Sejak Himpunan Black505 yang serba tidak menjadi, semakin ramai dari kalangan penyokong PR mula terasa bodoh sendiri.
Oleh itu, Himpunan Black505 bolehlah dikatakan sebagai permulaan bagi pengakhiran kepada Anwar Ibrahim. Ini dapat disaksikan dari kemarahan sekumpulan peserta himpunan yang merungut malah memaparkan kemarahan mereka terhadap Anwar secara terang-terangan melalui sepanduk. Rungutan mereka berbunyi bahawa himpunan aman seperti itu adalah membuang masa dan mereka mendambakan himpunan ganas selaras dengan tiupan semangat oleh pemimpin-pemimpin PR.
Dalam kata lain, mereka telah bersedia untuk melakukan kemusnahan demi menjatuhkan kerajaan.
Bagaimanapun, Anwar lebih tahu bahawa kekuatannya tidak cukup untuk menjayakan satu rampasan kuasa seperti yang diimpikan anak-anak muda itu. Justeru, Anwar memilih untuk mengangkat sumpah sahaja, esoknya, sekali gus menerima keputusan pilihanraya.
Sejurus selepas itu, gambar-gambar Anwar bergelak ketawa dengan Dato’ Seri Najib di parlimen terdedah sedangkan di masa yang sama penyokong-penyokongnya terus berusaha membatalkan majlis angkat sumpah dengan memalukan diri berbaring di jalanan.
Kesudahannya, segala pengorbanan mereka menghidu jerebu, tidur di khemah di kawasan tiada kelengkapan bilik air dan dikejutkan pada jam 4 pagi oleh DBKL lalu berbaring di jalanan demi mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri ternyata sia-sia belaka.
Sedikit demi sedikit mereka mulai sedar permainan apakah yang dimainkan oleh Anwar Ibrahim. Dan hari ini, kita lihat antara anak muda yang paling lantang, ganas dan ‘celupar’ dalam ‘perjuangannya’ untuk menobatkan Anwar sebagai Perdana Menteri, iaitu Farid Ismath telah bertindak menghentam Anwar secara terbuka di laman sosialnya. Farid turut mempersoalkan desas desus Anwar membuat perjumpaan sulit dengan kepimpinan negara dan menganggapnya sebagai bukti kelemahan pemimpinnya itu. Anwar digelar penipu dan tidak mampu lagi menarik perhatian umum.
Kemuncak kemarahan ini dapat dilihat semalam dari strategi terdesak PR menggunakan nama Tun Mahathir untuk meraih sokongan bagi program “Selamatkan Kedaulatan Negara, Tolak TPPA”. Sebelum ini, nama dan gambar Tun Mahathir diwar-warkan sebagai antara panelis jemputan.
Walaubagaimanapun, penyokong-penyokong marhaen Anwar di peringkat akar umbi juga telah lebih awal lagi mengesyaki bahawa itu semua hanya auta. Semua orang tahu adalah tidak mungkin sama sekali bagi Tun Mahathir untuk hadir atau Anwar untuk menjemput beliau ke majlis anjuran PR.
Justeru, tidak hairanlah majlis tersebut tidak mendapat sambutan langsung. Malah, Farid Ismath turut menghentam jumlah kehadiran yang tidak sampai 2,000 orang sebagai bukti yang Anwar tidak dipercayai lagi. Sumber memberitahu bahawa di kalangan penyokong PR cukup marah dengan ‘penipuan’ yang bodoh itu.
Nampaknya jentera propaganda dan pakar strategi Anwar telah tidak mampu menyelami pemikiran masyarakat umum. Tidak kira penyokong parti mana jua, rakyat Malaysia secara umumnya tahu siapa Tun Mahathir dan siapa Anwar Ibrahim. Tun Mahathir adalah seorang yang tegas, lantang dan tidak pernah teragak-agak untuk berkata benar dan untuk pihak PR menjemput Tun Mahathir ke majlis anjuran parti itu adalah umpama menjerat diri sendiri.
Sedangkan Anwar Ibrahim pula adalah talam berpuluh-puluh muka yang akan berkata yang lain di hadapan satu kumpulan dan yang lain pula di hadapan kumpulan yang lain. Sementara di hadapan Tun Mahathir pula Anwar tidak mampu berkata apa-apa kerana seluruh rahsia gelapnya berada di dalam pengetahuan bekas Ketuanya itu.
Oleh itu, dengan menggunakan nama Tun Mahathir bagi meraih sokongan membawa kemungkinan yang lebih menarik dari sekadar kebodohan jentera PR. Ia mungkin bermakna adanya usaha dari dalam untuk mengaibkan Anwar dengan penipuan yang ketara.
Jika ini benar, maka Anwar tentunya telah melatih orang-orangnya dengan baik tentang bagaimana untuk ‘membunuh’ sesuatu karektor iaitu, dengan menggunakan senjatanya sendiri ke atas dirinya. Dan senjata utama Anwar selama ini adalah ‘menipu’.
Oleh itu, cara yang paling berkesan untuk ‘membunuhnya’ tentulah dengan penipuan juga. Apakah ini yang sedang berlaku?
Nampaknya, bukan sahaja penyokong PR sudah tidak lagi mempercayai Anwar, tetapi Anwar juga harus lebih berhati-hati dalam memberi kepercayaan kepada jentera partinya dan orang sekelilingnya.
Sumber: Beruang Biru
No comments:
Post a Comment