Thursday, June 30, 2011

300 sukarelawan AS ajar BI

WASHINGTON 29 Jun – Seramai 300 sukarelawan rakyat Amerika Syarikat (AS) akan dihantar di sekolah-sekolah luar bandar di bawah program Fulbright, bagi meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar mulai tahun depan.

Program itu dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Barack Obama semasa pertemuan mereka pada Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) September lalu.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, program ala projek Peace Corps tajaan kerajaan AS itu, melibatkan siswazah rakyat negara itu yang akan membantu pengajaran bahasa Inggeris secara sukarela.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan Malaysia sendiri akan membiayai sebahagian kos seperti tempat tinggal dan imbuhan sukarelawan berkenaan melibatkan peruntukan sebanyak RM1.4 juta.

“Untuk fasa pertama, seramai 50 orang sukarelawan akan dihantar ke negara ini bagi memulakan program itu pada Januari tahun depan.

“Kita akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi mengenal pasti bentuk kerjasama dan rujukannya. Kita berharap penghantaran pertama dapat dibuat sebelum akhir tahun,” katanya kepada wartawan Malaysia di Hotel Four Seasons selepas jamuan tengah hari yang dihoskan oleh anggota Majlis Perniagaan AS-ASEAN di sini.

Sebelum ditempatkan di mana-mana zon untuk membantu sekolah terlibat, menurut beliau, suatu program suai kenal akan diadakan selama seminggu supaya mereka lebih mengenali adat resam dan budaya tempatan.

“Selepas ditempatkan di zon tertentu, penyelia kita ada untuk memantau, mereka akan pergi ke sekolah-sekolah untuk memulakan pengajaran tanpa melibatkan waktu khusus.
“Biarpun dalam kurikulum pendidikan, yang mengajar guru kita tapi mereka (sukarelawan) akan membantu menokok tambah program yang diajar dalam bahasa Inggeris,” ujarnya.

Berdasarkan makum balas yang diterima, katanya, program itu menerima sambutan amat baik, disukai pelajar malah sukarelawan yang menyertai Fulbright didapati bersungguh-sungguh dan bijak berinteraksi dalam bahasa Inggeris.
Beliau difahamkan yang tahap penguasaan bahasa Inggeris pelajar di Pahang bertambah baik sejak pelaksanaan program itu.

“Maka kita tidak perlukan projek perintis. Kita akan tetapkan sekolah-sekolah untuk menempatkan para sukarelawan ini termasuk di Sabah dan Sarawak, luar bandar dan kawasan pedalaman,” tambahnya.

Bagi peringkat awal ini, selain kos tempat tinggal dan kemudahan mereka di sini, kementeriannya akan memohon peruntukan sebanyak AS$1 juta daripada Kementerian Kewangan untuk membayar sedikit imbuhan kepada sukarelawan berkenaan.
“Imbuhan ini adalah sumbangan kecil tetapi ikhlas daripada kita dan bukannya diminta oleh kerajaan AS,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga akan berbincang dengan para sukarelawan dan Kedutaan AS sebelum memutuskan sama ada menghantar mereka ke sekolah rendah atau menengah mengikut kecenderungan masing-masing.

Ditanya lebih lanjut mengenai program Fulbright itu, Muhyiddin menjelaskan ia berbeza dengan program ‘under master teachers’ membabitkan kerajaan British yang sedang berjalan kerana mereka tidak mengajar di bilik darjah sebaliknya hanya membimbing guru bahasa Inggeris serta memantau kaedah pengajaran secara dekat bagi mencari jalan untuk memantapkannya.

Sumber: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment