TEKS UCAPAN YAB TAN SRI
DATO HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN
PRESIDEN UMNO DI MAJLIS
PERASMIAN PERSIDANGAN WANITA, PEMUDA DAN PUTERI
UMNO 2014
"MEREKAYASA
PERUBAHAN MENDEPANI
ZAMAN"
Bismillahirrahmanirrahim.
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلىَ سَيِّدِنَا
مُحَمَّدِ، الْفَاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ وَالْخَاتِمِ
لِمَا سَبَقَ، نَاصِرِ الْحَقِّ
بِالْحَقِّ، وَالْهَادِي إِلَى صِرَاطِكَ الْمُسْتَقِيْمِ
وَعَلىَ آلِهِ حَقَّ قَدْرِهِ
وَمِقْدَارِهِ العَظِيْمِ .
Assalamu’alaikum
warahmatullahi wa barakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.
YB Datuk
Seri Shahrizat Abdul Jalil
Ketua
Pergerakan Wanita
YB Sdr.
Khairy Jamaluddin
Ketua
Pergerakan Pemuda
YB Sdri. Mas
Ermieyati Samsudin
Ketua
Pergerakan Puteri
YB Naib-Naib
Presiden UMNO
YB
Setiausaha Agung UMNO
Ahli-ahli
Majlis Tertinggi
Barisan Exco
Wanita, Pemuda dan Puteri
Saudara-saudari
sidang perwakilan, dif-dif jemputan dan para pemerhati sekalian
1.
Alhamdulillah, puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t. serta selawat dan salam
ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w., malam ini saya dan saudara-saudari
semua yang mewakili Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO dari seluruh
pelusuk negara, dapat sekali lagi berhimpun di Dewan Merdeka ini untuk mempertegaskan
matlamat perjuangan parti kita, memperkukuhkan perpaduan dan merencana masa
depan bangsa Melayu. Saya mengucapkan terima kasih kepada wanita, pemuda dan
puteri UMNO kerana terus istiqamah berada dalam saf perjuangan parti kita.
Hebatnya
Hang Tuah sehingga kini,
Kisahnya
menjadi bualan zaman,
Jiwa pejuang
takkan terhenti,
Selagi nyawa
di kandung badan.
SEJARAH
PERJUANGAN UMNO
Saudara dan
saudari yang saya hormati sekalian,
2. Parti
kita UMNO telah mencapai usia 68 tahun. Telah banyak ranjau yang kita lalui
dalam pelbagai keadaan, pelbagai cabaran dan pelbagai zaman. Kita telah melalui
pasang surut asakan terhadap perjuangan kita. Alhamdulillah, walaupun kita
diasak dan diterjah dengan pelbagai dugaan, Allah masih memberikan kemenangan
kepada UMNO. Allah masih mentakdirkan UMNO memikul amanah kuasa pemerintahan
ini. Namun, jangan kita lupa, jangan kita alpa. Allah juga menggilirkan
kemenangan antara sesama manusia sebagai pengajaran kepada kita semua.
Sebagaimana firman-Nya dalam surah Ali-Imran Ayat 140:
إِن يَمۡسَسۡكُمۡ قَرۡحٌ۬
فَقَدۡ مَسَّ ٱلۡقَوۡمَ قَرۡحٌ۬
مِّثۡلُهُ ۥۚ وَتِلۡكَ
ٱلۡأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيۡنَ ٱلنَّاسِ وَلِيَعۡلَمَ
ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَيَتَّخِذَ مِنكُمۡ شُہَدَآءَۗ
وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلظَّـٰلِمِينَ
Yang
bermaksud:
Jika kamu
(dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum
(musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka
yang sama (dalam peperangan Badar) dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia
ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), Kami gilirkan dia
antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang
diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya),
dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang
mati Syahid dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.
3. Inilah
sunnatullah. Allah s.w.t. menggilirkan kemenangan dan kekalahan sesama manusia.
Hatta antara kaum muslimin dan musyrikin pun, Allah menggilirkan kemenangan dan
kekalahan sebagai peringatan kepada orang-orang yang beriman. Maka, dalam
konteks UMNO, kemenangan yang kita perolehi dalam mana-mana pilihanraya tidak boleh
menjadikan kita angkuh, sombong dan selesa. Cabaran terhadap perjuangan kita
masih hebat, jalan yang perlu kita lalui masih berliku, ranjau di hadapan kita
masih berduri. Maka, dalam perhimpunan kali ini, saya ingin mengajak saudara
dan saudari supaya ikhlas dan jujur dengan diri kita sendiri. Kaji adakah parti
kita berada dalam keadaan yang selamat? Adakah parti kita disenangi oleh
sebahagian besar rakyat? Adakah parti kita bakal beroleh kemenangan dalam
pilihanraya akan datang?
4.
Saudara-saudari, jika kita himbau kembali sejarah penubuhan UMNO dalam konteks
dunia pada waktu itu, UMNO berada di tengah-tengah kancah pertembungan antara
fahaman nasionalis, fahaman komunis dan fahaman sosialis. Namun, UMNO berjaya
membina identiti perjuangannya sendiri di atas semangat kebangsaan Melayu yang
berteraskan Islam. Pada ketika itu juga, nasionalisme merupakan ideologi utama
yang menggerakkan parti-parti politik di negara-negara tanah jajahan bangkit
menentang penjajah. Alhamdulillah, berkat perjuangan UMNO, negara kita berjaya
mencapai kemerdekaan.
5. Pada masa
yang sama, sebagai sebuah parti yang toleran dan sederhana, UMNO berjaya
merintis kerjasama dengan parti-parti yang mewakili kaum-kaum lain di negara
kita untuk membina sebuah negara bangsa. Sebagai kerajaan pula, parti kita UMNO
menerusi Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional telah berjaya mengekalkan
kestabilan politik dan memacu kemajuan ekonomi dengan cara kita sendiri.
Sehingga beberapa dekad yang lalu, UMNO adalah sinonim dengan sebuah ceritera
kejayaan; ceritera sebuah negara yang aman dan stabil di sebalik kepelbagaian
kaum dan agama. Hasil perjuangan UMNO, negara kita telah berganjak daripada
sebuah negara miskin sewaktu merdeka kepada negara industri yang insya-Allah
akan menjadi negara maju dalam beberapa tahun lagi di bawah gagasan besar
Wawasan 2020.
CABARAN
PERUBAHAN ZAMAN
6. Namun,
suasana politik hari ini sudah banyak berubah. Di seluruh dunia, nasionalisme
bukan lagi ideologi utama. Malah, banyak parti nasionalis yang memperjuangkan
kemerdekaan negara masing-masing telah berkubur. Selepas era perang dingin,
liberalisme telah muncul sebagai ideologi yang dominan di seluruh dunia. Di
bawah lembayung ideologi baharu ini, idea-idea Barat mengenai demokrasi,
kebebasan dan kesamarataan tersebar secara meluas, termasuk di negara-negara
Asia. Sama ada kita sedar atau tidak, kebangkitan gerakan demokrasi liberal dan
masyarakat sivil yang memperjuangkan kebebasan dan kesamarataan mengikut neraca
Barat telah memberi kesan yang besar kepada perjuangan UMNO.
Memperteguh
Kedudukan Istimewa Melayu dan Bumiputera
7. Hari ini,
banyak pertubuhan dan individu yang sama ada secara langsung atau tidak
langsung mempersoalkan hak keistimewaan Melayu, kedudukan istimewa agama Islam,
kedudukan Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu dan lain-lain lagi yang merupakan
teras perjuangan UMNO. Apabila UMNO bersuara membela kepentingan Melayu, mereka
kata UMNO rasis. Tetapi apabila kaum-kaum lain bangkit memperjuangkan hak kaum
masing-masing, itu dikatakan hak kumpulan minoriti dalam sebuah negara
demokrasi. Sama juga, apabila UMNO bangkit mempertahankan kedudukan Islam, UMNO
dikatakan ekstrem, walhal Islam adalah Agama Persekutuan. Tetapi apabila
kepentingan kumpulan agama lain diperjuangkan, itu dikatakan hak kebebasan
beragama. Hari ini, perkara-perkara penting yang termaktub di dalam
perlembagaan yang melindungi hak semua kaum secara saksama semakin
dipersoalkan.
8. Suara
kumpulan penentang ini semakin lantang sehingga kedengaran di forum-forum
antarabangsa. Mereka menuduh UMNO mengamalkan diskriminasi dan zalim terhadap
rakyat. Ini amat pelik bagi saya. UMNO yang dahulunya berjuang bermati-matian
untuk membebaskan rakyat daripada cengkaman penjajah; UMNO yang memperjuangkan
keadilan sosial; UMNO yang mempelopori politik kesederhanaan; hari ini, dalam
zaman kebebasan ini, UMNO dituduh sebagai parti yang zalim, parti yang
menindas, parti yang menjajah rakyat. Pendek kata, segala yang buruk dan keji
itu adalah UMNO. Seolah-olah tiada setitik pun jasa UMNO kepada negara. Kebaikan
yang ditabur ditutupi oleh debu-debu pembohongan, fitnah dan propaganda jahat.
Demikianlah zaman telah berubah, pola fikir masyarakat telah berubah, cabaran
kepada UMNO juga berubah.
Agenda
Ekonomi Bumiputera dan Merapatkan Jurang Ketidaksaksamaan Adalah Agenda
Nasional
Saudara dan
saudari yang saya hormati sekalian,
9. Perubahan
juga berlaku dalam bidang ekonomi. Dahulu, pembangunan negara kita digembeleng
oleh kerajaan. Kuasa kerajaan membolehkan kita melaksanakan program
penstrukturan semula masyarakat menerusi Dasar Ekonomi Baru. Melalui dasar ini
juga kita telah berjaya mengeluarkan masyarakat daripada belenggu kemiskinan
dan menangani penguasaan ekuiti asing dalam ekonomi negara. Kita juga
menetapkan sasaran pemilikan ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus
sekurang-kurangnya, dan penyertaan Bumiputera digalakkan dalam setiap sektor
ekonomi. Dasar ini dibentuk agar ekonomi berkembang dan pengagihan berlaku
secara adil dan saksama. Atas sifat bertimbang rasa dan semangat supaya kek
ekonomi dapat dirasai oleh semua rakyat Malaysia, orang Melayu dan UMNO pada
waktu itu tidak bersifat keterlaluan untuk meminta lebih daripada 30 peratus.
10. Walaupun
sasaran pemilikan ekuiti Bumiputera tidak tercapai, namun Alhamdulillah, DEB
telah berjaya mengagihkan kekayaan negara kita secara lebih saksama serta
meningkatkan pendapatan kaum Bumiputera dan bukan Bumiputera. Tuduhan bahawa
DEB kononnya satu dasar keterbelakang, menyekat pelaburan, menyebabkan brain
drain dan hanya menguntungkan segelintir pihak yang ada kabel politik adalah
tidak benar. Bagi saya, tuduhan meleset ini hanya dicipta oleh mereka yang
sarat dengan kebencian. Banyak kajian ilmiah yang menunjukkan bahawa semua kaum
mendapat manfaat daripada pelaksanaan DEB. Ini termasuk kajian mutakhir Dr
Muhammed Abdul Khalid yang diterbitkan di dalam bukunya the Color of Inequality
yang membuktikan bahawa DEB telah memberi manfaat kepada semua kaum dari segi
pembasmian kemiskinan, peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan, pemilikan
ekuiti dan lain-lain. DEB telah mencapai sebahagian matlamat pengagihan ekonomi
dan menyamaratakan peluang. Namun, masalah ketirisan memberikan kesan negatif
kepada pencapaian matlamat asal DEB yang disasarkan oleh kepimpinan UMNO
terdahulu.
11. Namun
begitu, 24 tahun selepas pelaksanaan DEB berakhir, kita kembali mendengar keluh
kesah dan gundah-gulana masyarakat Melayu. Dalam era pasca DEB, data terbaharu
Jabatan Perangkaan Malaysia untuk tahun 2013 menunjukkan bahawa jurang ekonomi
antara kaum masih wujud. Misalnya, median pendapatan bulanan isi rumah
Bumiputera sebanyak RM3,282 masih rendah berbanding kaum Cina, iaitu RM4,643
dan kaum India sebanyak RM3,676. Dalam kumpulan isi rumah berpendapatan 40%
terendah, 75.5% adalah Bumiputera. Pemilikan hartanah dalam kalangan Bumiputera
juga masih jauh lebih rendah berbanding kaum-kaum lain. Hanya 36.3% transaksi
bangunan hartanah kediaman melibatkan Bumiputera. Pemilikan hartanah bangunan
industri dan perdagangan Bumiputera juga rendah iaitu 2.37% bagi hartanah
industri dan 7.85% bagi hartanah perdagangan.
12. Begitu
juga, satu kebenaran yang pahit untuk kita akui ialah kaum Bumiputera masih
menerima layanan yang tidak saksama dalam sektor swasta. Kajian yang dilakukan
oleh Dr Lee Hwok Aun dan Dr. Muhammed Abdul Khalid pada tahun 2012 mendapati
bahawa bagi setiap seorang graduan Melayu yang dipanggil temu duga dalam sektor
swasta, secara puratanya 5.3 graduan Cina ditemu duga, walaupun mereka
mempunyai kelulusan yang sama. Data rasmi juga menunjukkan kadar pengangguran
adalah tertinggi dalam kalangan tenaga kerja Bumiputera iaitu 70.3%, termasuk
graduan menganggur sebanyak 66.9%. Kita juga sering mendengar keluhan pekerja
Bumiputera yang menerima gaji lebih rendah berbanding kaum-kaum lain dalam
sektor swasta. Pakar ekonomi Just Faaland, J.R Parkinson dan Rais Saniman
membuktikan dalam buku mereka Growth and Ethnic Inequality: Malaysia’s New
Economic Policy, bahawa pekerja Bumiputera menerima gaji 20 hingga 40 peratus
lebih rendah berbanding bukan Bumiputera.
13. Secara
umumnya, kedudukan ekonomi orang Melayu hari ini masih meruncing.
Ketidaksaksamaan dalam masyarakat agak menggerunkan kita. Pada masa yang sama,
kita berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam meneruskan agenda ekonomi Melayu.
Kita bersaing dalam ekonomi yang lebih terbuka. Kita berhadapan dengan fahaman
kesamarataan yang menentang sebarang pelaksanaan agenda Melayu. Menerusi
pelbagai instrumen perjanjian perdagangan bebas antarabangsa, negara kita
didesak supaya jangan lagi mengamalkan dasar untuk melindungi kepentingan kaum
Bumiputera. Kononnya, dasar seperti ini merupakan penghalang kepada pembangunan
ekonomi dan merencatkan pasaran. Padahal, dasar ini pernah digunakan oleh
negara maju lebih setengah abad sebelum mereka mencapai tahap negara maju.
14. Kita
sebenarnya sedang menongkah arus kapitalisme global dan ideologi pasaran bebas
yang semakin melebarkan jurang ketidaksaksamaan. Seperti yang diakui oleh
pemenang hadiah nobel ekonomi Joseph Stiglitz dalam bukunya The Price of
Inequality, dasar ekonomi yang berasaskan teori dan ideologi yang salah telah
memburukkan keadaan ketidaksaksamaan dalam masyarakat di seluruh dunia,
termasuk di Eropah dan Amerika Syarikat.
14. Saya
fikir sudah sampai masanya kita menilai kembali model ekonomi negara kita. Ya,
benar pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 6.3% adalah antara yang tertinggi di
Asia; nilai pelaburan langsung asing sebanyak RM216.5 bilion pada tahun 2013
adalah antara yang terbaik dalam sejarah; kedudukan Malaysia dalam Laporan
Dayasaing Global 2014 meningkat daripada nombor 24 ke nombor 20 daripada 148
buah negara. Semua ini menunjukkan bahawa pencapaian ekonomi negara kita amat
memberangsangkan dan kita berada pada landasan yang betul untuk menjadi negara
maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020.
15. Tetapi
di sebalik semua pencapaian ini, Yang Amat Berhormat Presiden dan saya selaku
Timbalan sering memikirkan adakah kita boleh memejamkan mata dan memekakkan
telinga dengan tidak berbuat apa-apa jika kaum Bumiputera yang merupakan 67.4%
daripada rakyat negara kita masih berada dalam kumpulan berpendapatan rendah;
jika 4 juta daripada 6.5 juta pekerja yang mencarum dalam KWSP di negara kita
berpendapatan kurang RM2,000 sebulan; jika jurang ketidaksaksamaan di negara
kita antara yang tertinggi di rantau ini; jika rakyat masih tidak mampu
memiliki rumah sendiri.
16. Mengenai
isu perumahan, ada ahli UMNO di akar umbi yang mengatakan kepada saya,
rumah-rumah yang dibina dengan harga RM400,000 sebenarnya bukan rumah mampu
milik, tetapi rumah mampu tengok sahaja. Pandangan ini ada juga kebenarannya.
Menurut Kajian Khazanah Research Institute, harga rumah mampu milik yang
sewajarnya adalah 3 kali median pendapatan isi rumah, iaitu bagi kumpulan
pendapatan isirumah 40% terbawah dengan harga RM70,000 dan kumpulan
berpendapatan sederhana pada harga RM160,000 atau pada purata harga RM130,000.
Rumah-rumah yang dibina dengan harga yang terlalu mahal, terutamanya di
kawasan-kawasan bandar dan pinggir bandar, sudah tentulah tidak mampu dibeli
oleh rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.
16.
Saudara-saudari, persoalannya nanti, ketika negara kita mencapai sasaran Pelan
Transformasi Ekonomi dengan nilai GNI RM1.7 trillion, dengan pendapatan
perkapita RM48,000, dengan penambahan 3.3 juta pekerja berkemahiran dan RM1.4
trillion pelaburan daripada sektor swasta dan kerajaan, berapakah daripada
jumlah sasaran ini akan turun mengalir menjadi milik kaum Bumiputera? Dalam
keghairahan kita meletakkan sasaran besar untuk mencapai status negara
berpendapatan tinggi, kita juga harus menetapkan sasaran yang jelas untuk kaum
Bumiputera dan memastikan kekayaan negara kita dapat diagihkan kepada semua
rakyat baik di kota mahupun di desa, di semenanjung mahupun di Sabah dan
Sarawak, baik kumpulan berpendapatan tinggi mahupun kumpulan pertengahan dan
40% terbawah, semuanya – kulluhum ajma’in - perlu dipastikan mendapat peluang
yang adil dan saksama.
17.
Saudara-saudari, kita sebenarnya amat memerlukan satu model ekonomi yang
benar-benar dapat memastikan pertumbuhan disertai dengan pengagihan yang
saksama. Kita tidak boleh membiarkan majoriti rakyat negara kita terpinggir dan
tersisih daripada arus kemajuan ekonomi negara. Apatah lagi, ketidaksaksamaan
dalam masyarakat kita hari ini bukan lagi merupakan masalah kaum semata-mata,
tetapi juga masalah kelas. Kita sedang menghadapi masalah jurang yang besar
antara golongan kaya dan golongan miskin, jurang antara etnik dan intra
etnik,jurang antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak, jurang antara masyarakat
bandar dan luar bandar, jurang antara CEO, pengurusan kanan syarikat dan
pekerja bawahan. Semua ini jika dibiarkan berterusan akhirnya akan menjejaskan
pencapaian ekonomi negara kita secara keseluruhan.
18. Sebagai
mewakili suara orang Melayu dan Bumiputera, saya ingin tegaskan supaya
pendekatan, dasar dan strategi yang lebih berkesan untuk merapatkan jurang kaum
dan kelas dilaksanakan segera. Kita perlu memberikan tumpuan dan keutamaan
kepada program latihan peningkatan kemahiran pekerja Bumiputera, memperbaiki
mekanisme subsidi, menangani diskriminasi dalam sektor pekerjaan,
memperkemaskan perundangan, pengawalan dan penguatkuasaan terhadap pekerja
asing, memperkenalkan dasar mengenai peningkatan dan pengawalan pendapatan
pekerja, menambah mekanisme percukaian yang lebih berstruktur (targeted),
meningkatkan insentif bagi membantu keluarga menambah kekayaan, menyediakan
ekosistem kondusif kepada pelajar luar bandar dan miskin bandar, menekankan
semula pembangunan luar bandar, memperluaskan jaringan keselamatan sosial, dan
menyasarkan tindakan afirmatif berdasarkan keperluan (need-based) khusus untuk
kumpulan isi rumah 40% terbawah tanpa mengira kaum. Jangan ada mana-mana pihak
yang cuba mempersoalkan tindakan pembetulan ini sebagai agenda perkauman. Ini
adalah agenda negara.
19. Oleh
itu, kita perlu menjadikan Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional, bukan
agenda kaum. Majlis Ekonomi Bumiputera yang dipengerusikan oleh YAB Presiden
mempunyai peranan penting untuk mengkaji secara terperinci kedudukan ekonomi
Bumiputera, merencana hala tuju masa depan ekonomi Bumiputera, termasuk
memperkukuhkan instrumen dasar, institusi dan inisiatif memajukan ekonomi
Bumiputera. Saya mencadangkan supaya Agenda Bumiputera serta dasar dan strategi
merapatkan jurang ekonomi dijadikan teras utama Rancangan Malaysia Ke-11 yang
merupakan lonjakan terakhir Malaysia untuk menjadi negara maju. Agenda Bumiputera
sebagai Agenda Nasional tidak boleh dilaksanakan secara picisan atau terpisah
daripada kerangka besar ekonomi negara. Ia mesti dilaksanakan secara inklusif,
komprehensif dan merentasi semua sektor ekonomi. Saya juga mencadangkan satu
Dasar Ekonomi Nasional yang baharu dirangka untuk memacu inisiatif kesaksamaan
ke hadapan. Apatah lagi, tanggungjawab merapatkan jurang kaya dan miskin adalah
perintah Allah s.w.t. kepada kita sepertimana firman-Nya dalam Surah Al-Nahl,
Ayat 71:
وَٱللَّهُ فَضَّلَ بَعۡضَكُمۡ عَلَىٰ
بَعۡضٍ۬ فِى ٱلرِّزۡقِۚ
فَمَا ٱلَّذِينَ فُضِّلُواْ بِرَآدِّى رِزۡقِهِمۡ عَلَىٰ مَا مَلَڪَتۡ
أَيۡمَـٰنُہُمۡ فَهُمۡ فِيهِ سَوَآءٌۚ أَفَبِنِعۡمَةِ ٱللَّهِ
يَجۡحَدُونَ
Yang
bermaksud:
“Dan Allah
telah melebihkan sebahagian daripada kamu atas sebahagian yang lain pada rezeki
yang dikurniakan-Nya dalam pada itu, orang-orang yang diberi kelebihan itu
tidak mahu memberikan sebahagian daripada kelebihan hartanya kepada hamba-hamba
mereka, supaya orang-orang itu dapat sama mempunyai harta. Maka mengapa mereka
tergamak mengingkari nikmat Allah itu dengan perbuatan syirik?”
Memperkukuhkan
Manhaj Wasatiyyah Dalam Menangani Cabaran dan Ancaman Terhadap Islam
Saudara dan
saudari yang saya hormati sekalian,
20. Kita
juga sedang menghadapi pelbagai cabaran baharu dalam soal agama. Saban hari
saya mendengar keluh kesah orang Melayu yang bimbang dengan kesan faham
liberalisme dan sekularisme ke atas aqidah umat Islam. Hari ini kita banyak
mendengar kes-kes pelanggaran syariat yang dilakukan atas nama kebebasan dan
hak asasi. Penghinaan ke atas umat Islam juga dilakukan secara terbuka. Selain
itu, umat Islam juga sedang berhadapan dengan ancaman ekstremisme dan
militanisme yang sekiranya tidak dibendung segera akan memberi kesan buruk
kepada negara.
21. Apa yang
lebih membimbangkan ialah wujudnya trend sekularisasi dalam agama, iaitu agama
dilihat dalam neraca ideologi sekular liberal Barat yang tercabut daripada akar
Syariat. Trend ini sedang berkembang di seluruh dunia. Misalnya, majalah
Economist keluaran bulan Oktober yang lalu memberikan gambaran yang agak
mengejutkan mengenai amalan perkahwinan sejenis yang dilarang oleh syariat
Islam dan juga oleh agama-agama lain. Menurut majalah ini, dalam tahun 1950-an,
perkahwinan sejenis tidak diterima di hampir semua negara di dunia. Namun,
dalam tempoh hanya enam dekad, yang disebut sebagai “the leap forward”, hari
ini 113 negara atau 63% daripada keseluruhan negara di dunia telah mengiktiraf
perkahwinan sejenis atas nama menghormati hak asasi dan kesamarataan.
22. Keadaan
ini menimbulkan keresahan dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam. Mereka
bimbang sekiranya gejala sekularisasi agama ini tidak segera dibendung, maka
benteng aqidah dan syariat yang sekian lama dipertahankan oleh umat Islam akan
runtuh dirempuh arus liberalisme. Dalam konteks perjuangan UMNO, semua ini
merupakan cabaran baharu yang tidak pernah kita lalui sebelum ini. Kalau dahulu
kita cuma berhadapan dengan asakan PAS yang cuba membuktikan siapa lebih Islam.
Tetapi hari ini kita berada di luar kancah perlumbaan ini. Kita sedang berada
dalam dunia pasca-moden yang menganggap agama sebagai penghalang kepada
kebebasan manusia. Dalam realiti hari ini, semakin ramai pula pihak yang cuba membuktikan
siapa lebih liberal, bukan siapa lebih Islam.
23.
Saudara-saudari, UMNO sebagai parti tunjang Melayu-Islam tidak pernah dan tidak
akan sesekali meminggirkan agenda memartabatkan Islam daripada dasar perjuangan
kita. Ia sudah lama termateri dalam Perlembagaan UMNO sebagaimana peruntukan
Fasal 3.3 yang menjelaskan bahawa asas dan tujuan UMNO adalah untuk menegak,
mempertahankan dan mengembangkan Islam. Malah sejak 57 tahun kita merdeka,
UMNO-lah yang telah banyak membangunkan Islam di negara ini dalam segenap
sektor sama ada pendidikan agama, ekonomi dan kewangan Islam, pembangunan
sosial, pentadbiran mahupun perundangan Syariah.
24.
Pendekatan UMNO sejak dahulu, kini bahkan selamanya berpaksikan kepada
orientasi atau manhaj Wasatiyyah. Yang dimaksudkan dengan Wasatiyyah bukanlah
pendekatan yang bersifat ‘al-ghuluw wa ttatarruf fiddīn’ iaitu bersifat
melampau dan keras dalam pendekatan beragama hingga terjerumus kepada perlakuan
yang kaku dan beku, dan terbawa-bawa kepada perlakuan militan yang merosakkan
agama. Wasatiyyah juga tidak bersifat ‘al-tasāhul fiddīn’ iaitu memperlonggar
dan mempermudahkan agama hingga ke peringkat liberal yang menyesatkan.
25.
Sebaliknya pendekatan wasatiyyah yang diamalkan UMNO adalah konsep
kecemerlangan dan kesederhanaan umat yang berpaksikan Syariat Islam.
Sememangnya maksud wasatiyyah di dalam Islam adalah berlegar sekitar konsep
keadilan, kecemerlangan, pilihan terbaik dan perimbangan dalam segala perkara.
Boleh dikatakan perkataan-perkataan ini adalah kata kunci dalam memahami konsep
wasatiyyah dalam Islam. Pendekatan ini jelas diisyaratkan di dalam Al-Quran,
surah Al-Baqarah, Ayat 143:
وَكَذَٲلِكَ جَعَلۡنَـٰكُمۡ أُمَّةً۬ وَسَطً۬ا لِّتَڪُونُواْ شُہَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِ وَيَكُونَ
ٱلرَّسُولُ عَلَيۡكُمۡ شَهِيدً۬اۗ
Yang
bermaksud:
“Dan
demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami
jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang terpilih lagi adil, supaya
kamu layak menjadi orang yang memberikan keterangan kepada umat manusia
(tentang yang benar dan yang salah)".
26. Sebab
itulah saudara-saudari sekalian, sebagai pendokong perjuangan suci ini, kita
sebagai pejuang UMNO bermanhaj wasatiyyah harus tegas menentang gejala
esktremisme dan militanisme yang ketika ini begitu cepat mempengaruhi anak-anak
muda yang mahukan jalan pintas ke syurga. Kita juga tidak akan berkompromi
dengan mereka yang cuba memesongkan makna wasatiyyah yang cukup sinonim dengan
prinsip kesederhanaan Islam atau moderation dengan membawa ideologi songsang
seperti liberalisme dan sekularisme.
27. Kita
juga tidak boleh lagi berada dalam khutub khanah lama untuk mencari
penyelesaian baharu kepada kemelut yang dihadapi oleh umat Islam hari ini. Kita
perlu meneroka ilmu dan kemahiran terkini untuk menangani cabaran semasa. Bagi
saya, di sinilah letaknya peri penting tradisi keilmuan di dalam UMNO. Seluruh
ahli UMNO perlu menambah khazanah ilmu di dada bagi mendepani cabaran masa
kini.
28. Saya
fikir budaya membuat laporan polis dan mengangkat sepanduk dalam menghadapi
asakan terhadap akidah dan syariat Islam bukan lagi jawapan yang tuntas kepada
kemelut yang dihadapi oleh ummah. Kita perlu memperbanyak perbincangan,
penerbitan dan wacana mengenai kebebasan dan hak asasi manusia menurut
persepektif Islam dan juga bagaimana Islam menghadapi tantangan sekularisme.
Kita perlu menangani trend sekularisasi dalam agama ini dengan keteguhan akidah
dan ketajaman minda, bukannya diselubungi oleh ketegaran emosi. Di samping itu,
institusi-institusi Islam perlu diperkasa, penguatkuasaan undang-undang Islam
perlu dipertegas dan kerjasama UMNO dengan NGO-NGO Islam perlu diperkukuh.
Bunga
kesidang si bunga tanjung,
Tumbuh di
laman mekar berkembang,
Agama
dijulang Bangsa dijunjung,
Begitulah
UMNO terus berjuang.
Pendidikan
Sebagai Wahana Kemajuan dan Perpaduan Nasional
Saudara dan
saudari yang saya hormati sekalian,
29. Kita
juga menghadapi cabaran baharu dalam bidang pendidikan. Peranan pendidikan
sebagai wahana untuk bangsa Melayu meningkatkan taraf sosio ekonomi menjadi
lebih penting. Jika dahulu fokus kita dalam bidang pendidikan ialah untuk
meningkatkan kadar enrolmen dan membasmi buta huruf. Hari ini, sasaran dalam
bidang pendidikan telah berganjak kepada melahirkan tenaga manusia yang
berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. Dalam dunia yang semakin kompetitif
hari ini, memiliki kelayakan di peringkat menengah sahaja tidak memadai.
30. Sebagai
parti yang memperjuangkan nasib Bumiputera, UMNO perlu memberi perhatian secara
lebih serius kepada usaha meningkatkan kemahiran tenaga kerja Bumiputera. Data
terkini menunjukkan 64.3% tenaga buruh Bumiputera mempunyai sijil SPM dan ke
bawah. Hanya 27.8% berpendidikan tinggi. Keadaan ini tidak memberikan kelebihan
kepada kaum Bumiputera untuk bersaing dalam pasaran kerja yang semakin
kompetitif. Oleh itu, kita perlu berani berganjak untuk melihat pendidikan
sebagai komponen penting dalam meningkatkan pencapaian Bumiputera. Di samping
memberikan fokus kepada pencapaian di peringkat pengajian tinggi, kita juga
perlu memberi tumpuan kepada bidang latihan teknikal dan vokasional untuk
meningkatkan kemahiran dan daya saing pekerja Bumiputera.
31. Di
samping itu, kita jangan lupa peranan pendidikan sebagai wahana perpaduan dan
wahana untuk membina identiti nasional. Kerana itu saya sering menegaskan
kepentingan kita memperkasakan sekolah kebangsaan sebagai sekolah perpaduan.
Jika murid daripada semua kaum dapat belajar di bawah satu bumbung dengan
meningkatkan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan, maka saya yakin
perpaduan di negara kita akan menjadi lebih kukuh. Hari ini, polarisasi kaum
masih wujud sebahagiannya kerana politik kebencian yang dimainkan oleh
sesetengah pihak. Sensitiviti kaum tidak dipedulikan, institusi Raja
dimomokkan, malah wujud cabar mencabar antara agama. Saya percaya, kita boleh
mengembalikan kepercayaan antara kaum melalui satu sistem pendidikan kebangsaan
yang memberi keutamaan kepada perpaduan nasional.
32. Matlamat
ini boleh kita capai jika kita meletakkan asas-asas yang kukuh untuk perpaduan
dalam sistem pendidikan kita. Ini termasuklah memperkasa Bahasa Melayu sebagai
bahasa perpaduan dan menjadikan perpaduan nasional sebagai agenda utama semua
aliran persekolahan di negara kita, termasuk di sekolah jenis kebangsaan,
sekolah agama rakyat, sekolah swasta dan lain-lain. Jangan lagi ada kisah murid
yang tidak tahu berbahasa Melayu, sedangkan bahasa Melayu adalah bahasa
kebangsaan negara kita. Jangan lagi ada insiden kenyataan berbaur perkauman
dikeluarkan oleh guru atau murid di sekolah. Jangan lagi ada perasaan prejudis
kaum dan agama yang tebal dalam kalangan rakyat negara kita. Saya fikir, tempoh
57 tahun merdeka sudah cukup untuk kita hapuskan segala rasa prejudis dan syak
wasangka antara kaum. Tinggal lagi, kita semua, baik parti politik, pertubuhan
bukan kerajaan, gerakan pendidikan Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain,
perlulah ada keikhlasan, ada kejujuran, dan ada kesungguhan untuk memupuk
perpaduan. Jangan kita bercakap mengenai perpaduan, tetapi pada masa yang sama
bertindak menebalkan tembok pemisahan kaum.
33. Pada
hemat saya juga, dalam semangat untuk mengikis sikap prejudis sesama rakyat,
adalah wajar kerajaan mengambil tindakan tegas dalam membendung
kenyataan-kenyataan yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama daripada
memercikkan api perbalahan. Adalah lebih baik kita mencegah daripada nantinya
terpaksa merawat luka permusuhan yang parah. Kerana itu saya telah menyatakan
pendirian saya mengenai Akta Hasutan. Bagi saya, Akta ini wajar dikekalkan
dengan beberapa penambahbaikan. Peruntukan khusus perlu dimasukkan untuk melarang
mana-mana pihak daripada mempersoalkan jaminan perlembagaan mengenai kedudukan
agama Islam sebagai Agama Persekutuan. Akta ini juga perlu menghalang mana-mana
pihak daripada mempersoalkan hak penganut agama lain untuk mengamalkan
kepercayaan agama masing-masing. Begitu juga dengan kedudukan tanah rezab
Melayu dan Regimen Askar Melayu DiRaja yang merupakan sebahagian daripada
wasiat Raja-Raja Melayu perlu dilindungi daripada perbuatan menghasut. Apa yang
penting ialah kita perlu melihat Akta Hasutan bukan sebagai akta yang hanya
melindungi kepentingan orang Melayu, tetapi akta yang memelihara perpaduan dan
keharmonian nasional.
PERSEPSI
ORANG MUDA TERHADAP UMNO
Saudara dan
saudari yang saya hormati sekalian,
34. Hari
ini, parti kita sedang menyongsong perubahan. Sebagai parti yang memperjuangkan
kemerdekaan, UMNO telah banyak berjasa kepada orang Melayu dan rakyat
Malaysia.Tiada siapa yang boleh menafikan sumbangan UMNO kepada agama, bangsa
dan tanah air. Tetapi, survival parti kita pada masa hadapan tidak boleh
bergantung semata-mata kepada rekod sumbangan kita pada masa lalu. Rakyat,
khususnya orang Melayu, ingin melihat apa sumbangan UMNO kepada mereka dalam
mengharungi cabaran masa hadapan yang lebih getir. Untuk itu, kita perlu
mempersiapkan UMNO untuk menjadi parti masa hadapan, parti harapan umat Melayu,
parti idaman generasi muda Melayu dan parti yang sesuai dengan dinamika politik
nasional.
35. Terus
terang saya katakan saya agak bimbang melihat perkembangan hari ini. UMNO masih
bertahan di kampung-kampung, tetapi semakin hilang sokongan masyarakat bandar
yang lebih terbuka, lebih terdedah kepada pelbagai maklumat dan lebih
sofistikated dari segi pemikiran, nilai dan cara hidup. Dalam pilihanraya umum
yang lalu, UMNO kalah di kebanyakan kawasan bandar majoriti Melayu. Kita kalah
di Shah Alam, Ampang, Lembah Pantai, Bangi, Kuantan, Kuala Terengganu, Kota
Bharu dan banyak kawasan lain yang suatu ketika dahulu merupakan kubu kuat
UMNO. Kita juga kalah teruk di Selangor yang merupakan negeri termaju di
Malaysia.
36. Dalam
rangka menyediakan ucapan saya pada malam ini, saya mendapatkan pandangan
pemuda dan pemudi Melayu mengenai UMNO. Mereka terdiri daripada graduan muda,
golongan profesional, aktivis masyarakat, usahawan dan ahli akademik. Bagi
saya, pandangan orang muda terhadap UMNO adalah penting dalam menentukan
survival UMNO. Orang muda merupakan pewaris perjuangan parti kita, dan
pandangan mereka tentang UMNO akan menentukan jatuh bangunnya UMNO pada masa
hadapan.
37. Saya
bertanya kepada mereka apa persepsi mereka terhadap UMNO? Apa aspirasi mereka?
Apa harapan mereka? Apa kebimbangan mereka? Apa perkara penting yang hendak
disampaikan kepada UMNO? Saya minta supaya mereka bercakap secara jujur, ikhlas
dan terbuka. Saya ingin tahu apa yang perlu UMNO lakukan supaya anak-anak muda
di luar sana ghairah untuk berada bersama-sama kita dalam saf perjuangan UMNO.
38. Izinkan
saya berkongsi pandangan mereka dengan saudara dan saudari pada malam ini.
Pertama, mereka kata UMNO sedang mengalami trust deficit atau defisit
kepercayaan; kedua, UMNO ini parti feudal; ketiga, dalam UMNO ada budaya play
safe dan budaya pak turut; keempat, UMNO dikuasai oleh warlord; dan kelima,
UMNO diancam oleh budaya ugut dan budaya tabur. Ini kata mereka.
39. Mereka
menjelaskan satu persatu kepada saya apa yang mereka maksudkan dengan
kelima-lima perkara ini. Mengenai defisit kepercayaan, mereka beritahu saya
mereka sebenarnya sokong perjuangan UMNO. Mereka sayang kepada UMNO. Bagi
mereka tidak ada parti lain yang boleh diharapkan untuk mempertahankan agama,
bangsa dan tanah air melainkan UMNO. Cumanya, mereka ingin melihat pemimpin
UMNO di setiap peringkat lebih berintegriti, lebih amanah, lebih jujur, lebih
telus, tidak terpalit dengan gejala rasuah, tidak menonjolkan kemewahan yang
berlebihan, tidak bergaduh sesama sendiri dan sebagainya. Jika ini boleh
dilakukan, maka orang muda akan percaya semula kepada UMNO.
40. Mereka
juga tidak mahu UMNO terlalu terikat dengan hirerki hingga mewujudkan gambaran
parti kita menjadi parti feudal sehingga orang bawah tidak boleh bersuara
selagi orang atas tidak bersuara. Sehinggakan hendak beri pandangan pun kena
tengok apa orang atas kata. Kalau orang atas kata A, maka yang di bawah mesti
kata A. Kalau orang atas kata B, yang di bawah pun mesti kata B.
41. Menurut
mereka lagi, orang muda dalam UMNO mempunyai idea-idea yang bernas tetapi
merasakan lebih baik diam daripada bercanggah pandangan dengan orang atas. Ada
yang kata kalau bercakap lebih sedikit nanti dianggap hendak memandai. Ada pula
yang beri nasihat orang muda mesti berhati-hati dalam politik. Jangan terlalu
menonjol. Jangan terlalu laju. Nanti kena sekat, nanti kena cantas, kena kerat,
kena sabo, kena cah keting, kena terajang dan lain-lain lagi. Jadi,
lama-kelamaan mereka fikir lebih baik diam daripada bercakap, atau lebih
selamat jadi pak turut saja. Seolahnya ada satu budaya play safe, atau budaya
pilih jalan selamat dalam UMNO.
42.
Akibatnya, dalam UMNO, lebih ramai orang memilih untuk berdiam diri daripada
bercakap. Ini mewujudkan persepsi bahawa parti kita sedang dilanda budaya
kelesuan. Akhirnya, orang Melayu dan rakyat tertanya-tanya di mana suara
keramat UMNO? Di mana taring Pemuda? Di mana ketegasan Wanita? Di mana
kelantangan Puteri? Kesannya, kita seolahnya ketandusan pemimpin untuk
menjuarai kepentingan orang Melayu. Sehinggakan timbul cakap-cakap di luar sana
yang mengatakan NGO Melayu lebih lantang daripada UMNO dalam memperjuangkan hak
dan kepentingan Melayu.
43. Bagi
saya, kita perlu membuktikan bahawa UMNO bukannya sebuah parti yang lesu. UMNO
bukannya parti yang mempunyai budaya pak turut, budaya nyanyi, budaya puji,
budaya lambung, budaya ampu sana ampu sini. UMNO adalah parti yang berwibawa,
parti yang ada idealisme, parti yang ada masa depan, parti pilihan anak-anak
muda. Ingatlah, orang muda hari ini tidak suka jadi pak turut. Mereka naik geli
dengan budaya ampu. Mereka benci budaya sabo. Mereka tolak budaya cah keting.
Jika kita boleh buang semua budaya negatif ini jauh-jauh, saya yakin UMNO akan
menjadi parti pilihan orang muda.
44. Satu
lagi ialah budaya warlord. Ramai yang beritahu saya dalam UMNO ada banyak
warlord. Mereka ini amat berkuasa kerana mempunyai ramai pengikut setia yang
sanggup melakukan apa sahaja untuk mereka. Dengan sokongan pengikut, warlord
akan mengugut pemimpin atasan parti untuk berikan apa sahaja yang mereka minta.
Jika tak diberi, mereka akan sabo parti dalam pilihan raya.
45. Kita
perlu buktikan bahawa warlord bukan sebahagian daripada budaya UMNO. Kita
menolak sikap sekalangan yang cuba untuk kekal berkuasa dengan menabur
kemewahan kepada pengikut. Sehinggakan ada yang kata tak payah buat kerja dalam
UMNO. Yang perlu dibuat ialah kumpul kekayaan untuk tabur kemewahan kepada
pengikut supaya mereka sentiasa setia. Keadaan ini menyebabkan kos politik
menjadi semakin mahal. Yang tiada wang tidak boleh masuk politik. Walaupun ada
bakat, ada kelulusan, ada kebolehan, mereka tak mampu untuk bergerak aktif
dalam parti jika tiada wang. Saya bimbang, akhirnya nanti yang naik dalam
hirerki parti adalah orang yang ada wang, bukan orang yang ada kebolehan. Orang
kata money is everything in politics. No money, no talk. Seolahnya, wang adalah
kuasa, wang adalah segala-galanya.
46. Saya
kadang kala terfikir adakah sudah tidak ada keikhlasan dan kejujuran dalam
perjuangan? Adakah sudah tidak ada nilai pengorbanan dalam politik? Adakah
pengikut menilai pemimpin semata-mata berdasarkan kemampuan mereka untuk tabur
kemewahan? Adakah pemimpin mengukur kesetiaan pengikut berdasarkan harga yang
mereka bayar? Bagi saya, budaya ugut dan tabur ini amat bahaya kepada parti
kita. Budaya ini akan menyebabkan politik wang berleluasa di dalam parti. Pengikut
yang terima wang akan suka. Mereka puji pemimpin yang boleh beri sesuatu kepada
mereka. Tetapi jangan kita lupa. Rakyat di luar sana tak suka politik wang.
Mereka curiga bila lihat orang politik hidup mewah. Tak setimpal dengan
pendapatan. Apatah lagi jika ada yang suka menunjuk-nunjuk kemewahan. Rakyat
akan mula menuduh bermacam perkara yang tidak baik terhadap parti kita. Inilah
punca masalah trust deficit atau defisit kepercayaan terhadap UMNO. Jadi,
ingatlah. Apa guna kita naik dalam hirerki parti, tetapi rakyat menolak parti
kita kerana mereka tidak suka dengan imej dan sikap kita.
47. Apa yang
saya sebutkan ini adalah persepsi dan kritikan orang muda terhadap UMNO.
Barangkali ada yang betul, ada juga yang kurang tepat. Tetapi mengambil yang baik
daripada kritikan ini adalah lebih afdal. Ini membuktikan bahawa UMNO adalah
parti yang terbuka dan kita sentiasa bermuhasabah. Sepertimana firman Allah
s.w.t. dalam Surah Al-Zumar Ayat 18:
ٱلَّذِينَ يَسۡتَمِعُونَ ٱلۡقَوۡلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحۡسَنَهُ ۥۤۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ
ٱلَّذِينَ هَدَٮٰهُمُ ٱللَّهُۖ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ
هُمۡ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ
Yang
bermaksud:
Yang
berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka
memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka
itulah orang-orang yang diberi hidayat petunjuk oleh Allah dan mereka itulah
orang-orang yang berakal sempurna.
HARAPAN
ORANG MUDA TERHADAP UMNO
Saudara dan
saudari yang saya hormati sekalian,
48.
Sebenarnya, orang muda dan umat Melayu seluruhnya menaruh harapan yang tinggi
kepada UMNO. Mereka tidak menolak perjuangan UMNO. Mereka mahu supaya pemimpin UMNO
tegas memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam, tetapi pada masa yang sama
tidak dilihat terlalu ekstrem perkauman atau terlalu liberal. Mereka percaya
bahawa dalam sebuah masyarakat pelbagai kaum, UMNO perlu bersikap adil terhadap
kaum-kaum lain, tetapi tidaklah sampai menggadaikan asas dan prinsip perjuangan
UMNO. Pendek kata, orang muda mahu UMNO terus menjadi parti yang sederhana,
parti yang berjaya mengekalkan keseimbangan dalam hubungan kaum dan agama. Apa
yang penting ialah pemimpin UMNO mesti dilihat lebih ikhlas, lebih jujur, lebih
telus, lebih adil dan lebih berwibawa dalam menggalas perjuangan parti.
49. Saya
fikir orang muda mempunyai pemikiran yang agak kritis. Apabila ada perkara yang
dilihat tidak cocok dengan idealisme mereka, maka mereka akan mengkritik.Tetapi
itulah lumrah orang muda. Itulah juga kekuatan orang muda. Mereka yakin dengan
idealisme mereka dan berani memperkatakan apa yang mereka fikir benar. Mereka
ada courage – iaitu keberanian - dan ada conviction - yakni keyakinan yang
teguh dengan apa yang mereka fikirkan benar. Kedua-dua sifat inilah yang
menjadikan orang muda ada kewibawaan, ada ketokohan, ada keupayaan untuk
memimpin.
50. Jadi,
dalam proses untuk melengkapkan perubahan dan peremajaan UMNO, untuk menjadikan
UMNO sebagai parti harapan orang muda, parti idaman, parti masa depan, saya
mencadangkan 7 langkah pembaharuan yang perlu kita laksanakan segera:
Pertama,
UMNO perlu melahirkan pemimpin muda yang berwibawa dan menjadi peneraju
pemikiran (opinion leader) di dalam masyarakat. Garap idealisme orang muda.
Galakkan budaya berfikir dan bersuara dalam UMNO. Pemimpin muda yang ada
idealisme, ada wibawa dan berani bersuara perlu diketengahkan untuk menjuarai
isu-isu rakyat, menjadi jurucakap parti, bukan diketepikan oleh parti;
Kedua, UMNO
perlu melakukan pencarian bakat. Kita perlu menyediakan platform untuk orang
muda daripada golongan profesional, intelektual, agamawan, aktivis sosial dan
lain-lain yang diterima oleh masyarakat untuk bergerak aktif dalam UMNO. Paltform
ini perlu diwujudkan di peringkat pusat, negeri dan bahagian. Contohnya, mereka
yang berbakat boleh dilantik ke unit-unit tertentu di dalam parti dan diberi
peranan untuk menyumbang kepada parti. Kita juga perlu ketengahkan mereka yang
berbakat dan berkaliber untuk menjadi calon dalam pilihanraya. Mereka ini tidak
semestinya berjawatan tinggi dalam parti. Pengalaman kita dalam pilihanraya
kecil Pengkalan Kubor dan Kuala Besut menunjukkan calon yang tidak berjawatan
tinggi di peringkat bahagian boleh menang kerana mereka diterima oleh rakyat;
Ketiga,
wujudkan modul pengkaderan dan pentarbiyahan yang tersusun untuk melahirkan
lebih ramai pemimpin muda UMNO yang bijak, petah dan tangkas berhujjah serta
teguh daya rohaninya. Kita perlu membentuk UMNO dengan kalangan ahlinya yang
punya kekentalan semangat serta menghayati prinsip dan matlamat perjuangan
parti yang sebenar. Beri mereka kekuatan untuk mengolah perjuangan UMNO yang
lebih segar dalam konteks cabaran semasa. Jadikan mereka kumpulan pemikir muda
di dalam UMNO.
Keempat,
semarakkan semangat kesukarelawanan melalui program-program bersama rakyat.
Pecahkan tembok pemisah antara parti dan rakyat menerusi kerja-kerja sukarela.
Dekati rakyat, dengar rintihan mereka, fahami masalah mereka. Tanya diri kita,
berapa ramai daripada kita yang sentiasa mendekati rakyat dan disayangi oleh
rakyat. Manfaatkan sepenuhnya teknologi maklumat, khususnya media sosial, untuk
sentiasa mendekati dan memenangi hati golongan muda;
Kelima,
wujudkan institusi naziran di dalam UMNO untuk memantau setiap Bahagian dan
Cawangan. Satu Jabatan Naziran perlu diwujudkan di dalam UMNO untuk pastikan
semua pemimpin di peringkat Majlis Tertinggi, sayap, negeri, bahagian dan akar
umbi buat kerja. Bahagian ini bertanggungjawab untuk melaporkan kepada
Jawatankuasa Pengurusan UMNO dan Majlis Tertinggi mengenai keberkesanan
program-program yang dilaksanakan oleh parti;
Keenam,
gerakkan revolusi mental yang baharu dalam UMNO dan bangsa Melayu seperti yang
pernah digarap oleh Allahyarham Datuk Senu Abdul Rahman. Mungkin kita boleh
namakan Revolusi Mental 2.0. Cerna idea, pemikiran dan kaedah baharu untuk
menangani cabaran perubahan zaman dalam bidang ekonomi, politik, agama,
hubungan kaum, teknologi dan lain-lain. Sepertimana yang diungkapkan oleh
Allahyarham Tun Abdul Razak dalam pendahuluan buku Revolusi Mental, antara
sebab kemunduran bangsa Melayu ialah pemikiran yang terkebelakang yang
disebabkan oleh kekurangan ilmu dan cara hidup yang lama. Justeru, UMNO perlu
berani menerajui perubahan pemikiran, budaya dan sikap bangsa Melayu untuk
menempa kemajuan. Pada masa yang sama, hadapi dengan bijaksana kemunculan
pelbagai tantangan yang cuba menggoyahkan prinsip perjuangan UMNO untuk bangsa
Melayu sebagai bangsa teras di Malaysia. Yang penting, jadikan prinsip
perjuangan UMNO relevan sepanjang masa; dan
Ketujuh,
bangkitkan gerakan kesedaran nilai undi dalam kalangan masyarakat Melayu.
Gerakan pendaftaran pengundi baharu mesti dibuat dengan lebih
bersungguh-sungguh. Jangan buat sambil lewa. Jangan buat sekadar melepas batuk
di tangga kata orang. Jangan sampai kegagalan kita menambah bilangan pengundi
Melayu menyebabkan kaum Melayu yang merupakan kaum majoriti menjadi golongan
minoriti dalam pilihanraya. Sasaran gerakan ini wajib dimulai dengan memastikan
semua ahli UMNO yang layak mengundi didaftarkan sebagai pengundi.
MEREKAYASA
PERUBAHAN
Saudara dan
saudari yang saya hormati sekalian,
51. Bagi
saya, UMNO mesti melakukan perubahan yang drastik jika ingin kekal relevan
dengan peredaran masa. Pendekatan dan gerak kerja UMNO hari ini sedang dipintas
oleh gerakan yang lebih canggih dan sesuai dengan selera masa kini. Lebih-lebih
lagi, jika UMNO ingin menjadi parti masa hadapan, maka citra UMNO mestilah
cocok dengan jiwa anak-anak muda Melayu, golongan profesional Melayu dan tidak
lupa seluruh generasi muda yang berada di desa mahupun di kota. Mereka adalah
pewaris perjuangan parti kita.
52. Untuk
itu, UMNO memerlukan suntikan tenaga muda sama ada di kalangan wanita dan
lelaki, yang berkebolehan dan berkelayakan untuk memimpin parti. Orang lama
mesti beri laluan kepada orang muda. Lebih-lebih lagi jika kita menjadi
liabiliti kepada parti, kita harus segera berundur secara terhormat. Kita telah
lama bercakap mengenai peremajaan UMNO, tetapi tanyalah diri kita apakah proses
ini benar-benar berlaku di dalam parti.
53. Untuk
tidak ada banyak masa untuk menunggu perubahan berlaku. Kita perlu merekayasa
perubahan. If change does not happen, we have to engineer the change. Justeru
pada hemat saya, wajar untuk kita pertimbangkan pemilihan parti dilaksanakan
mengikut kehendak Perlembagaan UMNO dan tidak ditangguhkan selepas pilihanraya
umum seperti yang pernah dibuat sebelum ini. Saya juga mencadangkan pindaan
Perlembagaan UMNO diadakan tahun hadapan dengan memperuntukkan pindaan yang
sesuai untuk membolehkan barisan pelapis muda menyumbang peranan dan khidmat
bakti yang lebih besar kepada UMNO. Saya percaya UMNO tidak akan berpecah
sekiranya pemilihan diadakan. Pemimpin UMNO tentunya cukup matang untuk
menghadapinya. Saya sendiri akan sentiasa berdiri bersama-sama YAB Presiden
untuk merealisasikan perubahan dan peremajaan parti kita.
54. Ini
adalah seruan terakhir untuk UMNO. Do or be dead! Jangan letak kepentingan diri
melebihi kepentingan parti. Saya ingin mengingatkan diri saya sendiri dan
pemimpin UMNO di semua peringkat, jika kita menjadi batu penghalang kepada
peremajaan parti, maka kita mesti berundur secara terhormat. Parti kita mesti
kekal relevan supaya bangsa Melayu terus terbela. Diri kita tidak penting. Yang
penting ialah bangsa Melayu dan UMNO. Ingatlah, Allah tidak akan mengubah nasib
sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri mengubah apa yang ada dalam dirinya.
Sepertimana firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Ra’du Ayat 11:
إِنَّ ٱللَّهَ لَا
يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ
يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِہِمۡۗ
55. Jangan
kita lupa akan seruan YAB Presiden. Di Dewan Merdeka ini jugalah semasa merasmikan
Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO tahun 2008, Presiden dengan jelas
menuntut agar kita berubah untuk kepentingan rakyat. Saya petik kata-kata
Presiden. “Berubah dari sikap-sikap mazmumah kepada sikap-sikap mahmudah.
Berubah daripada kurang mesra kepada mesra, daripada mementingkan diri kepada
mementingkan rakyat, daripada malas kepada rajin kerja, berubah daripada kurang
berkhidmat kepada suka berkhidmat. Berubahlah, jika tidak, kita rebah”.
Soalnya, apakah kita mengambil serius gesaan YAB Presiden ini? Atau, adakah ia
ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri?
56.
Saudara-saudari, kita mesti memperbetulkan segera segala kesilapan kita dan
melakukan perubahan demi kelangsungan agama dan bangsa kita. Amatilah
betul-betul peringatan Allah s.w.t. sebagaimana firmanNya dalam surah Al-An’am
Ayat 6:
أَلَمْ يَرَوْا كَمْ
أَهْلَكْنَا مِنْ قَبْلِهِمْ مِنْ
قَرْنٍ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ مَا
لَمْ نُمَكِّنْ لَكُمْ وَأَرْسَلْنَا السَّمَاءَ
عَلَيْهِمْ مِدْرَارًا وَجَعَلْنَا الْأَنْهَارَ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهِمْ
فَأَهْلَكْنَاهُمْ بِذُنُوبِهِمْ وَأَنْشَأْنَا مِنْ بَعْدِهِمْ قَرْنًا
آخَرِينَ
Tidakkah
mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami
binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan
mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan
kepada kamu dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya dan Kami
jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka
dengan sebab dosa mereka dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain?
PENUTUP
Saudara dan
saudari yang saya hormati sekalian,
57. Zaman
untuk dipuja dan dipuji dalam kelompok sendiri sudah berlalu. Ini adalah zaman
untuk kita bersama-sama masyarakat, merasai keresahan mereka, berusaha mencari
penyelesaian kepada permasalahan yang mereka alami. Ini zaman untuk kita meraih
keyakinan rakyat, zaman untuk kita memimpin bangsa mengharungi cabaran yang
semakin hebat. Hormat rakyat bukan sesuatu yang boleh dipaksa. Berusaha,
berkhidmatlah kepada rakyat bagi mendapatkan hormat mereka kepada kita. UMNO
adalah parti massa yang lahir daripada kebangkitan rakyat yang mempunyai
matlamat dan arah tuju yang jelas. UMNO terbina demi masa depan umat Melayu dan
negara. UMNO bukan parti yang lahir daripada rasa benci, tetapi penuh dengan
rasa kasih dan sayang demi kesejahteraan rakyat. UMNO adalah parti yang sarat
dengan harapan untuk masa depan bangsa dan negara. Binalah keyakinan,
tunjukkanlah keazaman, hamparkanlah harapan kepada bangsa Melayu dan rakyat
Malaysia seluruhnya bahawa parti ini adalah pilihan terbaik buat mereka.
59. Kepada
umat Melayu dan Bumiputera yang sedang menekuni ucapan saya ini samada yang
berada di Semenanjung, Sabah dan Sarawak bersatulah kita atas nama kewatanan
dan kecintaan kepada negara. Kita sudah tiada masa untuk bertelingkah atau
berbenci antara satu sama lain. Kepada seluruh rakyat tanpa batas kaum dan
fahaman, marilah kita menolak gerakan meracuni dan membenci sesama kita. Jangan
kita biarkan negara ini runtuh hanya kerana umpan-umpan yang dilontarkan kepada
kita oleh pihak luar.
60. Kepada
Wanita, bangunlah dengan istiqamah perjuangan. Hulurkan salam jemputan buat
wanita Melayu dari segenap ceruk rantau dan latar belakang--guru wanita,
ustazah, peguam, doktor, pegawai profesional hatta NGO wanita dan ibu-ibu
tunggal-- marilah bersama-sama sebaris dengan kita dalam perjuangan ini. Buat
Pemuda, bangkitlah dengan bara perjuangan. Beranikan diri berada di mana sahaja
bila panggilan untuk berkorban masa dan tenaga. Bawalah golongan muda yang
dahagakan kebersamaan dan interaksi. Berikan mereka harapan. Buat Puteri,
bangkitlah dengan semangat baharu yang segar membawa pemudi dan wirawati negara
meyakini perjuangan kita. Tanamkan benih kasih kepada mereka, nescaya mekarlah
nanti dengan rimbunan pendokong.
61. Harapan
saya kepada seluruh bangsa Melayu, renunglah nasib masa depan bangsa kita.
Hargai sejarah perjuangan bangsa di masa lalu, perjuangan yang meletakkan kita
di sini hari ini. Bangkitlah bersama-sama UMNO untuk merencana masa depan
bangsa kita agar tidak hilang ditelan zaman, agar terus tegar mendepani
cabaran. Saya percaya, dengan kekuatan tekad dan keazaman kita semua, dengan
limpahan rahmat dan inayah Allah s.w.t, UMNO akan beroleh kekuatan dan
keyakinan untuk melakukan perubahan dan pembaharuan, dan seterusnya mara
membela agama, bangsa dan negara kita.
Gagahnya
pahlawan dahulukala,
Menjadi
tauladan sepanjang zaman,
Kalian
tinggalkan warisan bangsa,
Untuk kita
teruskan perjuangan.
Hidup
Melayu! Hidup Melayu! Hidup Melayu!
Dengan lafaz
Bismillahirrahmanirrahim saya dengan sukacitanya merasmikan Persidangan Wanita,
Pemuda dan Puteri UMNO 2014.
No comments:
Post a Comment