Pada 20 Mac 2014 ini, Malaysia akan menghadiri sesi penerimaan muktamad (final adoption) syor-syor yang telah dikemukakan 104 negara-negara anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, semasa pusingan kedua yang telah diadakan pada 24 Oktober 2013 lalu. Sebanyak 232 syor-syor telah dikemukakan terhadap Malaysia berkenaan rekod dan pencapaian hak asasi manusia di sepanjang empat tahun yang lalu.
Sementara pertubuhan Yayasan Murni Aqidah menyedari kepentingan sesi tersebut untuk menjelaskan keadaaan sebenar rekod dan pencapaian hak asasi manusia, kami juga sedar dan berwaspada tentang tindakan manipulasi yang telah dibuat oleh beberapa NGO Hak Asasi Manusia liberal-sekular, khususnya yang bergabung atas nama COMANGO. COMANGO telah mengemukakan tuntutan-tuntutan kontroversi dan tidak berasas yang mencabar kesucian Islam di Malaysia dan kedaulatan undang-undang serta menghakis prinsip kesopanan dan kesusilaan di dalam Rukun Negara. Secara khusus, terdapat 6 tuntutan kontroversi yang bersifat biadab dan ditolak kesemua NGI (NGO-NGO Islam) di Malaysia melalui kesepakatan gabungan delegasi NGI ke Semakan Berkala Sejagat, MuslimUPRo.
Pihak kami menyertai penegasan MuslimUPRo dan lain-lain NGI di Malaysia di dalam menolak tuntutan-tuntutan kontroversi COMANGO. Pada hakikatnya, fahaman liberal-sekular yang dianuti COMANGO sangat berbahaya kepada kedaulatan negara dan kemaslahatan umat Islam, khususnya dalam jangka masa panjang, oleh kerana melibatkan perkara-perkata asas aqidah, syariah dan akhlaq umat Islam. Sikap bongkak dan kebiadaban yang dizahirkan COMANGO ini terserlah, kerana walaupun mereka menyedari tuntutan-tuntutan mereka bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara, mereka masih melobi di pelbagai peringkat dengan tujuan memburuk-burukkan nama negara melalui tuduhan-tuduhan dan member persepsi salah mengenai negara kepada media antarabangsa. Ini termasuklah mengenai isu kebebasan beragama, hak golongan LGBT, pengamalan agama Syiah, kedudukan istimewa Melayu di dalam Perlembagaan Persekutuan dan institusi-insitusi Islam seperti Majlis-majlis Agama Islam Negeri dan Mahkamah Syariah.
Justeru, kami menyeru kepada Kerajaan untuk terus konsisten di dalam menegaskan asas-asas Perlembagaan Persekutuan semasa membuat penerimaan muktamad kelak. Kami yakin bahawa kepemimpinan YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak akan berganjak dari pendirian memelihara Islam di negara ini yang telah ditegaskan selama ini. Kami juga yakin bahawa Kerajaan menjunjung prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang di dalam menerima syor-syor yang telah dikemukakan kepada Malaysia, tanpa melupai tanggungjawab untuk memperbaiki keadaan Hak Asasi Manusia berdasarkan tuntutan-tuntutan yang mempunyai asas keabsahan (legitimate basis).
Kami juga mendoakan delegasi MuslimUPRo yang telah berada di Geneva akan dipelihara Allah SWT, dianugerahkan kekuatan hujah serta ketajaman akal pemikiran dan keberanian untuk berhadapan dengan NGO-NGO Hak Asasi Manusia yang membuat tuntutan-tuntutan tidak munasabah terhadap Malaysia. Semoga penerimaan muktamad Malaysia pada 20 Mac ini menjadi cerminan mithali kepada kesejahteraan masyarakat dunia dalam aspek pencapaian Hak Asasi Manusia.
Dato’ Aidit Bin Ghazali
Pengerusi
Yayasan Murni Aqidah
18 Mac 2014
Sumber: GAP
No comments:
Post a Comment