Friday, May 6, 2011

Malaysia Negara Yang Amat Berinovasi, Kata Tun Mahathir

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Malaysia adalah antara negara yang melaksanakan banyak inovasi bukan sahaja dalam politik malah dalam bidang saintifik, kata mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Malaysia melakukan kaedah berbeza dengan negara lain, dan antara perkara yang ketara ialah semasa menangani krisis kewangan.

"Kami mengambil keputusan sekiranya mengikut dasar Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), hasilnya kami mungkin muflis. Ini adalah cara inovasi kami dalam menangani krisis kewangan," katanya semasa berucap pada majlis makan malam gala nobel Sweden Malaysia di sini.

Katanya, menerusi inovasi tersebut, negara boleh mencapai pembangunan serta membawa kebaikan dan manfaat kepada rakyatnya.

"Bagaimanapun, apabila kita memutuskan untuk membina Putrajaya, sudah tentu rakyat membidas orang yang menjadi Perdana Menteri ketika itu.

"Bayangkan jika kita tidak membina Putrajaya, masa perjalanan dari satu pejabat ke pejabat lain di Kuala Lumpur mungkin mengambil masa dua jam.

"Tetapi di Putrajaya, semua pejabat adalah bersebelahan sahaja," katanya.

Dr Mahathir berkata inovasi dalam teknologi juga membantu negara memupuk hubungan dengan negara lain.

Beliau yakin Malaysia mampu mewujudkan banyak industri pembuatan pada masa depan dan dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan kedudukan ekonomi negara.

-- BERNAMA

Sungai Tua Baharu: Malaysia amat beruntung mendapat Perdana Menteri yang memandang jauh ke hadapan untuk majukan negara dan rakyatnya. Contohnya Indonesia sehingga ke hari ini belum dapat memutuskan bagaimana mahu membina pusat pentadbiran mereka seperti Putrajaya. Sememangnya cendikiawan Indonesia memuji dan akur peri pentingnya pusat seperti Putrajaya. Tetapi pembangkang di Malaysia tetap mengatakan pembaziran. Apa nak jadilah pembangkang di Malaysia apa juga yang dibuat oleh kerajaan semuanya katanya pembaziran.

No comments:

Post a Comment