Monday, January 21, 2013

PM Suntik Kebangkitan Rakyat Kelantan


Kehadiran Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak ke negeri Kelantan sehari dua hari lepas rupanya telah mengundang kerisauan dan rasa tertekan dikalangan pemimpin PAS Kelantan sehingga memaksa mereka tergesa-gesa mengadakan mesyuarat tergempar pada sebelah malamnya.

Kerisauan mereka ada asasnya bila mengetahui sekitar 50,000 orang rakyat Kelantan yang bagaikan mendapat suntikan semangat tambahan telah hadir beramai-ramai di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, Kota Bharu semata-mata untuk meraikan kehadiran Dato' Seri Najib.

Cubaan jentera propaganda PAS Kelantan untuk mensabotaj majlis tersebut dengan menaikkan beberapa papan iklan besar bertulis "Listen! Listen! Listen! Mana Royalti Kami" tidak pun meninggalkan kesan apabila rata-rata rakyat Kelantan yang celik minda langsung tidak mempedulikannya.

Rakyat negeri ini ternyata lebih menyenangi kaedah pengagihan wang ehsan yang diamalkan sekarang kerana ia lebih telus dan dinikmati terus oleh khalayak berbanding propaganda royalti yang diselit dengan sentimen kenegerian dan kepartian sempit.

Sementara itu, semasa PM merasmikan program Jelajah Janji Ditepati di RTC Tunjong itu, beliau turut mengumumkan 7 projek pembangunan bersaiz mega yang kesemuanya cukup dekat dengan nurani rakyat Kelantan.

Projek tersebut meliputi pembinaan lebuh raya Kuala Krai-Kota Bharu, stadium baru yang lebih besar, masjid terbesar di Kelantan untuk menyemarakkan program dakwah Islamiah dan juga perumahan rakyat.

Manakala bagi mengatasi masalah kesesakan lalulintas dalam bandar kota Bharu dengan mewujudkan sistem pengangkutan Rapid Kota Bharu, diikuti pembinaan kampus baru Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan projek bersepadu untuk menyelesaikan permasalahan bekalan air bersih.

Semua 7 projek pembangunan yang diumumkan oleh PM ini diyakini mampu membawa Kelantan seiring dengan pembangunan negara dan ia bukan satu masalah untuk disempurnakan sekiranya dalam PRU 13 kelak majoriti pengundi Kelantan memilih BN untuk mengurus tadbir semula negeri ini.

Khalayak yang hadir nyata teruja dengan pengumuman itu, tambahan pula BN sememangnya sudah terbukti sentiasa berusaha menepati janji. Jauh bezanya dengan janji propaganda PAS dan PR yang lebih banyak menabur janji manis tapi bila diminta untuk melaksanakannya, pelbagai alasan diberikan.

Ambil contoh janji PAS Kelantan untuk membina Lebuhraya Rakyat, sampai sekarang tak terbuat walau satu tiang konkrit pun, tapi duit rakyat sudah berkoyan-koyan dipungutnya. Orang lain mengenakan kutipan tol selepas lebuhraya siap dibina, tapi PAS dah mula 'kutip tol' walaupun bayang lebuhraya langsung tak kelihatan.

Begitu juga dalam hal janji PAS untuk membina stadium, kecohnya bukan main lagi semata-mata untuk menarik perhatian peminat bolasepak The Red Warrior, alih-alih janji tinggal janji. Hanya kelihatan dalam bayangan bila mata dipejam rapat, tapi semuanya hilang tanpa kesan bila mata dicelik kembali.

Hatta kesesakan lalulintas di pusat bandar Kota Bharu yang sepatutnya merupakan tanggungjawab Kerajaan PAS Kelantan, tapi hampir 23 tahun PAS memerintah negeri ini macam itu jugalah masalahnya tak berkesudahan. Balik-balik Kerajaan Pusat juga yang kena campurtangan untuk membantu menyelesaikannya.

Akibatnya menyebabkan kian ramai rakyat negeri ini hilang kepercayaan pada urus tadbir negeri oleh pemimpin PAS dan tidaklah menghairankan bila ia diganti pula dengan kebangkitan semangat Gelombang Merah yang makin membuak-buak.

Justeru itu, usahlah PAS terkejut andainya dalam PRU 13 nanti majoriti rakyat Kelantan beramai-ramai merealisasikan kebangkitan semangat Gelombang Merah ini dengan menobatkan kembali BN ke tampuk pemerintahan dan menghanyutkan terus PAS dari peta politik negeri ini kelak.

Sumber:  Berang Biru

No comments:

Post a Comment