Sesuatu yang amat jarang dilihat di kalangan pemimpin Melayu ialah ‘meminta maaf’. Hampir dalam semua keadaan para pemimpin politik Melayu cukup sukar melafazkan maaf biarpun kesalahan tersebut begitu jelas dan sudah pun diketahui umum.
Sekiranya kesalahan mereka terdedah lalu kalah bertanding atau dikenakan tindakan, kebanyakan mereka mengambil sikap memberontak serta berdendam ke atas pihak yang mendedahkannya atau yang telah mengalahkan mereka. Sama sekali mereka tidak merasa bersalah, jauh sekali mengaku salah dan selamanya tidak akan mengalah. Sebolehnya, mereka akan menafikan kesalahan biarpun ia bermakna menghancurkan segala-galanya.
Antara pemimpin Melayu yang biasa kita dengar mengaku salah ialah Tun Mahathir yang pernah meminta maaf kerana gagal mengubah pemikiran orang-orang Melayu. Dan pada hujung minggu lalu, seorang lagi pemimpin Melayu iaitu Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, telah meminta maaf kepada rakyat atas segala kesalahan atau kegagalannya selama menjadi Menteri Besar Kelantan.
Nik Aziz telah menitiskan air mata ketika memohon maaf dalam kuliah subuh di Masjid Pulau Melaka bersebelahan rumahnya. Dalam permohonan maafnya, beliau mengandaikan segala penyakit yang ditanggungnya kini adalah kifaarat dosa selama memerintah Kelantan.
Kita pasti, rakyat Kelantan yang selamanya mengagungkan Nik Aziz sedia memaafkan segala kesalahan pemimpin mereka itu.
Namun, dalam masa yang sama, tidak mustahil mereka juga merasa musykil akan apakah kesalahan Nik Aziz terhadap mereka. Ini kerana, selama ini Nik Aziz dianggap mereka sebagai maksum, bertaraf wali keramat dan tidak boleh dikritik.
Bagi Nik Aziz untuk menitiskan air mata meminta maaf, menunjukkan betapa beliau benar-benar insaf dan sedar akan kesalahannya. Nik Aziz pasti tahu fatwa apa yang pernah dikeluarkannya bertentangan dari ajaran Islam. Nik Aziz juga tahu apa yang telah dilakukannya sehingga menyebabkan tanah negeri Kelantan tergadai kepada pemimpin DAP. Nik Aziz juga tahu apa yang telah tidak dilakukannya sehinggakan rakyat Kelantan tidak mampu mendapat bekalan air yang efisien dan bersih biarpun beliau telah memerintah sehingga lebih dua dekad.
Begitu juga maksiat dan keruntuhan moral di kalangan rakyat Kelantan yang mencatatkan statistik tertinggi tetapi di masa yang sama sering menyalahkan kerajaan BN atas masalah sosial dalam negara. Selain itu, Kelantan juga mencatatkan kemiskinan tertinggi serta tidak mampu menjana kewangan sendiri sehingga memerlukan bantuan dari kerajaan pusat saban tahun, tetapi di masa yang sama pemimpin negeri itu terus menghentam dan mencela kerajaan pusat sebagai zalim.
Dalam keadaan kufur, pemimpin Kelantan tega merujuk kepada negeri itu sebagai Serambi Mekah, sekali gus memburukkan nama Islam dan tanah suci umat Islam itu. Selama itu juga, fitnah dan hamun terhadap BN serta riak dan takbur atas ‘keIslaman’ sendiri menjadi cara hidup pengikut-pengikut Nik Aziz.
Akibatnya, perpecahan ummah semakin hari semakin kronik. Nik Aziz bukan sahaja berdegil enggan menyambut salam perpaduan UMNO, malah menolaknya pula dengan fitnah kononnya UMNO tidak ikhlas dan UMNO tidak Islam.
Walaubagaimanapun, segala apa yang berlaku ini kini dengan sendirinya terhapus dek air mata keinsafan Nik Aziz. Maka pada hari ini, penyokong-penyokong Nik Aziz dan juga penganut PAS wajib menerima hakikat bahawa Tok Guru yang mereka puja selama ini, bukan maksum.
Bukalah mata dan terimalah hakikat bahawa pemerintahan PAS atau pemerintahan Tok Guru itu bukan sahaja tidak lekang dari melakukkan kesilapan, malah jauh lebih buruk dan teruk lagi dari pemerintahan mereka yang tidak bergelar Ulama.
Sedarlah bahawa agama bukan untuk dipolitikkan untuk merebut kuasa memerintah negeri tetapi untuk diamalkan di dalam hati sanubari. Agama bukan untuk dipertontonkan atau dipamerkan di pakaian dan slogan tetapi sebagai pakaian akhlak bagi ‘mencantikkan’ diri sendiri.
Negeri atau negara perlu ditadbir dengan pengetahuan yang luas, bukan sekadar pengetahuan hukum hakam nikah kahwin semata-mata. AlQuran itu adalah panduan hidup, bukan untuk dipetik dan dilagukan bagi memenuhi pendapat kita.
AlQuran menyuruh manusia menimba ilmu melalui alam semesta bukan dengan duduk dan membacanya siang malam. AlQuran mewajibkan manusia menggunakan akal iaitu anugerah tertinggi terhadap makhlukNya, dan bukannya mengikut cakap Tok Guru secara membabi-buta.
Jika Nik Aziz pernah meletakkan dirinya ke tahap Ulama politik yang menjadi Bapa Perpecahan Ummah, namun permohonan maafnya secara terbuka ini telah dengan sendirinya melonjakkan kedudukan beliau ke kedudukan Ulama tersohor yang sebelum ini tidak layak diterimanya.
Akhirnya, di usia senja di saat di mana tubuhnya telah tidak lagi berdaya, Nik Aziz telah mengajar penyokongnya ilmu yang paling hebat, iaitu ‘merendah diri’. Sesungguhnya, merendah diri dan memohon maaf adalah terlalu amat sukar kecuali bagi orang-orang yang kuat.
Kita doakan Nik Aziz panjang umur dan sihat sejahtera agar dapat membawa penyokongnya kembali berpijak di bumi nyata, bersatu padu tanpa mengira fahaman politik, demi agama, bangsa dan negara.
Sumber: Beruang Biru
No comments:
Post a Comment