Keretakan hubungan mereka dilihat apabila timbul perselisihan faham dalam memilih calon parti itu untuk kerusi Dewan Undangan Negeri Kota Laksamana yang dikosongkan Betty Chew, isteri Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Pimpinan DAP pusat cenderung memilih Lai Keun Ban, calon yang dilihat penyokong setia Guan Eng, hingga menimbulkan rasa kurang senang antaranya anggota Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him yang mengambil keputusan bertanding sebagai calon bebas di Kota Laksamana.
Beliau dalam masa yang sama mempertahankan kerusi Parlimen Kota Melaka atas tiket DAP.
Tong Him akhirnya tunduk atas desakan Guan Eng untuk menarik diri sebagai calon Bebas, namun menarik perhatian Leong San pada masa itu yang dikatakan menyokong Tong Him dan turut kurang senang dengan pencalonan Keun Ban, yang akhirnya memenangi kerusi itu.
Desas-desus itu terbukti benar apabila Leong San kini mengisytihar perang terhadap Keun Ban dan Khoo Poay Tiong dari Ayer Keroh yang juga penyokong setia Guan Eng.
Isu yang menjadi pencetus perbalahan itu ialah pujian Leong San kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron yang mendapat kritikan hebat Poay Tiong dan Keun Ban, serta turut menimbulkan perasaan kurang senang Guan Eng.
Ekoran itu Leong San meletak jawatan atas alasan "terlalu banyak campur tangan DAP pusat". Bukan sekadar meletak jawatan, Leong San terus berperang dengan Poay Tiong dan Keun Ban antaranya dengan ugutan untuk membongkar salah laku dua ADUN itu, namun dibalas Poay Tiong yang langsung tidak gentar dengan ugutan, malah mencabar Leong San membuktikan kebenaran dakwaannya itu.
Agak sukar untuk mendalami secara terperinci isu yang dibangkitkan dalam pertelagahan tiga ADUN DAP itu kerana mereka hanya membenarkan media berbahasa Cina menghadiri sidang media di Melaka yang diadakan bagi menyerang antara satu sama lain. Itulah kebebasan media yang diamalkan mereka.
Pertelagahan DAP Melaka dan pusat itu turut menyebabkan ADUN Melaka dari DAP berpecah dua, iaitu yang menyokong Leong San terdiri daripada Timbalan Pengerusi DAP Melaka, Lim Jak Wong (Bachang), Tey Kok Kiew (Banda Hilir) dan Chin Choong Seong (Kesidang), manakala yang menyokong Guan Eng ialah Poay Tiong dan Keun Ban.
Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang begitu memahami perangai pemimpin DAP Melaka setelah 10 tahun menerajui negeri, menterjemahkan pertelagahan itu sebagai, tidak lain tidak bukan hanya kerana mahu mengubah kepimpinan DAP Melaka, supaya lebih cenderung kepada Guan Eng.
"Pada pendapat saya, ada usaha daripada DAP pusat terutama Guan Eng untuk menjadikan Khoo sebagai pengerusi DAP Melaka supaya DAP Melaka tunduk kepada Guan Eng. Sifat kuku besi dinasti Guan Eng itu nampak dalam isu ini," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Mohd. Ali mendakwa Guan Eng dan Betty Chew sememangnya kurang disenangi DAP Melaka yang diterajui Leong San, bukti paling jelas ialah kekalahan pada pemilihan kepimpinan DAP negeri dahulu dan tindakan Guan Eng memilih Pulau Pinang untuk meneruskan kesinambungan kerjaya politiknya walaupun pernah menjadi anggota Parlimen Kota Melaka selama tiga penggal.
Idris pula berpendapat selain mengubah kepimpinan, perbezaan antara sifat Leong San yang dilihat 'gentleman' ketika berbahas isu rakyat di DUN Melaka dan sifat kepimpinan DAP pusat yang lebih gemar bermain politik merupakan antara punca pertelagahan mereka.
Beliau menyifatkan Leong San sebagai ketua pembangkang yang rasional, tidak emosi dan berbahas berdasarkan fakta, berbeza dengan pemimpin DAP lain seperti Guan Eng.
Pengerusi MIC Melaka, Datuk M. S Mahadevan pula berpendapat DAP, baik di Melaka ataupun pusat, tidak akan mampu berkhidmat dengan baik untuk rakyat sekiranya krisis politik mereka tidak dapat diselesaikan dengan sempurna.
Beliau turut mempersoal tindakan DAP pusat dinaungi dinasti Guan Eng yang hanya mahu bermain politik dengan membangkang atas sebab politik tanpa mempedulikan masalah rakyat.
"Pembangkang yang berkesan ialah apabila mereka membangkang kerana isu itu perlu diperbetulkan dan memuji apabila usaha dilakukan itu betul, bukan membangkang hanya kerana mainan politik," kata Mahadevan.
Pengerusi PPP Melaka, Datuk Chiw Tiang Chai pula berpendapat selagi berada dalam DAP, impian Leong San untuk berkhidmat kepada rakyat tanpa bermain politik, akan berkubur.
"Lebih baik Leong San keluar dari DAP dan berjuang sebagai wakil rakyat bebas, pada saya ini lebih baik daripada terus tertekan dan dipaksa bermain politik dalam parti yang tidak sehaluan dengan dia," katanya.
Tiang Chai berkata, sebagai ADUN Bebas, Leong San boleh menyuarakan kepentingan rakyat tanpa terikat dengan ketentuan sempit DAP pusat dan memperjuangkan kepentingan rakyat yang telah mengundinya, bukan berjuang untuk kepentingan parti serta pemimpin yang mahu memeranginya.
Dengan pertelagahan yang berterusan ini, persoalannya sekarang mampukah Guan Eng mempertahankan corak pemerintahannya mengawal DAP negeri-negeri seperti yang dilihat sekarang bukan hanya DAP Melaka, malah DAP Sabah juga, didahului dengan tindakan ADUN Luyang, Hiew King Cheu keluar parti.
DAP Kedah pula nampak tidak sehaluan dengan pusat apabila akar umbi di negeri itu menyokong bekas pengerusi negeri Lee Guan Aik yang dipecat DAP pusat dan akar umbi DAP Perak, mula mempersoal kepimpinan Datuk Ngeh Koo Ham.
Sumber: Beruang Biru
No comments:
Post a Comment