Negara menyambut Hari Kebangsaan ke-56 pada
31 Ogos ini dan masyarakat Malaysia menyanjung tinggi usaha dan
pengorbanan para pemimpin negara ketika itu bagi mencapai kemerdekaan
dalam suasana harmoni dan tanpa pertumpahan darah.
Menurut aktivis sosial dan pengkaji sejarah, Abdul Rahim Ahmad,
sebenarnya orang Melayu yang dipimpin pahlawan mereka telah melancarkan
perang patriotik terhadap penjajah Inggeris pada kurun ke-18 lagi.
"Kalau nak ambil kira, perang menentang penjajah bermula tahun 1511
ketika Melaka diserang Portugis," kata beliau kepada penulis di sini.
"Pada kurun ke-18 pahlawan Melayu telah bangkit menentang British,
tetapi perang ini berlaku berasingan dalam kawasan (negeri) berlainan
dan bukannya perjuangan menuntut kemerdekaan secara serentak di seluruh
negara," jelas beliau lagi.
SEMANGAT NASIONALIS
"Sebelum Perang Dunia Kedua, orang Melayu sudah mempunyai semangat
nasionalis dan semangat ini semakin membakar dengan kekalahan British di
tangan tentera Jepun pada peringkat awal peperangan itu dan semasa
pemerintahan Jepun di Tanah Melayu dari 1942 hingga 1945," jelas beliau.
Abdul Rahim berkata, pada zaman Darurat pula walaupun dibantu tentera
Komanwel, semangat orang Melayulah sebenarnya yang menentang gerombolan
pengganas komunis yang mahukan ideologi lain bagi pemerintahan Tanah
Melayu ketika itu.
"Kalaulah orang Melayu tidak bangun menentang pengganas komunis ketika
itu, mungkin Tanah Melayu dapat dikuasai oleh mereka (komunis) seperti
kekalahan Perancis dan Amerika di Vietnam," Abdul Rahim memberi pendapat
beliau.
PAHLAWAN MELAYU
Menurut sejarah Tanah Melayu, memang ada pertumpahan darah dalam perang
patriotik yang berlaku pada kurun ke-18 tetapi pertempuran berlaku
secara berasingan di negeri-negeri tertentu dan pada masa yang
berlainan.
"Kebangkitan itu boleh dilihat sebagai tidak puas hati tentang
campurtangan British terhadap kuasa orang Melayu dan bukan satu revolusi
seperti perjuangan yang berlaku di Amerika Syarikat ketika menuntut
kemerdekaan dari Britain," jelas aktivis itu lagi.
Menurut beliau, perjuangan orang Melayu ada mencatatkan kemenangan di
peringkat awal ketika menentang British tetapi akhirnya mereka tumpas
kerana penjajah mempunyai senjata yang lebih baik serta tentera upahan
yang ramai.
KEBANGKITAN ORANG MELAYU
Menurut maklumat dari Arkib Negara terdapat beberapa peristiwa
kebangkitan orang Melayu terhadap penjajahan British pada kurun ke-18.
Ini termasuk Perang Naning diketuai Dol Said di Melaka pada tahun
1831-1833, Perang Sungai Ujung di Negeri Sembilan (1874-1876), Perang
Semantan diketuai Datuk Bahaman di Pahang (1891-1895) dan Perang Tok
Janggut di Kelantan pada tahun 1915.
Menurut para pengkaji sejarah, penentangan ini merangkumi penentangan
langsung terhadap pentadbiran dan campurtangan British dan penentangan
tidak langsung terhadap pemerintahan yang menerima perlindungan British.
Kebangkitan itu juga muncul akibat rasa tidak puas hati orang Melayu ke
atas sistem cukai tanah dan tanaman yang dianggap tidak adil serta cara
kutipan itu dijalankan.
PERANG DI SEMANTAN, NANING
Antara penentang British pada kurun ke-18 adalah Datuk Bahaman, Tok
Gajah dan Mat Kilau di Pahang, Tok Janggut di Kelantan dan Rentap di
Sarawak serta Mat Salleh di Sabah.
Di Pahang, Abdul Rahman Tuanku Imam Nuh atau lebih dikenali sebagai Datuk Bahaman menentang penjajah British di Semantan.
Sejarah menyatakan bahawa Perang Semantan berlaku disebabkan rasa tidak
puas hati pembesar negeri Pahang terhadap campur tangan British ke atas
kawasan mereka dan ia bermula bila Datuk Bahaman dan para pengikutnya
menyerang C.E.M Deaborough di Sungai Semantan pada 15 Dis, 1891.
Manakala Dol Said atau Abdul Said adalah Penghulu Naning pada tahun 1799 dan adalah pemerintah Naning yang kesembilan.
Beliau membantah perlaksanaan cukai ke atas daerahnya oleh pihak
British dan kemudian berjaya mengalahkan pihak British dalam dua kempen
peperangan.
Peperangan Naning telah menjadikan Dol Said sebagai seorang wira yang berani dan mengukir tempat dalam sejarah Melaka.
MAT SALLEH, RENTAP
Datu Mat Salleh, lebih dikenali sebagai Mat Salleh, adalah pejuang Sabah
yang terkenal dalam penentangan terhadap penjajahan British di Sabah.
Detik Datu Mat Salleh menentang pencerobohan British bermula pada bulan
Julai 1897 sehingga 31 Jan, 1900 di mana kota pertahanan Mat Salleh
tumbang akibat serangan British.
Peristiwa itu menandakan gugurnya Mat Salleh sebagai pejuang bangsa.
Manakala Rentap adalah seorang panglima perang Iban yang tinggal di ulu
Sungai Sekrang. Beliau adalah seorang daripada pemimpin yang menentang
pemerintahan Raja Brooke di Sarawak.
Pada tahun 1853 Rentap telah mengetuai pasukan orang Iban menyerang
pasukan British di Skrang dan ini telah menempatkan Rentap sebagai
seorang daripada wira menentang penjajahan British.
Tema bagi sambutan Hari Merdeka tahun ini ialah "Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku".
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment