KENYATAAN AKHBAR
JAWATANKUASA DASAR
FISKAL
Jawatankuasa Dasar Fiskal (Fiscal Policy
Committee, FPC) telah bermesyuarat pada hari ini untuk meneliti kedudukan fiskal negara dari segi perkembangan
ekonomi, prospek serta risiko
bagi jangka masa pendek dan panjang. FPC akan memainkan peranan utama dalam
mengukuhkan kewangan Kerajaan serta memastikan kemampanan fiskal dan kestabilan
ekonomi makro jangka panjang.
Saya telah mempengerusikan mesyuarat FPC
pagi ini. Ahli-ahli tetap FPC terdiri daripada Timbalan Perdana Menteri,
Menteri Kewangan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (bertanggungjawab ke atas
Unit Perancang Ekonomi [EPU]), Ketua Setiausaha Negara, Gabenor Bank Negara
Malaysia, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Pengarah EPU. FPC disokong
oleh Pejabat Dasar Fiskal Kementerian Kewangan Malaysia dan sebuah kumpulan
teknikal antara agensi, yang terdiri daripada pegawai-pegawai dari EPU, Bank
Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan.
FPC menekankan
bahawa komitmen Kerajaan untuk melaksanakan konsolidasi fiskal akan diteruskan bagi
mencapai sasaran defisit fiscal dalam lingkungan 3.0% kepada KDNK pada tahun 2015 dan bajet berimbang menjelang tahun
2020.
Melalui penilaian FPC, persekitaran luar didapati semakin
mencabar. Lebihan akaun semasa imbangan pembayaran (BOP) yang sederhana di samping defisit fiskal yang berterusan boleh mendatangkan risiko jangka sederhana kepada
ekonomi. Oleh itu, langkah mengukuhkan kedudukan fiskal adalah penting untuk mengekalkan
daya tahan ekonomi dan meningkatkan lagi keyakinan rakyat dan pelabur.
Pada masa
ini, subsidi dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, termasuklah di kalangan
mereka yang berpendapatan tinggi dan rakyat asing. Oleh itu, kita perlu melaksanakan
sistem subsidi yang lebih mensasarkan
golongan yang memerlukan dan mudah terjejas.
Rasionalisasi subsidi akan dilaksanakan dalam beberapa peringkat. Sebagai
langkah pertama, dengan ini saya mengumumkan bahawa harga RON95
dan Diesel akan dinaikkan sebanyak 20 sen seliter, berkuatkuasa 12:01 pagi, 3
September 2013. Pada masa ini, Kerajaan menanggung subsidi sebanyak 83 sen
seliter bagi RON95, dan RM1.00 seliter bagi diesel. Jumlah subsidi bahan api
yang diperuntukkan oleh Kerajaan bagi tahun ini adalah RM24.8 billion.
Pengurangan subsidi bahan api sebayak 20 sen ini bermakna Kerajaan masih
memberi subsidi sebanyak 63 sen seliter bagi RON95 dan 80 sen seliter untuk
diesel.
Bagi mengurangkan bebanan golongan
berpendapatan rendah dan mudah terjejas berikutan rasionalisasi subsidi bahan
api, Kerajaan akan meningkatkan pemberian BR1M dalam Bajet 2014 dimana
jumlahnya akan diumumkan dalam ucapan Bajet. Pada masa hadapan, satu jaringan
keselamatan sosial (social safety net)
yang lebih komprehensif akan diperkenalkan. Langkah-langkah fiskal seterusnya akan
diumumkan dalam Bajet 2014.
Untuk menangani lebihan akaun semasa
yang berkurangan, pelaksanaan projek-projek sektor awam akan dipertimbangkan
dengan teliti. Projek-projek yang mempunyai kandungan import yang rendah dan
kesan pengganda yang tinggi akan diberi keutamaan bagi memastikan pertumbuhan
ekonomi tidak terjejas. Manakala, pelaksanaan projek yang mempunyai kandungan
import yang tinggi akan disusun mengikut jadual yang sewajarnya supaya tidak
mendatangkan kesan negatif kepada imbangan pembayaran. Walau bagaimanapun, projek
Mass Rapid Transit (MRT) Jajaran 1, 2
dan 3 diteruskan seperti yang dirancang. Projek Southern Corridor High Speed Rail (HSR) pula masih dalam proses
rundingan.
Dalam jangka sederhana dan panjang,
Kerajaan akan mengkaji kaedah untuk meningkatkan daya saing ekonomi dan mempelbagaikan
lagi pasaran eksport negara. Pelancongan, sumber terimaan luar yang besar, akan
diberi tumpuan selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2014.
Pelaksanaan semua langkah tersebut bukan
sahaja untuk menangani cabaran semasa terhadap ekonomi dan kedudukan kewangan
Kerajaan tetapi ia juga akan mengukuhkan kemampanan fiskal negara dalam jangka
sederhana dan panjang. FPC akan terus bermesyuarat dari semasa ke semasa untuk menilai
perkembangan ekonomi dan kedudukan kewangan Kerajaan.
Perdana Menteri
2 September 2013
Sumber: Beruang Biru
No comments:
Post a Comment