Monday, September 30, 2013

Tiada kejutan dalam pemilihan ulangan CEC Parti Tindakan Demokratik (Utusan)

SEMALAM, Kongres Khas DAP berlangsung dengan pemilihan semula anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC). Jumlah perwakilan hanya 2,576 orang dan calon yang bertanding pula 49 orang. Kongres khas ini diadakan selepas pemilihan yang berlangsung pada 15 Disember 2012 terpaksa dibatalkan. Ketika itu 68 orang bertanding dan tidak sampai 2,000 yang mengundi. Semalam juga, berlangsung simulasi pemilihan UMNO. Berbanding DAP, pemilihan UMNO tentulah lebih rumit kerana bakal melibatkan lebih 146,000 perwakilan yang akan memilih 33,682 calon pemimpin bagi pelbagai peringkat iaitu Majlis Tertinggi, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri dan bahagian. Jika DAP memilih 30 anggota CEC yang kemudiannya akan bermesyuarat memilih pemimpin seperti setiausaha agung, pengerusi, timbalan pengerusi dan naib-naib pengerusi, UMNO pula terus membuat pemilihan bagi jawatan utama termasuk Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden.

Begitulah bezanya corak pemilihan dua parti - DAP dan UMNO. Berbanding DAP, sudah tentulah, pemilihan dalam UMNO terpaksa menempuh perjalanan yang rumit. Walaupun ini kali pertama berlangsungnya pemilihan corak baru, UMNO perlu memastikan kaedah yang dilaksanakan tidak menjejaskan kredibiliti parti. Jika sebelum ini ramai yang mempertikaikan corak pemilihan DAP, maka jangan dibiarkan orang lain mengambil kesempatan untuk memperkecilkan kaedah pemilihan UMNO. Sebarang masalah teknikal yang berlaku perlu diselesaikan segera. Jika diselak sejak hari ?penamaan calon? baru-baru ini terdapat beberapa kenyataan yang berkaitan dengan kelayakan bertanding. Begitu juga dengan etika berkempen. Pihak yang menjadi pemantau pemilihan kali ini perlu lebih jelas dengan etika berkempen, bukan sekadar pertemuan di peringkat bahagian tetapi juga kenyataan, ucapan oleh calon-calon yang bertanding. Timbul persoalan bagaimana ruang untuk mereka yang tidak memegang sebarang jawatan mampu muncul dalam pelbagai media.

Keadaan ini berbeza bagi mereka yang mempunyai jawatan sama ada dalam kerajaan pusat atau kerajaan negeri atau memegang jawatan lain yang boleh mencipta pelbagai aktiviti untuk tampil bertemu pemilih sama ada secara langsung atau tidak langsung. Mungkin jika ini tidak ditangani akan timbul pelbagai isu yang boleh menjejaskan proses pemilihan. Bukan mudah untuk memantau corak kempen ini. Eloklah kempen untuk menyatakan visi dan misi diberi kelonggaran. Fokus utama yang perlu diberi perhatian ialah politik wang dan kempen memburukkan orang lain. Seperti dibangkitkan dalam Selak sebelum ini, apa yang penting elakkan ketirisan poket sepanjang berkempen. Berdasarkan simulasi semalam, dijangkakan tidak timbul masalah dalam kaedah pemilihan kali ini.

Berbalik kepada pemilihan DAP, jumlah calon yang bertanding semalam berkurangan berbanding pemilihan yang diadakan pada Disember lalu. Jumlah kali ini berkurangan sebanyak 19 orang, iaitu 17 menarik diri dan dua lagi keluar parti. Menyelak kembali di sebalik pemilihan semula ini, kongres khas terpaksa diadakan semula atas permintaan Pendaftar Pertubuhan (ROS) kerana banyak persoalan timbul pada pemilihan lalu.

DAP terpaksa akur dengan ?kecuaian manusia? yang melibatkan keputusan terhadap tujuh orang calon. Dalam pemilihan yang diadakan sebelum ini, beberapa fakta menarik perhatian banyak pihak. Pertamanya, lapan orang Melayu yang bertanding tersingkir menyebabkan parti yang mendakwa mewakili pelbagai kaum itu dikritik hebat. Keduanya berlaku ?pembetulan? keputusan selepas 19 hari pemilihan apabila parti itu tampil memperbetulkan kesilapan undi yang diterima oleh tujuh calon. Hasil ?pembetulan? itu, Zairil Khir Johari yang pada mulanya menduduki tangga ke-39 melonjak ke tangga 20 (terakhir dalam senarai) sekaligus meletakkannya sebagai seorang anggota CEC yang dipilih. Undi ?asalnya? 305 meningkat kepada 803 manakala Wu Him Ven yang menduduki tempat ke-6 menjunam ke kedudukan 26 menyebabkannya terkeluar daripada senarai anggota CEC yang dipilih. Undi baru yang diperolehnya adalah 669 undi berbanding 1,202 undi. Beliau kemudiannya menganggotai CEC sebagai anggota yang dilantik. Lima lagi turut mengalami perubahan jumlah undi iaitu Wong Sai Hoong 23 (asal 448), Wong Sze Phin 643 (761), Zulkifli Mohd Noor 249 (216), Roseli Abdul Gani 69 (39) dan Tan Boon Peng 40 (407).

Semalam, semua 20 anggota yang dipilih adalah anggota CEC yang terpilih selepas ?pembetulan? dilakukan pada pemilihan lalu. Jelaslah, perwakilan tetap memilih orang yang sama, cuma corak undi yang diterima berubah. Pada masa yang sama, perwakilan tetap menolak calon-calon Melayu yang turut menawarkan diri bertanding termasuklah Senator Ariffin SM Omar yang dilantik sebagai Naib Pengerusi selepas pemilihan lalu. Benarkah kenyataan seorang calon CEC Melayu, Zulkifli Mohd Noor bahawa nilai orang Melayu dalam DAP ibarat mata wang bernilai ?lima kupang? atau 50 sen?

KARPAL TETAP GAGAH

Walaupun pemilihan semula diadakan, Karpal Singh, 73 tetap ?gagah? sebagai Pengerusi DAP. Semalam, beliau menegaskan tidak akan berundur dari politik selagi pakatan pembangkang gagal membentuk kerajaan Pusat. Karpal pernah jatuh dalam pilihan raya umum (PRU) apabila beliau kalah di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang pada 1999. Bagaimanapun beliau berikrar untuk bangkit semula dan kata-kata itu terbukti apabila beliau menang semula pada PRU 2004 diikuti 2008 dan 2012.

Begitulah keazaman veteran DAP itu yang tidak menolak kemungkinan akan terus kekal sebagai calon PRU akan datang. Beliau sememangnya berhasrat untuk menyerahkan kepemimpinan kepada generasi muda. Katanya: ?Kita semakin tua dan orang (pemimpin) tua perlu bersara satu hari nanti. Saya akan bersara dalam masa munasabah. Munasabah bermaksud lepas apa yang kami mimpikan iaitu untuk jadi kerajaan Persekutuan menjadi kenyataan. Lepas itu baru bagi kepada orang muda,??.

Maknanya, peranan orang lama masih tetap diperlukan. Kenapa Karpal Singh yang sudah begitu lama berkecimpung dalam politik masih tetap gagah dan diterima ramai? Semalam, Karpal Singh mengekalkan kedudukannya di tempat ketiga, sama seperti pada pemilihan Disember lalu. Jumlah undinya meningkat daripada 1,411 kepada 1,421 undi. Penasihat parti, Lim Kit Siang pula jatuh ke nombor dua dengan undi merosot iaitu daripada 1,607 kepada 1,436 undi, kehilangan 171 undi. Anaknya, Lim Guan Eng pula menduduki tempat ke lima dengan 1,304 undi, merosot 272 undi berbanding kedudukan No.2 pada 2012 dengan 1,576 undi. Apakah ada sesuatu di sebalik keputusan semalam? Yang pasti tiada kejutan!

Sumber:  Beruang Biru

No comments:

Post a Comment