Antara tanggungjawab utama sesebuah kerajaan ialah
menyediakan keperluan asas kepada rakyat.
Dan sebagai makhluk Allah SWT yang bernyawa, tiada apa yang lebih ‘asas’
daripada air iaitu elemen utama untuk memastikan kita terus hidup.
Tanpa air, semua benda yang bernyawa akan mati. Rakyat Malaysia adalah bertuah kerana bumi
kita dianugerahkan dengan cuaca yang ‘seimbang’ iaitu tidak ekstrem. Kita tidak perlu risaukan kemarau berterusan
mahupun ancaman sejuk yang keterlaluan.
Hujan dan panas berselang-seli memastikan tanah subur sehinggakan
mustahil bagi rakyat Malaysia yang paling miskin sekali pun untuk mati
kebuluran.
Mengambilkira hakikat ini, maka kegagalan kerajaan sesebuah
kerajaan negeri di Malaysia untuk memastikan rakyat dapat menikmati sumber asas
kehidupan ini dengan sempurna, membuktikan kelemahan mereka yang ketara.
Bukan satu kebetulan apabila kesemua negeri-negeri di bawah
pemerintahan Pakatan Rakyat berhadapan dengan masalah bekalan air: Selangor dengan masalah air tidak cukup kerana
kerajaan negeri berdegil enggan menerima penyelesaian yang diputuskan oleh
kerajaan pusat iaitu melalui projek Langat 2.
Kedah dengan kenaikan tariff air secara mendadak dan
melambung sejak diambil-alih PAS walaupun antara janji PR sebelum menang
pilihanraya adalah menurunkan tariff air.
Dan mungkin kerana mendapati pendapatan dari kenaikan tariff tersebut
masih belum cukup, kerajaan PAS Kedah kini memutuskan untuk mengenakan bayaran
ke atas Pulau Pinang atas bekalan air yang disalurkan oleh Kedah ke negeri
tersebut.
Maka, melentinglah kerajaan Pulau Pinang apabila kerajaan
PAS Kedah memasukkan jangkaan pendapatan dari penjualan air itu iaitu RM20
juta, ke dalam pembentangan bajet negeri itu baru-baru ini. Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan
Eng, kerajaan PAS Kedah langsung tidak berbincang dengan pihaknya mengenai
perkara itu sekali gus menunjukkan yang tindakan kerajaan Kedah memasukkan
angka tersebut ke dalam bajet bolehlah dianggap penipuan dalam pembentangan,
kalau pun tidak percubaan memperdaya kerajaan Pulau Pinang.
Semua masalah ini tidak pernah timbul ketika atau jika
Barisan Nasional masih memerintah negeri-negeri itu. Hanya apabila PR mengambil-alih maka semuanya
menjadi kelam kabut, keliru dan buntu.
Begitulah halnya dengan Kelantan yang telah 22 tahun
diperintah oleh PAS. Selama 22 tahun,
kerajaan ‘Islam’ PAS terus-terusan gagal menguruskan keperluan paling asas ini
sehingga menyebabkan rakyatnya menderita dan terpaksa mencari berbagai-bagai
alternatif untuk mendapatkan jangankan air bersih, tetapi juga air itu
sendiri.
Jika sepenggal, mungkin kita boleh menerima alasan dari
kerajaan negeri, tak kira apa jua alasannya.
Tetapi jika sudah 22 tahun, iaitu lebih 4 penggal masih tiada perubahan,
maka sahlah bahawa kerajaan PAS Kelantan tidak tahu atau tidak mahu
menyelesaikan masalah tersebut.
Menafikan, menepis atau menuding jari ke serata arah atas kegagalan
selama 22 tahun hanya menguatkan lagi pengesahan tersebut.
Air bukan sahaja elemen asas untuk hidup, tetapi juga ia
adalah elemen penting dalam Islam kerana ia membawa bersamanya simbol
kebersihan. Islam adalah agama suci,
kerana itu Islam meletakkan kebersihan sebagai perkara paling utama. Tidak ada maknanya kita bersolat jika kita
tidak berada dalam keadaan bersih. Hanya
agama Islam yang mengkategorikan kotoran serta menetapkan cara
pembersihan. Dalam beberapa hal,
pembersihan untuk tujuan penyucian
memerlukan lebih dari sekadar tindakan, tetapi juga lafaz niat yang betul.
Ini kerana Islam bukan agama luaran atau sekadar di kulit,
tetapi dalaman yang letaknya di dalam iman di hati dan pemikiran di minda yang
membentuk roh yang tidak dapat dilihat.
Dalam Islam, kita perlu bersih dahulu sebelum dapat
mesucikan diri.
Justeru, sebagaimana pentingnya air untuk hidup, begitulah
juga pentingnya bersih dalam Islam.
Mungkin bukan satu kebetulan apabila semua negeri Pakatan
Rakyat mengalami masalah dalam isu air.
Mungkin ia satu petunjuk kepada rakyat Malaysia tentang betapa kotornya
pakatan mereka. Nampaknya, tidak mustahil PR akan tenggelam
dalam isu air agar kita dapat membersihkan kembali negeri-negeri yang
diperintah mereka.
Sumber: Isu Hot.Com
No comments:
Post a Comment