Semalam adalah merupakan detik yang panjang untuk semua baik di kalangan mereka yang bertanding di peringkat bahagian mahupun di jawatan tertinggi Umno Malaysia. Bagi yang menjadi penunggu setia di PWTC semalam graf keputusan yang sekejap naik dan turun, ada kalanya cukup meresahkan sehinggakan ada yang tidak senang duduk. Atau dalam bahasa perumpamaan, mengalahkan saat menunggu ketika bini ingin bersalin.
Namun itulah realiti dalam dunia politik dan adat pertandingan. Pasti ada yang akan kalah dan menang. Kepada mereka yang berjaya setinggi-tinggi tahniah diucapkan, namun pada mereka yang gagal diharapkan dapat menerima keputusan tersebut dengan hati yang tabah dan terbuka.
Walau apa pun, yang berlaku pemilihan Umno untuk sesi kali ini telah ‘selesai’ dengan menggunakan sistem yang lebih berdemokrasi dan telus untuk menobatkan pimpinan parti Melayu ini.
Sebagai generasi perwakilan dan ahli Umno yang menjadi perintis kepada inisiatif Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dalam memperkenalkan sistem baru ini, rata-rata di kalangan mereka nampaknya lebih berpuas hati berbanding sistem terdahulu.
Sistem yang lebih telus bagi mengelakkan amalan politik wang terus menghantui Umno sedikit sebanyak dilihat bakal membantu Umno untuk menarik minat kumpulan orang muda untuk memberi terus memberikan sokongan kepada Barisan Nasional khususnya Umno pada Pilihan Raya Umum ke 14 akan datang.
Apa yang pasti, pemilihan kali ini sudah selesai dengan baik. Sudah tiba masa untuk semua ahli memperkukuhkan jentera dan berhenti bermain politik. Berusahalah untuk menempuh cabaran yang bakal dihadapi melalui Pilihan Raya Kecil Sungai Limau menjelang 4 November ini.
Kekalkan semangat bersatu padu demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia bukan sahaja kaum Melayu kerana sebagai negara yang berbilang kaum, perpaduan merupakan asas untuk membentuk sebuah negara yang terbaik.
Walaupun Umno merupakan satu parti yang memperjuangkan dan mempertahankan hak istimewa orang Melayu, itu tidak bermakna kepentingan kaum lain akan dipandang sepi. Jadikan lah pemilihan kali ini sebagai satu modul yang paling cantik untuk diikuti dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.
Tiada senioriti mahupun pilih bulu, siapa yang layak untuk dibantu, haruslah diberikan bantuan. Ini dapat memastikan Umno dan juga Barisan Nasional sebagai kerajaan yang memimpin dapat mengekalkan relevan mereka pada PRU akan datang untuk terus mengemudi negara ke arah yang lebih maju dan aman.
Hapuskan budaya politik wang, hapuskan juga budaya kronisme yang kerap disinonimkan dengan Umno. Demokrasi dan ketelusan yang ditawarkan Presiden Umno adalah satu platform yang sangat baik untuk diteruskan.
Jelas Najib mengambil berat soal rakyat dan juga parti, oleh itu beliau berusaha keras untuk terus memastikan Umno kekal relevan sepanjang zaman untuk ahlinya.
Buktikan kekuatan dan juga semangat perpaduan yang ada pada PRK Sungai Limau ini, sama-sama berganding bahu untuk memastikan rakyat Sungai Limau berhak menerima kemajuan seperti yang lain.
Umno perlu mara untuk rakyat Malaysia.
Sumber: Beruang Biru
No comments:
Post a Comment