Alhamdulillah, UMNO kini berada di persada 66 tahun usianya.
Negara kita telah merdeka 55 tahun adanya. Ia datang bersama sebuah
pemerintahan dari acuan negara sendiri, dari pimpinan anak watan sendiri.
Selama lebih enam dekad inilah, parti kita telah mengabdikan diri kepada anak
watan, mengubah keadaan, dari selubung kemunduran dan kemiskinan, kepada cahaya
kemajuan dan kemakmuran.
Kita bersyukur, kerana hasil gabungan kebijaksanaan rakyat
memilih pemimpin dan kebestarian pemimpin mengemudi negara, Malaysia kekal
aman, makmur dan sejahtera. Rakyat dari segala rentasan kaum dan agama hidup
dalam suasana yang harmoni, tanpa persengketaan, tanpa kemusnahan.
Pada masa yang sama, kita melonjak ke ambang negara maju dan
melakar masa depan yang meyakinkan. Impian kita, harapan kita, hanyalah membina
negara Malaysia yang berjaya dari Perlis hingga ke Sabah, dan sentiasa berada
di bawah naungan Ilahi seperti yang dipohon oleh Nabi Allah Ibrahim:
وَإِذۡ
قَالَ إِبۡرَٲهِـۧمُ رَبِّ ٱجۡعَلۡ هَـٰذَا
بَلَدًا ءَامِنً۬ا وَٱرۡزُقۡ أَهۡلَهُ ۥ مِنَ ٱلثَّمَرَٲتِ
مَنۡ ءَامَنَ مِنۡہُم بِٱللَّهِ
وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِۖ
Yang bermaksud:
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata:
Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Mekah) ini, negeri yang aman sentosa dan
berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu
orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka.
(Surah Al-Baqarah, Ayat 126)
Saudara dan saudari yang saya hormati,
Politik Perkongsian Kuasa
Menghimbau 55 tahun yang lalu, Malaysia berada dalam situasi
yang hampir sama seperti di Sri Lanka, Fiji dan Myanmar ketika negara-negara
ini berada di ambang kemerdekaan. Kesemuanya adalah bekas tanah jajahan British
yang mempunyai penduduk berbilang kaum dan agama. Apabila British terdesak
untuk melepaskan penguasaan ke atas tanah-tanah jajahan mereka, perkara utama
yang menjadi persoalan ialah siapakah selain bangsa pribumi yang berhak
mendapat hak kerakyatan, bangsa manakah yang akan menerajui pemerintahan negara
baru itu, dan apakah bentuk negara yang mahu dibina.
Kecuali di Myanmar, negara-negara ini memilih model politik
perkongsian kuasa antara kaum. Di Sri Lanka, etnik Sinhalis dan Tamil bersetuju
untuk berkongsi kuasa. Namun, persetujuan untuk berkongsi kuasa sahaja tidak
menjamin keamanan dan kestabilan politik yang berkekalan. Perbalahan kaum
tercetus di Sri Lanka selama beberapa dekad selepas merdeka, sehingga membawa
kepada rusuhan, perang saudara, kemusnahan dan kemunduran.
Di Fiji, etnik imigran yang ibu bapa mereka berhijrah ke
negara itu semasa penjajahan British telah diberikan hak kerakyatan apabila
Fiji mencapai kemerdekaan pada tahun 1970. Dengan hak kerakyatan, mereka juga
mempunyai hak yang sama dengan Bumiputera Fiji untuk terlibat dalam politik dan
ekonomi. Malangnya, kerana tidak ada usaha untuk meratakan padang permainan,
Bumiputera Fiji yang lebih mundur memberontak sehingga menyebabkan perbalahan
dan rampasan kuasa.
Lebih malang di Myanmar, etnik minoriti Rohingya yang
berhijrah ke negara itu semasa penjajahan British tidak diberikan hak
kerakyatan langsung. Tanpa hak kerakyatan, mereka tidak mempunyai hak untuk
terlibat dalam politik, apatah lagi untuk berkongsi kuasa dengan kaum majoriti.
Walaupun Myanmar telah merdeka selama 64 tahun, etnik
Rohingya yang beragama Islam dilayan dengan begitu teruk sekali. Mereka tidak
dibenarkan bekerja dengan kerajaan dan anak-anak mereka dihalang daripada
bersekolah di sekolah kerajaan. Hatta untuk mendapatkan rawatan di hospital pun
mereka menghadapi kesukaran. Tidak cukup dengan itu, rumah-rumah mereka
dibakar, tanah-tanah mereka dirampas dan keluarga mereka dihalau keluar dari
bumi Myanmar. Bagi orang Rohingya, bumi yang mereka pijak ibarat neraka dunia.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
KEBIJAKSANAAN POLITIK UMNO: MUAFAKAT UNTUK BERKONGSI KUASA
Alhamdulillah, kita di Malaysia tidak mengalami krisis
politik dan perkauman yang parah seperti yang dialami di negara-negara lain,
walaupun kita mempunyai lebih banyak bangsa, kaum dan suku kaum. Negara kita
dipagari daripada malapetaka besar yang menggugat keselamatan dan kesejahteraan
rakyat. Dengan izin Allah s.w.t kita dapat hidup dalam suasana yang aman,
stabil dan makmur hingga ke hari ini.
Kesemua ini pastinya tidak terjadi dengan sendiri. Sudah
tentulah ada sebab musabab yang menjadikan negara kita kekal aman, makmur dan
sejahtera. Sebab yang utama ialah kebijaksanaan pemimpin kita terdahulu memilih
acuan politik perkongsian kuasa yang berteraskan semangat persefahaman,
pemuafakatan, setiakawan dan tolak ansur antara parti-parti politik yang
mewakili pelbagai kaum sewaktu itu, iaitu UMNO, MCA dan MIC. Apabila Barisan
Nasional dibentuk pada tahun 1974, muafakat kita semakin kukuh dengan lebih
banyak parti-parti yang mewakili pelbagai etnik dan suku kaum bergabung,
termasuk dari Sabah dan Sarawak.
Sepanjang lima dekad pemerintahan Barisan Nasional, muafakat
yang dicapai untuk memerintah negara secara bersama tidak pernah kita ingkari.
Janji untuk bekerjasama dan berkongsi kuasa tidak pernah kita nodai. Prinsip
ini sentiasa kita pupuk dan suburkan, dan kini menjadi pasak kekuatan Barisan
Nasional.
Alhamdulillah, meskipun ada kalanya kita diduga dengan
pelbagai cabaran dan tuntutan, meja rundingan Barisan Nasional sentiasa dapat
menawarkan penyelesaian kepada semua perkara yang berkait dengan kepentingan
semua kaum. Kerana itu Malaysia kekal aman, stabil dan makmur hingga ke hari
ini.
Meskipun begitu, bagi puak yang keras dan melampau dalam
pemikiran dan tindakan politik, mereka sentiasa mengapi-apikan semangat
perkauman dan agama yang sempit bagi menagih laba politik. PAS sebagai contoh
pernah menuduh UMNO sebagai parti sekular, parti taghut, parti mustakbirin,
parti fir’aun, parti kafir semata-mata kerana kita bekerjasama dengan
rakan-rakan bukan Islam dalam Barisan Nasional.
Begitu juga dengan MCA, MIC dan parti-parti komponen lain
dalam Barisan Nasional. Apabila mereka menerima pendirian UMNO dalam perkara
yang berkait dengan kepentingan orang Melayu, DAP dengan cepat menuduh mereka
sebagai parti yang lemah, atau parti pak turut yang sanggup menggadai
kepentingan kaum bukan Melayu, semata-mata untuk mengecap nikmat kuasa bersama
UMNO. Malah, DAP menuduh UMNO sebagai parti rasis dan parti ultra-Melayu,
semata-mata untuk membangkitkan kebencian orang bukan Melayu terhadap UMNO dan
Barisan Nasional.
Sebenarnya saudara-saudari, PAS dan DAP berbuat begitu
semata-mata untuk menarik sokongan kaum tertentu kepada parti mereka. PAS
menggunakan sentimen agama yang sempit untuk menghasut orang Melayu membenci
UMNO dan menyokong mereka.
DAP pula menggunakan sentimen perkauman yang melampau untuk
menghasut orang bukan Melayu membenci MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti lain
dalam Barisan Nasional, supaya orang
bukan Melayu menyokong mereka. Semuanya ini dilakukan atas dasar kepentingan
politik yang jumud dan politik serakah, tanpa mengira kesannya ke atas perpaduan
masyarakat berbilang kaum dan agama di negara kita.
Hakikatnya, sejak lebih lima dekad yang lalu, parti yang
membawa fahaman politik benci dan fitnah, yang membakar sentimen agama dan
perkauman bukannya UMNO, bukannya MCA, bukannya MIC, bukan juga parti-parti
komponen BN yang lain. Sebaliknya ia didalangi oleh PAS dan DAP. Merekalah yang
mengamalkan politik ultra perkauman dan membawa fahaman songsang mengenai agama
yang memecah belahkan masyarakat kita. Kononnya undi PAS masuk syurga,
sembelihan orang UMNO tidak halal, solat berimamkan orang UMNO tidak sah.
Malah, mereka sanggup mendoakan kehancuran bagi orang UMNO yang merupakan
saudara seagama mereka.
Merekalah yang menyuburkan syak wasangka, merekalah yang
membarakan api fitnah, dan mereka jugalah yang membaja benih-benih kebencian.
Sutera dilipat habis dicuci
Tersimpul kemas di dalam laci
Kalau hati berkarat benci
Terpacul di mulut nista dan caci
PEMBANGKANG TIADA PERSEFAHAMAN, TIADA MUAFAKAT
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
PAS dan DAP masih tebal dengan sentimen kaum dan agama.
Mereka masih sangat berbeza dari segi ideologi dan pendirian politik. Setelah
bertarung sesama sendiri, kini PAS dan DAP melakonkan sebuah pengkisahan
kerjasama politik yang cuba ditiru daripada kejayaan Barisan Nasional.
Hakikatnya, watak-watak dan pelakon utama semuanya mahu menguasai plot dan
jalan cerita, serta menjadi teraju. Sehingga ke hari ini PAS dan DAP sentiasa
bersengketa, bertelagah dalam tiap perkara, dan bercakaran kerana ideologi yang
jelas berbeza.
Mari kita lihat tiga senario di tiga buah negeri yang
diperintah oleh mereka. Di Pulau Pinang misalnya, DAP tidak mahu berkongsi
kuasa pun dengan PAS. Walaupun PAS mempunyai satu kerusi dalam Dewan Undangan
Negeri, wakil rakyat PAS sehingga kini tidak dilantik sebagai Exco Kerajaan
Negeri. DAP sebaliknya lebih rela menyerahkan portfolio agama kepada PKR.
Walhal, sebagai parti yang mengaku memperjuangkan Islam, wakil rakyat PAS lah
yang sepatutnya diberikan kepercayaan oleh DAP, untuk menjaga hal ehwal Islam
di Pulau Pinang. Nampaknya, DAP tidak percaya kepada PAS.
Di Kedah pula, wakil rakyat tunggal DAP tidak berada dalam
barisan Exco Kerajaan Negeri yang dikuasai oleh PAS. Hari ini, apabila kerajaan
PAS Kedah membuat peraturan atau dasar yang condong kepada Islam, yang
menentang bukannya wakil rakyat BN, tetapi DAP. Ini membuktikan bahawa DAP
bukan sahaja tidak mahu berkongsi kuasa dengan PAS, malah menentang dasar Islam
PAS.
Di Selangor, seorang Exco PAS dan Exco DAP pernah bertelagah
mengenai penguatkuasaan undang-undang Islam
di negeri itu. Bagi parti DAP yang sekular, bukan sahaja hudud tidak
patut dilaksanakan, malah undang-undang pencegahan maksiat yang termaktub dalam
enakmen undang-undang Islam negeri juga tidak wajar dilaksanakan. Akibat
pertelagahan ini, Exco PAS berkenaan dipecat dari Exco Kerajaan Negeri dan
parti, dan portfolio agama Islam yang sebelum ini dipegang oleh beliau, diambil
alih oleh Menteri Besar dari PKR.
Ternyata, PAS hanya melukut di tepi gantang. PAS tidak
berkongsi kuasa dengan DAP dan PKR. Sebaliknya, kuasa yang sepatutnya diberikan
kepada PAS dirampas oleh DAP dan PKR. Sungguh malang bagi PAS. Bagai kisah si
lebai malang. Di sini tak dapat, di sana pun melepas. Bak kata orang Pulau
Pinang, Balik Pulau Bayan Lepas, Sini Terpelau Sana Terlepas. PAS berhempas
pulas menarik sokongan orang Melayu, tetapi akhirnya yang berkuasa ialah DAP
dan PKR. Bagi DAP dan PKR, PAS hanyalah kuda tunggangan, tukang sorak dan
tukang takbir untuk mereka merebut kuasa.
Saudara dan saudari,
Cuba kita bayangkan, jika sekarang pun PAS tidak mempunyai
tempat dalam pakatan pembangkang, apakah ada jaminan bahawa PAS boleh
menegakkan Islam menerusi pakatan pembangkang? Saya pasti saudara dan saudari
yang berada di dalam dewan ini, dan juga tuan-puan yang mengikuti ucapan saya
di luar sana, tahu apa jawapannya. Tidak mungkin PAS boleh menegakkan negara
Islam. Sebab itulah awal-awal lagi sekarang ini, PAS sudah mendendangkan lagu
negara berkebajikan, bukan negara Islam.
Selama ini pun PAS sedar, sepanjang 12 kali pilihanraya
umum, bilangan kerusi yang mereka tandingi kebanyakannya kurang separuh
daripada jumlah keseluruhan kerusi di Parlimen. Misalnya, dalam pilihanraya
tahun 1969, PAS bertanding di hanya 62 daripada 144 kerusi Parlimen, tahun 1990
bertanding di 29 daripada 180 kerusi parlimen, tahun 1995 bertanding di 59
daripada 192 kerusi parlimen, tahun 1999 bertanding di 59 daripada 193 kerusi
parlimen, tahun 2004 bertanding di 85 daripada 219 kerusi parlimen, dan tahun
2008 bertanding di hanya 66 daripada 222 kerusi parlimen.
Ironinya, jika PAS menang di semua kerusi yang ditandingi
sekalipun, PAS tidak boleh membentuk kerajaan untuk menegakkan negara Islam
seperti yang dicanangkan. Apatah lagi, pencapaian terbaik PAS ialah memenangi
26 kerusi dalam pilihanraya umum 1999. Saudara-saudari, PAS hanya menang semua
kerusi yang ditandingi sewaktu berada dalam Barisan Nasional dalam pilihanraya
1974. Manakala, dalam semua pilihanraya yang lain, jumlah kerusi yang PAS kalah
lebih besar daripada jumlah kerusi yang dimenangi.
Berbeza dengan UMNO, sepanjang sejarah pilihanraya di negara
kita, jumlah kerusi yang kita tandingi dan menang dalam pilihanraya membolehkan
kita menjadi parti teras dalam kerajaan. Dengan kedudukan ini, UMNO mampu melaksanakan
dasar-dasar yang selaras dengan perjuangan parti berlandaskan musyawarah dengan
parti-parti komponen dalam Barisan Nasional.
Mungkin PAS akan mengatakan kepada kita tidak mengapa
bertanding sejumlah kerusi yang kecil, kerana nanti ahli-ahli parlimen PKR dan
DAP akan menyokong mereka untuk menegakkan Islam. Janganlah bermimpi di siang
hari. Janganlah berbohong kepada pengundi. Jauh panggang dari api. Takkanlah
DAP yang rasis lagi cauvinis, takkanlah PKR yang rosak lagi merosakkan, akan
menyokong usaha PAS untuk menegakkan Islam. Cukuplah. Cukuplah sepanjang 12
kali pilihanraya, 12 kali PAS berbohong kononnya parti itu berjuang untuk
menegakkan Islam. Janganlah kita biarkan PAS berbohong lagi untuk kali ke-13.
Dengan kedudukan PAS yang lemah, agak pelik bagi kita
apabila dalam Muktamar PAS baru-baru ini, ada perwakilan parti itu yang
mencadangkan Presiden mereka sebagai calon Perdana Menteri pakatan pembangkang.
Seperti yang kita jangka, DAP awal-awal lagi tidak bersetuju Presiden PAS
menjadi calon Perdana Menteri. Persoalannya, bolehkah Presiden PAS menjadi
Perdana Menteri jika jumlah kerusi yang ditandingi dan dimenangi oleh parti itu
adalah kecil, dan DAP pula tidak menyokong mereka? Tentu sekali jawapannya
tidak boleh.
Jika tidak boleh, dan saya pasti mereka pun tahu ianya tidak
boleh, mengapa dikemukakan juga cadangan itu? Bagi kita ini menunjukkan bahawa
ahli-ahli akar umbi PAS tidak meletakkan kepercayaan kepada DAP atau PKR untuk
mengetuai pakatan pembangkang. Mereka tidak percaya kepada Lim Guan Eng. Mereka
tidak percaya kepada Lim Kit Siang. Mereka juga tidak percaya kepada Karpal
Singh. Mereka langsung tidak percaya kepada Anwar Ibrahim. Ini adalah satu
kegagalan besar bagi PAS dalam membentuk kerjasama dan berkongsi kuasa dengan
DAP dan PKR.
Sebenarnya saudara-saudari, konsep berkongsi kuasa tidak
pernah wujud dalam pakatan pembangkang. Mandat rakyat yang diberikan kepada
mereka dalam pilihanraya yang lalu untuk mememerintah beberapa buah negeri
adalah satu hikmah yang mendedahkan kepada kita bahawa mereka sebenarnya tidak
boleh bekerjasama dan berkongsi kuasa. Satu sebab yang paling utama ialah
tiadanya sikap saling mempercayai antara mereka. PKR tidak percaya kepada DAP,
DAP tidak percaya kepada PKR, dan kedua-dua DAP dan PKR tidak percaya kepada
PAS.
Cuba bayangkan saudara-saudari, jika masing-masing tidak
percaya antara satu sama lain, bolehkah pembangkang bermuafakat sesama mereka?
Bolehkah pembangkang memerintah negara dengan aman? Bolehkah pembangkang
membawa kesejahteraan kepada rakyat? Boleh atau tidak saudara-saudari? Jika
tidak jawapannya, pastikan kemenangan berpihak kepada kita dalam pilihanraya
nanti.|Jangan kita serahkan negara kita ini untuk diporak-perandakan oleh
pembangkang.
CABARAN IDEOLOGI: ISLAM, KEBEBASAN DAN DEMOKRASI
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
Kita sedang berhadapan dengan tentangan ideologi baru.
Kononnya atas nama kemunculan politik baru, politik pembebasan, politik global,
politik kuasa ketiga, wacana hak dan kebebasan individu mengatasi lingkungan
agama, budaya dan moral. Di kalangan parti-parti politik tertentu, mereka akan
mengutip apa sahaja ideologi yang memberi kelebihan kepada mereka, hatta
berkongsi ideologi songsang sekalipun.
Di peringkat antarabangsa, telah muncul kumpulan yang
memperjuangkan ideologi songsang yang berteraskan pemikiran sekular liberal
yang bertentangan dengan agama. Misalnya, kumpulan yang memperjuangkan hak
golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender yang dianggap sebagai kelompok
minoriti yang tertindas. Undang-undang negara yang hanya mengiktiraf
perkahwinan antara lelaki dan wanita dianggap oleh kumpulan ini sebagai tidak
adil, malah zalim kepada mereka.
Hari ini, mereka semakin berpengaruh. Banyak kerajaan
menerima tekanan supaya mengiktiraf hak golongan songsang untuk melakukan
perkara yang ditegah oleh agama. Mereka turut melobi supaya hak golongan
songsang ini dimasukkan dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Asean di Sidang
Kemuncak Asean di Phnom Penh baru-baru ini.
Alhamdulillah, Malaysia di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri
Mohd. Najib Tun Razak menolak keras cadangan ini, kerana bagi kita amalan yang
bertentangan dengan prinsip agama dan fitrah manusia tidak boleh dibiarkan
berleluasa. Bayangkan, apa yang akan terjadi kepada anak-anak kita, keluarga kita,
masyarakat kita dan agama kita jika amalan songang ini dibiarkan menular.
Kita bersyukur, negara-negara Asean lain bersetuju dengan
pendirian Malaysia, dan cubaan untuk mengiktiraf amalan yang bertentangan
dengan prinsip agama, moral dan fitrah manusia sebagai satu hak gagal.
Saudara-saudari yang saya hormati sekalian,
Di negara kita, ideologi songsang ini sudah menembusi
benteng politik pembangkang. Kerana itu, sejak akhir-akhir ini kita lihat
pandangan Ketua Pembangkang agak bercelaru. Satu ketika, beliau tanpa segan dan
silu mengeluarkan kenyataan bahawa undang-undang jenayah negara kita yang
menghalang perlakuan liwat adalah satu undang-undang yang kolot. Sedangkan kita
semua tahu bahawa perbuatan terkutuk itu ditegah oleh Islam, dan juga oleh
agama-agama lain.
Jika undang-undang itu kolot, maka apakah Ketua Pembangkang
hendak mengatakan bahawa hukum Allah juga kolot? Janganlah kerana perlakuan
songsang ini dibenarkan di Barat, dan diterima sebagai hak asasi manusia oleh
mereka, maka dia pun turut hendak menghalalkannya.
Selain itu, baru-baru ini kita juga dikejutkan oleh
kenyataan seorang Naib Presiden PKR. Atas nama kesamarataan hak, beliau
mengatakan orang Melayu yang beragama Islam juga wajar diberikan hak kebebasan
beragama, sepertimana yang diamalkan oleh penganut-penganut agama lain.
Sedangkan kita tahu bagi umat Islam, seluruh kehidupan kita dipandu oleh
syari’at Allah. Tidak mungkin hak untuk murtad boleh terpakai untuk umat Islam.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
Inilah sisi hodoh ideologi demokrasi dan kebebasan yang cuba
dibawa oleh pakatan pembangkang. Mereka cuba merungkaikan asas-asas agama Islam
yang telah terpahat kukuh di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Perkara seperti ini
tidak pernah berlaku di negara kita sebelum ini. Tidak pernah ada pemimpin
Islam yang tergamak bersuara menghalalkan gaya hidup songsang dan murtad.
Tetapi hari ini, atas sebab ingin meraih undi dan merebut kuasa, lantaran
angan-angan mahu ke Putrajaya, semuanya boleh sahaja.
Inilah sebenarnya bahana besar yang dibawa oleh pembangkang.
Kita di dalam UMNO tidak boleh alpa. Ingatlah, UMNO adalah parti yang berjuang
untuk menegak dan mendaulatkan Islam. Bangkitlah menjadi benteng mempertahankan
masyarakat kita daripada diasak oleh ideologi songsang pembangkang. Jangan
biarkan mereka menembusi jiwa anak-anak kita. Jangan biarkan mereka meracuni
pemikiran masyarakat kita. Jangan biarkan mereka merungkai asas-asas agama
kita. Kita yakin rakyat akan terus bersama UMNO dan Barisan Nasional untuk mempertahankan
nilai-nilai murni yang cuba dinoda oleh pembangkang.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
Walaupun pembangkang menjanjikan bulan, bintang, matahari
dan cakerawala apabila bercakap mengenai demokrasi dan kebebasan, mereka tidak
mengotakan apa yang janjikan. Seperti yang disimpulkan dengan begitu tepat
sekali oleh YAB Presiden, antara sisi hodoh budaya pembangkang ialah bila
berhutang tak perlu dibayar, bila menerima tak perlu berterima kasih, bila
berjanji tak perlu ditepati. Jika saudara-saudari ingat, dalam manifesto
pembangkang dahulu, tercatat janji untuk memberikan bermacam-macam kebebasan
kepada rakyat kalau mereka berkuasa, termasuk janji kebebasan media.
Namun, belum pun sempat mereka berkuasa, pembangkang telah
awal-awal lagi memungkiri janji mereka. Hari ini, apabila ada akhbar yang
mendedahkan kepincangan mereka, mereka bergegas ke mahkamah menyaman akhbar
berkenaan. Jumlah saman bukannya sedikit. Misalnya, nilai saman mereka ke atas
sebuah akhbar arus perdana sejak tahun 2008 mencecah 1 bilion ringgit. Dengan
jumlah sebesar ini, pembangkang di negara kita mencipta rekod dunia
mengemukakan jumlah saman yang paling besar kepada sebuah akhbar.
Mereka berharap akhbar-akhbar di negara kita tidak lagi
berani mendedahkan hakikat kepincangan dan keburukan mereka. Selain itu,
pembangkang juga menghalang akhbar-akhbar tertentu daripada membuat liputan di
majlis-majlis yang dianjurkan oleh mereka, termasuk di sidang-sidang Dewan
Undangan Negeri. Inilah sebenarnya taktik kotor pembangkang untuk menutup
kepincangan dan membisukan pengkritik mereka.
Inilah wajah sebenar pembangkang. Apabila terkena batang
hidung sendiri, mereka lupa janji, lupa diri, lupa segalanya. Lebih memalukan,
mereka lupa bahawa merekalah yang menabur fitnah ke serata dunia bahawa
mahkamah kita tidak adil, mahkamah kita berat sebelah, mahkamah kita zalim.
Tetapi apabila terdesak, merekalah orang yang paling awal berkejar ke mahkamah
untuk mendapatkan perlindungan. Sebenarnya mereka tahu bahawa mahkamah kita
boleh memberikan keadilan kepada sesiapa sahaja termasuk mereka. Tetapi kerana
niat jahat mereka untuk memberikan gambaran buruk tentang negara kita kepada
masyarakat antarabangsa, mereka sanggup menabur fitnah.
Samalah juga dengan tindakan Ketua Pembangkang meminta
campurtangan kerajaan asing untuk memastikan pilihanraya kita bersih, bebas dan
adil. Dia hendak berbohong kepada dunia kononnya pilihanraya kita kotor. Inilah
satu lagi pengkhianatan kepada negara. Semata-mata kerana dengki dan niat jahat
terhadap kerajaan Barisan Nasional, dia tergamak meminta campurtangan asing
dalam hal ehwal politik negara kita.
Bagi kita, ini hanyalah taktik kotor orang yang bermimpi
untuk menawan Putrajaya, awal-awal lagi mengatakan pilihanraya di negara kita
tidak adil. Barangkali dia pun sudah tahu bahawa pembangkang akan kalah dalam
pilihanraya nanti. Jadi, lebih baik dibuat propaganda awal bahawa pilihanraya
negara kita tidak adil, supaya apabila mereka kalah dalam pilihanraya,
senanglah untuk mereka menuduh bahawa kita tidak berlaku adil kepada mereka.
Senang jugalah untuk mereka berhimpun di
jalan-jalan raya bagi menolak keputusan yang telah dibuat oleh rakyat.
Kita fikir lebih baik Ketua Pembangkang menjemput wakil
negara asing untuk memerhati pemilihan PKR. Kita hendak tengok apa komen
pemerhati asing mengenai PKR. Bersihkah pemilihan PKR? Bebaskah pemilihan PKR?
Adilkah pemilihan PKR? Demokratikkah PKR apabila Ketua Pembangkang mengangkat
dirinya sendiri menjadi Ketua Umum parti tanpa melalui proses pemilihan? Malah
jawatan itu pun tidak ada dalam Perlembagaan parti.
Apakah sah kedudukan Ketua Pembangkang dalam partinya
sendiri? Perkara seumpama itu hanya boleh berlaku dalam sebuah parti yang
dikuasai oleh seorang diktator, bukan sebuah parti yang mengamalkan demokrasi.
Daripada Ketua Umum, Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, parti itu
ibarat Parti Keluarga dan Rakan-Rakan (PKR).
Kesemua ini tidak membayangkan mereka komited untuk
melaksanakan janji demokrasi. Sudahlah komitmen kepada Islam semakin luntur, komitmen
kepada demokrasi pun tidak ada. Bagi kita, parti-parti pembangkang tidak ada
keabsahan moral untuk bercakap mengenai Islam atau demokrasi.
Demokrasi yang sebenar terlaksana apabila kerajaan mendengar
rintihan, denyut nadi dan suara hati rakyat, apabila kerajaan melaksanakan
dasar yang memenuhi aspirasi rakyat, apabila kerajaan membela nasib rakyat,
apabila kerajaan menghapuskan ketidakadilan sosial yang mengancam perpaduan
rakyat. Tiada maknanya demokrasi jika masih ada rakyat hidup melarat. Matlamat
demokrasi tercapai apabila setiap rakyat dapat mengecap kehidupan yang
sejahtera dalam negara yang makmur. Inilah yang diperjuangkan oleh UMNO untuk
bangsa Melayu dan seluruh rakyat Malaysia.
JAMINAN UMNO UNTUK BANGSA MELAYU
Saudara-saudari,
UMNO terus komited untuk membela bangsa Melayu. Usaha-usaha
untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi orang Melayu diteruskan melalui
insiatif-inisiatif yang diputuskan oleh Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera yang
dipengerusikan sendiri oleh YAB Perdana Menteri. Usahawan-usahawan Melayu dan
Bumiputera akan terus diberikan peluang untuk mendapat manfaat limpahan ekonomi
yang sedang pesat berkembang.
Hari ini, dengan pelbagai inisiatif yang diambil oleh
kerajaan menerusi agensi-agensi yang diwujudkan untuk memperkasa agenda
Bumiputera, pegangan ekuiti Bumiputera telah meningkat dari 2 peratus pada
tahun 1970 kepada 23.09 peratus pada tahun 2010, dengan nilai sebanyak 167.7
bilion ringgit. Ini adalah satu pencapaian yang menakjubkan bagi parti kita dan
bangsa kita. InsyaAllah, dengan pelbagai usaha yang sedang dilaksanakan pada
waktu ini, kita akan berjaya mencapai sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti
Bumiputera menjelang tahun 2020.
Begitu juga dengan perjuangan Islam. UMNO tidak pernah
menggadai prinsip perjuangan Islam, malah sentiasa berusaha untuk memartabat
dan meningkatkan syiar Islam. Sistem pendidikan Islam kita martabatkan, sistem
undang-undang Islam kita pertahankan, sistem ekonomi Islam kita majukan.
Hari ini dunia melihat Malaysia sebagai contoh negara Islam
yang terbaik. Dengan kedudukan negara kita yang agak lebih ke hadapan
berbanding negara-negara Islam yang lain, kita dapat pula membantu saudara
Islam kita di seluruh dunia. Kita telah membantu saudara kita di Bosnia, di
Gaza, di Myanmar dan di mana sahaja mereka memerlukan bantuan kita.
Alhamdulillah, berkat kebijksanaan pimpinan negara kita, Malaysia baru sahaja
membantu menyelesaikan konflik Bangsamoro di Filipina. Semua ini adalah hasil
perjuangan UMNO untuk memartabatkan Islam.
Sepanjang 66 tahun UMNO memperjuangkan Melayu dan Islam,
UMNO tidak pernah menganiaya mana-mana kaum. Inilah keadilan UMNO. Inilah
kesaksamaan UMNO. Pejuang UMNO tidak perlu merasa berdosa dan bersalah berada
di atas landasan perjuangan UMNO. UMNO berjanji untuk terus membela bangsa
Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya. Justeru, UMNO akan terus mengangkat
suara Melayu di samping tidak melupai agihan keadilan untuk kaum-kaum lain
seperti yang dituntut oleh agama. Firman Allah s.w.t. dalam al-Qur’an:
يَـٰٓأَيُّہَا
ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٲمِينَ لِلَّهِ شُہَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّڪُمۡ
شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا
تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ
أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ
خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua
sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi
menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu
kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku
adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan
bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam
akan apa yang kamu lakukan.
(Surah Al Ma’idah, Ayat
Saudara dan saudari yang berada di dalam Dewan Merdeka ini,
dan juga yang sedang mengikuti ucapan saya di kaca-kaca televisyen, atau di
corong-corong radio di luar sana, pak-pak haji yang baru pulang dari masjid,
ibu-ibu yang sedang melayani anak-anak di rumah, pemandu-pemandu teksi yang
sedang mencari rezeki di kota, para pekerja yang sedang berbakti kepada negara,
para anggota keselamatan yang sedang menjaga keamanan kita, mahasiswa yang
sedang mentelaah pelajaran di universiti, pemuda-pemuda yang sedang merenung
masa hadapan, inilah komitmen UMNO dan Barisan Nasional, inilah janji UMNO dan
Barisan Nasional.
Kita sentiasa berusaha untuk mentransformasi negara, dan
mensejahterakan rakyat tanpa perlu menggadai prinsip perjuangan yang murni.
Inilah bezanya antara kita dan pembangkang. Tatkala pembangkang semakin
terdesak untuk meraih undi dan merebut kuasa, mereka sanggup melakukan apa
sahaja, termasuk menggadai prinsip moral, maruah bangsa dan kesucian agama.
Renungkanlah saudara dan saudari. Tilik betul-betul apa yang
dijaja oleh pembangkang dan apa yang dikota oleh UMNO dan Barisan Nasional.
Walaupun pembangkang mempamerkan kepada kita bahawa merekalah yang akan membawa
sinar kesejahteraan kepada rakyat, janganlah kita terpedaya. Sinar yang mereka
janjikan itu ibarat kilauan sekeping kaca yang hanya menanti saat retak dan
pecah berderai. Kita pasti rakyat yang matang lagi bijaksana dapat membezakan
antara kepalsuan kaca dan ketulenan permata.
BERSAMA MELAKAR KEMENANGAN
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
Kita sedang berada di tengah pertarungan politik yang akan
menentukan survival parti, masa depan bangsa dan kedudukan negara.
Saudara-saudari yang berhimpun ini adalah lambang kekuatan perjuangan di
tengah-tengah pertarungan ini. Dalam pusingan terakhir persiapan menghadapi
pilihanraya, saudara-saudari di negeri, bahagian dan cawangan telah bekerja
kuat untuk memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional dalam pilihanraya
nanti.
Sebagai Timbalan Presiden dan Pengarah Pilihanraya, saya
amat menghargai kegigihan, kesungguhan dan pengorbanan saudara-saudari
mencurahkan bakti kepada parti tanpa mengenal penat lelah. Percayalah, segala
usaha yang dicurahkan oleh saudara-saudari, segala keringat yang menitis ke
bumi, akan menyumbang kepada kemenangan UMNO dan Barisan Nasional. InsyaAllah.
Pertingkatkan gerakerja bagi memenangi pilihanraya. Sebagai
barisan hadapan jentera parti, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri adalah
pasukan tahan lasak parti. Bergeraklah ke serata pelusuk desa dan kota,
harungilah lembah, sungai dan denai, dari Kangar hingga ke Semporna, julanglah
panji perjuangan, insyaAllah kita akan mengarak obor kemenangan.
Gerakkan jentera di setiap peringkat. Pastikan mereka
bersedia turun ke medan perang apabila semboyan dibunyikan. Atur strategi
berkesan untuk menangi hati pengundi. Pujuklah mereka dengan penuh hikmah.
Mudah-mudahan dengan izin Allah s.w.t., pintu-pintu hati mereka akan terbuka
luas untuk menyokong UMNO dan Barisan Nasional.
Ingatlah, bahawa perpaduan dalam parti adalah kunci utama
kemenangan kita. Apabila kita memilih untuk berada di atas landasan perjuangan
UMNO, kita bukan bekerja untuk diri kita, tetapi berjuang untuk agama, bangsa
dan negara. Perjuangan ini tidak boleh kita lakukan secara bersendirian. Kita
memerlukan sokongan dan dokongan rakan-rakan seperjuangan. Bekerjalah dalam
semangat kesatuan hati (wahdatul qalb), kesatuan fikiran (wahdatul fikr),
kesatuan matlamat (wahdatul hadaf)dan kesatuan amal (wahdatul amal) untuk
meneruskan agenda perjuangan parti yang suci.
Yakinlah bahawa kita berada di pihak yang benar. Matlamat
UMNO mempertahankan Islam, membela nasib
bangsa Melayu, memelihara kedaulatan negara dan mensejahterakan rakyat tanpa
mengira kaum dan agama adalah perjuangan suci yang kita galas hingga ke saat
ini. Dengan asakan pelbagai dakyah songsang yang merungkai asas-asas agama,
yang mencabar maruah bangsa, yang mengancam kedaulatan negara, maka landasan
perjuangan suci UMNO mesti kita perkukuhkan.
UMNO di bawah kepimpinan YAB Presiden selaku Perdana Menteri
sedang menerajui transformasi yang besar untuk negara kita. UMNO telah merasai denyut nadi rakyat.
Menerusi program transformasi kerajaan, ekonomi dan politik, sentuhan
pembaharuan UMNO sedang dirasai oleh segenap lapisan masyarakat.
Baik petani, nelayan dan pekebun kecil di desa, pemandu
teksi dan peniaga di kota, golongan pekerja, profesional dan penjawat awam,
kesatuan sekerja dan pertubuhan bukan kerajaan, remaja, belia dan mahasiswa,
malahan golongan gelandangan dan kurang bernasib baik, semuanya sedang merasai
sentuhan UMNO.
Kita akur bahawa transformasi adalah satu proses yang
berterusan. Kita tahu bahawa masih banyak rintangan dan cabaran yang menanti.
Walau apapun, demi menjamin masa depan Malaysia yang lebih makmur dan
sejahtera, marilah kita redah segala rintangan, kita harungi segala dugaan,
kita atasi segala cabaran. Marilah kita berikan sokongan yang tidak berbelah
bahagi kepada YAB Presiden untuk memimpin parti dan negara. Marilah kita
berikan sepenuh ketaatan kepada khalifah yang akan memimpin bala tentera kita.
Firman Allah s.w.t dalam al-Qur’an al-karim:
أَطِيعُواْ
ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِى ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ
Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah
dan kepada “Ulil-Amri” (yakni orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.
(Surah Al-Nisa’, Ayat
56)
Kepada Wanita, teruskanlah, perhebatkanlah, semarakkanlah
perjuangan menjalin rantaian sokongan. Sebarkanlah kasih sayang UMNO melalui
Jalinan Rakyat, Skuad Sayang dan Salam Sayang.
Maralah dengan merah yang menyala, tiuplah ia hingga menjadi obor yang
menerangi jalan-jalan kemenangan. Wanita UMNO, engkaulah ibu, engkaulah
pembimbing, engkaulah srikandi.
Kepada Pemuda, saudara-saudara lah hulubalang benteng
hadapan yang akan mempertahankan Putrajaya. Gempurlah musuh kita. Pantang anak
muda menyerah. Jangan biarkan walau setapak mereka melangkah. Turunilah ke
setiap kota, desa dan lurah. Dekatilah generasi muda dengan hikmah.Berjuanglah
dengan tabah. Adat bertarung menjunjung maruah. Membujur lalu melintang patah.
Kepada Puteri, permata yang bergemerlapan, sinarilah
generasi muda dengan harapan dan keyakinan. Andalah yang memahami suara hati
mereka. Rasailah denyut nadi mereka. Menangilah hati mereka. Bawalah mereka
bersama kita dalam perjuangan murni melakari masa depan nusa dan bangsa.
Kita tidak gentar menghadapi cabaran zaman. Perteguhkanlah
pendirian kita. Perkukuhkanlah tekad kita. Pertingkatkanlah kebijakasanaan
kita. Kita mengajak rakyat tanpa mengira kaum dan agama, agar bersama-sama kita
mempertahankan benteng negara daripada ditembusi oleh ideologi songsang, dakyah
politik jahat dan budaya sesat yang dibawa oleh pembangkang. Marilah
bersama-sama kita mendaulatkan maruah agama, bangsa dan negara.
Marilah kita berdoa ke hadrat Allah s.w.t. agar kita
diberikan kekuatan untuk menghadapi mihnah dan fitnah zaman. Marilah kita
memohon pedoman dari Allah s.w.t. agar ditetapkan hati-hati kita untuk terus
berada di landasan perjuangan yang suci ini. Marilah kita memohon hidayah dari
Allah s.w.t. agar dilembutkan hati-hati kita untuk menerima seruan persaudaraan
dan perpaduan. InsyaAllah pertolongan Allah sentiasa bersama orang-orang yang
berjuang di jalanNya. Firman Allah s.w.t. dalam surah Muhammad, Ayat 7:
يَـٰٓأَيُّہَا
ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن تَنصُرُواْ ٱللَّهَ
يَنصُرۡكُمۡ وَيُثَبِّتۡ أَقۡدَامَكُمۡ
Yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu membela (agama)
Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan
tapak pendirian kamu.
Pemuda adalah hulubalang UMNO, Wanita adalah srikandi UMNO,
Puteri adalah permata UMNO. Ayuhlah hulubalang UMNO! Ayuhlah srikandi UMNO!
Ayuhlah permata UMNO! Rapatkanlah saf perjuangan kita. Berjuanglah dengan penuh
ikhlas dan yakin membela agama, bangsa dan negara. Bangkitlah menjulang panji
perjuangan. Maralah ke medan perang. InsyaAllah, berkat kesungguhan kita
berjuang, berkat kebijaksanaan rakyat membuat pilihan, UMNO dan Barisan
Nasional akan melakar kemenangan! Marilah kita sama-sama menadah tangan
merafakkan doa:
Bismillahirrahmanirrahim.
Ya Allah!
Jadikanlah perhimpunan ini perhimpunan yang dirahmati
Janganlah engkau leraikan hati kami dari mentaatiMu
Satukanlah hati-hati kami di jalanMu
Ya Allah Ya Tuhan Kami!
Terimalah doa kesejahteraan buat sekalian kami
Jauhkanlah hati kami daripada menjahanamkan sesama sendiri
Kembalikanlah mereka yang tersasar ke jalanMu yang diredhai
Ya Allah
Bimbinglah kami di jalan yang lurus
Redhakanlah jalan perjuangan kami
Tetapkanlah kami di jalanMu Ya Allah
Ya Allah
Engkaulah Tuhan Rabbul Jalil
Engkau kurniakanlah ketabahan di setiap hati kami
Engkau kurniakanlah kekuatan di jiwa kami
Engkau perteguhkanlah daya juang kami
Dengan rahmatmu Ya Allah
Engkau kurniakanlah kemenangan buat kami
fai’za ‘azamta fatawakkal ‘alallah
Hidup UMNO! Hidup UMNO! Hidup UMNO!
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Walillahilhamd.
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya dengan
sukacitanya merasmikan Persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO
2012.
Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum
warahmatullahi wa barakatuh.
Teks Ucapan Perasmian Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda
Dan Puteri UMNO 2012 Oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin
Sumber: Suara Generasi Baru
No comments:
Post a Comment