Walaupun Malaysia belum lagi menjadi negara maju, tetapi negara ini berada di kelasnya yang tersendiri sebagai negara yang berpengaruh dan dihormati. Pendirian Malaysia yang konsisten dan tegas untuk tidak mencampuri urusan negara lain, tetapi menyokong dan membantu segala usaha ke arah keamanan membuatkan kita sering dipilih sebagai rujukan atau pengantara bagi memulihkan keamanan di negara-negara yang berkonflik.
Pendirian Malaysia adalah konsisten sejak era Tun Abdul Razak. Pendirian ini mendapat kekuatan yang ampuh di era Tun Mahathir apabila beliau melonjakkan Malaysia sepuluh langkah ke hadapan sehingga dikenali sebagai Harimau Asia.
Perdana Menteri kita, Dato’ Seri Najib jelas mewarisi kehebatan bapanya serta kebijaksanaan Tun Mahathir melalui pengalaman bekerja di era Negarawan tersebut, pantas memperbaharui, meneruskan dan meningkatkan kekuatan yang sedia ada. Semangat kedua-dua tokoh tersebut jelas terserlah dalam kepimpinan Dato’ Seri Najib apabila beliau berjaya menggerakan perjanjian damai antara kerajaan Filipina - MILF pada Oktober 2012. Dengan termeterainya perjanjian itu, konflik selama 40 tahun pun berakhir.
Kejayaan tersebut membawa Dato’ Seri Najib ke Gaza pula, di mana penindasan terhadap rakyat Palestin oleh rejim Israel berterusan. Beliau dan anggota rombongannya termasuk Datin Seri Rosmah tiba di Semenanjung Gaza, Palestin pada 22 Januari bagi memenuhi jemputan rasmi Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan undangan peribadi daripada Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh.
Jemputan dari Mahmoud Abbas itu disampaikan kepada Dato' Seri Najib pada 3 Disember 2012 melalui Timbalan Pesuruhjaya Hubungan Antarabangsa Al Fatah Palestin, Dr Abdullah M.I. Abdullah. Manakala undangan daripada Ismail Haniyeh diterima pada 11 Disember 2012.
Sebelum ini, Palestin telah beberapa kali menyuarakan harapan kepada Malaysia untuk turut membantu membawa keamanan kepada rakyatnya.
Menghentikan penindasan yang mana tercatat di dalam AlQuran dalam pesanan mengenai Yahudi, pastinya tidak mudah. Langkah awal yang perlu dilakukan ialah meningkatkan kekuatan Palestin terlebih dahulu dengan menyatukan rakyatnya yang berpecah kepada dua, iaitu parti Hamas dan Fatah.
Konflik kedua-dua parti ini bermula pada 2005 selepas kematian Yasser Arafat pada November 11, 2004. Punca konflik ini juga begitu ‘klasik’ atau terlalu biasa dan dijangka iaitu tuduhan atau hasutan kononnya berlaku nepotisme dan rasuah di dalam kerajaan. Akibatnya, rakyat Palestin berpecah di mana kedua-dua parti menganggap parti mereka sebagai wakil sah rakyat Palestin dengan Fatah berkuasa di Palestinian National Authority dan Hamas di Gaza.
Pertempuran juga sering berlaku antara kedua-dua pihak ini yang mana menggandakan lagi penderitaan rakyat yang telah sedia tertindas oleh rejim Israel.
Beberapa perjanjian pernah diusahakan antara kedua-dua pihak, antaranya di Kaherah pada May 2011 tetapi tidak berjaya memastikan kedua-dua pihak menurutinya. Perjanjian Doha kemudiannya ditandatangani oleh Mahmud Abbas (Fatah) dan Haled Mashaal (Hamas) pada 2012 tetapi dianggap sebagai tergendala dan tiada usaha dibuat ke arah pilihanraya bersama. Kedua-dua parti saling tuduh menuduh dan pertelagahan pun berterusan.
Seperti mana-mana konflik yang melibatkan kepentingan Israel, kedua-dua pihak disyaki menerima bekalan senjata dari Amerika untuk memastikan mereka terus berpecah dan lemah.
Justeru, harapan yang diletakkan di bahu Dato’ Seri Najib ialah untuk membantu kedua-dua pihak membantu diri mereka dengan pertama sekali, bersatu. Apa yang pasti, harapan agar beliau mengulangi kejayaan di Filipina, di Gaza bukanlah harapan yang tidak berasas.
Ini kerana, Dato’ Seri Najib terkenal sebagai pemimpin yang berani di mana beliau pernah melawat ke kawasan tegang di Selatan Thailand untuk mengusahakan gencatan senjata antara puak pemisah dengan kerajaan Thai. Beliau juga merupakan antara penggerak keamanan di Bosnia pada tahun 1993 dan juga Somalia.
Di kala negara-negara lain mengalami kerosakan dan kemusnahan akibat perang saudara, perpecahan antara kaum dan pemberontakan menentang kerajaan akibat termakan hasutan, Malaysia yang mempunyai landskap yang rapuh, bermasyarakat majmuk dan telah berkali-kali menghadapi ‘ugutan’ pemberontakan dari pihak-pihak tertentu, kekal berdiri teguh, aman dan makmur. Segala provokasi agama, prasangka kaum dan perbalahan sesama umat Islam yang tercetus dari hasutan secara berterusan dengan matlamat untuk mencetuskan kekacauan, telah tidak menjadi.
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahwa kebijaksanaan kepimpinan Dato’ Seri Najib merupakan faktor utama kemampuan Malaysia untuk menepis ‘serangan’ pihak yang tidak bertanggungjawab itu. Oleh itu, kita tidak ragu-ragu yang Dato’ Seri Najib juga akan dapat membantu Palestin untuk turut ‘menepis’ hasutan ke arah perpecahan dan melakukan yang terbaik untuk mencapai perpaduan.
Sumber: Beruang Biru
No comments:
Post a Comment