terus mara, terus berjaya dan terus mencapai kemenangan…

Kata orang,..
Biar taufan datang melanda,
Walau badai menggunung tiba,
Kerajaan akan tetap mara,…
No retreat no surrender,…
Takkan undur, Takkan mengalah,…

Sekian, terima kasih.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sumber:  https://www.najibrazak.com/bm/blog/laporan-tahunan-program-transformasi-negara-2016/

Sunday, August 7, 2016

Nak tawan balik Selangor…PM minta UMNO ingat pada Sepang dan Sungai Besar



BN pernah alami kekalahan yang mengecewakan tinggal 12 kerusi Dewan Undangan Negeri di Selangor pada pilihanraya umum ke 13 dan kemenangan manis pada pilihanraya kecil Sungai Besar baru-baru ini.

Jika ambil contoh kekalahan BN 1,100 undi di kerusi Parlimen Sepang pada PRU13 dan kemenangan di PRK Sungai Besar dengan majoriti 9,191 undi ia dapat beri pengajaran yang bermakna kepada UMNO Selangor dalam usaha mereka untuk tawan balik negeri itu pada PRU14 nanti.

Ingatan tentang ini diberi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melancarkan serentak mesyuarat perwakilan UMNO bahagian-bahagian seluruh negeri Selangor di Sepang  petang Sabtu.

Beliau berkata faktor terbesar yang menyebabkan kekalahan di Sepang adalah kerana perpecahan dalaman UMNO di peringkat bahagian.

"Ini amat jelas bila kita hitung majoriti kekalahan kita di peringkat parlimen agak kecil iaitu 1,100 dengan ada dua calon bebas yang kedua-duanya bekas pemimpin (UMNO) di peringkat bahagian.

"Jika dihitung undi bebas yang sepatutnya merupakan undi UMNO/BN, kita pasti menang di Parlimen Sepang dan bukan itu sahaja, kalau kita ambil angka undi rosak pun kita boleh menang, apatah lagi kalau kita campur undi rosak dan undi calon bebas kita boleh menang dengan selesa," katanya.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ketua Wanita UMNO Selangor Datuk Nor Hayati Onn, Ketua Pemuda UMNO Selangor Zainuri Zainal dan Ketua UMNO Bahagian Sepang Datuk Marsum Paing.

Najib berkata perkara itu mesti dijadikan sebagai pengajaran supaya tidak memilih calon secara semberono sehingga menolak calon popular yang mampu memberi kemenangan kepada parti hanya kerana individu tersebut bukan daripada 'kem' yang sama.

Mengambil kira faktor tersebut, ketika berdepan dengan PRK Sungai Besar, beliau berpesan supaya formula baharu dicari untuk memilih calon yang diterima oleh semua pihak.

"Sekarang kita sudah ada sistem baharu, sebab itu bila buat pemilihan, timbul calon kita saudara Budiman Mohd Zohdi. Sedikit sebanyak 'The Budiman factor' menyumbang kepada kemenangan kita.

"Pemilihan kita tepat kali ini. Kita juga menang kerana Tan Sri Noh Omar kerja keras ketuai jentera kita, bila kita ada 'teamwork' yang kukuh dan padu, bila kita bertindak sebagai semangat sepasukan yang jitu, maka kemenangan dapat kita peroleh," katanya.

Najib juga mengingatkan anggota UMNO supaya tidak menolak parti keramat yang telah membangunkan negara ini hanya disebabkan perbezaan pendapat, sebaliknya menggunakan proses dalaman parti untuk menyelesaikan masalah.

"Bukan keluar, bukan kutuk parti, bukan cerca negara, bukan subahat dengan orang asing. Kita yang tentukan siapa pemimpin negara, bukan di tangan orang asing. Ini soal kedaulatan," katanya.

Najib juga menolak dakwaan bahawa negara akan menuju kehancuran jika beliau terus menjadi Perdana Menteri.

"Saya tidak nampak orang tak hormat Malaysia. Presiden Ukraine (Petro Poroshenko) datang baru-baru ini bertanya jika Malaysia boleh menguruskan sebuah lapangan terbang baharu di Kiev memandangkan syarikat Malaysia menguruskan sebuah lapangan terbang di Istanbul, Turki.

"Presiden Joko Widodo (Presiden Indonesia) juga kata hendak beri banyak projek kepada syarikat Malaysia antaranya projek lebuh raya bertol, perumahan mampu milik 40,000 unit. Apakah ini gambaran Malaysia gagal? Tidak," tegas beliau.

Najib berkata bantuan langsung kepada rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dianggap sebagai 'dedak' oleh sesetengah pihak juga adalah menghina golongan yang memerlukan bantuan.

"Jangan hina orang, dedak makanan binatang. Kita bagi kerana nak bantu orang memerlukan pertolongan. Dengan itu ekonomi peringkat makro yang terdiri daripada sumber mikro juga berkembang.

"Kuasa beli rakyat adalah sebahagian daripada komponen KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) negara sebab itu bila kita buat dasar kita buat pertimbangan sebaiknya," jelas perdana menteri.

Beliau berkata negara berada di landasan yang betul ke arah perkembangan ekonomi yang pesat dengan keseimbangan agenda bumiputera sebagai agenda nasional dan UMNO akan meneruskan perjuangan membangunkan negara dengan semangat baharu.-6/8/2016

Sumber :  http://www.agendadaily.com/Muka-Hadapan/nak-tawan-balik-selangor%E2%80%A6pm-minta-umno-ingat-pada-sepang-dan-sungai-besar.html

Friday, October 23, 2015

BAJET 2016 - TEKS PENUH UCAPAN PM NAJIB RAZAK

UCAPAN PENUH PERDANA MENTERI KETIKA BENTANGKAN BAJET 2016



"MENSEJAHTERA KEHIDUPAN RAKYAT"

Tuan Yang Dipertua,

Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk "Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2016 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu" dibaca bagi kali kedua.

MUKADIMAH

Tuan Yang Dipertua,

1. Saya mulai, dengan menyebut BismillahirRahmanirRahim, Alhamdulillahi Rabbil A'iamin, Wa bihi Nastai'n.

2. Segala puji-puji bagi Allah Hu Ta'ala, yang telah menjadikan Tujuh Petala Langit dan Tujuh Petala Bumi, ... juga,... yang telah mewujudkan keadaan gelap-gulita, ke alam terang benderang.

3. Demikian juga, limpahan salawat, ke atas Nabi Muhammad, Rasul Pilihan,... Pembuka bagi sesuatu yang terkunci, Penutup bagi yang terdahulu, penolak yang batil, pembela hak dan kebenaran.

Tuan Yang Dipertua,

4. Sejak Mac tahun 2009, saya telah membentangkan lebih 11 dokumen besar berkait ekonomi negara.

5. Termasuklah, Pakej Rangsangan Pertama, Pakej Rangsangan Kedua, Rancangan Malaysia Ke-lO dan Rancangan Malaysia Ke-ll, seterusnya Bajet 2010, hinggalah pada hari ini, akan dipersembahkan pula Bajet 2016.

6. InsyaAllah, jika diberi izin oleh Tuhan yang Maha Menyimpan segala Tahu dan rahsia setiap sesuatu, kita berdoa serta berharap agar terus berpeluang lagi, dapat membentangkan Bajet-Bajet pada tahun-tahun selanjutnya, ... Amin.

7. Sesungguhnya, Bajet yang diangkat kali ini,... merupakan bagian daripada terjemahan Rancangan Malaysia Ke-ll. Bajet ini adalah yang pertama, dalam rantaian 5 Bajet, sampailah terjulangnya negara tercinta ini kelak, menjadi sebuah watan, High Income Advanced Economy. InsyaAllah.

8. Sebelum itu, sebagai hamba-hambaNya yang beringat lagi bersyukur, marilah bersama, dengan rasa kerendahan hati, mengambil sempena dan iktibar daripada sejarah dan sirah, berasaskan Al-Quran, melalui mafhum pengertian surah An- Nisa' ayat 58, seperti yang ditafsir oleh antaranya Imam Qurtubi, pabila menjadi pemimpin dan pemerintah, maka terserulah kepada kita, bagi menjaga hak-hak dan menghukum dengan saksama terhadap keperluan rakyat.

Tuan Yang Dipertua,

9. Lantaran itu, sebelum diteruskan penyampaian ini, walau apa sekalipun diwajahkan di mana-mana, meski apa yang dilaparkan dalam media, berkait letak duduk dan keadaan Malaysia, kanannya, negara ini diambang mullis, berada dalam krisis ekonomi, nilal ringgit terjejas teruk, ekoran persepsi ketidakcekapan tadbir urus kewangan negara, serta pula dipertikai tentang tatacara perbelanjaan Kerajaan yang katanya tidak berhemah.

Makanya, berdasarkan ehwal yang dihebah-hebahkan itu, moleklah kiranya saya mengambil kesempatan dalam Dewan yang mulia ini, untuk memperjelaskan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat khususnya, serta rakyat Malaysia, yang sedang menonton dan mendengar di luar sana supaya mendapat gambaran yang benar serta tepat.

Tuan Yang Dipertua,

10. Semenjak tahun 2009, janganlah sesekali kita lupa, satu persatu datangnya dugaan terhadap ekonomi negara. Kita telah berdepan dengan pelbagai ketidakkeruan ekonomi global dan pastinya kemelut iktisad domestik.

11. Alhamdulillah, meskipun telah ditantang dengan segala aral dan rintangan itu, Kerajaan terbukti mampu menangani dan mengatasinya dengan begitu berkesan.

Tuan Yang Dipertua,

12. Jika hendak disimpulkan, antaranya terdapat 6 pencapaian utama sebagai penanda kejayaan yang boleh diperbanggakan dalam mengangkat kembali kedudukan ekonomi negara, dari mana ia berada separuh dekad lalu.

Tuan Yang Dipertua,

13. Pencapaian pertama: Jika ditinjau situasi ekonomi semasa Malaysia, ia mampu berkembang sebanyak 5.3 peratus bagi separuh tahun pertama 2015, dan dianggarkan mencapai 4.5 hingga 5.5 peratus sepanjang tahun, meskipun, ekonomi
dunia dijangka berkembang pada kadar yang perlahan iaitu 3.1 peratus pada tahun ini.

14. Dalam perkara ini, perlu kita ingat baik-baik, keadaan ekonomi sekarang, bak kata dalam bahasa Inggeris, 'there is no comparison whatsoever', berbanding tahun 1998. Nyatanya, pada ketika itu, telah berlaku krisis kewangan peringkat Asia, sehinggakan ekonomi negara menguncup kepada negatif 7.4 peratus.

15. Sungguhpun begitu, kita sedar, bahawa kita tidak dapat lari dengan mudah atau dalam sekelip mata. la menuntut daripada menghadapi kelembapan ekonomi
global, kesungguhan dan pengorbanan atas nama kebaktian pada nusa dan bangsa.

16. Justeru, pertumbuhan KDNK negara dijangka dapat berkembang pada kadar 4 hingga 5 peratus pada tahun 2016. Pertumbuhan ini, akan dipacu oleh pelaburan dan penggunaan swasta pada kadar 6.7 dan 6.4 peratus.

17. Eksport pula, tumbuh pada kadar 0.9 peratus dan import 1.5 peratus. Sektor pembinaan berkembang 8.4 peratus, perkhidmatan 5.4 peratus, manakala pembuatan sebanyak 4.3 peratus.

Tuan Yang Dipertua,

18. Pencapaian Kedua: Secara konsisten kita telah dapat mengurangkan defisit fiskal Kerajaan, daripada paras 6.7 peratus kepada 3.2 peratus yang dijangka pada tahun ini.

Tuan Yang Dipertua,

19. Pencapaian Ketiga: Melalui Dasar Transformasi Nasional atau DTN yang bermula pada tahun 2010, Kerajaan ini, telah meneruskan mujahadah pembasmian kemiskinan.

20. Hasilnya, dalam tempoh 5 tahun, kadar kemiskinan berkurang daripada 3.8 peratus pada tahun 2009, kepada kini 0.6 peratus pada tahun 2014. Malah, sebenarnya kemiskinan tegar telah hampir disifarkan.

21. Pencapaian Keempat: Kalau dikaji, statistik pengangguran pada tahun 1999 adalah 3.4 peratus.

22. Dengan kehendak Allah jua, hasil daripada pengurnsan ekonomi negara yang berkesan, kita telah mengurangkan kadar pengangguran kepada 2.9 peratus dan Kerajaan telah berjaya mewujudkan sebanyak 1.8 juta peluang pekerjaan.

Tuan Yang Dipertua,

23. Pencapaian Kelima: Seramai 5 juta rakyat di kawasan luar bandar telah berjaya mendapat manfaat kemudahan asas, seperti bekalan elektrik dan air bersih.

24. Akhir sekali, Pencapaian Keenam: Rakyat telah mendapat pelbagai kemudahan seperti BRIM, Klinik 1Malaysia, UTC, RTC dan Kedai Rakyat 1Malaysia, demi meringankan kos sara hidup rakyat.

Tuan Yang Dipertua,

25. Pada sudut lain, kemasukan pelaburan asing pula terus kukuh pada 22.4 bilion ringgit pada separuh pertama tahun ini, manakala,indeks Bursa Kuala Lumpur mencatat 1,705 mata bersamaan nilai pasaran 1.675 trilion ringgit
menjelang penutup bursa pada 22 Oktober 2015.

26. Walaupun ringgit menyusut nilai, rizab antarabangsa kekal tinggi sebanyak 418 bilion ringgit pada 15 Oktober 2015 yang mampu sebenarnya membiayai selama 8.8 bulan import tertangguh dan 1.2 kali hutang luar jangka pendek.

27. Laginya, pada tahun hadapan, negara dijangka terus berada dalam inflasi terkawal, di antara 2 hingga 3 peratus.

Tuan Yang Dipertua,

28. Ini menunjukkan bahawa realitinya, Malaysia, negara kita yang tercinta bukanlah negara yang gagal atau bankrap, sebaliknya kita masih stabil, masih kukuh dengan economic fundamental dan terus berdaya saing.

29. Sebelum bingkisan Bajet tahun ini diteruskan, terdapat dua perkara mustahak yang wajar diberi penjelasan. Perkara pertama, adalah Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau GST, yang hangat diperkatakan oleh orang ramai terutamanya sejak awal tahun ini.

30. Dalam isu GST, Kerajaan berterima kasih kerana pematuhan dalam pendaftaran dan pengisytiharannya amat tinggi dan membanggakan.

31. Suka saya memaklumkan kepada Dewan yang mulia, setakat ini, jumlah syarikat yang berdaftar dengan GST adalah hampir 400 ribu buah semuanya, dengan kadar patuh serahan atau submission mencapai lebih 90 peratus.

Tuan Yang Dipertua,

32. Alhamdulillah, sesungguhnya keputusan Kerajaan melaksanakan GST adalah tepat, lebih-lebih lagi berikutan kejatuhan harga minyak kepada lebih 50 peratus daripada paras 100 dolar Amerika sebelum ini.

33. Faktanya, Petroliam Nasional Berhad atau PETRONAS menyumbang sejumlah dividen kepada Perbendaharaan pada setiap tahun. Jumlah sumbangan dividen ini, bergantung kepada naik turunnya harga minyak dunia.

34. Misalannya, dalam tempoh setahun di mana harga minyak adalah pada purata 100 dolar Amerika setong, pendapatan daripada dividen PETRONAS serta hasil cukai petroliam kepada negara, berjumlah 62 bilion ringgit.

35. Akan tetapi, senarionya berbeza, pabila harga minyak telah turun kepada paras sekitar 50 dolar Amerika setong. Pendapatan daripada dividen PETRONAS serta hasil cukai petroliam kepada negara, berjumlah 44 bilion ringgit pada 2015.

36. Harga minyak ini pula, dijangka akan kekal rendah pada 2016, dan kutipan hasil daripada sumber berkaitan minyak dianggar 31.7 bition ringgit, atau penyusutan pendapatan Kerajaan lebih 30 bilion ringgit.

37. Jadinya, jika sebelum ini, dalam beberapa pengumuman rasmi, saya, bagi pihak Kerajaan ada menyebut bahawa rakyat usahlah bimbang, kerana hasil kutipan GST dikembalikan semula demi manfaat ramai, malah, dimaklumkan pula bagaimana ia dibelanjakan. lni adalah benar apa yang Kerajaan hasratkan dan tidak ada apa-apa agenda yang terselindung.

38. Namun, keadaan telah berubah. Hasrat ini perlu diimbangi dengan realiti kedudukan kewangan negara, berdasarkan perkembangan harga minyak dunia yang tidak menentu seperti yang saya sampaikan tadi. Tetapi, disebabkan oleh kekurangan kutipan hasil petroliam, kutipan GST-lah yang terpaksa menjadi tampungan sebahagian besar daripadanya.

Tuan Yang Dipertua,

39. Sehubungan itu, pada tahun 2016, dalam perkiraan Kerajaan, sekira dan seandainya GST tidak dilaksanakan, dan kita masih dengan sistem SST seperti yang sebelumnya, hasil negara akan berkurangan sebanyak 21 bilion ringgit.

40. Jika dihalusi lagi, kalaulah kita kekal dengan SST, kutipan hanyalah sekadar 18 bilion ringgit berbanding GST iaitu sebanyak 39 bilion ringgit.

41. Akibatnya, defisit negara akan meningkat kepada 4.8 peratus, dan bukan lagi 3.1 peratus seperti yang disasarkan pada tahun 2016.

42. Andai kata ini berlaku, Kerajaan terpaksa meminjam termasuk untuk membayar gaji penjawat awam, penarafan kredit negara pula akan diturunkan dan kos pinjaman untuk semua, seperti pinjaman peribadi, pinjaman perniagaan dan pinjaman perumahan, pastinya meningkat.

Tuan Yang Dipertua,

43. Di atas segalanya, bersyukurlah kita kepada Allah, kerana Kerajaan yang ada tetap bertegas dengan pendirian, mempunyai dengan izin, political will atau keberanian serta iltizam politik untuk melaksanakan GST...sekalipun, ...sekalipun... keputusan ini ternyata mendapat pelbagai cabaran dan tidak popular.

44. Malah pihak seberang sana, yang mula-mula dulu menentang dengan begitu lantang dan keras, kini juga mula menerima GST, hatta telah memasukkannya pula dalam dokumen bajet mereka.

45. lni jelas menunjukkan, pendirian pembangkang yang sentiasa berubah-ubah dan tidak konsisten.

Tuan Yang Dipertua,

46. Oleh itu, berdiri atas pendirian sedemikian, Kerajaan yang bertanggungjawab ini, akan terus melakukan keputusan-keputusan yang betul, waima tidak bersifat populis, demi,... mendahulukan rakyat dan kepentingan negara.

Tuan Yang Dipertua dan Rakyat Malaysia sekalian,

47. Oleh yang demikian, ternyatalah, GST ini sebetulnya merupakan satu sistem percukaian yang efisien. Maka sebab itulah, telah dilaksanakan di lebih 160 buah negara.

48. Tampaknya juga, meskipun keadaan kewangan negara terkekang, kita terus mendengar denyut nadi dan rintihan rakyat.

49. Kerana itu, setelah menerima maklum balas daripada pelbagai golongan masyarakat, termasuklah pihak NGO, dengan ini, sukalah saya mengumumkan bahawa, Kerajaan bersedia, melepaskan lagi pendapatan cukai GST terhadap, beberapa barangan asas kehidupan seharian rakyat.

50. Tujuh langkah penambahbaikan layanan GST, berkuatkuasa menjelang 1 Januari 2016, adalah seperti berikut:

51. Pertama, pengenaan GST pada kadar sifar ke atas semua jenis Ubat Terkawal di bawah senarai Racun Kumpulan A, E, C dan D, serta tambahan sebanyak 95 jenama ubat over the counter, meliputi ubat bagi 30 jenis penyakit seperti ubat kanser, kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung. Ini melibatkan peningkatan dua kali ganda, dari 4,215 kepada 8,630 jenama ubat.

52. Kedua: pengenaan GST pada kadar sifar ke atas barangan makanan berikut:

. Susu bayi dan kanak-kanak berasaskan kacang soya dan susu organik;

. Dhal, atau kata orang utara kacang 'parpu', berasaskan kekacang daripada kacang kuda, kacang hijau dan kacang putih; Akar teratai atau lotus root dan sengkuang air atau water chestnut;

. Biji sawi;
. Gula merah; dan
. Untuk orang Sarawak,...mee kolok kering

53. Ketiga: Bagi membolehkan petani berskala kecil mendapat manfaat dari Skim Kadar Rata di bawah GST, Kerajaan mencadangkan supaya, threshold jualan tahunan untuk tujuan pendaftaran di bawah skim ini diturunkan daripada 100 ribu ringgit kepada 50 ribu ringgit;

54. Dengan penurunan threshold, ia bererti, lebih ramai petani kecil boleh mendaftar di bawah skim ini dan mengenakan tambahan 2 peratus ke atas nilai jualannya, dan amaunnya boleh disimpan untuk menampung sebarang GST yang telah dibayar ke atas inputnya.

55. Keempat: Bagi syarikat-syarikat yang terlibat dalam aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baikpulih di dalam industri aeroangkasa pula akan dibenarkan menyertai Approved Trader Scheme dan diberi pelepasan GST ke atas pengimportan barang-barang;

56. Kelima: Pelepasan GST juga diberikan ke atas pengimportan semula barangan yang telah dieksport secara sementara bagi tujuan promosi, penyelidikan atau pameran;

57. Keenam: Kini, bagi industri minyak dan gas pula, pelepasan GST diberikan kepada pengimportan semula peralatan yang dieksport secara sementara, bagi tujuan sewaan dan pajakan seperti peralatan pelantar minyak juga platform terapung; serta

58. Ketujuhnya: Pelepasan GST juga diberi untuk perolehan bahan dan peralatan mengajar, kepada penyedia latihan kemahiran dan vokasional yang menjalankan program diluluskan di bawah Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006.

Tuan Yang Dipertua,

59. Kerajaan menyedari bahawa ramai pengguna telefon bimbit terutamanya daripada golongan belia, bergantung kepada perkhidmatan telekomunikasi prabayar atau prepaid card.

60. Berhubung ini, para pengguna warga Malaysia, akan mendapat kembali rebat bersamaan dengan amaun GST yang dibayar, yang akan dikreditkan terus ke dalam akaun perkhidmatan prabayar mereka. Langkah ini, adalah mulai 1 Januari 2016 sehingga 31 Disember 2016.

Tuan Yang Dipertua,

61. Seterusnya, bagi memantapkan struktur cukai supaya lebih kompetitif dan progresif, banjaran pendapatan bercukai bagi kadar cukai tertinggi ditingkatkan daripada 25 peratus, kepada 26 peratus bagi mereka yang berpendapatan antara 600 ribu ringgit dan 1 juta ringgit.

62. Sementara itu, mereka yang berpendapatan melebihi 1 juta ringgit, kadar cukai akan dinaikkan daripada 25 peratus kepada 28 peratus.

Tuan Yang Dipertua,


PERUNTUKAN BAJET 2016

63. Bajet 2016 memperuntukkan 267.2 bilion ringgit berbanding 260.7 bilion ringgit peruntukan dipinda 2015. Daripada jumlah tersebut, 215.2 bilion ringgit adalah untuk perbelanjaan mengurus dan 52 bilion ringgit bagi perbelanjaan pembangunan.

64. Di bawab peruntukan mengurus, 70.5 bilion ringgit adalah untuk Emolumen dan 36.3 bilion ringgit bagi Perkhidmatan dan Bekalan. Manakala sebanyak 106.6 bilion ringgit adalah Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Pembelian Aset pula diperuntukkan sebanyak 761 juta ringgit dan 1 bilion ringgit kepada perbelanjaan lain.

65. Di bawah peruntukan pembangunan, sektor ekonomi menerima agihan tertinggi sebanyak 30.1 bilion ringgit, diikuti oleh sektor sosial 13.1 bilion ringgit merangkumi pendidikan dan latihan, kesihatan, perumahan serta
kesejahteraan masyarakat.

66. Manakala, sektor keselamatan pula diperuntukkan sebanyak 5.2 bilion ringgit. Selebihnya, diagihkan kepada sektor pentadbiran am ialtu sebanyak 1.6 bilion ringgit. dan simpanan luar jangka sebanyak 2 bilion ringgit.

67. Bagi tahun 2016, kutipan hasil Kerajaan Persekutuan dianggarkan sebanyak 225.7 bilion ringgit, yakni peningkatan sebanyak 3.2 bilion ringgit berbanding 2015.

68. Dengan mengambil kira unjuran hasil dan perbelanjaan Kerajaan, defisit fiskal Kerajaan dijangka menguncup kepada 3.1 peratus pada 2016.

69. Bajet ini dan bajet-bajet seterusnya akan berteraskan keseimbangan diantara Capital Economy dan People Economy. Disamping itu, kita perlu mencapai pertumbuhan yang bersifat inklusif, sustainable dan membina sebuah negara yang kompetitif, progresif, bersahsiah dan morally strong, dalam satu kehidupan masyarakat yang saling berpadu.

Tuan Yang Dipertua,

70. Lantaran demikian, saya pohon membentangkan sebuah Bajet yang bertemakan "Mensejahtera Kehidupan Rakyat" bertunjangkan 5 Keutamaan.

Tuan Yang Dipertua,

71. KEUTAMAAN PERTAMA: MEMPERTEGUH KETAHANAN EKONOMI NEGARA.

72. Langkah satu: Aktiviti pelaburan domestik akan terus dirancakkan dengan jangkaan sumbangan kepada KDNK pada 26.7 peratus bagi 2016. lni akan dipacu oleh pelaburan swasta yang meningkat sebanyak 218.6 bilion ringgit serta disokong oleh pelaburan awam sebanyak 112.2 bilion ringgit.

73. Dalam langkah ini, terdapat sembilan projek dan inisiatif yang akan dilaksanakan:

Pertama: Membangun Malaysian Vision Valley meliputi keluasan tanah seluas 108,000 hektar dari Nilai ke Port Dickson seperti yang telah dibentangkan pada RMK-ll, dengan unjuran pelaburan permulaan 5 bilion ringgit pada tahun 2016;

Kedua: Melaksana Cyber City Centre di Cyberjaya' dengan nilai pembangunan hampir 11 bilion ringgit dalam tempoh 5 tahun;

Ketiga: Membangun Bandar Lapangan Terbang atau Aeropolis KLIA di kawasan seluas 1,300 ekar dan dijangka menarik pelaburan sebanyak 7 bilion ringgit;

Keempat: Pelaburan 6.7 bilion ringgit oleh Khazanah Nasional Berhad, dalam 9 projek domestik berimpak tinggi seperti dalam bidang penjagaan kesihatan, pendidikan, pelancongan, perisian dan infrastruktur komunikasi;

Kelima: Khazanah Nasional juga memperuntukkan 500 juta ringgit untuk modal teroka dan dana ekuiti persendirian termasuk dana teroka modal pelancongan sebanyak 50 juta ringgit;

Keenam: Pelaburan seterusnya dianggarkan 19 bilion ringgit untuk tahun 2016, bagi Projek RAPID Complex di Pengerang, Johor;

Ketujuh: Untuk menarik lebih banyak pelaburan swasta, antara projek yang sedang dilaksanakan adalah pembangunan Rubber City di Kedah dengan peruntukan 320 juta ringgit, Taman Perindustrian Samalaju, Sarawak sebanyak 142 juta ringgit dan Jeti Minyak Kelapa Sawit di Sandakan, Sabah sebanyak 20 juta ringgit; dan

Kelapan: Tumpuan turut diberi kepada pembangunan industri Kimia, Elektronik dan Elektrikal, Mesin dan Peralatan, Aeroangkasa, Peranti Perubatan dan Perkhidmatan. Untuk itu, 730 juta ringgit disediakan kepada dana-dana di bawah MIDA, dan

Kesembilan: Bagi terus menggalakkan pelaburan semula oleh syarikat sedia ada dalam sektor pengilangan dan pertanian terpilih yang telah tamat tempoh Elaun Pelaburan Semula atau Reinvestment Allowance, insentif baharu Elaun Pelaburan Semula Khas akan diberikan. Kadar tuntutan adalah 60 peratus daripada perbelanjaan modal yang layak dan dibenarkan ditolak daripada 70 peratus daripada pendapatan berkanun untuk tahun taksiran 2016 hingga tahun taksiran 2018.

75. Langkah 2: Dalam mempergiatkan pasaran modal pula, Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan beberapa inisiatif termasuk potongan cukai diberi ke atas kos penerbitan sukuk Sustainable and Responsible Investments dan Pengecualian duti setem sebanyak 20 peratus ke atas surat cara pembiayaan patuh syariah untuk pembelian rumah.

76. Langkah 3: Sememangnya, PKS memainkan peranan penting dalam membangunkan rantaian nilai perniagaan. Ia dijangka menyumbang kepada 41 peratus KDNK menjelang 2020. Untuk itu, lima tindakan berikut akan diambil:

Pertama: Tambahan satu bilion ringgit bagi Skim Dana Pembiayaan PKS Patuh Syariah sehingga 31 Disember 2017, dengan Kerajaan menanggung dua peratus daripada kadar keuntungan pembiayaan;

Kedua: 107 juta ringgit untuk Pelan Induk PKS bagi pemberian dana di pelbagai peringkat perniagaan;

Ketiga: 60 juta ringgit untuk Skim Anjakan Usahawan dan Skim Peningkatan Kapasiti serta Keupayaan PKS;

Keempat: Menubuhkan dana pinjaman mudah SME Technology Transformation Fund sejumlah 200 juta ringgit, di bawah SME Bank pada kadar faedah empat peratus; dan

Kelima: 18 juta ringgit untuk memperluas Projek Transformasi Kedai Runcit atau TUKAR, dan Projek Automative Workshop Modernisation atau ATOM.

77: Langkah 4: Seperti yang kita tahu, infrastruktur merupakan pemangkin kepada keseluruhan pembangunan ekonomi dan sosial negara.

78. Terkini, ingin saya maklumkan, bahawa, Malaysia menduduki tangga ke–25 di antara 160 negara yang disenaraikan dalam Laporan Indeks Pencapaian Logistik Bank Dunia 2014.

79. Sehubungan itu, Kerajaan akan terus menambahbaik infrastruktur logistik, termasuklah membina dan menambahbaik jaringan pengangkutan rel, serta lebuhraya pada 2016. Ini termasuk, Lebuhraya Damansara – Shah Alam, Lebuhraya Sungai Besi – Ulu Klang, Lebuhraya Pulau Indah dan Lebuhraya Central Spine Road.

80. Untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di ibukota pula, 900 juta ringgit diperuntukkan untuk Projek Penyuraian Trafik Jalan Tun Razak, yang akan dilaksanakan secara kerjasama strategik awam-swasta.

81. Kerajaan juga akan mengkaji pembinaan lebuhraya pesisiran pantai Masjid Tanah ke Klebang dan dari Klebang ke Jambatan Syed Abdul Aziz, di Melaka.

82. Seterusnya, sebanyak 42 juta ringgit disediakan bagi pembinaan Lapangan Terbang Mukah, Sarawak dan menaik taraf lapangan terbang di Kuantan dan Kota Bharu. Kajian akan turut dilaksanakan, bagi pembesaran landasan di lapangan terbang di Batu Berendam, Melaka.


Tuan Yang Dipertua,

83. Demi keselesaan penduduk di kawasan bandar, sistem Pengangkutan Awam yang efisien sedang rancak dibangunkan. Ini semua dilaksanakan dengan peruntukan yang besar kerana kita mahu memudahkan kehidupan rakyat di kawasan bandar.

84. Izinkan saya memberi sedikit status terkini, tentang antara projek terbesar dalam sejarah negara, iaitu projek pengangkutan awam bersepadu MRT-LRT.

85. Bagi projek sambungan LRT Laluan Ampang, dengan jarak 18.1 kilometer, akan boleh kita naiki pada Mac 2016. Manakala, bagi projek sambungan LRT Laluan Kelana Jaya sehingga Putra Heights, dengan jarak 17.4 kilometer pula, akan boleh dinaiki pertengahan tahun 2016. Kedua-dua projek sambungan ini, bernilai 10 bilion ringgit.

86. Projek MRT jajaran Sungai Buloh – Semantan pula, juga dapat digunakan pada tahun 2016, pada bulan Disember. Manakala, Fasa 2 Semantan – Kajang dijangka siap pertengahan 2017. Projek ini, dengan jarak 51 kilometer sedang dilaksanakan dengan kos 32 bilion ringgit.

Tuan Yang Dipertua,

87. Hasil daripada permintaan ramai, Kerajaan juga telah memulakan rangkaian perhubungan awam lain seperti berikut:

Pertama: Projek MRT II dari Sungai Buloh – Serdang- Putrajaya dengan jarak 52 kilometer, akan memanfaatkan 2 juta penduduk dengan anggaran kos pembinaan 28 bilion ringgit. Kerja pembinaan direncana bermula dalam suku kedua 2016 dan dijangka siap menjelang 2022;

Kedua: Projek LRT3 dari Bandar Utama, Damansara- Johan Setia, Klang dengan jarak 36 kilometer, akan memanfaatkan 2 juta penduduk dengan anggaran kos pembinaan 10 bilion ringgit. Ia mula dibina 2016 dan siap pada 2020. Disamping itu, Kerajaan juga akan meneruskan rundingan High Speed Rail dengan Kerajaan Singapura; dan

Ketiga: Bagi perkhidmatan awam bas, projek Bus Rapid Transit atau BRT KL-Klang pada kos melebihi 1.5 bilion ringgit, dan BRT Kota Kinabalu pada kos hampir 1 bilion ringgit akan dilaksanakan.

Tuan Yang Dipertua,

88. Untuk menambahbaik infrastruktur telekomunikasi pula, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menyediakan 1.2 bilion ringgit, antara lain, untuk meningkatkan kelajuan internet luar bandar 4 kali ganda dari sehingga 5 Megabit sesaat, kepada 20 Megabit sesaat,. National Fiber Backbone Infrastructure, Jalur lebar berkelajuan tinggi dan sistem kabel dasar laut.

89. Selain itu, 250 juta untuk projek pendigitalan penyiaran nasional bagi meningkatkan kualiti audio visual dan memberi nilai tambah kepada kandungan TV serta transaksi data interaktif.

Tuan Yang Dipertua,

90. Memang dari dahulu lagi, semenjak merdeka, kesejahteraan penduduk luar bandar, menjadi keutamaan kita. Mana mungkin kita meminggirkan mereka. Liputan jalan luar bandar telah meningkat daripada 46 ribu pada 2009 kepada 51 ribu kilometer, 98 peratus kawasan luar bandar telah mendapat bekalan elektrik, dan hampir 95 peratus mendapat bekalan air.

91. Kerajaan akan terus melaksanakan usaha pembangunan infrastruktur kawasan luar bandar seperti berikut:

Pertama: 1.4 bilion ringgit bagi membina serta menaik taraf jalan luar bandar sepanjang 700 kilometer di seluruh negara. Selain itu, 200 juta ringgit lagi disediakan bagi menaik taraf jalan di kawasan penempatan FELDA;

Kedua: 878 juta ringgit untuk Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar, yang membabitkan 10 ribu buah rumah. 568 juta ringgit bagi Projek Bekalan Air Luar Bandar untuk 3 ribu buah rumah;

Ketiga: 60 juta ringgit untuk Program Ameniti Sosial, terutamanya projek perparitan bagi mencegah berlakunya banjir. Tumpuan diberikan kepada
negeri-negeri yang terlibat banjir seperti Kelantan, Kedah, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak;

Keempat: Sebagai pemangkin keusahawanan di kawasan luar bandar dan komuniti desa, 70 juta ringgit untuk meneruskan Program Rural Business Challenge dan Program Desa Lestari; serta

Kelima: 67 juta ringgit diperuntukkan bagi Projek Kenderaan Bas MARA, untuk pengendalian pengangkutan bas di laluan yang tidak ekonomik di luar bandar.

Tuan Yang Dipertua,

92. Langkah Kelima: Sektor pelancongan merupakan sektor yang paling berpotensi untuk menjana ekonomi negara dalam keadaan kini. Untuk 2016, Kerajaan mensasarkan 30.5 juta pelancong yang dijangka menyumbang sebanyak 103 bilion ringgit kepada ekonomi negara. 1.2 bilion ringgit pula diperuntukkan kepada Kementerian Pelancongan untuk tujuan ini.

Tuan Yang Dipertua,

93. Tambahan lagi, permohonan visa secara atas talian atau online application, akan dilaksanakan bermula dengan negara China, India, Myanmar, Nepal, Sri Lanka, Amerika Syarikat dan Kanada.

94. Di samping itu, untuk memudahkan pelancong dan pelawat untuk berkunjung ke Malaysia, Kerajaan akan melaksanakan e-Visa menjelang pertengahan 2016.

95. Seterusnya, bagi mengambil peluang atas kedudukan Ringgit, kini, dan usaha untuk menarik lebih ramai pelancong, pengecualian cukai pendapatan sedia ada sebanyak 100 peratus daripada pendapatan berkanun diberikan kepada pengusaha pelancongan dilanjutkan mulai tahun taksiran 2016 sehingga tahun taksiran 2018.

Tuan Yang Dipertua,

96. Seperti yang kita sedia maklum, aktiviti ekonomi dalam sektor pertanian, adalah sumber makanan negara dan merupakan tempat pergantungan pendapatan bagi petani, pesawah dan nelayan.

97. Sehubungan ini, 5.3 bilion ringgit diperuntukkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Antara program yang akan dilaksanakan:

Pertama>: 450 juta ringgit bagi pelbagai program berimpak tinggi seperti program penanaman buah-buahan dan sayur-sayuran serta geran pemadanan dan penyelidikan produk herba dan penternakan ikan dalam sangkar;

Kedua: 180 juta ringgit bagi menaiktaraf infrastruktur saliran dan pengairan di kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu

Ketiga: 190 juta ringgit kepada FAMA, bagi tujuan Program Penurunan Harga, dengan menambah 50 buah lagi Pasar Tani dan mewujudkan 150 Agrobazaar Rakyat 1Malaysia atau ABR1M yang baru. 40 peratus daripada barang jualan ABR1M, adalah barang-barang basah seperti ikan dan sayur yang harganya, dianggarkan 5 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran; dan

Keempat: 90 juta ringgit diperuntukkan untuk Program Pembangunan Agropreneur Muda dalam bentuk geran in-kind, Dana Pembiayaan Usahawan, penjenamaan semula MARDI, Jabatan Veterinar, Jabatan Pertanian dan Jabatan Perikanan; serta pelaksanaan Projek Ladang Pengganda untuk penternakan lembu dan ladang ayam kampung.

98. Dalam mengolah dasar sesuai dengan keadaan ekonomi terkini, Kerajaan mencadangkan galakan cukai bagi aktiviti pengeluaran bahan makanan dilanjutkan
sehingga 2020. Insentif yang disediakan adalah seperti berikut:

Pertama: Syarikat yang melabur dalam syarikat subsidiari yang menjalankan projek pengeluaran bahan makanan, akan diberi potongan cukai bersamaan jumlah pelaburan yang dibuat;

Kedua: Syarikat yang menjalankan projek baharu pengeluaran bahan makanan pula diberi pengecualian cukai pendapatan 100 peratus selama 10 tahun; dan

Ketiga: Syarikat sedia ada yang menjalankan projek pembesaran pula, juga diberikan insentif yang sama untuk tempoh 5 tahun.

99. Skop insentif juga akan diperluas kepada ternakan rusa, tanaman cendawan, kelapa, rumpai laut, lebah madu dan kelulut serta tanaman makanan ternakan
seperti ubi keledek dan ubi kayu.

Tuan Yang Dipertua,

100. Sehubungan dengan tindakan-tindakan tadi, Kerajaan akan melipat-gandakan sokongan untuk memperkukuhkan eksport negara.

101. Dengan itu, 235 juta ringgit diperuntukkan kepada MATRADE, untuk Program Promosi 1Malaysia, Dana Eksport Perkhidmatan dan Dana Promosi Eksport.

102. MATRADE dan SME Corp juga akan meningkatkan keupayaan PKS dan syarikat peringkat pertengahan atau mid-tier, untuk mengeksport barangan dan perkhidmatan ke luar negara.

103. Seterusnya, bagi mempelbagaikan penggunaan matawang asing untuk urusan perdagangan pula, Bank Negara Malaysia menyediakan kemudahan credit swap Ringgit-Renminbi kepada bank tempatan.

104. Pada masa ini, PKS boleh menuntut pengecualian cukai pendapatan sebanyak 10 atau 15 peratus daripada nilai peningkatan eksport. Untuk terus meningkatkan eksport, PKS diberi kelonggaran mematuhi syarat nilai tambah iaitu 30 peratuskepada 20 peratus, dan 50 peratus kepada 40 peratus bagi produk perkilangan. Kelonggaran ini akan diberikan bagi tahun taksiran 2016 hingga 2018.

105. Bagi menggalakkan perkhidmatan penilaian dan pematuhan piawaian antarabangsa dilakukan di dalam negara, Kerajaan akan memberi galakan untuk penubuhan Independent Conformity Assessment Bodies atau ICAB.

Tuan Yang Dipertua,

106. Setakat hari ini, Malaysia telah menandatangani 13 perjanjian perdagangan bebas atau FTA iaitu 6 secara serantau melalui ASEAN dan 7 secara dua hala.

107. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka, di mana jumlah dagangan adalah sekitar 150 peratus melebihi KDNK, Kerajaan telah menerima secara prinsipnya, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik atau TPP. Walaubagaimanapun, pertimbangan secara muktamad akan dibuat di Parlimen kelak.

Tuan Yang Dipertua,

108. KEUTAMAAN KEDUA: MENINGKATKAN PRODUKTIVITI, INOVASI DAN TEKNOLOGI HIJAU. Lonjakan inovasi dan kreativiti adalah kritikal untuk meningkatkan produktiviti kita. Penggunaan teknologi hijau akan turut membantu melestarikan sumber-sumber asli negara.

109. Oleh yang demikian, Kerajaan mensasarkan pertumbuhan produktiviti buruh sebanyak 3.7 peratus setahun melalui:

110. Langkah Satu: Bagi menjadikan negara sebagai hab teknologi yang kompetitif di rantau ini, 1.5 bilion ringgit diperuntukkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

111. Lantaran, 2016 akan diisytiharkan sebagai Tahun Pengkomersilan Malaysia, dalam melonjakkan hasil produk R&D oleh institusi penyelidikan tempatan. Maka, inisiatif- inisiatif berikut akan dilaksanakan:

Pertama: PKS yang membuat perbelanjaan untuk projek R&D sehingga 50 ribu ringgit bagi setiap tahun taksiran, layak menuntut potongan cukai dua kali secara automatik. Kemudahan ini diberikan bagi tahun taksiran 2016 sehingga 2018;

Kedua: 100 juta ringgit kepada Agensi Inovasi Malaysia;

Ketiga: 200 juta ringgit di bawah Skim Dana Lonjakan Teknologi dan Inovasi oleh Malaysia Debt Ventures Bhd;

Keempat: 35 juta ringgit kepada MaGIC, sebagai Peneraju Hab Keusahawanan dan Inovasi Serantau, termasuk 10 juta ringgit sebagai dana permulaan untuk Corporate Entrepreneurs Responsibility Fund;

Kelima: 30 juta ringgit untuk pelbagai program keusahawanan generasi muda seperti Global Entrepreneurship Community, BAHTERA, GREAT, 1MET, National Innovation Competition serta Projek Perintis Coding di sekolah; dan

Keenam: Bagi menggiatkan aktiviti demand driven innovation, pada tahun 2016, Kerajaan akan memperuntukkan 50 juta ringgit untuk Public-Private Research Network.


Tuan Yang Dipertua,

112. Langkah Dua: Bagi mempertingkatkan penggunaan teknologi dalam sektor pembinaan, Kerajaan akan menggalakkan lagi penggunaan teknologi Industrialised Building System atau IBS. Sehubungan itu, Kerajaan menggalakkan lebih banyak syarikat menggunapakai teknologi IBS.

113. Bagi tujuan ini, dana khas IBS Promotion Fund sebanyak 500 juta ringgit disediakan melalui SME Bank, sebagai pinjaman mudah kepada pemaju dan kontraktor kategori G5 dan ke bawah.

114. Langkah Tiga: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air akan melaksanakan pelbagai usaha teknologi hijau termasuk penyediaan bekalan air bersih, melalui pembinaan loji rawatan air, dengan peruntukan 877 juta ringgit. 515 juta ringgit pula, diperuntukkan bagi meningkatkan mutu bekalan elektrik di Sabah.

115. Kerajaan turut mensasarkan pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau sehingga 40 peratus KDNK pada tahun 2020, melalui:

Pertama: Pelaksanaan Pelan Tindakan Mobiliti Elektrik termasuk proses audit tenaga dengan peruntukan 45 juta ringgit;

Kedua: Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari atau SEDA melaksanakan Skim Pemeteran Tenaga Bersih, dengan kuota 100 MW setahun, dalam menggalakkan penggunaan solar photovoltaic; dan

Ketiga: Melanjutkan tempoh pelaksanaan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau sehingga 31 Disember 2017, dengan dana sebanyak 1.2 bilion ringgit.


Tuan Yang Dipertua,

116. KEUTAMAAN KETIGA: MEMPERSIAGA MODAL INSAN. Perkara ini amat kritikal untuk masa depan negara. Justeru Kerajaan akan mengambil langkah-langkah seperti:

117. Langkah 1: Di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, sebanyak 41.3 bilion ringgit akan diperuntukkan pada 2016.

118. Antara lain, Kerajaan akan membina:
 - 30 sekolah rendah;
 - 27 sekolah menengah;
 - 4 buah MRSM di Sik, Kedah, serta Ketereh, Tanah Merah, Kelantan, Bagan
Datoh, Perak; dan
 - 5 buah Sekolah Berasrama Penuh di Alor Gajah, Melaka, Pendang, Kedah,
Segamat dan Ledang di Johor dan Jerantut, Pahang.

119. Untuk peringkat kelas prasekolah pula, 44.6 juta ringgit diperuntukkan untuk pelbagai program di 9,113 buah kelas seluruh Malaysia.

Tuan Yang Dipertua,

120. Untuk meningkatkan Penguasaaan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, 135 juta ringgit diperuntukkan bagi program Memartabat Bahasa Malaysia dan
Memperkukuh Bahasa Inggeris.

121. Oleh kerana, Bahasa Inggeris amat penting dalam persaingan global semasa, maka dua lagi inisiatif, iaitu Dual Language Programme dan Highly Immersive Programme akan dilaksanakan secara optional dengan kos 38.5 juta ringgit. Dalam hal ini, 300 buah sekolah telah dikenal pasti sebagai projek perintis.

122. Bagi meringankan tanggungan ibubapa untuk perbelanjaan persekolahan anak-anak, bantuan 100 ringgit akan diteruskan. Mulai Januari 2016, ia hanya dikhususkan kepada pelajar sekolah dari kalangan isi rumah berpendapatan 3 ribu ringgit ke bawah. Ini memanfaatkan 3.5 juta pelajar dengan peruntukan 350 juta ringgit.

123. Selain itu, program rancangan makanan tambahan yang melibatkan 550 ribu pelajar dari keluarga miskin yang tersenarai dalam eKasih akan ditambah baik.

124. Program ini, yang sebelumnya hanya tertakluk kepada makanan waktu rehat, akan diperluaskan dengan kos tambahan 173 juta ringgit untuk sarapan pagi. Kos keseluruhan program ini sebanyak 423 juta ringgit.


Tuan Yang Dipertua,

125. Seperti tahun-tahun sebelum ini, Kerajaan juga terus menyediakan peruntukan untuk membangunkan dan menyelenggara Fasiliti Pendidikan untuk Sekolah Kebangsaan; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina; Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil; Sekolah Mubaligh; Sekolah Berasrama Penuh; Sekolah Agama Bantuan Kerajaan; MRSM; Sekolah Pondok yang berdaftar dan Sekolah Menengah Kebangsaan
Cina atau Conforming School yang mengguna pakai kurikulum Kebangsaan. Peruntukan bagi tujuan ini, keseluruhannya berjumlah 500 juta ringgit.

126. Langkah Dua: Pembiayaan biasiswa diteruskan dengan agihan, antaranya seperti berikut:
- 1.65 bilion ringgit melalui Jabatan Perkhidmatan Awam;
- 288 juta ringgit melalui Kementerian Pendidikan;
- 250 juta ringgit melalui Kementerian Pendidikan Tinggi; dan
- 258 juta ringgit melalui Kementerian Kesihatan.

127. Selanjutnya, dalam menggalakkan lagi pendidikan tinggi, sukacita saya umumkan, had maksima pelepasan cukai ke atas yuran pengajian pendidikan tinggi bagi pembayar cukai individu, dinaikkan kepada 7 ribu ringgit daripada 5 ribu ringgit setahun.

128. Ini dilengkapkan lagi dengan penerusan Program Baucar Buku 1Malaysia yang bernilai 250 ringgit, bagi 1.2 juta pelajar. Untuk mengelakkan salah guna baucar ini, kaedah penebusan akan diperkemaskan hanya di kedai-kedai buku yang diiktiraf.


Tuan Yang Dipertua,

129. Langkah Tiga: Dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan pekerja, kita mensasarkan 60 peratus daripada 1.5 juta pekerjaan baharu, adalah pekerja berkemahiran TVET menjelang 2020. Sejumlah 4.8 bilion ringgit diperuntukkan kepada 545 Institusi TVET di bawah Bajet ini.

130. Dalam usaha ini juga, MITI akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kemahiran Industri bagi menyelaras program TVET dengan kerjasama pihak industri.

131. Selain daripada itu, lebih 330 ribu pelatih akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini melalui antaranya program-program berikut:

Pertama: 585 juta ringgit untuk peralatan latihan TVET di Politeknik, Kolej Komuniti, Institut Kemahiran MARA, Institut Kemahiran Belia Negara, Institut Latihan Perindustrian, GiatMARA dan Kolej Vokasional;

Kedua: 350 juta ringgit untuk membiayai program di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran; dan

Ketiga: 80 juta ringgit untuk penubuhan Akademi Pelancongan di Kolej Komuniti Kota Kinabalu, Kolej Vokasional Sandakan serta Institut Latihan Perindustrian Serian, Sarawak.


Tuan Yang Dipertua,

132. Langkah Empat pula, berkenaan Memperkasa Belia, Komuniti dan NGO. Bagi langkah ini, Bajet 2016 memperuntukkan 930 juta ringgit kepada Kementerian Belia dan Sukan bagi inisiatif berikut:

Pertama: 280 juta ringgit untuk latihan teknikal dan vokasional di Institut Kemahiran Belia Negara dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara;

Kedua: 50 juta ringgit untuk meningkatkan aktiviti pembangunan belia dalam kegiatan ekonomi dan keusahawanan;

Ketiga: 145 juta ringgit untuk mempersiapkan atlet negara untuk menghadapi cabaran Sukan SEA ke 29, dan Sukan Para ASEAN ke 9 pada tahun 2017 di Kuala Lumpur;

Keempat: 75 juta ringgit untuk terus melahirkan jaguh sukan bertaraf dunia melalui Program Pembangunan Podium Sukan Elit;

Kelima: 22 juta ringgit untuk membina 2 Kompleks Sukan di Bagan Datoh dan Kuantan; dan

Keenam: 360 juta ringgit untuk menambahbaik Program Latihan Khidmat Negara bagi 20 ribu pelatih. Ia melibatkan kurikulum baru seperti kemahiran berfikir secara kreatif dan kemahiran teknikal.

133. Akhir sekali, 160 juta ringgit disediakan untuk NGO-NGO, bagi melaksanakan program berasaskan pembangunan komuniti, perpaduan, kebajikan masyarakat, kesihatan dan keselamatan.


Tuan Yang Dipertua,

134. Langkah Lima, memfokus kepada Kualiti Tenaga Kerja.Bagi meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja, program seperti berikut akan dilaksanakan:

Pertama: Memperuntukkan 30 peratus daripada Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia, sebagai dana terkumpul bagi melaksanakan program latihan mengikut keperluan industri setempat di Sabah dan Sarawak, serta Outplacement Centre bagi melatih semula pekerja yang telah diberhentikan; dan

Kedua: Melatih 15 ribu peserta melalui program Skim Latihan 1Malaysia atau SL1M dengan kos 250 juta ringgit yang akan dibiayai sepenuhnya oleh GLC.


Tuan Yang Dipertua,

135. Untuk Menambahbaik Pengurusan Tenaga Kerja Asing pula, sebanyak 77 juta ringgit akan diperuntukkan oleh PSMB bagi menjalankan program seperti Train & Replace dalam bidang terpilih seperti hospitaliti, perkapalan dan pengangkutan.


Tuan Yang Dipertua,

136. Kerajaan terus komited dengan hasrat untuk mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus penglibatan wanita di peringkat membuat keputusan dalam sektor awam dan swasta. Ini termasuklah di peringkat Lembaga Pengarah; dan Kerajaan akan sentiasa memantau pencapaian dasar ini.


Tuan Yang Dipertua,

137. KEUTAMAAN KEEMPAT: MEMPERKASA AGENDA BUMIPUTERA. Perlu saya tegaskan, bahawa pemerkasaan Bumiputera adalah agenda nasional dan ini tentunya, merangkumi pembangunan masyarakat Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

138. Sebanyak 150 juta ringgit disalurkan kepada TERAJU untuk pelaksanaan pelbagai program termasuk Skim Usahawan Permulaan Bumiputera dan Program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi

139. 150 juta ringgit diperuntukkan kepada Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera untuk melaksanakan program Peneraju Tunas, Peneraju Profesional serta Peneraju Skil dan Iltizam.

140. Manakala, kepada MARA pula, diperuntukkan 3.7 bilion ringgit, termasuk menaja pengajian 72 ribu pelajar Bumiputera di peringkat pendidikan tinggi.

141. Bagi memantapkan pemilikan ekuiti serta memperhebat keusahawanan dan perniagaan Bumiputera, peruntukan akan diberikan seperti berikut:

Pertama: 400 juta ringgit kepada Dana Ekuiti Nasional Berhad atau EKUINAS;

Kedua: 250 juta ringgit kepada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad;

Ketiga: 150 juta ringgit kepada Pelaburan Hartanah Berhad; dan

Keempat: 100 juta ringgit sebagai pinjaman kepada UDA Holdings untuk tujuan pembangunan Kampung Baru Kuala Lumpur.


Tuan Yang Dipertua,

142. Manakala, untuk agenda pembangunan di Sabah dan Sarawak, langkah-langkah berikut akan dilaksanakan:

Pertama: Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang meliputi jajaran sepanjang 1,090 km, dijangka siap sepenuhnya pada 2021 dengan anggaran kos sebanyak 16.1 bilion ringgit.

Di Sabah pula, fasa 1 lebuhraya ini, akan mula dibina pada 2016 meliputi 706 kilometer, bermula dari Sindumin ke Tawau, dengan anggaran kos 12.8 bilion ringgit. Sukacitanya saya berkongsi sekali lagi, Lebuhraya Pan Borneo ini akan bebas daripada sebarang bayaran tol;

Kedua: Pengangkutan penumpang udara merupakan antara mod utama pengangkutan bagi penduduk pedalaman, di Sabah dan Sarawak serta Labuan. Maka, perkhidmatan pengangkutan penumpang udara domestik kelas ekonomi bagi laluan Rural Air Services dikecualikan daripada GST;

Ketiga: Sebagai satu program baru, 70 juta ringgit disediakan melalui Bank Simpanan Nasional dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, bagi pinjaman tanpa faedah untuk tujuan membina rumah-rumah panjang dengan had pinjaman 50 ribu ringgit untuk setiap unit di rumah panjang;

Keempat: 70 juta ringgit sebagai subsidi baja padi huma disediakan untuk meningkatkan bekalan makanan dan pendapatan penanam padi huma, yang meliputi kawasan seluas 65 ribu hektar di Sarawak, dan 11 ribu hektar di Sabah;

Kelima: 260 juta ringgit disediakan untuk Program 1Harga 1Sarawak dan Program 1Harga 1Sabah bagi memastikan keseragaman harga barangan terpilih di seluruh negara;

Keenam: 115 juta ringgit disediakan khusus bagi Program Khas Bumiputera Sabah dan Sarawak, seperti untuk projek native customary rights, yang merangkumi prosedur-prosedur pemetaan dan pengukuran tanah-tanah adat, serta melibatkan kos membina native courts, atau mahkamah-mahkamah adat. Bagi projek native customary rights, 20 juta daripada jumlah tersebut untuk pemetaan tanah di Sabah, dan 30 juta ringgit pula, untuk tujuan yang sama di Sarawak; dan

Ketujuh: Meningkatkan perkhidmatan Klinik Bergerak 1Malaysia di pendalaman Sabah dan Sarawak, termasuk pembelian bot dan kenderaan baru.

Tuan Yang Dipertua,

143. KEUTAMAAN KELIMA: MERINGANKAN KOS SARA HIDUP RAKYAT. Hal ini, adalah amat dekat di hati saya dan Kerajaan. Makanya, pelbagai inisiatif akan dilakukan melalui:

144. Langkah Satu: Meningkatkan Taraf Hidup Isi Rumah B40, di mana:

Pertama: TEKUN akan menyediakan 600 juta ringgit yang meliputi 500 juta ringgit untuk usahawan Bumiputera, dan 100 juta ringgit untuk 10 ribu usahawan India, melalui Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India. Selain itu, 50 juta ringgit disediakan oleh SME Bank untuk membantu usahawan kecil India;

Kedua: Tambahan 200 juta ringgit kepada dana sedia ada untuk Amanah Ikhtiar Malaysia, bagi kemudahan pembiayaan mikro kepada isi rumah B40;

Ketiga: 100 juta ringgit disediakan di bawah Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India yang melibatkan kerjasama NGO dengan Institut Latihan Kemahiran Swasta;

Keempat: Tambahan 90 juta ringgit sebagai pinjaman mikro kredit kepada penjaja dan peniaga-peniaga kecil kaum Cina yang termasuk 50 juta ringgit untuk KOJADI.

Seterusnya, 40 juta ringgit bagi melaksanakan projek infrastruktur dan program pinjaman mudah kepada penduduk kampung-kampung baru Cina bagi pembayaran premium tanah dan membaik pulih rumah;

Kelima: 50 juta ringgit kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, untuk Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya serta Program Peningkatan Pendapatan. Melalui kedua-dua program ini, peserta akan mendapat manfaat latihan kemahiran dan juga bantuan berbentuk aset serta bahan mentah; dan

Keenam: Menyediakan 100 juta ringgit kepada Institusi Latihan Kemahiran Swasta dan NGO bagi meningkatkan kemahiran B40 untuk mereka mendapat pekerjaan atau memulakan perniagaan.

Tuan Yang Dipertua,

145. Sejak dulu lagi, Kerajaan ini sungguh prihatin terhadap kebajikan dan kemajuan masyarakat Orang Asli. Untuk ini, sebanyak 300 juta ringgit disediakan bagi melaksanakan:

Pertama: Pembangunan Perkampungan Bersepadu antaranya di Sungai Siput, Perak yang merangkumi pembinaan jalan perhubungan, penyediaan bekalan elektrik dan air terawat dengan peruntukan 80 juta ringgit;

Kedua: Bantuan makanan tambahan, wang saku dan tambang pengangkutan sekolah sebanyak 45 juta ringgit; dan

Ketiga: Projek pembangunan ladang getah dan kelapa sawit serta tanaman kontan, menerusi Projek Pembangunan Ekonomi Orang Asli sebanyak 25 juta ringgit.

146. Untuk golongan B40 lagi, program eRezeki dan eUsahawan akan diperluaskan ke seluruh negara, untuk menambah peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan mereka. Kerajaan mensasarkan 100 ribu dari kalangan B40 mendapat manfaat dengan peruntukan sebanyak 100 juta ringgit, yang disediakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Tuan Yang Dipertua,

147. Untuk Golongan Pesawah, Pekebun Kecil dan Penoreh Getah pula, Bajet kali ini menyediakan 852 juta ringgit kepada RISDA dan FELCRA untuk melaksanakan pelbagai program peningkatan pendapatan dan produktiviti.

148. Kerajaan bercadang menambahbaik Insentif Pengeluaran Getah atau IPG. Untukini, sukacita saya umumkan, paras pengaktifan IPG dinaikkan daripada 4 ringgit 60 sen, kepada 5 ringgit 50 sen sekilogram, bagi getah SMR20 Freight On Board. Bagi getah skrap atau cuplumps di peringkat ladang pula, dinaikkan daripada 1 ringgit 75 sen, kepada 2 ringgit 20 sen sekilogram.

149. Sebagai ilustrasi, berdasarkan purata pengeluaran 250 kilogram sebulan bagi setiap hektar, pemilik kebun seluas 2 hektar dijangka mampu meraih
pendapatan seribu ringgit sebulan. Ini adalah pada harga pasaran getah skrap 2 ringgit sekilogram.

150. Kini, dengan bayaran tambahan IPG sebanyak 20 sen bagi setiap kilogram, pendapatan keseluruhan pemilik kebun tersebut akan meningkat kepada 1,100 ringgit sebulan.


Tuan Yang Dipertua,

201. Pokoknya,… bagi Kerajaan ini,… rakyat adalah segala-galanya. Khabar bahagia sudahpun tiba. Maka, ingin saya umumkan, berkuatkuasa 1 Julai 2016, gaji minimum negara dinaikkan daripada 900 ringgit kepada 1,000 ringgit sebulan bagi Semenanjung, dan daripada 800 ringgit kepada 920 ringgit sebulan bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. Gaji minimum ini melibatkan semua sektor, kecuali perkhidmatan domestik atau pembantu rumah.


Tuan Yang Dipertua,

202. Tidak cukup sekadar itu,… bagi meringankan beban kos sara hidup kepada semua penjawat awam, Kerajaan bersetuju dengan pemberian khas sebanyak 500 ringgit kepada semua penjawat awam.

203. Manakala, bagi 700 ribu pesara Kerajaan pula, bayaran khas 250 ringgit disediakan. Kedua-dua bayaran ini, yang berjumlah hampir 1 bilion ringgit akan dibuat pada bulan Januari 2016.


Tuan Yang Dipertua,

204. Demikianlah, Kerajaan ini tanpa jemu-jemu dan putus-putus ingin membuat kebaikan dan kebajikan kepada sekalian rakyat. Sejak dulu, kesemuanya tidak terbina dengan mudah atau dalam sekelip mata. Ia menuntut kesungguhan dan pengorbanan atas nama kebaktian pada nusa dan bangsa.

205. Lalunya, berbicara tentang betapa susah dan jerih payahnya membina Malaysia tercinta ini,… kita berasa kesal, bahkan sebenarnya, kita amat-amat kesal, dengan tindak-tanduk tidak bertanggungjawab oleh musuh dari dalam, mahupun luar, yang cuba mempalit dan merosakkan imej negara ini.

206. Pada kita,… perbuatan segelintir pihak ini, akan hanya memporak-perandakan, sampai boleh memusnahkan apa yang terbina selama ini.

207. Waima, wujud sesetengah orang, yang kita sendiri kadang-kadang tidak tersangka-sangka, atau terduga-duga, ibarat api di dalam sekam,…menjadi gunting dalam lipatan.


Tuan Yang Dipertua serta Rakyat Malaysia Yang Dikasihi sekalian,…

208. Dalam menghela nafas keinsafan, saya perakui,… benarlah saya ini seorang pemimpin, tetapi saya juga manusia biasa seperti saudara saudari sekalian. Kita sama-sama ada kelebihan dan kelemahan di sana sini.

209. Sayugia,… sambil merujuk-rujuk mafhum tafsir daripada surah Yusuf, bahawa,… Tuhan tidak menyuruh kita berhenti dari berusaha,… Tuhan juga tidak benarkan kita sesekali berputus asa dari rahmatNya,… dan apatah lagi sesungguhnya,… Tuhan juga tetap menjanjikan kepada hamba-hambanya yang berislah dan beriltizam, bahawa,… kejayaan pasti menjelma jua.

210. Sebab itu,… Tuan yang Dipertua,… sudah menjadi adat orang berjuang, pasti akan menempuh rintangan dan dugaan. Namun,… biar pun berjuta gugatan menghalang, biar menggunung ombak mendatang, kita,…kita tidak akan sesekali berputus harapan.

211. Kini,…Tuan Yang Dipertua, saya,… bersama-sama dengan Timbalan Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,… berserta anggota pentadbiran dan pimpinan-pimpinan Barisan Nasional,… sehati sejiwa,… akan tetap tabah dan bertawakal meneruskan perjuangan yang mulia ini.

212. Nescaya, dengan dipersaksikan masa dan dineraca oleh waktu,… yang benar tetap benar,… sejarahnya kelak menjadi bukti.

213. Akhir kalam,… bak kata para hukama’,… yang indah-indah itu dari Ilahi dan yang kurang itu sifat insani. Marilah kita berdoa kepada Maha Pencipta, agar tiap sesuatu akan kembali pulih seperti sediakala. Semoga Bajet ini dilimpah-limpah Rahmat-Nya dan membawa sentosa kepada semua.

Tuan Yang Dipertua,

Saya mohon mencadangkan.

Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Sumber : http://www.treasury.gov.my/data/ucapan/ub2016.pdf