Monday, March 24, 2014

Penerbangan MH370 Berakhir Di Selatan Lautan Hindi - Najib

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Selepas 17 hari menunggu dengan penuh debaran, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini mengumumkan bahawa penerbangan pesawat Malaysia Airlines MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

Najib membuat pengumuman itu berdasarkan hasil analisis yang belum pernah dibuat sebelum ini oleh Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) dan Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit yang menunjukkan koridor utara dan selatan.

"Menggunakan sejenis analisis yang belum pernah digunakan sebelum ini dalam siasatan seperti ini, mereka mampu memberi beberapa petunjuk lebih jelas mengenai laluan penerbangan MH370.

Berdasarkan analisis baharu mereka, Inmarsat dan AAIB merumuskan bahawa MH370 terbang di koridor selatan dan kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth.

"Kawasan ini merupakan lokasi terpencil, jauh daripada sebarang tempat pendaratan. Oleh itu dengan perasaan amat sedih dan terharu saya ingin memaklumkan bahawa menurut data terkini, Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi," kata Najib dalam sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Perdana Menteri berkata Malaysia Airlines telahpun memaklumkan kepada anggota keluarga penumpang dan anak kapal mengenai perkembangan itu.

"Bagi mereka, beberapa minggu lepas merupakan tempoh yang memilukan, saya sedar berita ini akan lebih menyedihkan lagi. Saya menggesa pihak media menghormati privasi mereka dan memberikan mereka ruang yang diperlukan di saat-saat sukar seperti ini," kata Najib.

Beliau berkata maklumat lanjut berhubung perkembangan ini akan diumumkan esok.

Najib berkata sidang akhbar yang tidak dijadualkan malam ini diadakan bagi memaklumkan kepada dunia mengenai perkembangan baharu itu dengan secepat mungkin.

"Kami berkongsi maklumat ini kerana kami komited kepada sikap terbuka dan menghormati anggota keluarga terbabit, dua prinsip yang menjadi amalan dalam siasatan ini," katanya. Turut hadir Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan ketua pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman.

Ketua pegawai eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya yang juga hadir pada sidang akhbar berkenaan kelihatan menitiskan air mata ketika pengumuman itu dibuat.

Ketika pengumuman itu dibuat, ramai wartawan yang mengikuti perkembangan operasi mencari dan menyelamat (SAR) MH370 turut menitiskan air mata.

Pesawat malang yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu, hilang daripada skrin radar, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam 8 Mac.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Usaha mencari dibahagikan kepada dua koridor iaitu koridor utara yang menganjur dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan sehingga ke sebelah utara Thailand, manakala koridor selatan meliputi kawasan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Operasi SAR MH370 disifatkan sebagai yang terbesar seumpamanya dalam sejarah membabitkan lebih 27 negara.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment