SHAH ALAM 31 Mei - Bonda Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mangkat di Hospital Pakar Ampang Puteri di sini pagi ini kerana sakit tua.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini memberitahu, bonda baginda, Almarhumah Raja Saidatul Ihsan Tengku Badar Shah, 88, mangkat di hospital berkenaan kira-kira pukul 9 pagi.
Jenazah bonda Sultan Selangor telah dibawa ke Istana Alam Shah, Klang kira-kira pukul 12 tengah hari ini untuk penghormatan terakhir dan dimakamkan di Makam Diraja Shah Alam selepas solat Asar.
Tambah Mohamad Munir, Sultan Selangor turut menitahkan supaya bendera negeri dikibarkan separuh tiang pada hari ini sahaja.
Jelasnya lagi, tempoh berkabung bagi waris-waris, Orang Besar Istana dan Kerabat-kerabat Diraja Selangor adalah selama tujuh hari.
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin turut berangkat menziarahi jenazah Almarhumah Raja Saidatul Ihsan.
Hadir sama Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid. - Utusan
No comments:
Post a Comment