Manifesto BN PRU-13 Terbaik Dalam Sejarah
Perdana Menteri telah pun melancarkan Manifesto Barisan Nasional bagi Pilihanraya Umum ke 13 semalam yang bertemakan ‘Menepati Janji, Membawa Harapan’. Ianya disambut baik oleh semua golongan yang jelas semakin yakin dengan kerajaan.
Pada tahun 1995, manifesto BN berbunyi Berwawasan, Adil dan Efisien. 1999 pula berbunyi Malaysia Bebas, Sepadu dan Maju, 2004 - Cemerlang, Gemilang dan Terbilang dan 2008 – Selamat, Aman dan Makmur. Kesemuanya dirangka sebaik mungkin bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
Walaubagaimanapun, manifesto 2013 ini diangkat sebagai yang terbaik dalam sejarah oleh sesetengah pemerhati politik kerana sifatnya yang lengkap, padat dan yang paling penting, berasaskan senario kehidupan sebenar rakyat serta perkembangan dunia.
Manifesto BN kali ini dikatakan berpijak di bumi nyata atau realistik, namun di masa yang sama memberi keyakinan dan keazaman kepada rakyat untuk sama-sama berdiri di belakang BN dalam usaha kita membina sebuah negara yang lebih baik. Tema ini juga dilihat sebagai gambaran keikhlasan kepimpinan, bersifat yakin tetapi merendah diri, tekad berusaha namun tetap berserah kepadaNya.
Ini kerana, realitinya, dunia telah berubah bukan sahaja dari segi landskap tetapi juga dari segi politik. Jika dahulu kita hanya bercakap tentang dunia tanpa sempadan tetapi hari ini kita telah terpaksa berdahapan dengan kesan dari kesamaran sempadan itu. Segalanya bukan lagi rahsia dan semuanya boleh didapati di hujung jari. Malah, jatuh bangun sesebuah negara kini tidak lagi bergantung kepada rakyat dan kerajaannya semata-mata tetapi kedaulatan negara boleh dicerobohi tanpa perlu pun mengangkat senjata.
Hanya dengan hujung jari, kita boleh mencetuskan penghapusan etnik sepertimana yang berlaku kepada Rohingya ataupun menempah neraka sepertimana berlaku di Libya, Syria ataupun Mesir. Kehebatan akal manusia yang diamanahkan sebagai anugerah tertinggi kepada makhlukNya teruji hampir ke tahap maksima, di mana hanya yang bijak dan menguasai ilmu sahaja yang akan menang.
Justeru, bagi negara yang penguasaan ilmu iaitu sains dan matematik berada di tahap yang sangat lemah dan semakin lemah, Malaysia berhadapan dengan cabaran mentaliti dan sikap dalam menangani berbagai asakan yang dahulunya asing bagi kita . Antaranya, asakan terhadap jati diri, akidah, keyakinan diri, sehinggalah kepada kestabilan dan kedaulatan negara.
Alhamdulillah, kerana kepimpinan negara nampaknya begitu peka akan keadaan ini lalu meletakkan landasan baru yang lebih kukuh, sesuai dengan iklim dunia baru bagi menahan getaran dari segala asakan tersebut. Dari situ, Manifesto BN yang dirangka menyenaraikan 17 perkara penting sebagai persediaan membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi:
1. Menangani Kos Sara Hidup
2. Meningkatkan Kehidupan Warga Bandar
3. Menyediakan Rumah Mampu Milik
4. Peluang Mendapat Perkhidmatan Kesihatan Berkualiti
5. Ke Arah Kecekapan Terhebat Pengangkutan Awam
6. Pembangunan Infrastruktur Bertaraf Dunia dan Transformasi Luar Bandar
7. Membina Ekonomi Mapan, Dinamik dan Inovatif
8. Membina Kecemerlangan Pendidikan Negara
9. Meningkatkan Keselamatan Dan Ketenteraman Awam
10. Memperkasa Penyertaan Wanita
11. Memenuhi Aspirasi Belia
12. Merancang Jaringan Keselamatan Sosial
13. Mempromosikan Agama Islam, Kebebasan dan Keharmonian Agama:
14. Memerangi Gejala Rasuah
15. Memperkukuhkan Perkhidmatan Awam, Menambah Baik Tadbir Urus
16. Gerakan Kesederhanaan Global
17. Memulihara Sumber Semula Jadi
Tanpa meminggirkan sesiapa dan mana-mana aspek kehidupan, manifesto BN dijangka mampu mengukuhkan lagi negara ini dari segi ekonomi, sosial dan politik. Apa yang BN perlukan kini hanyalah sokongan padu rakyat untuk menjadikan ‘sebuah negara yang lebih baik’, satu realiti.
Melihat dari sambutan terhadap manifesto ini, kita yakin bahawa sokongan padu, bukanlah satu masalah besar bagi BN.
Sumber: Beruang Biru
No comments:
Post a Comment