Walaupun begitu, sentimen akar umbi lebih cenderung menganggap pertandingan ini sebagai 2 penjuru iaitu antara penyandang, Khairy, dengan Akramsyah. Sukar untuk ditafsirkan kenapa di kalangan rakyat, meragui tiga calon lain sebagai sekadar perancangan untuk memecah undi sahaja. Namun, suka atau tidak, itulah hakikatnya persepsi ramai mengenai pertandingan ini.
Jelas, rakyat sudah terlalu masak dengan selok-belok politik UMNO dan memerhatikan segala-galanya dengan penuh sinis serta kritikal.
Khairy Jamaluddin menempa nama dalam politik Malaysia dengan penuh kontroversi. Mungkin ada yang enggan ‘mengungkit cerita lama’ tentang kumpulan tingkat 4, Khazanah, ECM Libra, MV Agusta dan lain-lain lagi. Namun, ada pula yang berkata bahawa cerita tersebut bukannya cerita lama, tetapi cerita semasa, kerana ia masih belum selesai. Kemenangan Khairy yang disambut dengan laungan ‘rasuah’ juga menjadi sejarah yang paling sukar untuk ditafsirkan bagi UMNO.
Bagaimanapun, Khairy terus meningkat dalam politik dan kini bergelar Menteri. Beliau dikatakan mempunyai karisma dan mampu membawa Pemuda UMNO ke era baru dengan penuh gaya dan stamina. Penilaian ini adalah berdasarkan ‘persembahannya’ dalam sessi-sessi perbahasan dan kenyataan-kenyataan media. Tidak dinafikan bahawa beliau bijak mendekatkan diri dengan golongan muda melalui media baru dan cukup aktif dalam media sosial. Aktiviti-aktiviti anjuran Pemuda juga menerima sambutan hangat dari kalangan belia.
Pengkritik Khairy bagaimanapun terus mempersoalkan hasil kerjanya. Hujah mereka, walaupun Khairy mampu mendekatkan diri dengan anak muda tetapi beliau tidak mampu menarik mereka menjadi ahli UMNO. Buktinya, Pemuda UMNO tidak mampu menambah bilangan ahli dengan jumlah yang signifikan di bawah pimpinannya. Malah, menjelang pilihanraya yang lepas juga, Khairy masih tidak berusaha meningkatkan jumlah ahli tetapi sibuk mempromosi diri untuk menjadi Menteri.
Namun, kritikan yang paling hebat yang mampu memberi kesan kepada akar umbi, dan seterusnya sentimen rakyat terhadap UMNO ialah prinsip Khairy yang dikhuatiri membelakangkan roh perjuangan UMNO yang asal iaitu untuk agama bangsa dan negara. Khairy sendiri nampaknya begitu selesa dan yakin melaungkan prinsipnya yang terbuka di mana beliau lebih gemar menjadi Ketua Pemuda BN daripada Ketua Pemuda UMNO. Kenyataan ini seolah-olah mengiakan bahawa UMNO itu rasis sekali gus membuka peluang kepada pembangkang untuk menyerang.
Dalam kenyataan rasmi di blognya mengenai pertandingan ini, Khairy berkata, “(Jawatan) ini memerlukan kesinambungan dan saya sudah meletakkan satu perancangan bermula daripada empat tahun yang lepas supaya Pemuda Umno dan BN menjadi lebih relevan kepada generasi muda dan citarasa mereka. Dengan pendekatan dan program yang kita jalankan lebih melambangkan keterbukaan dan membawa semangat kenegaraan yang dibawa oleh Perdana Menteri kita.
Dua ayat ini disambut dengan penuh prejudis oleh pengkritiknya di mana ayat pertama membawa kepada persoalan mengenai apakah ‘rancangannya yang memerlukan kesinambungan itu’? Dan ayat kedua pula mengesahkan bahawa Khairy sememangnya ingin membawa pendekatan ‘terbuka’ dan tidak begitu gemar memperkatakan tentang Melayu.
Semua ini dilihat sebagai ancaman oleh pengkritik beliau dan juga sebahagian besar umat Melayu yang menyokong UMNO.
Justeru, tidak hairanlah apabila Akramsyah, anak kepada tokoh politik yang cukup disegani iaitu Tan Sri Sanusi Junid yang terkenal dengan prinsip yang kuat, telah bangun mencabar Khairy bagi jawatan Ketua Pemuda. Tidak hairan juga apabila Akram membawa slogan ‘Hidup Melayu’ dalam menghadapi Khairy.
Dalam kenyataan rasminya, Akram menyentuh soal kurangnya sentuhan peribadi Pemuda UMNO dengan masyarakat Melayu akhir-akhir ini. Pemuda dikatakan tidak mampu menjadi pendesak kepada agenda Melayu, malah dalam beberapa hal seolah-olah menjadi penentang kepada agenda tersebut dengan membawa slogan BN dan bukan UMNO.
Akram turut memberi penekanan terhadap kebimbangan masyarakat Melayu mengenai ‘keterbukaan’ dalam menguruskan GLC-GLC. Beliau juga bercadang untuk merancang program yang lebih praktikal bagi memastikan DEB berjaya mencapai sasaran dan bukan menjadi sasaran kritikan.
Apa yang menarik ialah, Akram dan Khairy kedua-duanya menuntut di luar negara. Kedua-duanya juga dari latarbelakang keluarga atasan dan ternama.
Khairy adalah graduan bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi manakala Akramsyah berkelulusan bidang Kejuruteraan. Kelebihan Khairy mungkin dari segi ‘nama’ pusat pengajiannya yang terkenal manakala kelebihan Akram pula adalah dari segi bidang pengkhususan yang lebih sukar dan dipandang tinggi.
Nama Khairy pertama kali didengar melalui tulisannya di majalah berprestij antarabangsa iaitu The Economist. Walaubagaimanapun, tulisan Khairy dikritik hebat kerana tidak menepati fakta sebenar, serta memaparkan kecetekan pengetahuan mengenai ekonomi. Selain menulis, Khairy berpengalaman menjadi Pengacara TV sebelum ‘melompat’ terus ke dalam politik dengan menjadi Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap menantu beliau.
Akram pula mempunyai pengalaman yang luas dalam menghadapi cabaran hidup sama seperti kumpulan menengah lain di Malaysia. Akram mempunyai 16 tahun pengalaman menjadi Jurutera sehinggalah ke Pengurus Besar serta Konsultan di beberapa syarikat antarabangsa termasuk di luar negara. Pengalaman ini memberi beliau gambaran jelas tentang cara hidup rakyat biasa dari golongan bawahan sehingga ke peringkat atasan. Dengan sentuhan langsung dengan dunia sebenar yang penuh persaingan, kebolehan Akram untuk memahami, mengurus dan mengendalikan permasalahan rakyat tidak perlu dipersoalkan lagi.
Justeru, walaupun Khairy mempunyai kelebihan di dalam politik dan cukup arif akan selok belok politik dari peringkat bawahan sehinggalah ke peringkat tertinggi, namun cabaran Akram tidak harus dipandang remeh. Namun, dari sudut lain pula, buat masa ini, satu kekurangan Akram berbanding Khairy merupakan faktor yang mungkin menjadi penentu segala-galanya, iaitu sentuhan politik secara peribadi di peringkat cawangan dan bahagian UMNO, yang mana Akram hampir tiada langsung.
Perlu diingatkan bahawa Pemilihan UMNO bukanlah kemuncak bagi sesuatu perlawanan dalam politik kerana perlawanan sebenar adalah Pilihanraya. Untuk memastikan kemenangan dalam perlawanan kemuncak itu, UMNO perlu membuat pilihan yang menepati kehendak rakyat dan bukan sekadar pihak yang berkepentingan di dalam parti sahaja.
Apapun, perbezaan pendekatan kedua-dua calon membuktikan yang UMNO cukup terbuka kepada sebarang idea dan perubahan. Sekali gus, UMNO juga memperlihatkan kematangan dengan membuka ruang pertandingan bagi jawatan yang begitu penting tanpa perlu bimbangkan soal perpecahan.
Sumber: Beruang Biru
No comments:
Post a Comment