Thursday, September 26, 2013

Bekas Menteri Besar Kedah Meninggal Dunia



ALOR SETAR, 26 Sept (Bernama) -- Bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Azizan Abdul Razak meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini pagi ini, selepas lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan yang serius.

Timbalan Pengarah Perubatan 1 HSB Dr Norzaini Morad berkata Azizan, 69, disahkan meninggal dunia pukul 11.05 pagi berikutan jangkitan kuman dan kegagalan organ dalaman yang pelbagai.

Katanya keadaan Azizan yang dipindahkan dari Hospital Pulau Pinang (HPP) ke HSB bulan lepas mula kritikal sejak pagi semalam selepas mengalami serangan jantung.

"Rawatan agresif telah diberikan dan antibiotik terbaik juga diberikan. Jangkitan kuman mungkin berpunca daripada keadaan pesakit yang lemah. Diabetis juga memudahkan pesakit dijangkiti (kuman), selain komplikasi buah pinggang dan 'end-stage' di peringkat rawatan dialisis," katanya pada sidang media di HSB Khamis.

Pada 6 Mei lepas, Azizan yang menghadapi masalah bengkak kaki dimasukkan ke Kedah Medical Centre (KMC) di sini sebelum dipindahkan ke HPP keesokan harinya.

Di HPP, Azizan yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Limau terpaksa menjalani pembedahan memotong kedua-dua belah kakinya akibat komplikasi penyakit kencing manis, bagi mengelakkan jangkitan kuman pada kakinya merebak ke anggota badan yang lain.

Setelah lebih tiga bulan menerima rawatan di HPP, pada 14 Ogos lalu beliau dipindahkan ke ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB.

Sejak pukul 3 pagi semalam, keadaan kesihatan Azizan dilaporkan kritikal kerana menghadapi masalah jantung yang serius dan terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Mei lalu, Azizan mempertahankan kerusi DUN Sungai Limau yang dimenanginya sejak 1995 menewaskan sepupu beliau Fazillah Mohd Ali yang mewakili Barisan Nasional (BN), dengan majoriti 2,774 undi.

Sementara itu, bekas Setiausaha Akhbar Azizan, Mohd Helmi Khalid berkata jenazah bekas Pesuruhjaya PAS Kedah itu dibawa ke Markas PAS Pokok Sena sebelum dikebumikan di Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena pukul 5.30 petang.

Azizan meninggalkan dua orang isteri, 14 anak dan enam cucu.

Antara yang hadir di HSB menziarahi jenazah Azizan adalah Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, Setiausaha Agung PAS Mustafa Ali dan beberapa Exco kerajaan negeri serta pemimpin PAS pusat dan negeri.

-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment