Sunday, November 30, 2014

Ucapan Dasar Presiden UMNO YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak Sempena Perhimpunan Agung UMNO Kali ke-65 Tahun 2014




Ucapan Dasar Presiden UMNO
YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak
Sempena Perhimpunan Agung UMNO
Kali ke-65 Tahun 2014



SOLIDARITI MELAYU DAN BUMIPUTERA,

 SOLIDARITI UMNO, SOLIDARITI MALAYSIA.

 Bismillahhirrahmanirrahim,

 Alhamdulillahirabbil’alamin. Wabihi Nasta’in. Allahumma Solli Ala Saidina Muhammad Wa’ala A-li Saidina Muhammad.

 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam 1Malaysia,

 Yang Berbahagia Tan Sri Pengerusi Tetap,

 Yang Berbahagia Tan Sri Timbalan Pengerusi Tetap,

 YAB Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden,

 Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri,

 Barisan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi,

 Pimpinan Parti-Parti Komponen,

 Yang Amat Berbahagia, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi,

 Dif-Dif Kehormat,

 Seterusnya Saudara Rakan-Rakan Seperjuangan dalam Parti UMNO yang berkeramat ini.


 1. Pagi ini merupakan kali ke-6, saya berdiri di hadapan para perwakilan serta para tetamu sebagai Presiden. Saya merujuk juga kepada seluruh rakyat Malaysia yang sedang menonton di kaca-kaca televisyen dan mendengar di corong-corong radio.

 2. Termasuklah sebahagian besar generasi Y, yang mengikuti Persidangan Agung UMNO ini.

 3. Apatah lagi pada saudara sekalian, barisan pimpinan di atas pentas, para perwakilan yang sedang duduk dan berdiri di bawah serta yang di atas sana, pimpinan mahasiswa tempatan, perwakilan-perwakilan UMNO luar negara, tidak dilupakan adik kakak, pakcik makcik, yang sedang mengamati layar besar di luar dewan ini.

 Saudara sekalian,

 4. Pada 11 Mei kira-kira 68 tahun lalu, UMNO telah ditubuhkan. Ini merupakan usaha terbesar dalam agenda menyatupadukan orang-orang Melayu.

 5. Terbukti, setelah parti ini dibentuk, maka, termaktublah dalam catatan sejarah bahawa, UMNOlah yang telah berjaya menguburkan rancangan penubuhan Malayan Union.

 6. Sememangnya lagi, perjuangan dan pengorbanan orang-orang Melayu dalam menempuh semua cabaran itu, tidak lain tidak bukan, dengan berpegang kepada satu prinsip dan semangat yang dinamakan solidariti.

 7. Sesungguhnya, inilah bukti dari mata ke mata, dari hati ke hati bahawa, semangat perjuangan Parti Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO akan terus marak, terus menjulang dan terus menyala.

 Mari kita laungkan bersama-sama, sebanyak 3 kali,

Hidup UMNO!! Hidup UMNO!! Hidup UMNO!!

 Saudara Sekalian,

 8. Pada 31 Ogos lepas, kita telah merayakan ulangtahun kemerdekaan tanah air yang ke-57. Kemudiannya, pada 16 September semasa sambutan Hari Malaysia di Bumi Kenyalang, hasil perbincangan bersama para pimpinan di Sabah dan Sarawak, kita telah putuskan bahawa, akan hanya menyambut satu tarikh rasmi kemerdekaan.

 9. Ini kerana, 16 September itu bukanlah disengajakan. Ia hanyalah berpunca daripada kelewatan pengesahan laporan pungutan suara daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

 10. Dalam hal ini, barangkali ramai yang tertanya-tanya mengapa kita mahukan satu sahaja tarikh kemerdekaan bagi seluruh Malaysia. Jawapannya adalah, solidariti.

 11. Malah, yang lebih mustahak perlu diketahui, itulah hasrat Almarhum Tunku Abdul Rahman, bahawa kita semua hendaklah menyambutnya di tanggal 31 haribulan Ogos. Tapi jangan bimbang, cuti umum 16 September masih tatap kita raikan dan rayakan.

 Saudara sekalian,

 12. Hakikatnya, kita semua sedang berpijak di atas tanah air yang sungguh aman dan sentosa. Menjunjung pula langit luas terbentang. Disimbahi hujan rahmat sepanjang tahun. Bertulangkan, antaranya banjaran Titiwangsa, Banjaran Crocker serta Tama Abu, Malaysia diliputi pula hutan hujan tropika.

 13. Selain itu, kita berada pula hampir pada garis pembahagi hemisfera, iaitu Khatulistiwa menjadikan tanah air ini sentiasa dilindungi awan.

 14. Malah, cahaya matahari tetap menyinar sepanjang tahun. Bersyukurlah atas nikmat-nikmat ini. Semuanya itu, kurniaan daripada Maha Pencipta.

 15. Secara geografinya, gabungan Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang dipisahkan oleh Laut China Selatan, membentuk kawasan 330,290 km persegi.

 16. Inilah pusaka tinggalan nenek moyang kita, yang diwargai lebih 28 juta penduduk. Terdiri daripada puluhan suku, ras, etnik, dan kaum.

 17. Apatah lagi menjelang tahun 2020 nanti, keseluruhan jumlah Melayu dan Bumiputera, Islam dan bukan Islam akan mencecah angka lebih 70 peratus.

 18. Seandainyalah semua dapat bersatu di bawah lembayung UMNO dan Barisan Nasional, bayangkanlah saudara sekalian, betapa kuatnya kita, betapa kukuhnya kita, bukan sahaja setakat boleh memenangi pilihanraya umum ke-14 nanti, bahkan kita dengan bangganya dapat bersama-sama menjengah negara maju atau high income advanced economy dalam satu ikatan solidariti yang tidak mungkin terpecah bentengnya.

 Saudara sekalian,

 19. Ternyata, pertiwi indah ini, telah terbina sejak hampir 6 dekad. Segala yang kita lihat tidak datang dengan mudah dan sendirinya. Sebetulnya pun, suka duka perjalanan Malaysia penuh episod dan peristiwa.

 20. Selanjutnya, bak kata pepatah, disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Insiden pahit Lahad Datu telah mempalit dan mencalarkan sejarah watan.

 21. Berbekalkan peristiwa itu, bersyukurlah, akan hikmah-hikmah yang muncul bersamanya. Kejadian perit yang tidak diundang itu ternyata telah mempertautkan lagi persaudaraan dan ikatan silaturrahmi antara rakyat Malaysia.

 22. Buktinya, ramai perajurit yang berasal daripada Tanah Semenanjung, telah turut gugur di medan juang, bersama rakan-rakan perwira dan anggota keselamatan dari Negeri di Bawah Bayu, demi mempertahankan, supaya, jangan sejengkal pun tanah Sabah, jatuh ke tangan sesiapa.

 Inilah dia lambang solidariti.

 Saudara Sekalian,

 23. Demikianlah, berkait perjalanan negara meniti ceritera kemakmuran. Dulunya, bermula dengan cemuhan, ketidakpercayaan oleh banyak pihak dan sindiran tajam, bahawa kita tidak mungkin mencapai matlamat sebagai sebuah negara bangsa.

 24. Tapi kini, di sana sini orang bertanya-tanya, apakah formula dan apakah rahsia sebagai azimat kepada kesentosaan Malaysia. Jawapannya, sekali lagi, solidariti.

 Saudara Sekalian,

 25. Takwim 2014, sangat menguji kita, apabila digemparkan dengan tragedi tidak terduga, misteri kehilangan pesawat MH370 dan peristiwa tragik pesawat MH17 yang terhempas di kawasan Timur Ukraine.

 26. Pada detik-detik cemas itu Saudaraku Sekalian, kuasa-kuasa besar pun tidak mampu untuk menolong. Lalu tidak pernah terjadi dalam sejarah, saya terpaksa berunding dengan puak pemberontak yang tidak beridentiti negara, sehingga berjaya mendapatkan kotak hitam dan akhirnya memasuki kawasan kejadian.

 27. Pucuk pangkalnya, dengan kehendak Allah jua, kita telah berupaya membawa pulang hampir kesemua jenazah yang telah terkorban kembali ke tanah air, di mana mereka berasal.

 28. Jelasnya, saudara sekalian, rakyat Malaysia secara keseluruhan telah menunjukkan semangat muafakat yang sungguh luar biasa, khususnya sewaktu Hari Berkabung.

 29. Sebab itulah, kita mahu dan kita ingin semangat kebersatuan yang berkobar-kobar lagi membara sebegini, diteruskan sampai bila-bila. Inilah lambang perpaduan yang dinamakan solidariti.


FALSAFAH DAN KERANGKA MALAYSIA SEBAGAI SEBUAH NEGARA BANGSA MENUJU MASA DEPAN

 Saudara Sekalian,

 30. Jikalau kita membongkar tamadun dunia, pastinya antara peristiwa penting yang perlu kita rujuk sebagai iktibar adalah tawarikh seorang Nabi besar bergelar Ulul Azmi, Ibrahim Alaihi Salam.

 31. Semasa baginda memulakan pembinaan Kota Mekah yang kontang dan kering ketika itu, Nabi Ibrahim telah berdoa seperti tercatat dalam Surah Al-Baqarah, ayat 126, mafhumnya, meminta agar Tuhan menjadikan bumi dan tanah suci tempat Baginda bertapak itu, satu tempat yang aman dan subur serta dikurniakan pula rezeki kepada para penduduknya.

 32. Seterusnya bila disingkap sirah junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Apabila Baginda mula membina negara Madinah, 3 hal atau 3 perkara yang utama telah disabda dan diperbuat.

 33. Pertamanya: menyebarkan salam dan keamanan. Dalam erti kata, mempertautkan hubungan antara pelbagai puak dan kaum, tidak kira apa jua keturunan serta kefahaman.

 34. Keduanya: menumpukan hal ehwal ekonomi dan kebajikan sehingga kepada bab keperluan makan dan minum para penduduk negeri.

 35. Dan ketiganya: mengukuhkan hubungan persaudaraan atau silaturrahmi antara semuanya, tidak kira sesama Islam khususnya, dan di antara Islam dan bukan Islam umumnya.

 Saudara Sekalian,

 36. Berhubung itu, kita tidak pernah mengatakan pimpinan UMNO memiliki apa-apa karomah, jauh sekali mempunyai apa-apa mukjizat seperti para Rasul dan Nabi-Nabi. Tidak seperti ada orang itu, yang sanggup mengangkat suaminya sendiri sebagai “Anugerah Tuhan”.

37. Akan tetapi, kita berasa bersyukur atas nikmat akal fikiran yang dikurniakan oleh Ilahi kepada pimpinan UMNO serta parti, oleh sebab, pabila dirujuk dalam konteks negara kita, bolehlah dibuat perbandingan, dalam pembinaan negara bangsa Malaysia bermula sejak merdeka, ternyata tanpa sedar, kita telah mengambil pengajaran daripada dua peristiwa besar para anbiya’ itu tadi, Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad.

 38. Sebagai contoh, jika kita teliti, bapa-bapa pimpinan yang terdahulu, dengan segala pendekatan berhikmah dan bijaksana, telah memulakan lembaran baharu negara ini, ibarat menghampar sehelai kain putih yang terbentang untuk dipercorak serta diwarna-warnikan.

 39. Langkah terawal diambil oleh pimpinan Kerajaan yang ditunjangi oleh UMNO adalah mewujudkan keamanan dan kestabilan melalui suatu persefahaman dinamakan kontrak sosial.

 40. Ia melibatkan pengorbanan semua pihak yang mempersetujuinya terutama orang-orang Melayu dan Bumiputera. Kontrak sosial itu menjadi satu wahana demi mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat, bagi sebuah negara yang masih muda dan baharu.

 41. Terserlah, solidariti yang dipupuk itu, menjadi asas kepada perjalanan Malaysia sejak dulu hingga kini, dan InsyaAllah selama-lamanya.

 Saudara Sekalian,

 42. Langkah kedua yang dibuat oleh para pemimpin UMNO terdahulu sampai sekarang pula, turut mengikuti jejak-jejak yang dianjurkan dalam sirah Islam dengan menumpukan kepada pelbagai rancangan berbentuk ekonomi, sehingga Tahun 2010 dan apabila saya mengambil alih tampuk pentadbiran, kita telah perkenalkan pula Dasar Transformasi Nasional.

 43. Menjelang pertengahan tahun hadapan kelak, kita bakal memulakan Rancangan Malaysia ke-11, yang menjadi pelonjak mula menuju negara maju berpendapatan tinggi.

 44. Kesemuanya ini, adalah garis-garis besar dan haluan-haluan penting, bagi memperteguhkan ketahanan ekonomi, memakmurkan negara serta menjaga kebajikan rakyat terbanyak sejak berdekad-dekad yang lalu.

 45. Selanjutnya, satu tindakan yang dilakukan tanpa jemu oleh Kerajaan, yang dikemudi oleh parti ini ialah untuk mempastikan kelangsungan solidariti masyarakat, kerana itulah aset yang paling mustahak untuk kita pelihara, demi survival UMNO, demi survival Barisan Nasional malah demi survival Malaysia tercinta.

 Saudara Sekalian,

 46. Menyisir apa yang sudah saya sampaikan, secara sedar ataupun tidak, dalam tempoh kurang dari 60 tahun, negara bertuah ini telah melalui pelbagai peringkat kemajuan dan kepesatan.

 47. Seterusnya, semasa membentangkan bajet 2015, saya telah menetapkan bahawa, falsafah tunjang mestilah menitikberatkan keseimbangan antara Capital Economy dan People Economy.

 48. Kerana, dari sudut teori mahupun ilmiah, kedua-duanya wujud secara simbiosis atau saling perlu bagi membentuk Ekonomi Keperluan Rakyat atau EKR, tapi bukan PKR.

 49. Bajet yang digubal itu menumpukan kepada 7 strategi, demi kebajikan dan keperluan harian rakyat, khususnya berkaitan kos sara hidup.

 50. Berdasarkan hal yang demikian, tampaknya, apa yang telah dirancang, direkayasa dan dilaksana oleh Kerajaan pimpinan UMNO bersama rakan-rakan komponen, sejak lima puluh tujuh tahun yang lepas adalah betul dan telah berjaya meletakkan Malaysia di jajaran yang kukuh dan pada landasan yang tepat.

 51. Inilah dia usaha yang dilakukan atas rasa tanggungjawab moral yang tinggi oleh UMNO dan Barisan Nasional, demi kepentingan rakyat dan negara.

 Saudara Sekalian,

 52. Malaysia kini dilihat dan digelar sebagai sebuah negara Islam moden, progresif lagi dinamik.

 53. Menyentuh ehwal inilah, sejak beberapa tahun kebelakangan, saya menyebut bahawa negara kita seharusnya berteraskan kerangka Maqasid Syariah yang dipaksi oleh falsafah keadilan sosial.

 54. Seperti yang digariskan oleh Imam Al-Ghazali dan Imam Ash-Shatibi, Maqasid Syariah adalah prinsip yang mendasarkan 5 perkara pokok, sebagai teras dan pedoman kepada semua rukun perjalanan negara.

 55. Maknanya, apa jua hal pentadbiran, politik dan ekonomi, semestinya dipandu dan dirujuk serta saling lengkap-melengkapi, saling berkait dengan objektif syariah. Barulah nanti, terbit pengamalan Islam sebagai Ad-Deen yang sejati, menurut Al-Quran dan Sunnah.

 56. Berasaskan semua itu tadi saudara sekalian, jika dapat saya rangkumkan, formula kepada parti UMNO yang kita amalkan selama ini, berserampang kepada beberapa elemen utama.

 57. Pertamanya, wasatiyyah atau kesederhanaan. Bersederhana di sini tidak bermaksud pencapaian yang biasa-biasa atau mediokriti, sebaliknya menuntut kepada nilai kerja yang tinggi, halus, bermutu dan bersungguh, bukan juga yang ala kadar. Manakala budaya kehidupan pula, yang penuh beretika, bukan pincang akal budinya, atau penuh kerosakan.

 58. Keduanya, UMNO perlu terus menjadi parti yang mementingkan pendekatan berimbang. Ia bersifat pertengahan dan tidak melampau serta menyampaikan hak kepada yang berhak.

 59. Sebagai contoh, dalam langkah konsolidasi fiskal, cara Kerajaan memberi subsidi, kini beralih daripada secara pukal kepada subsidi bersasar. Ertinya, kita memberi pertolongan dan hak kepada yang berhak, seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia terus kepada golongan masyarakat yang benar-benar memerlukan.

Saudara Sekalian,

 60. Ketiganya, UMNO perlu menjadi parti yang unggul dan mementingkan kecemerlangan. Maknanya, orang-orang UMNO dituntut menjadi saf atau barisan yang unggul mendepani kelok kejayaan. Kata-kata Hukamak menukilkan bahawa, bekerjalah kamu untuk kepentingan dunia, seolah-olah ingin hidup seribu tahun dan beribadatlah kamu seperti akan menemui mati pada hari esoknya.

 61. Sememangnya pun, pada UMNO, selama ini, dunia kita kelek, akhirat pun kita junjung. Lantas, orang-orang UMNO sewajibnya menjadi golongan yang terunggul atau memperoleh tahap ‘par excellence’. Tapi, janganlah pula jadi “Pak Maun” macam dalam cerita P.Ramlee Nasib Do Re Mi.

 62. Sekali lagi saya ulang kita mahu orang-orang UMNO menjadi “par excellence” yang cemerlang dan unggul di segala bidang.


Saudara Sekalian,


 63. Sehubungan perkara ini, menurut dapatan dan maklumat semasa, sekarang, semakin ramai masyarakat yang berada di luar sana, menjadi pihak yang berada di atas pagar.

 64. Mereka sedang meninjau-ninjau dan memerhati, serta menghakimi parti mana atau kelompok mana yang ingin mereka dekati dan beri sokongan.

 65. Di hujung sudut sana, ada kelompok-kelompok yang terlalu ekstrem dalam fahaman beragama, sehingga menyalahtafsir istilah jihad.

 66. Sampai kepada tahap terlibat dalam aktiviti militan dan membenarkan perbuatan “suicide bombers” atau pengebom berani mati. Sebetulnya, perbuatan itu dilarang keras di sisi agama.

 67. Di satu sudut yang lain pula, ada kelompok-kelompok yang terlalu longgar fahamannya terhadap agama, sehingga menjadi liberal, terlibat di kancah hedonisme dan kesongsangan.

 68. Apa yang lebih mustahak, UMNO amat teguh di landasan dengan menjadikan Islam sebagai panduan dan bukan seperti pihak lain, yang menjadikan Islam sebagai parti mereka.

 69. Bersempena juga pengertian surah At-Taubah ayat-122, UMNO perlu terus tampil memperjuangkan Islam yang sebenar, bersifat universal dan sejagat, tidak ekstremis, memahami hukum-hukum dengan tepat, penghayatan yang sederhana, namun cemerlang dalam pekerjaan, menggalakkan pena’kulan dan berjihad di pengkalan bakti, seperti yang dilakukan oleh kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional, demi kebajikan rakyat serta pembangunan negara.

 70. Barulah, barulah masyarakat akan mendekati UMNO dan mahu bersama kita. Seterusnya, Malaysia sebagai negara Islam yang moden, progresif lagi dinamik akan selamanya dipandang mulia oleh kawan dan lawan di seantero dunia.


CERITERA-CERITERA KEJAYAAN MALAYSIA

Saudara Sekalian,

Kalau Roboh Kotanya Jati,
Kayu Belian Kita Dirikan,
Kalau UMNO terus dihormati,
Malaysia yang Makmur jadi HARAPAN.

 71. Sejak awal tadi, saya mempidatokan tentang pentingnya solidariti sebagai foundation atau tapak terbangunnya Malaysia terkasih ini.

 72. Ternyata, hampir 6 dasawarsa, bertonggak kepada tiang seri-tiang seri ini, berpasakkan kepada prinsip kesederhanaan dan dasar-dasar yang sistematik lagi ampuh, kita telah mencapai prestasi-prestasi menakjub dan rekod-rekod yang mampu diperbanggakan.

 73. Antara 11 kejayaan utama yang boleh saya senaraikan:

 Pertama: Kalau dahulu semasa mencapai kemerdekaan, kadar kemiskinan isi rumah rakyat Malaysia adalah pada tahap lebih 60 peratus.Alhamdulillah, berkat kepimpinan UMNO, bersama rakan-rakan parti komponen, sukacita saya mengumumkan, kadar kemiskinan telah menyusut kepada satu peratus, malah kemiskinan tegar kini telah hampir disifarkan kesemuanya.

 Kedua: Mutakhir ini, sekalipun ekonomi dunia tidak menentu, Malaysia telah mencapai pertumbuhan positif dalam semua sektor dan mencatatkan kenaikan KDNK sebanyak 6.1 peratus.Sayugia saya menyatakan, pencapaian ini, telah menempatkan kita sebagai yang paling tinggi di kalangan negara ASEAN.

 Ketiga: Kemasukan pelaburan asing sebanyak 38.7 bilion ringgit pada tahun 2013, merupakan catatan paling tinggi actual realized investments yang pernah dicapai dalam sejarah Negara.

 Keempat: Pada Julai 2014, Indeks Bursa Malaysia telah mencecah mata seribu lapan ratus sembilan puluh dua, paras paling tinggi dalam tawarikh negara.

 Kelima: Malaysia terus kekal kedudukannya sebagai pasaran sukuk terbesar di dunia.

 Keenam: Menurut laporan International Finance Corporation, World Bank Group di dalam ‘Doing Business 2015 Report’, Malaysia berada di tangga ke-18 daripada 189 negara di dunia.Dan menurut Laporan CNN Travel 2013 pula, Kuala Lumpur menduduki tempat keempat sebagai bandaraya paling popular untuk membeli-belah selepas New York, Tokyo dan London.

 Ketujuh: Dalam konteks serantau, kita harus berbangga kerana Malaysia diberi kepercayaan dan penghormatan mendamaikan Kerajaan Filipina dengan Barisan Pembebasan Islam Moro atau MILF, sekaligus menamatkan sengketa berdarah selama berdekad-dekad di negara itu.

 Kelapan: Pada tahun 2015, Malaysia dengan rasminya akan mempengerusikan ASEAN. Ini adalah satu penghormatan kepada pimpinan UMNO dan Barisan Nasional.

 Kesembilan: Kita terus dipandang tinggi oleh saudara-saudara seakidah di bumi Gaza, kerana kepimpinan UMNOlah yang terus konsisten, membantu dan memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang tertindas oleh rejim Zionis.

 Kesepuluh: Nama Malaysia, semakin mengharum di persada antarabangsa dan berjaya mendapat 187 undian bagi menduduki Kerusi Tidak Tetap Majlis Keselamatan PBB.

 Dan,

 Kesebelas: Saya dengan penuh rasa rendah diri, telah menerima Anugerah Kepemimpinan Islam Global, pada sidang World Islamic Economic Forum 2014 di Dubai. Sesungguhnya, pengiktirafan dunia Islam ini, saya dedikasikan kepada parti UMNO dan pastinya kepada seluruh rakyat Malaysia.

 74. Begitulah saudara, sedikit sebanyak kisah kejayaan yang dapat dipersembahkan. Sebenarnya, ceritera-ceritera kejayaan yang telah kita tempa sepanjang lima puluh tujuh tahun, lebih banyak daripada itu dan tidak terhitung jumlahnya.


REALITI SEMASA

 Sahabat-Sahabat Seperjuanganku Sekalian,

 75. Walau sebanyak manapun kejayaan yang telah kita raih, hatta segunung pun rekod yang mampu dicipta, walau setinggi mana pun pengiktirafan yang telah kita terima, kita tidak boleh sekali-kali berasa complacent dan duduk bersimpuh.

 76. Ini kerana, musuh dari dalaman mahupun luar, akan terus mengintai-intai, cuba menerobos apa jua celah dan ruang untuk menjatuh-jatuhkan perjuangan kita, bagi merapuh-rapuhkan semangat kita, seterusnya untuk mengapi-apikan persengketaan supaya kita retak dan berpecah-belah.

 77. Menyentuh realiti semasa ini, para alim ulama berpesan-pesan, adalah menjadi adat manusia dan organisasi yang bersifat makhluk, kita adalah lemah, kita akan sentiasa melakukan kesalahan.

 78. Tapi, tidak mengapa, setiap kali berkumpul, dan ini yang ke-65 Perhimpunan Agung UMNO diadakan, kita akan terus bermuhasabah, saling memperingatkan antara satu sama lain, dan membuat pengislahan demi pengislahan, kerana memang diakui tiada siapa pun antara kita yang sempurna.

 79. Sekalipun begitu, perjuangan kita di dalam UMNO, demi membela untung nasib orang-orang Melayu dan Bumiputera itu wajib disempurnakan.

 Saudara Sekalian,

 80. Atas sebab itulah, ingin dinyatakan bahawa, parti UMNO tidak bersalah, parti UMNO tidak berdosa. Sebaliknya, yang bersalah dan yang sering berdosa itu adalah diri kita.

 81. Ternyata, atas kelalaian dan kealpaan kitalah dalam membenteng serta mempertahankan UMNO dengan sewajarnya, menyebabkan realiti politik terutamanya lebih 15 tahun yang lalu begitu berubah.

 82. Dari apa yang kita saksikan, benarlah cendekiawan menyebut, ‘for evil to triumph, good men do nothing’. Malah, menurut para ilmuwan, kata-kata ini, disesuaikan daripada beberapa hadis antaranya oleh Abu Daud.

 83. Maksudnya, sekalipun kita di pihak yang benar, tapi hanya duduk berdiam, dan tidak melakukan apa-apa, maka musuh akan bermaharajalela dan makin menjadi-jadi. Tambahan pula, dipertualang dan dikhianat oleh si kitul-si kitul moden itu tadi.

 84. Sayang seribu kali sayang, sedih sejuta kali sedih, natijahnya, ramai orang Melayu dan Bumiputera khususnya, dan masyarakat Malaysia umumnya, telah tersalah sangka dengan perjuangan ikhlas dan murni parti UMNO.

 Saudara Sekalian,

 85. Apa yang penting, saya ingin menegaskan bahawa orang-orang UMNO tidak perlu apologetic, orang-orang UMNO tidak perlu berasa segan silu, jika ramai pihak yang cuba memperlekeh, mencemuh kononnya parti ini sudah jumud dan tidak relevan lagi.

 86. Hakikatnya, jangan sesekali kita lupa, dalam perhimpunan-perhimpunan yang bersejarah seperti inilah kementerian-kementerian strategik untuk kepentingan Melayu dan Bumiputera diusulkan, di perkumpulan sebeginilah institusi-institusi Melayu serta Bumiputera seperti UiTM dimartabatkan.

 87. Begitulah juga nasib penjawat awam yang jumlahnya kini lebih 1.5 juta terus dibela, di sinilah Raja-Raja Melayu terus dipermuliakan, di sinilah syiar agama Islam tetap diperteguh dan dipertinggikan, dan yang paling mustahak, di perhimpunan inilah orang-orang Melayu menumpang teduh, membawa hati demi menghitung masa depan keturunan anak cucu mereka.

 88. Jadinya, jika kita ingin bertanya, semua kejayaan yang telah kita kecapi, seluruh prestasi yang sudah kita capai, hasil perjuangan siapa? Jawapannya, sudah barang pasti, jasa perjuangan parti yang bertuah ini.

 Saudara Seperjuanganku Sekalian,

 89. Dari itu, cukup-cukup dan sudah-sudahlah dengan sikap buruk yang merosakkan bangsa kita dari dulu sampai sekarang. Kita harus meninggalkan kisah-kisah Hang Nadim, Singapura dilanggar todak dan musuh dalam selimut.

 90. Waima, ada yang menjadi api dalam sekam, bahkan gunting dalam lipatan, tumpul di hujung tapi tajamnya menikam di dalam.

 91. Oleh itu, kita orang-orang UMNO mesti berhijrah ke arah yang lebih baik, sebagai penawar kepada luka-luka bangsa.

 92. Sebagai platform kepada perjuangan masa depan dan menjadi parti berguna kepada anak cucu dan keturunan kita, bukan sekadar untuk tempoh 50 tahun atau sekurun lagi, bahkan untuk tempoh yang lebih panjang dari itu.


JIL UMNO ATAU GENERASI MASA DEPAN UMNO

 93. Bertolak dari situ, Saudara Sekalian, setiap kali Perhimpunan Agung UMNO, semua orang ingin bercakap tentang peremajaan parti.

 94. Berbicara di sudut ini, semakin hari semakin jelas kita mendengar keluhan dan rintihan anak-anak muda yang ingin turut serta berjuang dalam UMNO.

 95. Malangnya, semakin hari semakin jelas juga kita mendapat maklum bahawa hasrat anak-anak muda ini, katanya dihalang dan ditolak oleh mereka yang lebih lama di dalam parti.

 96. Merujuk perkara ini, seperti yang saya sebutkan dalam taklimat Presiden 2 hari lepas, kita perlu menyedari hakikat bahawa UMNO sebenarnya sudah terdiri daripada 3 generasi.

 97. Generasi pertama yang berusia 50 tahun ke atas. Generasi kedua berumur antara 30 hingga 50 tahun. Manakala, generasi ketiga pula, adalah mereka yang berusia 30 tahun ke bawah.

 98. Apa yang penting, demi masa depan parti, ketiga-tiga generasi perlu bekerjasama. Apa yang paling mustahak juga, generasi ketiga mesti diperluaskan, diperkukuhkan dan diperkasakan.

 99. Makanya Saudara Sekalian, saya sebagai Presiden dan seperti yang disuarakan oleh Tan Sri Mahyuddin selaku Timbalan Presiden dua malam lepas, dan turut disokong oleh Pimpinan-Pimpinan Tertinggi UMNO, kami dengan tegas dan penuh komited menyatakan bahawa:

...bermula dari perhimpunan kali ini, kita akan menjadi lebih komited untuk membuka akses dan pintu-pintu UMNO seluas-luasnya kepada para pemuda pemudi Melayu serta Bumiputera.

 Anak-Anak Muda yang Dikasihi Sekalian, samada yang berada di dalam dewan mahupun di luar sana,

 100. Maka, seperti yang saya sebut dalam taklimat Presiden 2 hari lepas, secara rasminya, diumumkan bahawa kita akan membuka pendaftaran keahlian UMNO secara terus.... melalui online yang akan ditempatkan di bawah pendaftaran Ibu Pejabat UMNO Pusat kepada anak-anak muda seawal usia 18 tahun.

 Saudara Sekalian,

 101. Bersabit hal anak-anak muda, teringat saya ungkapan Saidina Umar al-Khattab, apabila memperkatakan tentang generasi muda.

 102. Anak muda yang menjadi rujukan Saidina Umar adalah Abu Ubaidah. Malah, Nabi Muhammad sendiri memberi gelaran Al-Amin kepada beliau.

 Anak-Anak Muda Sekalian,

 103. Itulah pewaris generasi UMNO yang kami mahu dan itulah juga yang kami impikan. Satu saf dan barisan generasi dalam istilah arabnya kita namakan sebagai JIL-UMNO yang bererti generasi pewaris kepimpinan masa depan UMNO.

 104. Oleh yang demikian, sekiranya pada perhimpunan tahun lepas, saya membicarakan tentang isu pengkaderan. Pada perhimpunan ini pula, saya mahu menyentuh soal-soal pengisian atau pentarbiyahan.

 105. Antara kriteria pertarbiyahan JIL UMNO adalah:

 Kriteria pertama: JIL UMNO yang berilmu dan berpengetahuan secara holistik atau menyeluruh, yakni mereka yang cerdas, pintar dan bijaksana, yang bukan sahaja berilmu serta berkemahiran, tetapi beramal dengan ilmunya.

 Kriteria kedua: JIL UMNO yang berjatidiri dan berintegriti. Maksudnya, kumpulan anak muda ini perlu dilatih supaya berimbang, berakhlak, mempunyai nilai kesederhanaan, tidak menjadi pelampau dan tidak pula terlalu liberal, sehingga membelakangkan nilai-nilai murni agama.

 Kriteria ketiga: JIL UMNO yang bersifat glokal. Simpulan kalam, walaupun mereka ini belajar tinggi di Universiti Azhar, Madinah atau di Harvard, Oxford mahupun Cambridge, tetapi jangan sekali-kali terpisah daripada nilai-nilai ketimuran, kesantunan Melayu serta nilai-nilai yang murni di tanahair kita.Itulah dia kerja-kerja pentarbiyahan yang harus kita lakukan dalam melahirkan JIL UMNO yang unggul.

 106. Makanya, menjadi tugas dan tanggungjawab moral kita supaya terus membimbing, melatih, mendidik dan mengasuh generasi muda dan memberi peluang serta diberi tempat yang setimpal dengan kebolehan, keperibadian, menurut penerimaan masyarakat atau organisasi yang berkaitan.

 107. Kesimpulannya, JIL UMNO atau pewaris kepimpinan yang kita dambakan adalah generasi yang kuat sebagai bunga-bunga bangsa, bukannya zuriat yang lemah seperti buih-buih di samudera. Barulah nanti kita mampu bernafas dengan lepas dan lega bila diserahkan parti ini pada mereka kelak.

 108. Dalam konteks ini, kalau kita ingin menambat hati generasi muda, UMNO mesti dilihat sebagai parti yang sanggup membanteras rasuah dan politik wang. Oleh sebab rasuah adalah punca kepada banyak kerosakan dan kepincangan.

 109. Di atas segalanya, makna besar kepada peremajaan parti adalah, sekalipun UMNO sudah berumur lebih 68 tahun dan hampir 25 ribu hari usianya, tapi jiwa muda dan roh perjuangan mestilah terus membara seolah-olah seperti mana pada hari pertama ia ditubuhkan.

 110. Malah segala-gala secara total dan tuntas mesti diremajakan termasuk bagaimana kita menggunakan teknologi, strategi dan pendekatan kita sebagai parti yang kreatif dan inovatif dalam semua hal.

 Saudara Sekalian,

 111. Merujuk kepada Wanita UMNO, kita akan terus mengangkat dan mengiktiraf jasa serta pengorbanan mereka selama ini. Untuk perhimpunan kali ini kepimpinan wanita telah menyatakan hasrat supaya mereka diberi pengiktirafan yang lebih daripada sekadar tulang belakang parti.

 112. Dalam hal ini, kita akan menimbang dan mengadakan rundingan dengan semua pihak berkaitan pengwujudan jawatan Naib Ketua Wanita di Peringkat Bahagian dan Naib Presiden Parti di peringkat Kebangsaan.

 113. Namun, saya tahu akan wujud “resistance”. Yang mustahak dan utama, kita sebagai parti yang bersaudara akan berunding dan melihat daripada semua faktor supaya apa pun keputusan yang kita ambil nanti menjadi satu keputusan bersama demi memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada bakti wanita UMNO setelah 66 tahun ini.

 Saudara sekalian,

 114. Merujuk permintaan Pemuda dan Puteri pula, yang memohon lebih ramai di bawah usia 40 tahun diberi peluang dan jawatan yang setimpal. Kita juga akan merundingi dan melihat perkara ini dari semua aspek agar keputusan yang diambil nanti adalah wajar.

 Saudara Seperjuanganku Sekalian,

 115. Saya tahu, saya tahu benar, isu yang paling hangat diperkatakan dan dinanti-nanti oleh semua ialah AKTA HASUTAN 1948.

 116. Sabar, dengar dulu apa yang nak saya perkatakan.

 Saudara Sekalian,

 117. Tampaknya, berdasarkan apa yang kita lihat sebentar tadi, saya mendengar pendapat dan cadangan daripada Timbalan Presiden, Wanita,Pemuda, Puteri, usul-usul daripada bahagian, keresahan suara-suara akar umbi, serta pandangan-pandangan NGO, maka dengan ini saya sebagai Perdana Menteri memutuskan bahawa Akta Hasutan 1948, akan terus dikekalkan.

 118. Malah, akta ini bukan sahaja akan dipertahan, tetapi akan diperkuat dan diperkukuhkan lagi sekurang-kurangnya dalam 2 perkara.

 119. Pertamanya, kita akan masukkan peruntukan khas untuk melindungi kesucian agama Islam, bahkan agama-agama lain juga tidak boleh dihina.

 120. Keduanya, kita akan mengenakan tindakan keras ke atas sesiapa yang cuba menghasut supaya Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia.

 121. Ertinya lagi, apa-apa jua perkataan, perbuatan mahupun ucapan yang bersifat menghasut serta menghina Islam, Melayu dan Raja-Raja akan kita halang dan kita tentang habis-habisan.

 Saudara Seperjuangan dan Bangsaku Sekalian,

 122. Seperkara lagi, semua ingin tahu apa sebenarnya pendirian saya selaku Presiden tentang masa depan Melayu dan Bumiputera.

 123. Ketahuilah, saya berdiri di sini, tidak sama sekali sekadar Perdana Menteri, saya juga berdiri di hadapan ini, bukan setakat presiden UMNO, tapi saya berdiri dan berbicara di hadapan saudara sekalian, sebagai penyambung lidah dan warisan perjuangan Melayu Bumiputera.

 124. Dari itu, mana mungkin, saya sanggup membiarkan keturunan dan bangsa saya melarat, terhina, hingga terbangsat menjadi celaka di tanah sendiri.

 125. Berkait itu, saya akan terus komited dalam memperjuangkan nasib kaum Melayu dan Bumiputera. Bukan sekadar di bibir, tapi saya dan rakan-rakan dalam parti serta Kerajaan, telah melakukan segala yang termampu untuk membuktikannya.

 126. Sehubungan itu, selagi hayat dikandung badan, saya bersama Timbalan Perdana Menteri, rakan-rakan kepimpinan juga, komited untuk bersidang sekurang-kurangnya sekali setiap bulan demi menjamin halatuju dan agenda pemerkasaan ekonomi Melayu serta Bumiputera diteruskan.

 127. Bahkan, kita akan menunaikan setiap apa yang dijanjikan semasa ucapan saya di Dewan Agong Tuanku Canselor, UiTM pada tahun lepas, satu persatu.

 Sesungguhnya kerajaan Barisan Nasional tunjangan UMNO adalah Kerajaan yang menepati janji.


PENUTUP


HALATUJU DAN HALUAN TERBESAR UMNO

 Saudara Seperjuangan Sekalian,

 128. Walau apapun, adakala, waktunya kita berasa letih dan lesu apabila tidak henti-henti diherdik, dikritik dan dibentak-bentak.

 129. Adakala, kita juga berasa kecewa apabila segelintir bangsa kita sendiri ragu-ragu tentang perjuangan ini.

 130. Oleh yang demikian, saya selaku Presiden ingin menyeru,

 Kembalikanlah,... semangat UMNO yang kian pudar.

 Pulihkanlah,.... jiwa UMNO yang sudah hampir malap.

 Nyalakanlah,... semangat perjuangan asal serta roh UMNO yang sudah makin menghilang.

 Sematkanlah, rasa sayang dan kasih kepada parti, KERANA DI SITULAH,... DI SITULAH KITA AKAN BERTEMU JAWAPANNYA.

 Saudara Sekalian,

 131. Kepada akar umbi UMNO pula, yang sejak dahulu istiqamah dan iltizam dalam perjuangan, kita harus membayar balik harga pengorbanan dan harga kesetiaan mereka dengan cara terus membela untung nasib bangsa, kerana UMNOlah satu-satunya parti tempat berlindung dan bergantung harap demi masa depan kita semua.

 132. Sedarlah, insaflah, sesungguhnya kita tidak berhadapan dengan banyak pilihan, hanya satu sahaja.
 Seandainya parti ini rebah, sekiranya parti ini jatuh dan tumbang, keindukan Melayu Bumiputera akan turut tersungkur dan terkubur bersamanya. Nauzubillah.

 Oleh itu Saudara Seperjuanganku Sekalian,

 133. Marilah kita bangun, marilah kita berdiri. Tegakkan kepala mu, jangan mundur, pandang ke depan, sekali layar sudah dikembangkan, sekali sauh sudah dinaikkan, bahtera UMNO tidak boleh berpatah balik.

 Kita akan pastikan, panji-panji Sang Saka Bangsa akan terus berkibar megah di persada.

 Saudara Seperjuanganku Sekalian,

 134. Angkatkan telapak tangan kanan kalian, genggamlah erat perjuangan ini, sebagai simbolis solidariti bangsa.

 Ayuh! Ayuh, letakkannya di perabung-perabung dada, di mana bertempatnya hati dan sanubari.

 Bersama kita teriakkan, bersamalah kita laungkan,

MAJU MELAYU!

 MAJU BUMIPUTERA!

 MAJU UMNO!

 MAJU BARISAN NASIONAL!

 MAJULAH MALAYSIA!

 Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.





No comments:

Post a Comment