Sunday, November 30, 2014

Ucapan Dasar Presiden UMNO YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak Sempena Perhimpunan Agung UMNO Kali ke-65 Tahun 2014




Ucapan Dasar Presiden UMNO
YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak
Sempena Perhimpunan Agung UMNO
Kali ke-65 Tahun 2014



SOLIDARITI MELAYU DAN BUMIPUTERA,

 SOLIDARITI UMNO, SOLIDARITI MALAYSIA.

 Bismillahhirrahmanirrahim,

 Alhamdulillahirabbil’alamin. Wabihi Nasta’in. Allahumma Solli Ala Saidina Muhammad Wa’ala A-li Saidina Muhammad.

 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam 1Malaysia,

 Yang Berbahagia Tan Sri Pengerusi Tetap,

 Yang Berbahagia Tan Sri Timbalan Pengerusi Tetap,

 YAB Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden,

 Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri,

 Barisan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi,

 Pimpinan Parti-Parti Komponen,

 Yang Amat Berbahagia, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi,

 Dif-Dif Kehormat,

 Seterusnya Saudara Rakan-Rakan Seperjuangan dalam Parti UMNO yang berkeramat ini.


 1. Pagi ini merupakan kali ke-6, saya berdiri di hadapan para perwakilan serta para tetamu sebagai Presiden. Saya merujuk juga kepada seluruh rakyat Malaysia yang sedang menonton di kaca-kaca televisyen dan mendengar di corong-corong radio.

 2. Termasuklah sebahagian besar generasi Y, yang mengikuti Persidangan Agung UMNO ini.

 3. Apatah lagi pada saudara sekalian, barisan pimpinan di atas pentas, para perwakilan yang sedang duduk dan berdiri di bawah serta yang di atas sana, pimpinan mahasiswa tempatan, perwakilan-perwakilan UMNO luar negara, tidak dilupakan adik kakak, pakcik makcik, yang sedang mengamati layar besar di luar dewan ini.

 Saudara sekalian,

 4. Pada 11 Mei kira-kira 68 tahun lalu, UMNO telah ditubuhkan. Ini merupakan usaha terbesar dalam agenda menyatupadukan orang-orang Melayu.

 5. Terbukti, setelah parti ini dibentuk, maka, termaktublah dalam catatan sejarah bahawa, UMNOlah yang telah berjaya menguburkan rancangan penubuhan Malayan Union.

 6. Sememangnya lagi, perjuangan dan pengorbanan orang-orang Melayu dalam menempuh semua cabaran itu, tidak lain tidak bukan, dengan berpegang kepada satu prinsip dan semangat yang dinamakan solidariti.

 7. Sesungguhnya, inilah bukti dari mata ke mata, dari hati ke hati bahawa, semangat perjuangan Parti Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO akan terus marak, terus menjulang dan terus menyala.

 Mari kita laungkan bersama-sama, sebanyak 3 kali,

Hidup UMNO!! Hidup UMNO!! Hidup UMNO!!

 Saudara Sekalian,

 8. Pada 31 Ogos lepas, kita telah merayakan ulangtahun kemerdekaan tanah air yang ke-57. Kemudiannya, pada 16 September semasa sambutan Hari Malaysia di Bumi Kenyalang, hasil perbincangan bersama para pimpinan di Sabah dan Sarawak, kita telah putuskan bahawa, akan hanya menyambut satu tarikh rasmi kemerdekaan.

 9. Ini kerana, 16 September itu bukanlah disengajakan. Ia hanyalah berpunca daripada kelewatan pengesahan laporan pungutan suara daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

 10. Dalam hal ini, barangkali ramai yang tertanya-tanya mengapa kita mahukan satu sahaja tarikh kemerdekaan bagi seluruh Malaysia. Jawapannya adalah, solidariti.

 11. Malah, yang lebih mustahak perlu diketahui, itulah hasrat Almarhum Tunku Abdul Rahman, bahawa kita semua hendaklah menyambutnya di tanggal 31 haribulan Ogos. Tapi jangan bimbang, cuti umum 16 September masih tatap kita raikan dan rayakan.

 Saudara sekalian,

 12. Hakikatnya, kita semua sedang berpijak di atas tanah air yang sungguh aman dan sentosa. Menjunjung pula langit luas terbentang. Disimbahi hujan rahmat sepanjang tahun. Bertulangkan, antaranya banjaran Titiwangsa, Banjaran Crocker serta Tama Abu, Malaysia diliputi pula hutan hujan tropika.

 13. Selain itu, kita berada pula hampir pada garis pembahagi hemisfera, iaitu Khatulistiwa menjadikan tanah air ini sentiasa dilindungi awan.

 14. Malah, cahaya matahari tetap menyinar sepanjang tahun. Bersyukurlah atas nikmat-nikmat ini. Semuanya itu, kurniaan daripada Maha Pencipta.

 15. Secara geografinya, gabungan Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang dipisahkan oleh Laut China Selatan, membentuk kawasan 330,290 km persegi.

 16. Inilah pusaka tinggalan nenek moyang kita, yang diwargai lebih 28 juta penduduk. Terdiri daripada puluhan suku, ras, etnik, dan kaum.

 17. Apatah lagi menjelang tahun 2020 nanti, keseluruhan jumlah Melayu dan Bumiputera, Islam dan bukan Islam akan mencecah angka lebih 70 peratus.

 18. Seandainyalah semua dapat bersatu di bawah lembayung UMNO dan Barisan Nasional, bayangkanlah saudara sekalian, betapa kuatnya kita, betapa kukuhnya kita, bukan sahaja setakat boleh memenangi pilihanraya umum ke-14 nanti, bahkan kita dengan bangganya dapat bersama-sama menjengah negara maju atau high income advanced economy dalam satu ikatan solidariti yang tidak mungkin terpecah bentengnya.

 Saudara sekalian,

 19. Ternyata, pertiwi indah ini, telah terbina sejak hampir 6 dekad. Segala yang kita lihat tidak datang dengan mudah dan sendirinya. Sebetulnya pun, suka duka perjalanan Malaysia penuh episod dan peristiwa.

 20. Selanjutnya, bak kata pepatah, disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Insiden pahit Lahad Datu telah mempalit dan mencalarkan sejarah watan.

 21. Berbekalkan peristiwa itu, bersyukurlah, akan hikmah-hikmah yang muncul bersamanya. Kejadian perit yang tidak diundang itu ternyata telah mempertautkan lagi persaudaraan dan ikatan silaturrahmi antara rakyat Malaysia.

 22. Buktinya, ramai perajurit yang berasal daripada Tanah Semenanjung, telah turut gugur di medan juang, bersama rakan-rakan perwira dan anggota keselamatan dari Negeri di Bawah Bayu, demi mempertahankan, supaya, jangan sejengkal pun tanah Sabah, jatuh ke tangan sesiapa.

 Inilah dia lambang solidariti.

 Saudara Sekalian,

 23. Demikianlah, berkait perjalanan negara meniti ceritera kemakmuran. Dulunya, bermula dengan cemuhan, ketidakpercayaan oleh banyak pihak dan sindiran tajam, bahawa kita tidak mungkin mencapai matlamat sebagai sebuah negara bangsa.

 24. Tapi kini, di sana sini orang bertanya-tanya, apakah formula dan apakah rahsia sebagai azimat kepada kesentosaan Malaysia. Jawapannya, sekali lagi, solidariti.

 Saudara Sekalian,

 25. Takwim 2014, sangat menguji kita, apabila digemparkan dengan tragedi tidak terduga, misteri kehilangan pesawat MH370 dan peristiwa tragik pesawat MH17 yang terhempas di kawasan Timur Ukraine.

 26. Pada detik-detik cemas itu Saudaraku Sekalian, kuasa-kuasa besar pun tidak mampu untuk menolong. Lalu tidak pernah terjadi dalam sejarah, saya terpaksa berunding dengan puak pemberontak yang tidak beridentiti negara, sehingga berjaya mendapatkan kotak hitam dan akhirnya memasuki kawasan kejadian.

 27. Pucuk pangkalnya, dengan kehendak Allah jua, kita telah berupaya membawa pulang hampir kesemua jenazah yang telah terkorban kembali ke tanah air, di mana mereka berasal.

 28. Jelasnya, saudara sekalian, rakyat Malaysia secara keseluruhan telah menunjukkan semangat muafakat yang sungguh luar biasa, khususnya sewaktu Hari Berkabung.

 29. Sebab itulah, kita mahu dan kita ingin semangat kebersatuan yang berkobar-kobar lagi membara sebegini, diteruskan sampai bila-bila. Inilah lambang perpaduan yang dinamakan solidariti.


FALSAFAH DAN KERANGKA MALAYSIA SEBAGAI SEBUAH NEGARA BANGSA MENUJU MASA DEPAN

 Saudara Sekalian,

 30. Jikalau kita membongkar tamadun dunia, pastinya antara peristiwa penting yang perlu kita rujuk sebagai iktibar adalah tawarikh seorang Nabi besar bergelar Ulul Azmi, Ibrahim Alaihi Salam.

 31. Semasa baginda memulakan pembinaan Kota Mekah yang kontang dan kering ketika itu, Nabi Ibrahim telah berdoa seperti tercatat dalam Surah Al-Baqarah, ayat 126, mafhumnya, meminta agar Tuhan menjadikan bumi dan tanah suci tempat Baginda bertapak itu, satu tempat yang aman dan subur serta dikurniakan pula rezeki kepada para penduduknya.

 32. Seterusnya bila disingkap sirah junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Apabila Baginda mula membina negara Madinah, 3 hal atau 3 perkara yang utama telah disabda dan diperbuat.

 33. Pertamanya: menyebarkan salam dan keamanan. Dalam erti kata, mempertautkan hubungan antara pelbagai puak dan kaum, tidak kira apa jua keturunan serta kefahaman.

 34. Keduanya: menumpukan hal ehwal ekonomi dan kebajikan sehingga kepada bab keperluan makan dan minum para penduduk negeri.

 35. Dan ketiganya: mengukuhkan hubungan persaudaraan atau silaturrahmi antara semuanya, tidak kira sesama Islam khususnya, dan di antara Islam dan bukan Islam umumnya.

 Saudara Sekalian,

 36. Berhubung itu, kita tidak pernah mengatakan pimpinan UMNO memiliki apa-apa karomah, jauh sekali mempunyai apa-apa mukjizat seperti para Rasul dan Nabi-Nabi. Tidak seperti ada orang itu, yang sanggup mengangkat suaminya sendiri sebagai “Anugerah Tuhan”.

37. Akan tetapi, kita berasa bersyukur atas nikmat akal fikiran yang dikurniakan oleh Ilahi kepada pimpinan UMNO serta parti, oleh sebab, pabila dirujuk dalam konteks negara kita, bolehlah dibuat perbandingan, dalam pembinaan negara bangsa Malaysia bermula sejak merdeka, ternyata tanpa sedar, kita telah mengambil pengajaran daripada dua peristiwa besar para anbiya’ itu tadi, Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad.

 38. Sebagai contoh, jika kita teliti, bapa-bapa pimpinan yang terdahulu, dengan segala pendekatan berhikmah dan bijaksana, telah memulakan lembaran baharu negara ini, ibarat menghampar sehelai kain putih yang terbentang untuk dipercorak serta diwarna-warnikan.

 39. Langkah terawal diambil oleh pimpinan Kerajaan yang ditunjangi oleh UMNO adalah mewujudkan keamanan dan kestabilan melalui suatu persefahaman dinamakan kontrak sosial.

 40. Ia melibatkan pengorbanan semua pihak yang mempersetujuinya terutama orang-orang Melayu dan Bumiputera. Kontrak sosial itu menjadi satu wahana demi mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat, bagi sebuah negara yang masih muda dan baharu.

 41. Terserlah, solidariti yang dipupuk itu, menjadi asas kepada perjalanan Malaysia sejak dulu hingga kini, dan InsyaAllah selama-lamanya.

 Saudara Sekalian,

 42. Langkah kedua yang dibuat oleh para pemimpin UMNO terdahulu sampai sekarang pula, turut mengikuti jejak-jejak yang dianjurkan dalam sirah Islam dengan menumpukan kepada pelbagai rancangan berbentuk ekonomi, sehingga Tahun 2010 dan apabila saya mengambil alih tampuk pentadbiran, kita telah perkenalkan pula Dasar Transformasi Nasional.

 43. Menjelang pertengahan tahun hadapan kelak, kita bakal memulakan Rancangan Malaysia ke-11, yang menjadi pelonjak mula menuju negara maju berpendapatan tinggi.

 44. Kesemuanya ini, adalah garis-garis besar dan haluan-haluan penting, bagi memperteguhkan ketahanan ekonomi, memakmurkan negara serta menjaga kebajikan rakyat terbanyak sejak berdekad-dekad yang lalu.

 45. Selanjutnya, satu tindakan yang dilakukan tanpa jemu oleh Kerajaan, yang dikemudi oleh parti ini ialah untuk mempastikan kelangsungan solidariti masyarakat, kerana itulah aset yang paling mustahak untuk kita pelihara, demi survival UMNO, demi survival Barisan Nasional malah demi survival Malaysia tercinta.

 Saudara Sekalian,

 46. Menyisir apa yang sudah saya sampaikan, secara sedar ataupun tidak, dalam tempoh kurang dari 60 tahun, negara bertuah ini telah melalui pelbagai peringkat kemajuan dan kepesatan.

 47. Seterusnya, semasa membentangkan bajet 2015, saya telah menetapkan bahawa, falsafah tunjang mestilah menitikberatkan keseimbangan antara Capital Economy dan People Economy.

 48. Kerana, dari sudut teori mahupun ilmiah, kedua-duanya wujud secara simbiosis atau saling perlu bagi membentuk Ekonomi Keperluan Rakyat atau EKR, tapi bukan PKR.

 49. Bajet yang digubal itu menumpukan kepada 7 strategi, demi kebajikan dan keperluan harian rakyat, khususnya berkaitan kos sara hidup.

 50. Berdasarkan hal yang demikian, tampaknya, apa yang telah dirancang, direkayasa dan dilaksana oleh Kerajaan pimpinan UMNO bersama rakan-rakan komponen, sejak lima puluh tujuh tahun yang lepas adalah betul dan telah berjaya meletakkan Malaysia di jajaran yang kukuh dan pada landasan yang tepat.

 51. Inilah dia usaha yang dilakukan atas rasa tanggungjawab moral yang tinggi oleh UMNO dan Barisan Nasional, demi kepentingan rakyat dan negara.

 Saudara Sekalian,

 52. Malaysia kini dilihat dan digelar sebagai sebuah negara Islam moden, progresif lagi dinamik.

 53. Menyentuh ehwal inilah, sejak beberapa tahun kebelakangan, saya menyebut bahawa negara kita seharusnya berteraskan kerangka Maqasid Syariah yang dipaksi oleh falsafah keadilan sosial.

 54. Seperti yang digariskan oleh Imam Al-Ghazali dan Imam Ash-Shatibi, Maqasid Syariah adalah prinsip yang mendasarkan 5 perkara pokok, sebagai teras dan pedoman kepada semua rukun perjalanan negara.

 55. Maknanya, apa jua hal pentadbiran, politik dan ekonomi, semestinya dipandu dan dirujuk serta saling lengkap-melengkapi, saling berkait dengan objektif syariah. Barulah nanti, terbit pengamalan Islam sebagai Ad-Deen yang sejati, menurut Al-Quran dan Sunnah.

 56. Berasaskan semua itu tadi saudara sekalian, jika dapat saya rangkumkan, formula kepada parti UMNO yang kita amalkan selama ini, berserampang kepada beberapa elemen utama.

 57. Pertamanya, wasatiyyah atau kesederhanaan. Bersederhana di sini tidak bermaksud pencapaian yang biasa-biasa atau mediokriti, sebaliknya menuntut kepada nilai kerja yang tinggi, halus, bermutu dan bersungguh, bukan juga yang ala kadar. Manakala budaya kehidupan pula, yang penuh beretika, bukan pincang akal budinya, atau penuh kerosakan.

 58. Keduanya, UMNO perlu terus menjadi parti yang mementingkan pendekatan berimbang. Ia bersifat pertengahan dan tidak melampau serta menyampaikan hak kepada yang berhak.

 59. Sebagai contoh, dalam langkah konsolidasi fiskal, cara Kerajaan memberi subsidi, kini beralih daripada secara pukal kepada subsidi bersasar. Ertinya, kita memberi pertolongan dan hak kepada yang berhak, seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia terus kepada golongan masyarakat yang benar-benar memerlukan.

Saudara Sekalian,

 60. Ketiganya, UMNO perlu menjadi parti yang unggul dan mementingkan kecemerlangan. Maknanya, orang-orang UMNO dituntut menjadi saf atau barisan yang unggul mendepani kelok kejayaan. Kata-kata Hukamak menukilkan bahawa, bekerjalah kamu untuk kepentingan dunia, seolah-olah ingin hidup seribu tahun dan beribadatlah kamu seperti akan menemui mati pada hari esoknya.

 61. Sememangnya pun, pada UMNO, selama ini, dunia kita kelek, akhirat pun kita junjung. Lantas, orang-orang UMNO sewajibnya menjadi golongan yang terunggul atau memperoleh tahap ‘par excellence’. Tapi, janganlah pula jadi “Pak Maun” macam dalam cerita P.Ramlee Nasib Do Re Mi.

 62. Sekali lagi saya ulang kita mahu orang-orang UMNO menjadi “par excellence” yang cemerlang dan unggul di segala bidang.


Saudara Sekalian,


 63. Sehubungan perkara ini, menurut dapatan dan maklumat semasa, sekarang, semakin ramai masyarakat yang berada di luar sana, menjadi pihak yang berada di atas pagar.

 64. Mereka sedang meninjau-ninjau dan memerhati, serta menghakimi parti mana atau kelompok mana yang ingin mereka dekati dan beri sokongan.

 65. Di hujung sudut sana, ada kelompok-kelompok yang terlalu ekstrem dalam fahaman beragama, sehingga menyalahtafsir istilah jihad.

 66. Sampai kepada tahap terlibat dalam aktiviti militan dan membenarkan perbuatan “suicide bombers” atau pengebom berani mati. Sebetulnya, perbuatan itu dilarang keras di sisi agama.

 67. Di satu sudut yang lain pula, ada kelompok-kelompok yang terlalu longgar fahamannya terhadap agama, sehingga menjadi liberal, terlibat di kancah hedonisme dan kesongsangan.

 68. Apa yang lebih mustahak, UMNO amat teguh di landasan dengan menjadikan Islam sebagai panduan dan bukan seperti pihak lain, yang menjadikan Islam sebagai parti mereka.

 69. Bersempena juga pengertian surah At-Taubah ayat-122, UMNO perlu terus tampil memperjuangkan Islam yang sebenar, bersifat universal dan sejagat, tidak ekstremis, memahami hukum-hukum dengan tepat, penghayatan yang sederhana, namun cemerlang dalam pekerjaan, menggalakkan pena’kulan dan berjihad di pengkalan bakti, seperti yang dilakukan oleh kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional, demi kebajikan rakyat serta pembangunan negara.

 70. Barulah, barulah masyarakat akan mendekati UMNO dan mahu bersama kita. Seterusnya, Malaysia sebagai negara Islam yang moden, progresif lagi dinamik akan selamanya dipandang mulia oleh kawan dan lawan di seantero dunia.


CERITERA-CERITERA KEJAYAAN MALAYSIA

Saudara Sekalian,

Kalau Roboh Kotanya Jati,
Kayu Belian Kita Dirikan,
Kalau UMNO terus dihormati,
Malaysia yang Makmur jadi HARAPAN.

 71. Sejak awal tadi, saya mempidatokan tentang pentingnya solidariti sebagai foundation atau tapak terbangunnya Malaysia terkasih ini.

 72. Ternyata, hampir 6 dasawarsa, bertonggak kepada tiang seri-tiang seri ini, berpasakkan kepada prinsip kesederhanaan dan dasar-dasar yang sistematik lagi ampuh, kita telah mencapai prestasi-prestasi menakjub dan rekod-rekod yang mampu diperbanggakan.

 73. Antara 11 kejayaan utama yang boleh saya senaraikan:

 Pertama: Kalau dahulu semasa mencapai kemerdekaan, kadar kemiskinan isi rumah rakyat Malaysia adalah pada tahap lebih 60 peratus.Alhamdulillah, berkat kepimpinan UMNO, bersama rakan-rakan parti komponen, sukacita saya mengumumkan, kadar kemiskinan telah menyusut kepada satu peratus, malah kemiskinan tegar kini telah hampir disifarkan kesemuanya.

 Kedua: Mutakhir ini, sekalipun ekonomi dunia tidak menentu, Malaysia telah mencapai pertumbuhan positif dalam semua sektor dan mencatatkan kenaikan KDNK sebanyak 6.1 peratus.Sayugia saya menyatakan, pencapaian ini, telah menempatkan kita sebagai yang paling tinggi di kalangan negara ASEAN.

 Ketiga: Kemasukan pelaburan asing sebanyak 38.7 bilion ringgit pada tahun 2013, merupakan catatan paling tinggi actual realized investments yang pernah dicapai dalam sejarah Negara.

 Keempat: Pada Julai 2014, Indeks Bursa Malaysia telah mencecah mata seribu lapan ratus sembilan puluh dua, paras paling tinggi dalam tawarikh negara.

 Kelima: Malaysia terus kekal kedudukannya sebagai pasaran sukuk terbesar di dunia.

 Keenam: Menurut laporan International Finance Corporation, World Bank Group di dalam ‘Doing Business 2015 Report’, Malaysia berada di tangga ke-18 daripada 189 negara di dunia.Dan menurut Laporan CNN Travel 2013 pula, Kuala Lumpur menduduki tempat keempat sebagai bandaraya paling popular untuk membeli-belah selepas New York, Tokyo dan London.

 Ketujuh: Dalam konteks serantau, kita harus berbangga kerana Malaysia diberi kepercayaan dan penghormatan mendamaikan Kerajaan Filipina dengan Barisan Pembebasan Islam Moro atau MILF, sekaligus menamatkan sengketa berdarah selama berdekad-dekad di negara itu.

 Kelapan: Pada tahun 2015, Malaysia dengan rasminya akan mempengerusikan ASEAN. Ini adalah satu penghormatan kepada pimpinan UMNO dan Barisan Nasional.

 Kesembilan: Kita terus dipandang tinggi oleh saudara-saudara seakidah di bumi Gaza, kerana kepimpinan UMNOlah yang terus konsisten, membantu dan memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang tertindas oleh rejim Zionis.

 Kesepuluh: Nama Malaysia, semakin mengharum di persada antarabangsa dan berjaya mendapat 187 undian bagi menduduki Kerusi Tidak Tetap Majlis Keselamatan PBB.

 Dan,

 Kesebelas: Saya dengan penuh rasa rendah diri, telah menerima Anugerah Kepemimpinan Islam Global, pada sidang World Islamic Economic Forum 2014 di Dubai. Sesungguhnya, pengiktirafan dunia Islam ini, saya dedikasikan kepada parti UMNO dan pastinya kepada seluruh rakyat Malaysia.

 74. Begitulah saudara, sedikit sebanyak kisah kejayaan yang dapat dipersembahkan. Sebenarnya, ceritera-ceritera kejayaan yang telah kita tempa sepanjang lima puluh tujuh tahun, lebih banyak daripada itu dan tidak terhitung jumlahnya.


REALITI SEMASA

 Sahabat-Sahabat Seperjuanganku Sekalian,

 75. Walau sebanyak manapun kejayaan yang telah kita raih, hatta segunung pun rekod yang mampu dicipta, walau setinggi mana pun pengiktirafan yang telah kita terima, kita tidak boleh sekali-kali berasa complacent dan duduk bersimpuh.

 76. Ini kerana, musuh dari dalaman mahupun luar, akan terus mengintai-intai, cuba menerobos apa jua celah dan ruang untuk menjatuh-jatuhkan perjuangan kita, bagi merapuh-rapuhkan semangat kita, seterusnya untuk mengapi-apikan persengketaan supaya kita retak dan berpecah-belah.

 77. Menyentuh realiti semasa ini, para alim ulama berpesan-pesan, adalah menjadi adat manusia dan organisasi yang bersifat makhluk, kita adalah lemah, kita akan sentiasa melakukan kesalahan.

 78. Tapi, tidak mengapa, setiap kali berkumpul, dan ini yang ke-65 Perhimpunan Agung UMNO diadakan, kita akan terus bermuhasabah, saling memperingatkan antara satu sama lain, dan membuat pengislahan demi pengislahan, kerana memang diakui tiada siapa pun antara kita yang sempurna.

 79. Sekalipun begitu, perjuangan kita di dalam UMNO, demi membela untung nasib orang-orang Melayu dan Bumiputera itu wajib disempurnakan.

 Saudara Sekalian,

 80. Atas sebab itulah, ingin dinyatakan bahawa, parti UMNO tidak bersalah, parti UMNO tidak berdosa. Sebaliknya, yang bersalah dan yang sering berdosa itu adalah diri kita.

 81. Ternyata, atas kelalaian dan kealpaan kitalah dalam membenteng serta mempertahankan UMNO dengan sewajarnya, menyebabkan realiti politik terutamanya lebih 15 tahun yang lalu begitu berubah.

 82. Dari apa yang kita saksikan, benarlah cendekiawan menyebut, ‘for evil to triumph, good men do nothing’. Malah, menurut para ilmuwan, kata-kata ini, disesuaikan daripada beberapa hadis antaranya oleh Abu Daud.

 83. Maksudnya, sekalipun kita di pihak yang benar, tapi hanya duduk berdiam, dan tidak melakukan apa-apa, maka musuh akan bermaharajalela dan makin menjadi-jadi. Tambahan pula, dipertualang dan dikhianat oleh si kitul-si kitul moden itu tadi.

 84. Sayang seribu kali sayang, sedih sejuta kali sedih, natijahnya, ramai orang Melayu dan Bumiputera khususnya, dan masyarakat Malaysia umumnya, telah tersalah sangka dengan perjuangan ikhlas dan murni parti UMNO.

 Saudara Sekalian,

 85. Apa yang penting, saya ingin menegaskan bahawa orang-orang UMNO tidak perlu apologetic, orang-orang UMNO tidak perlu berasa segan silu, jika ramai pihak yang cuba memperlekeh, mencemuh kononnya parti ini sudah jumud dan tidak relevan lagi.

 86. Hakikatnya, jangan sesekali kita lupa, dalam perhimpunan-perhimpunan yang bersejarah seperti inilah kementerian-kementerian strategik untuk kepentingan Melayu dan Bumiputera diusulkan, di perkumpulan sebeginilah institusi-institusi Melayu serta Bumiputera seperti UiTM dimartabatkan.

 87. Begitulah juga nasib penjawat awam yang jumlahnya kini lebih 1.5 juta terus dibela, di sinilah Raja-Raja Melayu terus dipermuliakan, di sinilah syiar agama Islam tetap diperteguh dan dipertinggikan, dan yang paling mustahak, di perhimpunan inilah orang-orang Melayu menumpang teduh, membawa hati demi menghitung masa depan keturunan anak cucu mereka.

 88. Jadinya, jika kita ingin bertanya, semua kejayaan yang telah kita kecapi, seluruh prestasi yang sudah kita capai, hasil perjuangan siapa? Jawapannya, sudah barang pasti, jasa perjuangan parti yang bertuah ini.

 Saudara Seperjuanganku Sekalian,

 89. Dari itu, cukup-cukup dan sudah-sudahlah dengan sikap buruk yang merosakkan bangsa kita dari dulu sampai sekarang. Kita harus meninggalkan kisah-kisah Hang Nadim, Singapura dilanggar todak dan musuh dalam selimut.

 90. Waima, ada yang menjadi api dalam sekam, bahkan gunting dalam lipatan, tumpul di hujung tapi tajamnya menikam di dalam.

 91. Oleh itu, kita orang-orang UMNO mesti berhijrah ke arah yang lebih baik, sebagai penawar kepada luka-luka bangsa.

 92. Sebagai platform kepada perjuangan masa depan dan menjadi parti berguna kepada anak cucu dan keturunan kita, bukan sekadar untuk tempoh 50 tahun atau sekurun lagi, bahkan untuk tempoh yang lebih panjang dari itu.


JIL UMNO ATAU GENERASI MASA DEPAN UMNO

 93. Bertolak dari situ, Saudara Sekalian, setiap kali Perhimpunan Agung UMNO, semua orang ingin bercakap tentang peremajaan parti.

 94. Berbicara di sudut ini, semakin hari semakin jelas kita mendengar keluhan dan rintihan anak-anak muda yang ingin turut serta berjuang dalam UMNO.

 95. Malangnya, semakin hari semakin jelas juga kita mendapat maklum bahawa hasrat anak-anak muda ini, katanya dihalang dan ditolak oleh mereka yang lebih lama di dalam parti.

 96. Merujuk perkara ini, seperti yang saya sebutkan dalam taklimat Presiden 2 hari lepas, kita perlu menyedari hakikat bahawa UMNO sebenarnya sudah terdiri daripada 3 generasi.

 97. Generasi pertama yang berusia 50 tahun ke atas. Generasi kedua berumur antara 30 hingga 50 tahun. Manakala, generasi ketiga pula, adalah mereka yang berusia 30 tahun ke bawah.

 98. Apa yang penting, demi masa depan parti, ketiga-tiga generasi perlu bekerjasama. Apa yang paling mustahak juga, generasi ketiga mesti diperluaskan, diperkukuhkan dan diperkasakan.

 99. Makanya Saudara Sekalian, saya sebagai Presiden dan seperti yang disuarakan oleh Tan Sri Mahyuddin selaku Timbalan Presiden dua malam lepas, dan turut disokong oleh Pimpinan-Pimpinan Tertinggi UMNO, kami dengan tegas dan penuh komited menyatakan bahawa:

...bermula dari perhimpunan kali ini, kita akan menjadi lebih komited untuk membuka akses dan pintu-pintu UMNO seluas-luasnya kepada para pemuda pemudi Melayu serta Bumiputera.

 Anak-Anak Muda yang Dikasihi Sekalian, samada yang berada di dalam dewan mahupun di luar sana,

 100. Maka, seperti yang saya sebut dalam taklimat Presiden 2 hari lepas, secara rasminya, diumumkan bahawa kita akan membuka pendaftaran keahlian UMNO secara terus.... melalui online yang akan ditempatkan di bawah pendaftaran Ibu Pejabat UMNO Pusat kepada anak-anak muda seawal usia 18 tahun.

 Saudara Sekalian,

 101. Bersabit hal anak-anak muda, teringat saya ungkapan Saidina Umar al-Khattab, apabila memperkatakan tentang generasi muda.

 102. Anak muda yang menjadi rujukan Saidina Umar adalah Abu Ubaidah. Malah, Nabi Muhammad sendiri memberi gelaran Al-Amin kepada beliau.

 Anak-Anak Muda Sekalian,

 103. Itulah pewaris generasi UMNO yang kami mahu dan itulah juga yang kami impikan. Satu saf dan barisan generasi dalam istilah arabnya kita namakan sebagai JIL-UMNO yang bererti generasi pewaris kepimpinan masa depan UMNO.

 104. Oleh yang demikian, sekiranya pada perhimpunan tahun lepas, saya membicarakan tentang isu pengkaderan. Pada perhimpunan ini pula, saya mahu menyentuh soal-soal pengisian atau pentarbiyahan.

 105. Antara kriteria pertarbiyahan JIL UMNO adalah:

 Kriteria pertama: JIL UMNO yang berilmu dan berpengetahuan secara holistik atau menyeluruh, yakni mereka yang cerdas, pintar dan bijaksana, yang bukan sahaja berilmu serta berkemahiran, tetapi beramal dengan ilmunya.

 Kriteria kedua: JIL UMNO yang berjatidiri dan berintegriti. Maksudnya, kumpulan anak muda ini perlu dilatih supaya berimbang, berakhlak, mempunyai nilai kesederhanaan, tidak menjadi pelampau dan tidak pula terlalu liberal, sehingga membelakangkan nilai-nilai murni agama.

 Kriteria ketiga: JIL UMNO yang bersifat glokal. Simpulan kalam, walaupun mereka ini belajar tinggi di Universiti Azhar, Madinah atau di Harvard, Oxford mahupun Cambridge, tetapi jangan sekali-kali terpisah daripada nilai-nilai ketimuran, kesantunan Melayu serta nilai-nilai yang murni di tanahair kita.Itulah dia kerja-kerja pentarbiyahan yang harus kita lakukan dalam melahirkan JIL UMNO yang unggul.

 106. Makanya, menjadi tugas dan tanggungjawab moral kita supaya terus membimbing, melatih, mendidik dan mengasuh generasi muda dan memberi peluang serta diberi tempat yang setimpal dengan kebolehan, keperibadian, menurut penerimaan masyarakat atau organisasi yang berkaitan.

 107. Kesimpulannya, JIL UMNO atau pewaris kepimpinan yang kita dambakan adalah generasi yang kuat sebagai bunga-bunga bangsa, bukannya zuriat yang lemah seperti buih-buih di samudera. Barulah nanti kita mampu bernafas dengan lepas dan lega bila diserahkan parti ini pada mereka kelak.

 108. Dalam konteks ini, kalau kita ingin menambat hati generasi muda, UMNO mesti dilihat sebagai parti yang sanggup membanteras rasuah dan politik wang. Oleh sebab rasuah adalah punca kepada banyak kerosakan dan kepincangan.

 109. Di atas segalanya, makna besar kepada peremajaan parti adalah, sekalipun UMNO sudah berumur lebih 68 tahun dan hampir 25 ribu hari usianya, tapi jiwa muda dan roh perjuangan mestilah terus membara seolah-olah seperti mana pada hari pertama ia ditubuhkan.

 110. Malah segala-gala secara total dan tuntas mesti diremajakan termasuk bagaimana kita menggunakan teknologi, strategi dan pendekatan kita sebagai parti yang kreatif dan inovatif dalam semua hal.

 Saudara Sekalian,

 111. Merujuk kepada Wanita UMNO, kita akan terus mengangkat dan mengiktiraf jasa serta pengorbanan mereka selama ini. Untuk perhimpunan kali ini kepimpinan wanita telah menyatakan hasrat supaya mereka diberi pengiktirafan yang lebih daripada sekadar tulang belakang parti.

 112. Dalam hal ini, kita akan menimbang dan mengadakan rundingan dengan semua pihak berkaitan pengwujudan jawatan Naib Ketua Wanita di Peringkat Bahagian dan Naib Presiden Parti di peringkat Kebangsaan.

 113. Namun, saya tahu akan wujud “resistance”. Yang mustahak dan utama, kita sebagai parti yang bersaudara akan berunding dan melihat daripada semua faktor supaya apa pun keputusan yang kita ambil nanti menjadi satu keputusan bersama demi memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada bakti wanita UMNO setelah 66 tahun ini.

 Saudara sekalian,

 114. Merujuk permintaan Pemuda dan Puteri pula, yang memohon lebih ramai di bawah usia 40 tahun diberi peluang dan jawatan yang setimpal. Kita juga akan merundingi dan melihat perkara ini dari semua aspek agar keputusan yang diambil nanti adalah wajar.

 Saudara Seperjuanganku Sekalian,

 115. Saya tahu, saya tahu benar, isu yang paling hangat diperkatakan dan dinanti-nanti oleh semua ialah AKTA HASUTAN 1948.

 116. Sabar, dengar dulu apa yang nak saya perkatakan.

 Saudara Sekalian,

 117. Tampaknya, berdasarkan apa yang kita lihat sebentar tadi, saya mendengar pendapat dan cadangan daripada Timbalan Presiden, Wanita,Pemuda, Puteri, usul-usul daripada bahagian, keresahan suara-suara akar umbi, serta pandangan-pandangan NGO, maka dengan ini saya sebagai Perdana Menteri memutuskan bahawa Akta Hasutan 1948, akan terus dikekalkan.

 118. Malah, akta ini bukan sahaja akan dipertahan, tetapi akan diperkuat dan diperkukuhkan lagi sekurang-kurangnya dalam 2 perkara.

 119. Pertamanya, kita akan masukkan peruntukan khas untuk melindungi kesucian agama Islam, bahkan agama-agama lain juga tidak boleh dihina.

 120. Keduanya, kita akan mengenakan tindakan keras ke atas sesiapa yang cuba menghasut supaya Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia.

 121. Ertinya lagi, apa-apa jua perkataan, perbuatan mahupun ucapan yang bersifat menghasut serta menghina Islam, Melayu dan Raja-Raja akan kita halang dan kita tentang habis-habisan.

 Saudara Seperjuangan dan Bangsaku Sekalian,

 122. Seperkara lagi, semua ingin tahu apa sebenarnya pendirian saya selaku Presiden tentang masa depan Melayu dan Bumiputera.

 123. Ketahuilah, saya berdiri di sini, tidak sama sekali sekadar Perdana Menteri, saya juga berdiri di hadapan ini, bukan setakat presiden UMNO, tapi saya berdiri dan berbicara di hadapan saudara sekalian, sebagai penyambung lidah dan warisan perjuangan Melayu Bumiputera.

 124. Dari itu, mana mungkin, saya sanggup membiarkan keturunan dan bangsa saya melarat, terhina, hingga terbangsat menjadi celaka di tanah sendiri.

 125. Berkait itu, saya akan terus komited dalam memperjuangkan nasib kaum Melayu dan Bumiputera. Bukan sekadar di bibir, tapi saya dan rakan-rakan dalam parti serta Kerajaan, telah melakukan segala yang termampu untuk membuktikannya.

 126. Sehubungan itu, selagi hayat dikandung badan, saya bersama Timbalan Perdana Menteri, rakan-rakan kepimpinan juga, komited untuk bersidang sekurang-kurangnya sekali setiap bulan demi menjamin halatuju dan agenda pemerkasaan ekonomi Melayu serta Bumiputera diteruskan.

 127. Bahkan, kita akan menunaikan setiap apa yang dijanjikan semasa ucapan saya di Dewan Agong Tuanku Canselor, UiTM pada tahun lepas, satu persatu.

 Sesungguhnya kerajaan Barisan Nasional tunjangan UMNO adalah Kerajaan yang menepati janji.


PENUTUP


HALATUJU DAN HALUAN TERBESAR UMNO

 Saudara Seperjuangan Sekalian,

 128. Walau apapun, adakala, waktunya kita berasa letih dan lesu apabila tidak henti-henti diherdik, dikritik dan dibentak-bentak.

 129. Adakala, kita juga berasa kecewa apabila segelintir bangsa kita sendiri ragu-ragu tentang perjuangan ini.

 130. Oleh yang demikian, saya selaku Presiden ingin menyeru,

 Kembalikanlah,... semangat UMNO yang kian pudar.

 Pulihkanlah,.... jiwa UMNO yang sudah hampir malap.

 Nyalakanlah,... semangat perjuangan asal serta roh UMNO yang sudah makin menghilang.

 Sematkanlah, rasa sayang dan kasih kepada parti, KERANA DI SITULAH,... DI SITULAH KITA AKAN BERTEMU JAWAPANNYA.

 Saudara Sekalian,

 131. Kepada akar umbi UMNO pula, yang sejak dahulu istiqamah dan iltizam dalam perjuangan, kita harus membayar balik harga pengorbanan dan harga kesetiaan mereka dengan cara terus membela untung nasib bangsa, kerana UMNOlah satu-satunya parti tempat berlindung dan bergantung harap demi masa depan kita semua.

 132. Sedarlah, insaflah, sesungguhnya kita tidak berhadapan dengan banyak pilihan, hanya satu sahaja.
 Seandainya parti ini rebah, sekiranya parti ini jatuh dan tumbang, keindukan Melayu Bumiputera akan turut tersungkur dan terkubur bersamanya. Nauzubillah.

 Oleh itu Saudara Seperjuanganku Sekalian,

 133. Marilah kita bangun, marilah kita berdiri. Tegakkan kepala mu, jangan mundur, pandang ke depan, sekali layar sudah dikembangkan, sekali sauh sudah dinaikkan, bahtera UMNO tidak boleh berpatah balik.

 Kita akan pastikan, panji-panji Sang Saka Bangsa akan terus berkibar megah di persada.

 Saudara Seperjuanganku Sekalian,

 134. Angkatkan telapak tangan kanan kalian, genggamlah erat perjuangan ini, sebagai simbolis solidariti bangsa.

 Ayuh! Ayuh, letakkannya di perabung-perabung dada, di mana bertempatnya hati dan sanubari.

 Bersama kita teriakkan, bersamalah kita laungkan,

MAJU MELAYU!

 MAJU BUMIPUTERA!

 MAJU UMNO!

 MAJU BARISAN NASIONAL!

 MAJULAH MALAYSIA!

 Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.





Tuesday, November 25, 2014

TEKS PENUH UCAPAN TS MUHYIDDIN YASSIN DI MAJLIS PERASMIAN SAYAP UMNO #PAU2014

TEKS UCAPAN YAB TAN SRI DATO HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PRESIDEN UMNO DI MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN WANITA, PEMUDA DAN PUTERI UMNO 2014



"MEREKAYASA PERUBAHAN MENDEPANI ZAMAN"

Bismillahirrahmanirrahim.

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدِ، الْفَاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ وَالْخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ، نَاصِرِ الْحَقِّ بِالْحَقِّ، وَالْهَادِي إِلَى صِرَاطِكَ الْمُسْتَقِيْمِ وَعَلىَ آلِهِ حَقَّ قَدْرِهِ وَمِقْدَارِهِ العَظِيْمِ .

Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.

YB Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil
Ketua Pergerakan Wanita
YB Sdr. Khairy Jamaluddin
Ketua Pergerakan Pemuda
YB Sdri. Mas Ermieyati Samsudin
Ketua Pergerakan Puteri
YB Naib-Naib Presiden UMNO
YB Setiausaha Agung UMNO
Ahli-ahli Majlis Tertinggi
Barisan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri
Saudara-saudari sidang perwakilan, dif-dif jemputan dan para pemerhati sekalian

1. Alhamdulillah, puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t. serta selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w., malam ini saya dan saudara-saudari semua yang mewakili Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO dari seluruh pelusuk negara, dapat sekali lagi berhimpun di Dewan Merdeka ini untuk mempertegaskan matlamat perjuangan parti kita, memperkukuhkan perpaduan dan merencana masa depan bangsa Melayu. Saya mengucapkan terima kasih kepada wanita, pemuda dan puteri UMNO kerana terus istiqamah berada dalam saf perjuangan parti kita.

Hebatnya Hang Tuah sehingga kini,
Kisahnya menjadi bualan zaman,
Jiwa pejuang takkan terhenti,
Selagi nyawa di kandung badan.

SEJARAH PERJUANGAN UMNO

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

2. Parti kita UMNO telah mencapai usia 68 tahun. Telah banyak ranjau yang kita lalui dalam pelbagai keadaan, pelbagai cabaran dan pelbagai zaman. Kita telah melalui pasang surut asakan terhadap perjuangan kita. Alhamdulillah, walaupun kita diasak dan diterjah dengan pelbagai dugaan, Allah masih memberikan kemenangan kepada UMNO. Allah masih mentakdirkan UMNO memikul amanah kuasa pemerintahan ini. Namun, jangan kita lupa, jangan kita alpa. Allah juga menggilirkan kemenangan antara sesama manusia sebagai pengajaran kepada kita semua. Sebagaimana firman-Nya dalam surah Ali-Imran Ayat 140:

إِن يَمۡسَسۡكُمۡ قَرۡحٌ۬ فَقَدۡ مَسَّ ٱلۡقَوۡمَ قَرۡحٌ۬ مِّثۡلُهُ ۥۚ وَتِلۡكَ ٱلۡأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيۡنَ ٱلنَّاسِ وَلِيَعۡلَمَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَيَتَّخِذَ مِنكُمۡ شُہَدَآءَۗ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلظَّـٰلِمِينَ


Yang bermaksud:

Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar) dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), Kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

3. Inilah sunnatullah. Allah s.w.t. menggilirkan kemenangan dan kekalahan sesama manusia. Hatta antara kaum muslimin dan musyrikin pun, Allah menggilirkan kemenangan dan kekalahan sebagai peringatan kepada orang-orang yang beriman. Maka, dalam konteks UMNO, kemenangan yang kita perolehi dalam mana-mana pilihanraya tidak boleh menjadikan kita angkuh, sombong dan selesa. Cabaran terhadap perjuangan kita masih hebat, jalan yang perlu kita lalui masih berliku, ranjau di hadapan kita masih berduri. Maka, dalam perhimpunan kali ini, saya ingin mengajak saudara dan saudari supaya ikhlas dan jujur dengan diri kita sendiri. Kaji adakah parti kita berada dalam keadaan yang selamat? Adakah parti kita disenangi oleh sebahagian besar rakyat? Adakah parti kita bakal beroleh kemenangan dalam pilihanraya akan datang?

4. Saudara-saudari, jika kita himbau kembali sejarah penubuhan UMNO dalam konteks dunia pada waktu itu, UMNO berada di tengah-tengah kancah pertembungan antara fahaman nasionalis, fahaman komunis dan fahaman sosialis. Namun, UMNO berjaya membina identiti perjuangannya sendiri di atas semangat kebangsaan Melayu yang berteraskan Islam. Pada ketika itu juga, nasionalisme merupakan ideologi utama yang menggerakkan parti-parti politik di negara-negara tanah jajahan bangkit menentang penjajah. Alhamdulillah, berkat perjuangan UMNO, negara kita berjaya mencapai kemerdekaan.

5. Pada masa yang sama, sebagai sebuah parti yang toleran dan sederhana, UMNO berjaya merintis kerjasama dengan parti-parti yang mewakili kaum-kaum lain di negara kita untuk membina sebuah negara bangsa. Sebagai kerajaan pula, parti kita UMNO menerusi Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional telah berjaya mengekalkan kestabilan politik dan memacu kemajuan ekonomi dengan cara kita sendiri. Sehingga beberapa dekad yang lalu, UMNO adalah sinonim dengan sebuah ceritera kejayaan; ceritera sebuah negara yang aman dan stabil di sebalik kepelbagaian kaum dan agama. Hasil perjuangan UMNO, negara kita telah berganjak daripada sebuah negara miskin sewaktu merdeka kepada negara industri yang insya-Allah akan menjadi negara maju dalam beberapa tahun lagi di bawah gagasan besar Wawasan 2020.

CABARAN PERUBAHAN ZAMAN

6. Namun, suasana politik hari ini sudah banyak berubah. Di seluruh dunia, nasionalisme bukan lagi ideologi utama. Malah, banyak parti nasionalis yang memperjuangkan kemerdekaan negara masing-masing telah berkubur. Selepas era perang dingin, liberalisme telah muncul sebagai ideologi yang dominan di seluruh dunia. Di bawah lembayung ideologi baharu ini, idea-idea Barat mengenai demokrasi, kebebasan dan kesamarataan tersebar secara meluas, termasuk di negara-negara Asia. Sama ada kita sedar atau tidak, kebangkitan gerakan demokrasi liberal dan masyarakat sivil yang memperjuangkan kebebasan dan kesamarataan mengikut neraca Barat telah memberi kesan yang besar kepada perjuangan UMNO.

Memperteguh Kedudukan Istimewa Melayu dan Bumiputera

7. Hari ini, banyak pertubuhan dan individu yang sama ada secara langsung atau tidak langsung mempersoalkan hak keistimewaan Melayu, kedudukan istimewa agama Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu dan lain-lain lagi yang merupakan teras perjuangan UMNO. Apabila UMNO bersuara membela kepentingan Melayu, mereka kata UMNO rasis. Tetapi apabila kaum-kaum lain bangkit memperjuangkan hak kaum masing-masing, itu dikatakan hak kumpulan minoriti dalam sebuah negara demokrasi. Sama juga, apabila UMNO bangkit mempertahankan kedudukan Islam, UMNO dikatakan ekstrem, walhal Islam adalah Agama Persekutuan. Tetapi apabila kepentingan kumpulan agama lain diperjuangkan, itu dikatakan hak kebebasan beragama. Hari ini, perkara-perkara penting yang termaktub di dalam perlembagaan yang melindungi hak semua kaum secara saksama semakin dipersoalkan.

8. Suara kumpulan penentang ini semakin lantang sehingga kedengaran di forum-forum antarabangsa. Mereka menuduh UMNO mengamalkan diskriminasi dan zalim terhadap rakyat. Ini amat pelik bagi saya. UMNO yang dahulunya berjuang bermati-matian untuk membebaskan rakyat daripada cengkaman penjajah; UMNO yang memperjuangkan keadilan sosial; UMNO yang mempelopori politik kesederhanaan; hari ini, dalam zaman kebebasan ini, UMNO dituduh sebagai parti yang zalim, parti yang menindas, parti yang menjajah rakyat. Pendek kata, segala yang buruk dan keji itu adalah UMNO. Seolah-olah tiada setitik pun jasa UMNO kepada negara. Kebaikan yang ditabur ditutupi oleh debu-debu pembohongan, fitnah dan propaganda jahat. Demikianlah zaman telah berubah, pola fikir masyarakat telah berubah, cabaran kepada UMNO juga berubah.

Agenda Ekonomi Bumiputera dan Merapatkan Jurang Ketidaksaksamaan Adalah Agenda Nasional

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

9. Perubahan juga berlaku dalam bidang ekonomi. Dahulu, pembangunan negara kita digembeleng oleh kerajaan. Kuasa kerajaan membolehkan kita melaksanakan program penstrukturan semula masyarakat menerusi Dasar Ekonomi Baru. Melalui dasar ini juga kita telah berjaya mengeluarkan masyarakat daripada belenggu kemiskinan dan menangani penguasaan ekuiti asing dalam ekonomi negara. Kita juga menetapkan sasaran pemilikan ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus sekurang-kurangnya, dan penyertaan Bumiputera digalakkan dalam setiap sektor ekonomi. Dasar ini dibentuk agar ekonomi berkembang dan pengagihan berlaku secara adil dan saksama. Atas sifat bertimbang rasa dan semangat supaya kek ekonomi dapat dirasai oleh semua rakyat Malaysia, orang Melayu dan UMNO pada waktu itu tidak bersifat keterlaluan untuk meminta lebih daripada 30 peratus.

10. Walaupun sasaran pemilikan ekuiti Bumiputera tidak tercapai, namun Alhamdulillah, DEB telah berjaya mengagihkan kekayaan negara kita secara lebih saksama serta meningkatkan pendapatan kaum Bumiputera dan bukan Bumiputera. Tuduhan bahawa DEB kononnya satu dasar keterbelakang, menyekat pelaburan, menyebabkan brain drain dan hanya menguntungkan segelintir pihak yang ada kabel politik adalah tidak benar. Bagi saya, tuduhan meleset ini hanya dicipta oleh mereka yang sarat dengan kebencian. Banyak kajian ilmiah yang menunjukkan bahawa semua kaum mendapat manfaat daripada pelaksanaan DEB. Ini termasuk kajian mutakhir Dr Muhammed Abdul Khalid yang diterbitkan di dalam bukunya the Color of Inequality yang membuktikan bahawa DEB telah memberi manfaat kepada semua kaum dari segi pembasmian kemiskinan, peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan, pemilikan ekuiti dan lain-lain. DEB telah mencapai sebahagian matlamat pengagihan ekonomi dan menyamaratakan peluang. Namun, masalah ketirisan memberikan kesan negatif kepada pencapaian matlamat asal DEB yang disasarkan oleh kepimpinan UMNO terdahulu.

11. Namun begitu, 24 tahun selepas pelaksanaan DEB berakhir, kita kembali mendengar keluh kesah dan gundah-gulana masyarakat Melayu. Dalam era pasca DEB, data terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia untuk tahun 2013 menunjukkan bahawa jurang ekonomi antara kaum masih wujud. Misalnya, median pendapatan bulanan isi rumah Bumiputera sebanyak RM3,282 masih rendah berbanding kaum Cina, iaitu RM4,643 dan kaum India sebanyak RM3,676. Dalam kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah, 75.5% adalah Bumiputera. Pemilikan hartanah dalam kalangan Bumiputera juga masih jauh lebih rendah berbanding kaum-kaum lain. Hanya 36.3% transaksi bangunan hartanah kediaman melibatkan Bumiputera. Pemilikan hartanah bangunan industri dan perdagangan Bumiputera juga rendah iaitu 2.37% bagi hartanah industri dan 7.85% bagi hartanah perdagangan.

12. Begitu juga, satu kebenaran yang pahit untuk kita akui ialah kaum Bumiputera masih menerima layanan yang tidak saksama dalam sektor swasta. Kajian yang dilakukan oleh Dr Lee Hwok Aun dan Dr. Muhammed Abdul Khalid pada tahun 2012 mendapati bahawa bagi setiap seorang graduan Melayu yang dipanggil temu duga dalam sektor swasta, secara puratanya 5.3 graduan Cina ditemu duga, walaupun mereka mempunyai kelulusan yang sama. Data rasmi juga menunjukkan kadar pengangguran adalah tertinggi dalam kalangan tenaga kerja Bumiputera iaitu 70.3%, termasuk graduan menganggur sebanyak 66.9%. Kita juga sering mendengar keluhan pekerja Bumiputera yang menerima gaji lebih rendah berbanding kaum-kaum lain dalam sektor swasta. Pakar ekonomi Just Faaland, J.R Parkinson dan Rais Saniman membuktikan dalam buku mereka Growth and Ethnic Inequality: Malaysia’s New Economic Policy, bahawa pekerja Bumiputera menerima gaji 20 hingga 40 peratus lebih rendah berbanding bukan Bumiputera.

13. Secara umumnya, kedudukan ekonomi orang Melayu hari ini masih meruncing. Ketidaksaksamaan dalam masyarakat agak menggerunkan kita. Pada masa yang sama, kita berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam meneruskan agenda ekonomi Melayu. Kita bersaing dalam ekonomi yang lebih terbuka. Kita berhadapan dengan fahaman kesamarataan yang menentang sebarang pelaksanaan agenda Melayu. Menerusi pelbagai instrumen perjanjian perdagangan bebas antarabangsa, negara kita didesak supaya jangan lagi mengamalkan dasar untuk melindungi kepentingan kaum Bumiputera. Kononnya, dasar seperti ini merupakan penghalang kepada pembangunan ekonomi dan merencatkan pasaran. Padahal, dasar ini pernah digunakan oleh negara maju lebih setengah abad sebelum mereka mencapai tahap negara maju.

14. Kita sebenarnya sedang menongkah arus kapitalisme global dan ideologi pasaran bebas yang semakin melebarkan jurang ketidaksaksamaan. Seperti yang diakui oleh pemenang hadiah nobel ekonomi Joseph Stiglitz dalam bukunya The Price of Inequality, dasar ekonomi yang berasaskan teori dan ideologi yang salah telah memburukkan keadaan ketidaksaksamaan dalam masyarakat di seluruh dunia, termasuk di Eropah dan Amerika Syarikat.

14. Saya fikir sudah sampai masanya kita menilai kembali model ekonomi negara kita. Ya, benar pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 6.3% adalah antara yang tertinggi di Asia; nilai pelaburan langsung asing sebanyak RM216.5 bilion pada tahun 2013 adalah antara yang terbaik dalam sejarah; kedudukan Malaysia dalam Laporan Dayasaing Global 2014 meningkat daripada nombor 24 ke nombor 20 daripada 148 buah negara. Semua ini menunjukkan bahawa pencapaian ekonomi negara kita amat memberangsangkan dan kita berada pada landasan yang betul untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

15. Tetapi di sebalik semua pencapaian ini, Yang Amat Berhormat Presiden dan saya selaku Timbalan sering memikirkan adakah kita boleh memejamkan mata dan memekakkan telinga dengan tidak berbuat apa-apa jika kaum Bumiputera yang merupakan 67.4% daripada rakyat negara kita masih berada dalam kumpulan berpendapatan rendah; jika 4 juta daripada 6.5 juta pekerja yang mencarum dalam KWSP di negara kita berpendapatan kurang RM2,000 sebulan; jika jurang ketidaksaksamaan di negara kita antara yang tertinggi di rantau ini; jika rakyat masih tidak mampu memiliki rumah sendiri.

16. Mengenai isu perumahan, ada ahli UMNO di akar umbi yang mengatakan kepada saya, rumah-rumah yang dibina dengan harga RM400,000 sebenarnya bukan rumah mampu milik, tetapi rumah mampu tengok sahaja. Pandangan ini ada juga kebenarannya. Menurut Kajian Khazanah Research Institute, harga rumah mampu milik yang sewajarnya adalah 3 kali median pendapatan isi rumah, iaitu bagi kumpulan pendapatan isirumah 40% terbawah dengan harga RM70,000 dan kumpulan berpendapatan sederhana pada harga RM160,000 atau pada purata harga RM130,000. Rumah-rumah yang dibina dengan harga yang terlalu mahal, terutamanya di kawasan-kawasan bandar dan pinggir bandar, sudah tentulah tidak mampu dibeli oleh rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

16. Saudara-saudari, persoalannya nanti, ketika negara kita mencapai sasaran Pelan Transformasi Ekonomi dengan nilai GNI RM1.7 trillion, dengan pendapatan perkapita RM48,000, dengan penambahan 3.3 juta pekerja berkemahiran dan RM1.4 trillion pelaburan daripada sektor swasta dan kerajaan, berapakah daripada jumlah sasaran ini akan turun mengalir menjadi milik kaum Bumiputera? Dalam keghairahan kita meletakkan sasaran besar untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi, kita juga harus menetapkan sasaran yang jelas untuk kaum Bumiputera dan memastikan kekayaan negara kita dapat diagihkan kepada semua rakyat baik di kota mahupun di desa, di semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak, baik kumpulan berpendapatan tinggi mahupun kumpulan pertengahan dan 40% terbawah, semuanya – kulluhum ajma’in - perlu dipastikan mendapat peluang yang adil dan saksama.

17. Saudara-saudari, kita sebenarnya amat memerlukan satu model ekonomi yang benar-benar dapat memastikan pertumbuhan disertai dengan pengagihan yang saksama. Kita tidak boleh membiarkan majoriti rakyat negara kita terpinggir dan tersisih daripada arus kemajuan ekonomi negara. Apatah lagi, ketidaksaksamaan dalam masyarakat kita hari ini bukan lagi merupakan masalah kaum semata-mata, tetapi juga masalah kelas. Kita sedang menghadapi masalah jurang yang besar antara golongan kaya dan golongan miskin, jurang antara etnik dan intra etnik,jurang antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak, jurang antara masyarakat bandar dan luar bandar, jurang antara CEO, pengurusan kanan syarikat dan pekerja bawahan. Semua ini jika dibiarkan berterusan akhirnya akan menjejaskan pencapaian ekonomi negara kita secara keseluruhan.

18. Sebagai mewakili suara orang Melayu dan Bumiputera, saya ingin tegaskan supaya pendekatan, dasar dan strategi yang lebih berkesan untuk merapatkan jurang kaum dan kelas dilaksanakan segera. Kita perlu memberikan tumpuan dan keutamaan kepada program latihan peningkatan kemahiran pekerja Bumiputera, memperbaiki mekanisme subsidi, menangani diskriminasi dalam sektor pekerjaan, memperkemaskan perundangan, pengawalan dan penguatkuasaan terhadap pekerja asing, memperkenalkan dasar mengenai peningkatan dan pengawalan pendapatan pekerja, menambah mekanisme percukaian yang lebih berstruktur (targeted), meningkatkan insentif bagi membantu keluarga menambah kekayaan, menyediakan ekosistem kondusif kepada pelajar luar bandar dan miskin bandar, menekankan semula pembangunan luar bandar, memperluaskan jaringan keselamatan sosial, dan menyasarkan tindakan afirmatif berdasarkan keperluan (need-based) khusus untuk kumpulan isi rumah 40% terbawah tanpa mengira kaum. Jangan ada mana-mana pihak yang cuba mempersoalkan tindakan pembetulan ini sebagai agenda perkauman. Ini adalah agenda negara.

19. Oleh itu, kita perlu menjadikan Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional, bukan agenda kaum. Majlis Ekonomi Bumiputera yang dipengerusikan oleh YAB Presiden mempunyai peranan penting untuk mengkaji secara terperinci kedudukan ekonomi Bumiputera, merencana hala tuju masa depan ekonomi Bumiputera, termasuk memperkukuhkan instrumen dasar, institusi dan inisiatif memajukan ekonomi Bumiputera. Saya mencadangkan supaya Agenda Bumiputera serta dasar dan strategi merapatkan jurang ekonomi dijadikan teras utama Rancangan Malaysia Ke-11 yang merupakan lonjakan terakhir Malaysia untuk menjadi negara maju. Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional tidak boleh dilaksanakan secara picisan atau terpisah daripada kerangka besar ekonomi negara. Ia mesti dilaksanakan secara inklusif, komprehensif dan merentasi semua sektor ekonomi. Saya juga mencadangkan satu Dasar Ekonomi Nasional yang baharu dirangka untuk memacu inisiatif kesaksamaan ke hadapan. Apatah lagi, tanggungjawab merapatkan jurang kaya dan miskin adalah perintah Allah s.w.t. kepada kita sepertimana firman-Nya dalam Surah Al-Nahl, Ayat 71:

وَٱللَّهُ فَضَّلَ بَعۡضَكُمۡ عَلَىٰ بَعۡضٍ۬ فِى ٱلرِّزۡقِۚ فَمَا ٱلَّذِينَ فُضِّلُواْ بِرَآدِّى رِزۡقِهِمۡ عَلَىٰ مَا مَلَڪَتۡ أَيۡمَـٰنُہُمۡ فَهُمۡ فِيهِ سَوَآءٌۚ أَفَبِنِعۡمَةِ ٱللَّهِ يَجۡحَدُونَ

Yang bermaksud:

“Dan Allah telah melebihkan sebahagian daripada kamu atas sebahagian yang lain pada rezeki yang dikurniakan-Nya dalam pada itu, orang-orang yang diberi kelebihan itu tidak mahu memberikan sebahagian daripada kelebihan hartanya kepada hamba-hamba mereka, supaya orang-orang itu dapat sama mempunyai harta. Maka mengapa mereka tergamak mengingkari nikmat Allah itu dengan perbuatan syirik?”

Memperkukuhkan Manhaj Wasatiyyah Dalam Menangani Cabaran dan Ancaman Terhadap Islam

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

20. Kita juga sedang menghadapi pelbagai cabaran baharu dalam soal agama. Saban hari saya mendengar keluh kesah orang Melayu yang bimbang dengan kesan faham liberalisme dan sekularisme ke atas aqidah umat Islam. Hari ini kita banyak mendengar kes-kes pelanggaran syariat yang dilakukan atas nama kebebasan dan hak asasi. Penghinaan ke atas umat Islam juga dilakukan secara terbuka. Selain itu, umat Islam juga sedang berhadapan dengan ancaman ekstremisme dan militanisme yang sekiranya tidak dibendung segera akan memberi kesan buruk kepada negara.

21. Apa yang lebih membimbangkan ialah wujudnya trend sekularisasi dalam agama, iaitu agama dilihat dalam neraca ideologi sekular liberal Barat yang tercabut daripada akar Syariat. Trend ini sedang berkembang di seluruh dunia. Misalnya, majalah Economist keluaran bulan Oktober yang lalu memberikan gambaran yang agak mengejutkan mengenai amalan perkahwinan sejenis yang dilarang oleh syariat Islam dan juga oleh agama-agama lain. Menurut majalah ini, dalam tahun 1950-an, perkahwinan sejenis tidak diterima di hampir semua negara di dunia. Namun, dalam tempoh hanya enam dekad, yang disebut sebagai “the leap forward”, hari ini 113 negara atau 63% daripada keseluruhan negara di dunia telah mengiktiraf perkahwinan sejenis atas nama menghormati hak asasi dan kesamarataan.

22. Keadaan ini menimbulkan keresahan dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam. Mereka bimbang sekiranya gejala sekularisasi agama ini tidak segera dibendung, maka benteng aqidah dan syariat yang sekian lama dipertahankan oleh umat Islam akan runtuh dirempuh arus liberalisme. Dalam konteks perjuangan UMNO, semua ini merupakan cabaran baharu yang tidak pernah kita lalui sebelum ini. Kalau dahulu kita cuma berhadapan dengan asakan PAS yang cuba membuktikan siapa lebih Islam. Tetapi hari ini kita berada di luar kancah perlumbaan ini. Kita sedang berada dalam dunia pasca-moden yang menganggap agama sebagai penghalang kepada kebebasan manusia. Dalam realiti hari ini, semakin ramai pula pihak yang cuba membuktikan siapa lebih liberal, bukan siapa lebih Islam.

23. Saudara-saudari, UMNO sebagai parti tunjang Melayu-Islam tidak pernah dan tidak akan sesekali meminggirkan agenda memartabatkan Islam daripada dasar perjuangan kita. Ia sudah lama termateri dalam Perlembagaan UMNO sebagaimana peruntukan Fasal 3.3 yang menjelaskan bahawa asas dan tujuan UMNO adalah untuk menegak, mempertahankan dan mengembangkan Islam. Malah sejak 57 tahun kita merdeka, UMNO-lah yang telah banyak membangunkan Islam di negara ini dalam segenap sektor sama ada pendidikan agama, ekonomi dan kewangan Islam, pembangunan sosial, pentadbiran mahupun perundangan Syariah.

24. Pendekatan UMNO sejak dahulu, kini bahkan selamanya berpaksikan kepada orientasi atau manhaj Wasatiyyah. Yang dimaksudkan dengan Wasatiyyah bukanlah pendekatan yang bersifat ‘al-ghuluw wa ttatarruf fiddīn’ iaitu bersifat melampau dan keras dalam pendekatan beragama hingga terjerumus kepada perlakuan yang kaku dan beku, dan terbawa-bawa kepada perlakuan militan yang merosakkan agama. Wasatiyyah juga tidak bersifat ‘al-tasāhul fiddīn’ iaitu memperlonggar dan mempermudahkan agama hingga ke peringkat liberal yang menyesatkan.

25. Sebaliknya pendekatan wasatiyyah yang diamalkan UMNO adalah konsep kecemerlangan dan kesederhanaan umat yang berpaksikan Syariat Islam. Sememangnya maksud wasatiyyah di dalam Islam adalah berlegar sekitar konsep keadilan, kecemerlangan, pilihan terbaik dan perimbangan dalam segala perkara. Boleh dikatakan perkataan-perkataan ini adalah kata kunci dalam memahami konsep wasatiyyah dalam Islam. Pendekatan ini jelas diisyaratkan di dalam Al-Quran, surah Al-Baqarah, Ayat 143:

وَكَذَٲلِكَ جَعَلۡنَـٰكُمۡ أُمَّةً۬ وَسَطً۬ا لِّتَڪُونُواْ شُہَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِ وَيَكُونَ ٱلرَّسُولُ عَلَيۡكُمۡ شَهِيدً۬اۗ

Yang bermaksud:

“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang terpilih lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberikan keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah)".

26. Sebab itulah saudara-saudari sekalian, sebagai pendokong perjuangan suci ini, kita sebagai pejuang UMNO bermanhaj wasatiyyah harus tegas menentang gejala esktremisme dan militanisme yang ketika ini begitu cepat mempengaruhi anak-anak muda yang mahukan jalan pintas ke syurga. Kita juga tidak akan berkompromi dengan mereka yang cuba memesongkan makna wasatiyyah yang cukup sinonim dengan prinsip kesederhanaan Islam atau moderation dengan membawa ideologi songsang seperti liberalisme dan sekularisme.

27. Kita juga tidak boleh lagi berada dalam khutub khanah lama untuk mencari penyelesaian baharu kepada kemelut yang dihadapi oleh umat Islam hari ini. Kita perlu meneroka ilmu dan kemahiran terkini untuk menangani cabaran semasa. Bagi saya, di sinilah letaknya peri penting tradisi keilmuan di dalam UMNO. Seluruh ahli UMNO perlu menambah khazanah ilmu di dada bagi mendepani cabaran masa kini.

28. Saya fikir budaya membuat laporan polis dan mengangkat sepanduk dalam menghadapi asakan terhadap akidah dan syariat Islam bukan lagi jawapan yang tuntas kepada kemelut yang dihadapi oleh ummah. Kita perlu memperbanyak perbincangan, penerbitan dan wacana mengenai kebebasan dan hak asasi manusia menurut persepektif Islam dan juga bagaimana Islam menghadapi tantangan sekularisme. Kita perlu menangani trend sekularisasi dalam agama ini dengan keteguhan akidah dan ketajaman minda, bukannya diselubungi oleh ketegaran emosi. Di samping itu, institusi-institusi Islam perlu diperkasa, penguatkuasaan undang-undang Islam perlu dipertegas dan kerjasama UMNO dengan NGO-NGO Islam perlu diperkukuh.

Bunga kesidang si bunga tanjung,
Tumbuh di laman mekar berkembang,
Agama dijulang Bangsa dijunjung,
Begitulah UMNO terus berjuang.

Pendidikan Sebagai Wahana Kemajuan dan Perpaduan Nasional

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

29. Kita juga menghadapi cabaran baharu dalam bidang pendidikan. Peranan pendidikan sebagai wahana untuk bangsa Melayu meningkatkan taraf sosio ekonomi menjadi lebih penting. Jika dahulu fokus kita dalam bidang pendidikan ialah untuk meningkatkan kadar enrolmen dan membasmi buta huruf. Hari ini, sasaran dalam bidang pendidikan telah berganjak kepada melahirkan tenaga manusia yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. Dalam dunia yang semakin kompetitif hari ini, memiliki kelayakan di peringkat menengah sahaja tidak memadai.

30. Sebagai parti yang memperjuangkan nasib Bumiputera, UMNO perlu memberi perhatian secara lebih serius kepada usaha meningkatkan kemahiran tenaga kerja Bumiputera. Data terkini menunjukkan 64.3% tenaga buruh Bumiputera mempunyai sijil SPM dan ke bawah. Hanya 27.8% berpendidikan tinggi. Keadaan ini tidak memberikan kelebihan kepada kaum Bumiputera untuk bersaing dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif. Oleh itu, kita perlu berani berganjak untuk melihat pendidikan sebagai komponen penting dalam meningkatkan pencapaian Bumiputera. Di samping memberikan fokus kepada pencapaian di peringkat pengajian tinggi, kita juga perlu memberi tumpuan kepada bidang latihan teknikal dan vokasional untuk meningkatkan kemahiran dan daya saing pekerja Bumiputera.

31. Di samping itu, kita jangan lupa peranan pendidikan sebagai wahana perpaduan dan wahana untuk membina identiti nasional. Kerana itu saya sering menegaskan kepentingan kita memperkasakan sekolah kebangsaan sebagai sekolah perpaduan. Jika murid daripada semua kaum dapat belajar di bawah satu bumbung dengan meningkatkan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan, maka saya yakin perpaduan di negara kita akan menjadi lebih kukuh. Hari ini, polarisasi kaum masih wujud sebahagiannya kerana politik kebencian yang dimainkan oleh sesetengah pihak. Sensitiviti kaum tidak dipedulikan, institusi Raja dimomokkan, malah wujud cabar mencabar antara agama. Saya percaya, kita boleh mengembalikan kepercayaan antara kaum melalui satu sistem pendidikan kebangsaan yang memberi keutamaan kepada perpaduan nasional.

32. Matlamat ini boleh kita capai jika kita meletakkan asas-asas yang kukuh untuk perpaduan dalam sistem pendidikan kita. Ini termasuklah memperkasa Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dan menjadikan perpaduan nasional sebagai agenda utama semua aliran persekolahan di negara kita, termasuk di sekolah jenis kebangsaan, sekolah agama rakyat, sekolah swasta dan lain-lain. Jangan lagi ada kisah murid yang tidak tahu berbahasa Melayu, sedangkan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan negara kita. Jangan lagi ada insiden kenyataan berbaur perkauman dikeluarkan oleh guru atau murid di sekolah. Jangan lagi ada perasaan prejudis kaum dan agama yang tebal dalam kalangan rakyat negara kita. Saya fikir, tempoh 57 tahun merdeka sudah cukup untuk kita hapuskan segala rasa prejudis dan syak wasangka antara kaum. Tinggal lagi, kita semua, baik parti politik, pertubuhan bukan kerajaan, gerakan pendidikan Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain, perlulah ada keikhlasan, ada kejujuran, dan ada kesungguhan untuk memupuk perpaduan. Jangan kita bercakap mengenai perpaduan, tetapi pada masa yang sama bertindak menebalkan tembok pemisahan kaum.

33. Pada hemat saya juga, dalam semangat untuk mengikis sikap prejudis sesama rakyat, adalah wajar kerajaan mengambil tindakan tegas dalam membendung kenyataan-kenyataan yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama daripada memercikkan api perbalahan. Adalah lebih baik kita mencegah daripada nantinya terpaksa merawat luka permusuhan yang parah. Kerana itu saya telah menyatakan pendirian saya mengenai Akta Hasutan. Bagi saya, Akta ini wajar dikekalkan dengan beberapa penambahbaikan. Peruntukan khusus perlu dimasukkan untuk melarang mana-mana pihak daripada mempersoalkan jaminan perlembagaan mengenai kedudukan agama Islam sebagai Agama Persekutuan. Akta ini juga perlu menghalang mana-mana pihak daripada mempersoalkan hak penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan agama masing-masing. Begitu juga dengan kedudukan tanah rezab Melayu dan Regimen Askar Melayu DiRaja yang merupakan sebahagian daripada wasiat Raja-Raja Melayu perlu dilindungi daripada perbuatan menghasut. Apa yang penting ialah kita perlu melihat Akta Hasutan bukan sebagai akta yang hanya melindungi kepentingan orang Melayu, tetapi akta yang memelihara perpaduan dan keharmonian nasional.

PERSEPSI ORANG MUDA TERHADAP UMNO

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

34. Hari ini, parti kita sedang menyongsong perubahan. Sebagai parti yang memperjuangkan kemerdekaan, UMNO telah banyak berjasa kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia.Tiada siapa yang boleh menafikan sumbangan UMNO kepada agama, bangsa dan tanah air. Tetapi, survival parti kita pada masa hadapan tidak boleh bergantung semata-mata kepada rekod sumbangan kita pada masa lalu. Rakyat, khususnya orang Melayu, ingin melihat apa sumbangan UMNO kepada mereka dalam mengharungi cabaran masa hadapan yang lebih getir. Untuk itu, kita perlu mempersiapkan UMNO untuk menjadi parti masa hadapan, parti harapan umat Melayu, parti idaman generasi muda Melayu dan parti yang sesuai dengan dinamika politik nasional.

35. Terus terang saya katakan saya agak bimbang melihat perkembangan hari ini. UMNO masih bertahan di kampung-kampung, tetapi semakin hilang sokongan masyarakat bandar yang lebih terbuka, lebih terdedah kepada pelbagai maklumat dan lebih sofistikated dari segi pemikiran, nilai dan cara hidup. Dalam pilihanraya umum yang lalu, UMNO kalah di kebanyakan kawasan bandar majoriti Melayu. Kita kalah di Shah Alam, Ampang, Lembah Pantai, Bangi, Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan banyak kawasan lain yang suatu ketika dahulu merupakan kubu kuat UMNO. Kita juga kalah teruk di Selangor yang merupakan negeri termaju di Malaysia.

36. Dalam rangka menyediakan ucapan saya pada malam ini, saya mendapatkan pandangan pemuda dan pemudi Melayu mengenai UMNO. Mereka terdiri daripada graduan muda, golongan profesional, aktivis masyarakat, usahawan dan ahli akademik. Bagi saya, pandangan orang muda terhadap UMNO adalah penting dalam menentukan survival UMNO. Orang muda merupakan pewaris perjuangan parti kita, dan pandangan mereka tentang UMNO akan menentukan jatuh bangunnya UMNO pada masa hadapan.

37. Saya bertanya kepada mereka apa persepsi mereka terhadap UMNO? Apa aspirasi mereka? Apa harapan mereka? Apa kebimbangan mereka? Apa perkara penting yang hendak disampaikan kepada UMNO? Saya minta supaya mereka bercakap secara jujur, ikhlas dan terbuka. Saya ingin tahu apa yang perlu UMNO lakukan supaya anak-anak muda di luar sana ghairah untuk berada bersama-sama kita dalam saf perjuangan UMNO.

38. Izinkan saya berkongsi pandangan mereka dengan saudara dan saudari pada malam ini. Pertama, mereka kata UMNO sedang mengalami trust deficit atau defisit kepercayaan; kedua, UMNO ini parti feudal; ketiga, dalam UMNO ada budaya play safe dan budaya pak turut; keempat, UMNO dikuasai oleh warlord; dan kelima, UMNO diancam oleh budaya ugut dan budaya tabur. Ini kata mereka.

39. Mereka menjelaskan satu persatu kepada saya apa yang mereka maksudkan dengan kelima-lima perkara ini. Mengenai defisit kepercayaan, mereka beritahu saya mereka sebenarnya sokong perjuangan UMNO. Mereka sayang kepada UMNO. Bagi mereka tidak ada parti lain yang boleh diharapkan untuk mempertahankan agama, bangsa dan tanah air melainkan UMNO. Cumanya, mereka ingin melihat pemimpin UMNO di setiap peringkat lebih berintegriti, lebih amanah, lebih jujur, lebih telus, tidak terpalit dengan gejala rasuah, tidak menonjolkan kemewahan yang berlebihan, tidak bergaduh sesama sendiri dan sebagainya. Jika ini boleh dilakukan, maka orang muda akan percaya semula kepada UMNO.

40. Mereka juga tidak mahu UMNO terlalu terikat dengan hirerki hingga mewujudkan gambaran parti kita menjadi parti feudal sehingga orang bawah tidak boleh bersuara selagi orang atas tidak bersuara. Sehinggakan hendak beri pandangan pun kena tengok apa orang atas kata. Kalau orang atas kata A, maka yang di bawah mesti kata A. Kalau orang atas kata B, yang di bawah pun mesti kata B.

41. Menurut mereka lagi, orang muda dalam UMNO mempunyai idea-idea yang bernas tetapi merasakan lebih baik diam daripada bercanggah pandangan dengan orang atas. Ada yang kata kalau bercakap lebih sedikit nanti dianggap hendak memandai. Ada pula yang beri nasihat orang muda mesti berhati-hati dalam politik. Jangan terlalu menonjol. Jangan terlalu laju. Nanti kena sekat, nanti kena cantas, kena kerat, kena sabo, kena cah keting, kena terajang dan lain-lain lagi. Jadi, lama-kelamaan mereka fikir lebih baik diam daripada bercakap, atau lebih selamat jadi pak turut saja. Seolahnya ada satu budaya play safe, atau budaya pilih jalan selamat dalam UMNO.

42. Akibatnya, dalam UMNO, lebih ramai orang memilih untuk berdiam diri daripada bercakap. Ini mewujudkan persepsi bahawa parti kita sedang dilanda budaya kelesuan. Akhirnya, orang Melayu dan rakyat tertanya-tanya di mana suara keramat UMNO? Di mana taring Pemuda? Di mana ketegasan Wanita? Di mana kelantangan Puteri? Kesannya, kita seolahnya ketandusan pemimpin untuk menjuarai kepentingan orang Melayu. Sehinggakan timbul cakap-cakap di luar sana yang mengatakan NGO Melayu lebih lantang daripada UMNO dalam memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu.

43. Bagi saya, kita perlu membuktikan bahawa UMNO bukannya sebuah parti yang lesu. UMNO bukannya parti yang mempunyai budaya pak turut, budaya nyanyi, budaya puji, budaya lambung, budaya ampu sana ampu sini. UMNO adalah parti yang berwibawa, parti yang ada idealisme, parti yang ada masa depan, parti pilihan anak-anak muda. Ingatlah, orang muda hari ini tidak suka jadi pak turut. Mereka naik geli dengan budaya ampu. Mereka benci budaya sabo. Mereka tolak budaya cah keting. Jika kita boleh buang semua budaya negatif ini jauh-jauh, saya yakin UMNO akan menjadi parti pilihan orang muda.

44. Satu lagi ialah budaya warlord. Ramai yang beritahu saya dalam UMNO ada banyak warlord. Mereka ini amat berkuasa kerana mempunyai ramai pengikut setia yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mereka. Dengan sokongan pengikut, warlord akan mengugut pemimpin atasan parti untuk berikan apa sahaja yang mereka minta. Jika tak diberi, mereka akan sabo parti dalam pilihan raya.

45. Kita perlu buktikan bahawa warlord bukan sebahagian daripada budaya UMNO. Kita menolak sikap sekalangan yang cuba untuk kekal berkuasa dengan menabur kemewahan kepada pengikut. Sehinggakan ada yang kata tak payah buat kerja dalam UMNO. Yang perlu dibuat ialah kumpul kekayaan untuk tabur kemewahan kepada pengikut supaya mereka sentiasa setia. Keadaan ini menyebabkan kos politik menjadi semakin mahal. Yang tiada wang tidak boleh masuk politik. Walaupun ada bakat, ada kelulusan, ada kebolehan, mereka tak mampu untuk bergerak aktif dalam parti jika tiada wang. Saya bimbang, akhirnya nanti yang naik dalam hirerki parti adalah orang yang ada wang, bukan orang yang ada kebolehan. Orang kata money is everything in politics. No money, no talk. Seolahnya, wang adalah kuasa, wang adalah segala-galanya.

46. Saya kadang kala terfikir adakah sudah tidak ada keikhlasan dan kejujuran dalam perjuangan? Adakah sudah tidak ada nilai pengorbanan dalam politik? Adakah pengikut menilai pemimpin semata-mata berdasarkan kemampuan mereka untuk tabur kemewahan? Adakah pemimpin mengukur kesetiaan pengikut berdasarkan harga yang mereka bayar? Bagi saya, budaya ugut dan tabur ini amat bahaya kepada parti kita. Budaya ini akan menyebabkan politik wang berleluasa di dalam parti. Pengikut yang terima wang akan suka. Mereka puji pemimpin yang boleh beri sesuatu kepada mereka. Tetapi jangan kita lupa. Rakyat di luar sana tak suka politik wang. Mereka curiga bila lihat orang politik hidup mewah. Tak setimpal dengan pendapatan. Apatah lagi jika ada yang suka menunjuk-nunjuk kemewahan. Rakyat akan mula menuduh bermacam perkara yang tidak baik terhadap parti kita. Inilah punca masalah trust deficit atau defisit kepercayaan terhadap UMNO. Jadi, ingatlah. Apa guna kita naik dalam hirerki parti, tetapi rakyat menolak parti kita kerana mereka tidak suka dengan imej dan sikap kita.

47. Apa yang saya sebutkan ini adalah persepsi dan kritikan orang muda terhadap UMNO. Barangkali ada yang betul, ada juga yang kurang tepat. Tetapi mengambil yang baik daripada kritikan ini adalah lebih afdal. Ini membuktikan bahawa UMNO adalah parti yang terbuka dan kita sentiasa bermuhasabah. Sepertimana firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Zumar Ayat 18:

ٱلَّذِينَ يَسۡتَمِعُونَ ٱلۡقَوۡلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحۡسَنَهُ ۥۤۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلَّذِينَ هَدَٮٰهُمُ ٱللَّهُۖ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمۡ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ


Yang bermaksud:

Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayat petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.

HARAPAN ORANG MUDA TERHADAP UMNO

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

48. Sebenarnya, orang muda dan umat Melayu seluruhnya menaruh harapan yang tinggi kepada UMNO. Mereka tidak menolak perjuangan UMNO. Mereka mahu supaya pemimpin UMNO tegas memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam, tetapi pada masa yang sama tidak dilihat terlalu ekstrem perkauman atau terlalu liberal. Mereka percaya bahawa dalam sebuah masyarakat pelbagai kaum, UMNO perlu bersikap adil terhadap kaum-kaum lain, tetapi tidaklah sampai menggadaikan asas dan prinsip perjuangan UMNO. Pendek kata, orang muda mahu UMNO terus menjadi parti yang sederhana, parti yang berjaya mengekalkan keseimbangan dalam hubungan kaum dan agama. Apa yang penting ialah pemimpin UMNO mesti dilihat lebih ikhlas, lebih jujur, lebih telus, lebih adil dan lebih berwibawa dalam menggalas perjuangan parti.

49. Saya fikir orang muda mempunyai pemikiran yang agak kritis. Apabila ada perkara yang dilihat tidak cocok dengan idealisme mereka, maka mereka akan mengkritik.Tetapi itulah lumrah orang muda. Itulah juga kekuatan orang muda. Mereka yakin dengan idealisme mereka dan berani memperkatakan apa yang mereka fikir benar. Mereka ada courage – iaitu keberanian - dan ada conviction - yakni keyakinan yang teguh dengan apa yang mereka fikirkan benar. Kedua-dua sifat inilah yang menjadikan orang muda ada kewibawaan, ada ketokohan, ada keupayaan untuk memimpin.

50. Jadi, dalam proses untuk melengkapkan perubahan dan peremajaan UMNO, untuk menjadikan UMNO sebagai parti harapan orang muda, parti idaman, parti masa depan, saya mencadangkan 7 langkah pembaharuan yang perlu kita laksanakan segera:

Pertama, UMNO perlu melahirkan pemimpin muda yang berwibawa dan menjadi peneraju pemikiran (opinion leader) di dalam masyarakat. Garap idealisme orang muda. Galakkan budaya berfikir dan bersuara dalam UMNO. Pemimpin muda yang ada idealisme, ada wibawa dan berani bersuara perlu diketengahkan untuk menjuarai isu-isu rakyat, menjadi jurucakap parti, bukan diketepikan oleh parti;

Kedua, UMNO perlu melakukan pencarian bakat. Kita perlu menyediakan platform untuk orang muda daripada golongan profesional, intelektual, agamawan, aktivis sosial dan lain-lain yang diterima oleh masyarakat untuk bergerak aktif dalam UMNO. Paltform ini perlu diwujudkan di peringkat pusat, negeri dan bahagian. Contohnya, mereka yang berbakat boleh dilantik ke unit-unit tertentu di dalam parti dan diberi peranan untuk menyumbang kepada parti. Kita juga perlu ketengahkan mereka yang berbakat dan berkaliber untuk menjadi calon dalam pilihanraya. Mereka ini tidak semestinya berjawatan tinggi dalam parti. Pengalaman kita dalam pilihanraya kecil Pengkalan Kubor dan Kuala Besut menunjukkan calon yang tidak berjawatan tinggi di peringkat bahagian boleh menang kerana mereka diterima oleh rakyat;

Ketiga, wujudkan modul pengkaderan dan pentarbiyahan yang tersusun untuk melahirkan lebih ramai pemimpin muda UMNO yang bijak, petah dan tangkas berhujjah serta teguh daya rohaninya. Kita perlu membentuk UMNO dengan kalangan ahlinya yang punya kekentalan semangat serta menghayati prinsip dan matlamat perjuangan parti yang sebenar. Beri mereka kekuatan untuk mengolah perjuangan UMNO yang lebih segar dalam konteks cabaran semasa. Jadikan mereka kumpulan pemikir muda di dalam UMNO.

Keempat, semarakkan semangat kesukarelawanan melalui program-program bersama rakyat. Pecahkan tembok pemisah antara parti dan rakyat menerusi kerja-kerja sukarela. Dekati rakyat, dengar rintihan mereka, fahami masalah mereka. Tanya diri kita, berapa ramai daripada kita yang sentiasa mendekati rakyat dan disayangi oleh rakyat. Manfaatkan sepenuhnya teknologi maklumat, khususnya media sosial, untuk sentiasa mendekati dan memenangi hati golongan muda;

Kelima, wujudkan institusi naziran di dalam UMNO untuk memantau setiap Bahagian dan Cawangan. Satu Jabatan Naziran perlu diwujudkan di dalam UMNO untuk pastikan semua pemimpin di peringkat Majlis Tertinggi, sayap, negeri, bahagian dan akar umbi buat kerja. Bahagian ini bertanggungjawab untuk melaporkan kepada Jawatankuasa Pengurusan UMNO dan Majlis Tertinggi mengenai keberkesanan program-program yang dilaksanakan oleh parti;

Keenam, gerakkan revolusi mental yang baharu dalam UMNO dan bangsa Melayu seperti yang pernah digarap oleh Allahyarham Datuk Senu Abdul Rahman. Mungkin kita boleh namakan Revolusi Mental 2.0. Cerna idea, pemikiran dan kaedah baharu untuk menangani cabaran perubahan zaman dalam bidang ekonomi, politik, agama, hubungan kaum, teknologi dan lain-lain. Sepertimana yang diungkapkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak dalam pendahuluan buku Revolusi Mental, antara sebab kemunduran bangsa Melayu ialah pemikiran yang terkebelakang yang disebabkan oleh kekurangan ilmu dan cara hidup yang lama. Justeru, UMNO perlu berani menerajui perubahan pemikiran, budaya dan sikap bangsa Melayu untuk menempa kemajuan. Pada masa yang sama, hadapi dengan bijaksana kemunculan pelbagai tantangan yang cuba menggoyahkan prinsip perjuangan UMNO untuk bangsa Melayu sebagai bangsa teras di Malaysia. Yang penting, jadikan prinsip perjuangan UMNO relevan sepanjang masa; dan

Ketujuh, bangkitkan gerakan kesedaran nilai undi dalam kalangan masyarakat Melayu. Gerakan pendaftaran pengundi baharu mesti dibuat dengan lebih bersungguh-sungguh. Jangan buat sambil lewa. Jangan buat sekadar melepas batuk di tangga kata orang. Jangan sampai kegagalan kita menambah bilangan pengundi Melayu menyebabkan kaum Melayu yang merupakan kaum majoriti menjadi golongan minoriti dalam pilihanraya. Sasaran gerakan ini wajib dimulai dengan memastikan semua ahli UMNO yang layak mengundi didaftarkan sebagai pengundi.

MEREKAYASA PERUBAHAN

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

51. Bagi saya, UMNO mesti melakukan perubahan yang drastik jika ingin kekal relevan dengan peredaran masa. Pendekatan dan gerak kerja UMNO hari ini sedang dipintas oleh gerakan yang lebih canggih dan sesuai dengan selera masa kini. Lebih-lebih lagi, jika UMNO ingin menjadi parti masa hadapan, maka citra UMNO mestilah cocok dengan jiwa anak-anak muda Melayu, golongan profesional Melayu dan tidak lupa seluruh generasi muda yang berada di desa mahupun di kota. Mereka adalah pewaris perjuangan parti kita.

52. Untuk itu, UMNO memerlukan suntikan tenaga muda sama ada di kalangan wanita dan lelaki, yang berkebolehan dan berkelayakan untuk memimpin parti. Orang lama mesti beri laluan kepada orang muda. Lebih-lebih lagi jika kita menjadi liabiliti kepada parti, kita harus segera berundur secara terhormat. Kita telah lama bercakap mengenai peremajaan UMNO, tetapi tanyalah diri kita apakah proses ini benar-benar berlaku di dalam parti.

53. Untuk tidak ada banyak masa untuk menunggu perubahan berlaku. Kita perlu merekayasa perubahan. If change does not happen, we have to engineer the change. Justeru pada hemat saya, wajar untuk kita pertimbangkan pemilihan parti dilaksanakan mengikut kehendak Perlembagaan UMNO dan tidak ditangguhkan selepas pilihanraya umum seperti yang pernah dibuat sebelum ini. Saya juga mencadangkan pindaan Perlembagaan UMNO diadakan tahun hadapan dengan memperuntukkan pindaan yang sesuai untuk membolehkan barisan pelapis muda menyumbang peranan dan khidmat bakti yang lebih besar kepada UMNO. Saya percaya UMNO tidak akan berpecah sekiranya pemilihan diadakan. Pemimpin UMNO tentunya cukup matang untuk menghadapinya. Saya sendiri akan sentiasa berdiri bersama-sama YAB Presiden untuk merealisasikan perubahan dan peremajaan parti kita.

54. Ini adalah seruan terakhir untuk UMNO. Do or be dead! Jangan letak kepentingan diri melebihi kepentingan parti. Saya ingin mengingatkan diri saya sendiri dan pemimpin UMNO di semua peringkat, jika kita menjadi batu penghalang kepada peremajaan parti, maka kita mesti berundur secara terhormat. Parti kita mesti kekal relevan supaya bangsa Melayu terus terbela. Diri kita tidak penting. Yang penting ialah bangsa Melayu dan UMNO. Ingatlah, Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri mengubah apa yang ada dalam dirinya. Sepertimana firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Ra’du Ayat 11:

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِہِمۡۗ

55. Jangan kita lupa akan seruan YAB Presiden. Di Dewan Merdeka ini jugalah semasa merasmikan Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO tahun 2008, Presiden dengan jelas menuntut agar kita berubah untuk kepentingan rakyat. Saya petik kata-kata Presiden. “Berubah dari sikap-sikap mazmumah kepada sikap-sikap mahmudah. Berubah daripada kurang mesra kepada mesra, daripada mementingkan diri kepada mementingkan rakyat, daripada malas kepada rajin kerja, berubah daripada kurang berkhidmat kepada suka berkhidmat. Berubahlah, jika tidak, kita rebah”. Soalnya, apakah kita mengambil serius gesaan YAB Presiden ini? Atau, adakah ia ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri?

56. Saudara-saudari, kita mesti memperbetulkan segera segala kesilapan kita dan melakukan perubahan demi kelangsungan agama dan bangsa kita. Amatilah betul-betul peringatan Allah s.w.t. sebagaimana firmanNya dalam surah Al-An’am Ayat 6:

أَلَمْ يَرَوْا كَمْ أَهْلَكْنَا مِنْ قَبْلِهِمْ مِنْ قَرْنٍ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ مَا لَمْ نُمَكِّنْ لَكُمْ وَأَرْسَلْنَا السَّمَاءَ عَلَيْهِمْ مِدْرَارًا وَجَعَلْنَا الْأَنْهَارَ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهِمْ فَأَهْلَكْنَاهُمْ بِذُنُوبِهِمْ وَأَنْشَأْنَا مِنْ بَعْدِهِمْ قَرْنًا آخَرِينَ

Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain?

PENUTUP

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

57. Zaman untuk dipuja dan dipuji dalam kelompok sendiri sudah berlalu. Ini adalah zaman untuk kita bersama-sama masyarakat, merasai keresahan mereka, berusaha mencari penyelesaian kepada permasalahan yang mereka alami. Ini zaman untuk kita meraih keyakinan rakyat, zaman untuk kita memimpin bangsa mengharungi cabaran yang semakin hebat. Hormat rakyat bukan sesuatu yang boleh dipaksa. Berusaha, berkhidmatlah kepada rakyat bagi mendapatkan hormat mereka kepada kita. UMNO adalah parti massa yang lahir daripada kebangkitan rakyat yang mempunyai matlamat dan arah tuju yang jelas. UMNO terbina demi masa depan umat Melayu dan negara. UMNO bukan parti yang lahir daripada rasa benci, tetapi penuh dengan rasa kasih dan sayang demi kesejahteraan rakyat. UMNO adalah parti yang sarat dengan harapan untuk masa depan bangsa dan negara. Binalah keyakinan, tunjukkanlah keazaman, hamparkanlah harapan kepada bangsa Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya bahawa parti ini adalah pilihan terbaik buat mereka.

59. Kepada umat Melayu dan Bumiputera yang sedang menekuni ucapan saya ini samada yang berada di Semenanjung, Sabah dan Sarawak bersatulah kita atas nama kewatanan dan kecintaan kepada negara. Kita sudah tiada masa untuk bertelingkah atau berbenci antara satu sama lain. Kepada seluruh rakyat tanpa batas kaum dan fahaman, marilah kita menolak gerakan meracuni dan membenci sesama kita. Jangan kita biarkan negara ini runtuh hanya kerana umpan-umpan yang dilontarkan kepada kita oleh pihak luar.

60. Kepada Wanita, bangunlah dengan istiqamah perjuangan. Hulurkan salam jemputan buat wanita Melayu dari segenap ceruk rantau dan latar belakang--guru wanita, ustazah, peguam, doktor, pegawai profesional hatta NGO wanita dan ibu-ibu tunggal-- marilah bersama-sama sebaris dengan kita dalam perjuangan ini. Buat Pemuda, bangkitlah dengan bara perjuangan. Beranikan diri berada di mana sahaja bila panggilan untuk berkorban masa dan tenaga. Bawalah golongan muda yang dahagakan kebersamaan dan interaksi. Berikan mereka harapan. Buat Puteri, bangkitlah dengan semangat baharu yang segar membawa pemudi dan wirawati negara meyakini perjuangan kita. Tanamkan benih kasih kepada mereka, nescaya mekarlah nanti dengan rimbunan pendokong.

61. Harapan saya kepada seluruh bangsa Melayu, renunglah nasib masa depan bangsa kita. Hargai sejarah perjuangan bangsa di masa lalu, perjuangan yang meletakkan kita di sini hari ini. Bangkitlah bersama-sama UMNO untuk merencana masa depan bangsa kita agar tidak hilang ditelan zaman, agar terus tegar mendepani cabaran. Saya percaya, dengan kekuatan tekad dan keazaman kita semua, dengan limpahan rahmat dan inayah Allah s.w.t, UMNO akan beroleh kekuatan dan keyakinan untuk melakukan perubahan dan pembaharuan, dan seterusnya mara membela agama, bangsa dan negara kita.

Gagahnya pahlawan dahulukala,
Menjadi tauladan sepanjang zaman,
Kalian tinggalkan warisan bangsa,
Untuk kita teruskan perjuangan.

Hidup Melayu! Hidup Melayu! Hidup Melayu!


Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya dengan sukacitanya merasmikan Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2014.