Friday, March 7, 2014

Kepimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat Setuju Dengan Perjanjian Air

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau sudah berjaya meyakinkan kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat untuk meneruskan penstrukturan semula industri air di negeri ini.

Beliau berkata perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat malam tadi yang turut dihadiri Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP Lim Kit Siang, dan mereka bersetuju dengan langkah itu.

"Malam tadi saya berbincang dengan kepimpinan Pakatan Rakyat, mereka bersetuju untuk perkara ini diteruskan walaupun ada kecurigaan tentang tanggungjawab kerajaan negeri dan persekutuan," katanya.

Bagaimanapun penstrukturan semula itu mesti diselaraskan untuk menjamin rakyat Selangor mendapat manfaat terbaik daripada usaha ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Kemahiran Teknikal Belia Luar Bandar dan Program Pemberian Insentif Bas Sekolah Kepada Anak-anak Kampung Daerah Hulu Langat di sini Jumaat.

Anwar yang juga calon PKR untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, sebelum ini mahu Abdul Khalid menangguhkan dahulu perjanjian berhubung pembinaan loji rawatan air Langat 2 selagi kepimpinan negeri dan Pakatan Rakyat tidak diberikan penjelasan sepenuhnya.

Anwar berkata Abdul Khalid perlu berbincang terlebih dahulu dengan kepimpinan Pakatan Rakyat dan mengambil kira pandangan sebulat suara sebelum membuat keputusan terutama membabitkan soal kepentingan rakyat.

Minggu lepas, kerajaan Persekutuan dan Selangor telah bersetuju untuk bekerjasama dalam pelaksanaan projek loji rawatan air Langat 2 dan pengambilalihan aset air di negeri itu.

Dalam perjanjian itu, kerajaan persekutuan bersetuju membenarkan kerajaan negeri mengambil alih empat syarikat konsesi air, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Konsortium Abass Sdn Bhd (Abass) dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) dengan pampasan RM9.65 bilion.

Dalam pada itu, Abdul Khalid, yang juga pengarah PRK Kajang untuk Pakatan Rakyat, menolak sama sekali dakwaan yang mengatakan beliau telah menerima surat berhubung peralihan kuasa menteri besar kepada Anwar sekiranya calon PKR memenangi kerusi Kajang.

Ditanya sama ada surat itu sampai di pejabat menteri besar, Abdul Khalid berkata: "Saya sama sekali tidak akan menandatangani surat tersebut".

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment