PETALING JAYA: Pendaftaran dalam talian untuk 80,000 rumah
mampu milik yang akan dibina di 50 bandar dan pekan di bawah projek Perumahan
Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan dilancarkan secara rasmi di Pulau Pinang pada
Sabtu.
Pemohon yang layak akan dapat mengambil bahagian dalam
pengundian rumah berkenaan yang akan dibina pada kos kira-kira RM10 bilion
dalam tempoh tiga tahun akan datang.
"Rakyat di Pulau Pinang akan menjadi yang pertama untuk
mendaftar dan mendapat manfaat daripada program perumahan mampu milik bandar
oleh Kerajaan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA Berhad Datuk Mutalib Alias
pada satu taklimat media, Rabu.
Beliau berkata kerja-kerja pembinaan projek PR1MA Seremban
dijangka bermula awal tahun depan manakala bidang tanah di kawasan bandar di
Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor, Melaka, Sabah dan Sarawak telah
dikenal pasti untuk projek itu.
"PR1MA akan membangunkan 50,000 buah rumah manakala
tambahan 30,000 unit rumah akan dibina melalui kerjasama dengan pemaju swasta.
"Kami akan menyediakan unit yang berpatutan untuk
memenuhi keperluan penduduk bandar,” katanya.
Mutalib berkata individu dan pasangan suami isteri dengan
pendapatan isi rumah bulanan kolektif antara RM2,500 dan RM7,500 sebulan layak
untuk mendaftar untuk rumah PR1MA. Hartanah bertingkat dan di atas tanah
berharga antara RM100,000 dan RM400,000.
Katanya PR1MA menggunakan definisi fleksibel untuk pendapatan
isi rumah yang layak bagi membolehkan ahli keluarga yang layak juga boleh
mendaftar secara individu.
Pemohon mestilah rakyat Malaysia yang berumur 21 ke atas dan
yang tidak memiliki lebih daripada satu rumah dan bekerja atau tinggal di
kawasan di mana projek itu sedang dibangunkan.
Mutalib berkata pemohon boleh menyenaraikan lima lokasi
pilihan, sambil menambah mereka akan dimaklumkan tentang pengundian projek
PR1MA akan datang melalui e-mel atau SMS.
"Satu sistem pendaftaran terbuka akan digunakan PR1MA
di mana sesiapa yang layak boleh memohon. Pengundian akan diaudit secara bebas
dan dilakukan secara telus.
Beliau berkata Akta PR1MA 2012 mula berkuat kuasa pada 1
Januari yang akan memastikan pelaksanaan projek perumahan PR1MA berada pada
landasan sepatutnya.
Akta ini akan membuka jalan terhadap penubuhan Majlis
Penasihat PR1MA yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri manakala Jawatankuasa
Kelulusan dan Pelaksanaan akan mengurangkan kerenah birokrasi.
Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan pada tahun 2009,
lebih daripada 850,000 orang dengan pendapatan antara RM2,500 dan RM7,500
sebulan tidak membeli rumah sendiri.
Kira-kira 60 peratus daripada permintaan untuk rumah mampu
milik adalah dari Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Pulau Pinang, Pahang, Sabah
dan Sarawak. - KL Express
Sumber: Klik Sini
No comments:
Post a Comment