Friday, March 11, 2011

Negara Turut Rasa Tempias Jika Ekonomi Jepun Terjejas Akibat Gempa - Mukhriz

JITRA, 11 Mac (Bernama) -- Ekonomi negara akan turut terkena tempias sekiranya kedudukan ekonomi Jepun terjejas teruk akibat dilanda bencana gempa bumi kuat tengah hari Jumaat.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir berkata Jepun merupakan rakan dagang agak besar selain banyak melabur di negara ini.

"Apabila berlaku bencana sebegini besar, sedikit sebanyak ia akan menjejaskan kedudukan ekonomi negara itu dan Malaysia akan rasa tempiasnya."

"Jadi, diharap mereka dapat pulihkan keadaan secepat mungkin agar kesan terhadap ekonomi global dapat dikawal supaya terhad," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Perasmian Serentak Persidangan Tahunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, selain itu nasib syarikat-syarikat tempatan yang beroperasi di sana juga masih belum diketahui termasuk keadaan para pelajar Malaysia di sana.

"Walau pun gempa bumi dan tsunami perkara biasa di sana, tetapi (ukuran) 8.9 (pada skala Richter) merupakan satu angka yang besar dan saya mendoakan supaya mereka semua selamat... kita nak tau juga apa keadaan mereka di sana," kata Mukhriz.

Muhkriz berkata sebagai rakan dagangan yang karib, Malaysia perlu menghulurkan apa juga bentuk bantuan yang diperlukan bagi membantu meringankan beban mereka selepas dilanca bencana.

"Kalau mereka perlu apa-apa bentuk bantuan kita bersedia menghulurkan bantuan misi kemanusiaan," katanya.

Akibat gempa bumi kuat bermagnitud 8.9 pada skala Richter yang telah berlaku di Pantai Honshu, Jepun pada 1.46 petang hari ini, penduduk di Labuan dan Sabah juga dinasihati supaya menjauhi pesisir pantai ekoran laut bergelora dan paras air laut lebih tinggi daripada yang di jangka bermula 6.00 petang hingga tengah malam ini.

Jabatan Meteorologi dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata keadaan itu dijangka berlaku ekoran gempa kuat yang berlaku berada dalam jarak 4,434 kilometer dari timur laut Kudat, Sabah.

-- BERNAMA

Sungai Tua Baharu: Sekiranyalah ekonomi Jepun terjejas akibat dugaan Allah ini dan menempias Malaysia rakyat Malaysia hendaklah redha akannya dan berusaha untuk mengembalikan ekonomi di tempat asalnya jangan sampai pula kita menyalahkan di antara satu sama lain. Ini adalah dugaan Allah dan hendaklah kita redha dan insaf betapa Allah masih sayang kepada negara Malaysia yang berbilang bangsa dan agama ini. Beruntunglah kita tinggal di atas bumi yang dilindungi dari malapetaka besar tsunami seperti yang terjadi di pantai Jepun tersebut. Walaubagaimanapun kerajaan harus bersiap sedia apa jua ekoran malapetaka ini untuk melindungi rakyat.

No comments:

Post a Comment