Demam pemilihan UMNO kini semakit kuat dengan tarikh pemilihan jawatan-jawatan penting semakin dekat. Tetapi apa yang menjadi topik hangat di kalangan ahli akar umbi dan juga rakyat hari ini berbanding topik calon, ialah berkenaan hala tuju UMNO selepas pemilihan.
Secara dasarnya, pemilihan kali ini bukan sekadar satu lagi pemilihan sepertimana sebelumnya. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa pemilihan kali ini dianggap sebagai penentu masa depan negara.
Justeru, adalah menjadi tanggungjawab para pemimpin UMNO untuk memberi perhatian dan mengkaji apakah yang sedang bermain di kotak fikiran rakyat dan akar umbi parti. Kenapa mereka melihat pemilihan ini sebagai genting sekali? Apakah bezanya dengan pemilihan yang lepas-lepas?
Untuk pengetahuan, keraguan atau persoalan yang bermain di fikiran rakyat ialah: Apakah benar UMNO telah meletakkan hala tuju baru? Apakah benar UMNO tidak lagi ingin membawa semangat Melayu?
Persoalan ini timbul apabila pemilihan Ketua Pemuda menyaksikan kemenangan Khairy Jamaluddin iaitu calon yang jelas membawa prinsip terbuka, atau dirujuknya sendiri sebagai prinsip ‘liberal centrist’.
Apa yang difahamkan ialah prinsip ini bermakna mengambil kedudukan di tengah-tengah iaitu tidak lagi meletakkan Melayu sebagai subjek utama di tengah-tengah kaum lain. Ini selaras dengan sikap Khairy selama ini yang ‘segan’ untuk merujuk dirinya sebagai ‘Ketua Pemuda UMNO’ tetapi lebih gemar dengan panggilan ‘Ketua Pemuda BN’.
Sebenarnya, kita wajar memuji sikap tidak berselindung Khairy dalam memaparkan idea dan hala tuju yang diimpikannya untuk UMNO walaupun ia dilihat sebagai menentang arus.
Memandangkan Khairy tidak pernah merahsiakan prinsip dan hala tuju yang ingin dibawanya, maka dengan kemenangannya, kepimpinan UMNO mempunyai tanggungjawab untuk menjelaskan sekiranya berlaku sebarang perubahan dalam prinsip dan hala tuju UMNO sepertimana yang ingin dibawa Khairy.
Jika tidak, rakyat akan terus meragui dan tertanya-tanya ke manakah arah kita selepas ini?
Contohnya, apa akan jadi dengan program memantapkan ekonomi bumiputera yang baru diumumkan Perdana Menteri. Sekiranya prinsip liberal centrist diambilkira maka program-program ini tentunya tidak lagi relevan kerana ia berasaskan ‘kaum’.
Selain itu, kita juga tertanya-tanya, apakah prinsip liberal centrist ini akan turut menghapuskan Hak-hak Istimewa Melayu?
Hakikatnya, kita tidak melihat idea-idea Khairy sebagai tidak baik sepenuhnya tetapi, selagi tiada jaminan dan penjelasan dari kepimpinan maka idea-idea ini disambut dengan penuh syak wasangka malah umpatan juga. Tentulah keadaan ini amat tidak baik untuk UMNO.
Jika benar UMNO ingin meletakkan landasan baru, maka UMNO wajib menyatakannya secara jelas supaya akar umbi dan juga rakyat jelata mampu mencernanya.
Sesungguhnya, ketidakpastian hanya melemahkan UMNO dan juga negara. Dalam keadaan negara yang semakin rapuh, UMNO tidak mampu untuk retak.
Walau ke manapun arah yang ingin dituju nanti, jangan lupa untuk menoleh ke belakang melihat jejak peninggalan tokoh dan wira-wira yang telah membina negara ini.
Hanya dengan melihat jejak-jejak itu, maka UMNO dapat mengatur langkah yang lebih mantap menuju masa depan. Percayalah, jika bukan UMNO yang memerintah, dan bukan dasar-dasar yang dibawanya serta bukan individu-individu yang menerajuinya, maka wajah Malaysia pada hari ini tentu berbeza sekali.
Justeru, sekali lagi sebelum melangkah, UMNO wajib menjelaskan terlebih dahulu kepada rakyat akan hala tujunya supaya kita bersedia dan tidaklah terpinga-pinga dan merasa teraniaya dalam menghadapi perubahan yang tidak dijangka.
Sumber: Beruang Biru
No comments:
Post a Comment