Penulis sangat menghargai usaha meningkatkan ekonomi oleh bangsa kita, apatah lagi usaha gigih oleh seorang wanita di Merlimau, Melaka. Artikal ini tidak dapat berlalu begitu sahaja tanpa dimuatkan di dalam blog penulis. Penulis merakamkan berbanyak terima kasih kepada penulis artikal ini dan jurufoto yang diabadikan di dalam akhbar Kosmos. Sila nikmati artikal ini mengesahkan seorang wanita berniaga putu piring di Merlimau, Melaka.
SEDANG penulis dan jurufoto, Hafiz Johari serta Jameelfeerdaus Zamzuri sibuk mencari sudut terbaik untuk merakam kenderaan klasik seperti kereta lembu di Merlimau, Melaka, kami terjumpa sebuah pondok kecil di bahu jalan.
Pondok itu kosong, tiada penghuni. Tidak lama kemudian, penulis disapa oleh seorang wanita bertudung yang siap memakai apron.
Sapa wanita itu: “Dik, buat apa, nak beli putu piring Merlimau ke? Tapi duduklah dulu, kita berbual-bual.”
Kami menyambut baik pelawaan itu. Serentak dengan itu, mata terus terarah ke sebuah meja kecil. Di situ hanya ada dapur gas satu tungku, periuk yang biasa dilihat untuk mendidihkan air, semangkuk kelapa parut dan gula melaka.
Bagaimanapun acuan yang diperbuat daripada tempurung kelapa sangat menarik perhatian. Sudah terbayang di benak fikiran kelazatan putu piring yang terhasil.
“Ya, zaman dah maju, tapi kakak masih menggunakan peralatan yang digunakan oleh moyang kakak, tak reti betul menggunakan barang-barang baru ini.
“Cara membuatnya juga guna stail lama, agak-agaknya dah seratus tahun dah resipi kuih ini diturunkan dari satu generasi ke generasi,” kata Zaharah Abdul Hamid, 56, yang seolah-olah dapat membaca fikiran penulis yang ketika itu sedang asyik membelek tempurung kelapa yang ditebuk tujuh lubang di permukaannya.
Zaharah tidak lokek berkongsi resipi moyangnya dengan kami. Kata wanita itu, tepung beras untuk membuat putu piring dihasilkannya sendiri. Dia tidak gemar menggunakan tepung beras sedia ada. Katanya, rasanya tidak sama dan tidak asli.
“Cara nak membuat putu piring memang rumit, ambil masa yang lama. Kakak akan bersihkan beras terlebih dulu, basuh, tos, tumbuk dan kemudian ayak.
“Kemudian kakak akan kukus sampai masak, ayak sekali lagi dan akhirnya simpan semalaman. Esoknya, baru digunakan untuk menjual,” katanya yang lebih selesa melakukan kerja-kerja itu bersendirian.
Kerja-kerja itu sebenarnya telah dilakukan oleh Zaharah sejak zaman remaja.
Penulis menawarkan diri untuk cuba memasak sekeping kuih tradisional itu. Namun, ditegah oleh Zaharah. Alasannya, jika tidak dilakukan secara teliti tangan boleh melecur.
Acuan tempurung
Anak jati Kampung Sempang, Merlimau itu menunjukkan satu persatu cara-cara kuih itu dimasak. Pantas gerak tangan dan jari-jemarinya menyiapkan sekeping kuih.
Apa yang pasti, dia memasukkan tepung beras asli buatannya ke atas acuan tempurung yang dialas dengan secebis kain putih dan kemudian gula melaka ditabur ke dalam acuan, lantas ia dikukus. Tidak sampai dua minit, acuan diangkat.
Zaharah terus meletakkan ke dalam sebuah mangkuk yang berisi kelapa parut. Aroma kuih warisan yang masih panas itu mampu membuat sesiapa tidak sabar untuk menikmatinya. Kuih yang berwarna putih kapas dan gebu itu sememangnya membangkitkan selera.
“Ok, siap, awak perlu makan panas-panas,” katanya.
Kepadatan gula melaka yang dijadikan inti putu piring itu memang enak sekali. Atas faktor itu juga, sekeping puti piring tidak mencukupi untuk menikmatinya.
Kami bertiga menghabiskan sebanyak lapan keping putu piring yang dihidangkan oleh Zaharah.
Jika di pasar-pasar malam, kita dapat merasa tekstur tepung berasnya yang kasar tetapi putu piring Merlimau cukup berbeza.
Sememangnya putu piring Zaharah memikat ramai pelanggan. Dia sempat menceritakan tentang seorang pelanggannya yang memanggil dia memasak putu piring untuk satu majlis kahwin.
“Tak pernah orang buat, putu piring jadi hidangan pada majlis kahwin tapi pelanggan saya seorang ni lain. Disebabkan dia suka sangat dengan kuih ini, dia panggil saya masak pada majlisnya,” kata Zaharah sambil tertawa kecil.
Dalam sehari, beritahu wanita itu, dia boleh menjual di antara 50 hingga 100 keping putu piring yang berharga 50 sen sekeping. Kedainya dibuka dari pukul 11 pagi hingga 5 petang setiap hari.
Minah Judin, 76, yang merupakan jiran Zaharah antara pelanggan tetap kuih warisan itu.
“Saya berpendapat kuihnya yang paling sedap yang pernah saya rasa,” akuinya.
Menariknya, Zaharah bukan saja menjual putu piring tetapi dia turut menghidangkan air gas berjenama Long’s atau Long Chan yang merupakan minuman tradisional yang popular di Melaka ketika sambutan hari raya. Pada masa yang sama, dia juga menjual aiskrim potong yang berharga 20 sen sebatang.
Meskipun sudah hampir separuh abad dia berniaga, wanita itu tidak berhasrat untuk melakukan pembaharuan bukan saja peralatan memasak tetapi pada wajah kedainya.
“Saya gembira mewarisi perniagaan ini, tidak perlu kedai besar cukuplah dengan pondok kecil ini, saya tidak terkilan jika dikatakan cara ini ketinggalan zaman,” ujarnya.
Sumber: Kosmos Online
No comments:
Post a Comment