Baru-baru
ini Khazanah Nasional Bhd mengumumkan perlantikan Ketua Pegawai Eksekutif MAS
(NewCo), Christoph R Mueller, yang kini merupakan CEO Aer Lingus Plc, sebuah
syarikat penerbangan nasional Ireland.
Sebetulnya,
pencalonan Mueller sebagai peneraju utama MAS bukanlah suatu yang mengejutkan
di mana media sebelum ini seolah dapat menghidu ura-ura memancing tokoh
industri penerbangan yang terbukti pernah menyelamatkan beberapa syarikat
penerbangan sebelum ini.
Lumrah
seolah budaya orang Malaysia, bila suatu pengumuman yang melibatkan kepentingan
negara, ada saja yang tidak kena dan perlantikan Mueller tidak terkecuali dari
menjadi mangsa kritikan beberapa pihak.
Antara yang
menolak pelantikan Mueller untuk menerajui MAS ialah Ahli Majlis Tertinggi
UMNO, Datuk Reezal Merican, bekas CEO MAS yang pertama, Tan Sri Aziz Rahman,
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan beberapa pihak lain lagi.
Antara hujah
mereka, Mueller dikatakan tidak wajar dilantik mengemudi MAS memandangkan
beliau merupakan seorang warga asing, bukan Melayu, bukan anak tempatan dan
kononnya tidak memahami masalah yang berlaku di negara ini. Itu hujah utama
mereka.
Reezal mahu
agenda bumiputera terpelihara dalam MAS. Tan Sri Aziz pula merupakan peneraju
Jentayu Danaraksa yang sebelum ini seolah cuba “memaksa” Khazanah bekerjasama
dengan syarikatnya yang baru berusia 3 bulan, mungkin ada agenda yang
“tersirat” di sebalik komen tersuratnya, bukan?
Begitu juga
dengan Guan Eng dan DAP yang mahu anak tempatan seperti pengasas Air Asia, Tony
Fernandes atau dua lagi orang kuat Air Asia, Kamaruddin Meranon atau Azran
Osman Rani, untuk mengemudi MAS, sedangkan individu-individu inilah yang
“dihalau” keluar oleh MASEU dalam insiden “swap share” dahulu.
Saya tidak
pasti sebenarnya apa tujuan sebenar kenyataan mereka-mereka yang mahukan anak
tempatan mengemudi MAS. Sama ada mereka mahu menyelamat MAS atau memperjuangkan
nasib “anak tempatan” pada ketika MAS sedang tenat, itu saya tidak pasti.
Namun apa
yang saya pasti, tindakan Khazanah melantik Mueller itu membuktikan betapa
serius usaha memulihkan MAS yang “nazak”, hampir “mati” yang selama ini di
bawah kepimpinan anak tempatan.
Dari zaman
kepimpinan Tun Dr Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan hinggalah yang
terkini, Datuk Seri Najib Tun Razak, usaha untuk memulihkan syarikat berkenaan
diteruskan dengan melibatkan anak tempatan sebagai peneraju. Namun masih gagal
dipulihkan sepenuhnya.
Justeru,
saya berpandangan bahawa suntikan RM6 bilion itu adalah bertujuan untuk
memulihkan MAS, dan bukan bertujuan untuk bermain emosi dengan sentimen “anak
tempatan” atau tidak.
Anak
tempatan telah pun menerajui MAS tetapi syarikat penerbangan negara itu masih
terus masih belum bangun. Kenapa perlu menolak pengalaman dan kepakaran yang
dimiliki Mueller?
MAS lebih
utama “diselamatkan” oleh tangan yang lebih berkaliber, terbukti berpengalaman
dalam menguruskan survival syarikat penerbangan serta bebas dari kongkongan
ideologi politik mahupun sentimen “anak tempatan”.
Pemilihan
Mueller sebagai CEO MAS (NewCo) sewajarnya tidak perlu dipertikai. Berlatar
belakangkan prestasi yang terbukti relevan dan hebat, sewajarnya warga Jerman
itu wajar diberi sokongan untuk memulihkan MAS.
Bila
berdepan dengan situasi terdesak mahu menyelamatkan “nyawa”, kita tidak perlu
memainkan sentimen anak tempatan.
Secara
sakarstik atau tidak, mungkin benar kata Tun M yang mengatakan orang Malaysia
bodoh kerana gagal memulihkan MAS biarpun telah diberi peluang berkali-kali.
Justeru itu,
biarlah mereka yang terbukti mampu memulihkan MAS mengemudi syarikat itu. Kita
anak tempatan belajar dari kesilapan dan mungkin dengan berkongsi pengalaman
dengan Mueller akan membantu anak tempatan meneruskan survival MAS kemudian
hari nanti.
Tidak rugi
berkongsi ilmu dan pengalaman dari mereka yang lebih tahu, bukan?
Semoga MAS
kembali gagah di angkasa membawa maruah negara…
No comments:
Post a Comment