Friday, January 25, 2013

SYABAS jawab dakwaan kerajaan Selangor di media arus perdana

KUALA LUMPUR, 20 Jan – Syarikat Bekalan  Air Selangor (SYABAS) hari ini mengeluarkan “iklan” di hampir keseluruhan akhbar arus perdana bagi menjawab segala tuduhan dan dakwaan parti pembangkang terhadap syarikat yang menguruskan bekalan air di negeri itu.

SYABAS dalam kenyataan penuh dua muka surat itu menjawab 15 dakwaan yang dilontarkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor pimpinan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Antara dakwaan-dakwaan yang dijelaskan SYABAS termasuklah urusan penyelengaraan pam air, dakwaan tidak mempunyai dana mencukupi untuk membaiki pam ekoran tarif air tidak dinaikkan, peranan seperti termaktub dalam Perjanjian Konsesi, dan banyak lagi.

“Adalah tidak wajar kerajaan negeri yang memegang 30 peratus ekuiti dan mempunyai wakil dalam Lembaga Pengarah SYABAS memberi galakan kepada pengguna untuk memfailkan saman terhadap SYABAS.

“Sedangkan ketidakupayaan dan kekangan yang dihadapi SYABAS disebabkan halangan kerajaan negeri dari meluluskan projek di bawah program penambahbaikan, menaiktaraf, mengganti atau pembangunan baru (Program CAPEX) seperti dicadang SYABAS,” kata syarikat itu dalam laporan akhbar yang boleh dilihat dalam akhbar Sinar Harian, New Straits Times, dan kebanyakan media arus perdana lain.

Malah, SYABAS turut menegaskan, halangan melaksanakan Program Perbelanjaan Modal (CAPEX) daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negeri (SPAN) oleh kerajaan Selangor juga membantutkan usaha membaik pulih, menaiktaraf, dan sebagainya.

“SYABAS telah dihalang melaksanakannya apabila ia dibekukan SPAN atas arahan kerajaan negeri sejak Julai 2008.

“SYABAS hanya dibenarkan untuk menjalankan kerja kritikal sahaja serta penyelenggaraan rutin ... itupun setelah mendapat kelulusan SPAN,” kata kenyataan itu.

Keadaan itu jelas syarikat tersebut menjadikan seolah-olah “terikat tangannya” dan tidak banyak yang dapat dilakukan syarikat itu akibat pembekuan tersebut.

“Oleh itu mendakwa SYABAS tidak mengambil kira perancangan jangka panjang adalah tuduhan tidak berasas dan tidak adil sama sekali,” kata kenyataan tersebut.

Isu air yang melibatkan kerajaan Selangor dan syarikat konsesi air berkenaan semakin berlarutan apabila beberapa kawasan di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air.
Keadaan tersebut turut menyaksikan terus berlaku pertikaian mengenai pembinaan Loji Langat 2, yang mana telah dijadualkan semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) di Selangor, namun dihentikan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor apabila mereka berjaya menawan negeri terkaya di Malaysia itu dalam pilihan raya umum 2008.

Ketiga-tiga pihak sering bertelagah mengenai keperluan loji rawatan air tersebut, dengan BN dan SYABAS mahukan kerajaan Selangor memberikan kebenaran untuk meneruskan projek tersebut.

“Sikap menyalahkan SYABAS yang memberikan perkhidmatan kepada rakyat tanpa memberikan bantuan yang sewajarnya umpama “baling batu sembunyi tangan.” kata kenyataan itu di bahagian kesimpulannya.
“Pembekuan kerajaan Selangor dalam CAPEX adalah tidak wajar ... SYABAS berharap kerajaan negeri yang mempunyai tanggungjawab di bawah undang-undang untuk membantu menyelesaikan masalah berkait menambah kapasiti air terawat dapat melihat perkara ini dengan lebih serius.

“SYABAS hanya menguruskan perkhidmatan pengagihan air terawat yang dikeluarkan oleh syarikat operator loji rawatan air yang dilantik kerajaan negeri sendiri,” jelas syarikat itu lagi.

Sumber:   Read here


No comments:

Post a Comment