Monday, December 16, 2013

Banjir: Guan Eng Menjual ‘Impian Pahang’ Pula

Dalam Konvensyen DAP yang berlangsung Ahad lalu, Lim Guan Eng membuat ucapan yang membuatkan kita tersengih-sengih mendengarnya.  Kata Guan Eng, beliau berjanji sekiranya PR dapat memenangi Putrajaya maka masalah banjir di Pahang akan diselesaikan dalam masa satu penggal sahaja.

Mungkin reaksi paling tepat terhadap ucapan Guan Eng ialah dengan memberikan beliau gambar-gambar banjir di Pulau Pinang bersama dengan cermin.

Masalah banjir di Pahang mungkin merupakan sesuatu yang biasa kita dengar walaupun tidak seburuk tahun ini.  Tetapi, masalah banjir terburuk di Pulau Pinang yang berlaku pada 2011 dan berulang lagi pada 2013 bukanlah perkara biasa. Sedar atau tidak, negeri itu hanya mengalami banjir yang buruk sejak diperintah oleh DAP.

Kita tidak perlu menjadi pakar dalam bidang geologi untuk memahami kenapa bencana ini terjadi di Pulau Pinang.  Cukup dengan melihat dengan mata kasar kerakusan kerajaan DAP membuat pembangunan tanpa menghiraukan kesannya kepada alam sekitar.

Apa yang menarik ialah Guan Eng hampir langsung tidak membuat kenyataan mengenai banjir di Pulau Pinang ketika masalah itu berlaku di sana.  Malah, akhbar milik DAP, Roketkini juga bagai segan-segan untuk menyentuh mengenai masalah itu.  Tidak salah dikatakan bahawa kerajaan Pulau Pinang lebih ‘selesa’ membiarkan pihak lain untuk membantu mangsa-mangsa banjir.

Justeru, tentulah jelek sekali apabila dengan tidak semena-mena, Guan Eng menyatakan ‘minat’ untuk menyelesaikan masalah banjir di negeri lain di kala beliau mengabaikan masalah di negeri sendiri.   Sedangkan, di Pulau Pinang Guan Eng tidak perlu menunggu untuk mendapat kuasa untuk berbuat sesuatu kerana beliau telah pun berkuasa.  Inikan pula untuk menunggu mendapat kuasa dahulu di Putrajaya untuk menangani masalah Pahang.

Jelas, janji-janji DAP mengenai menyelesaikan masalah banjir  hanyalah satu lagi produk dalam siri ‘Impian’ parti itu. Sebelum ini, DAP telah menjual Impian Sabah dan juga Impian Sarawak.

Bagaimanapun, kita percaya tidak ada sesiapa yang akan terpedaya dengan promosi mimpi DAP setelah melihat apa yang terjadi di Pulau Pinang.  Jangankan DAP menyelesaikan apa-apa, tetapi DAPlah yang menjadi punca masalah banjir buruk di negeri itu.

Sekiranya berkuasa, kita pasti DAP tidak akan membiarkan walau sekangkang kera tanah yang tidak dibangunkan di negara ini.  Jika perlu dirampas secara paksa atau dibina bangunan secara haram juga DAP akan tetap membangunkan setiap inci tanah demi apa yang dipanggil mereka ‘keuntungan’.

Oleh itu, sekiranya DAP berjaya merampas Putrajaya, maka bersedialah kita semua untuk menghadapi banjir yang jauh lebih besar lagi di seluruh Malaysia. DAP pula akan menjaja bencana itu sebagai ‘keuntungan negara’.

Sesungguhnya, keuntungan bagi kerajaan DAP dan pemaju merupakan kerugian kepada rakyat marhaen dan juga alam sekitar.

Bagaimanapun, memandangkan masalah CEC DAP masih belum selesai sepenuhnya, maka kita bolehlah menganggap yang ucapan Guan Eng itu dibuat dalam Konvensyen yang berlangsung dalam ‘mimpi’nya sahaja.

Sumber:  Beruang Biru

No comments:

Post a Comment