Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak telah mengumumkan pemansuhan Akta Hasutan 1948 dan digantikan dengan akta baharu yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional. Keputusan untuk memansuhkan itu dibuat untuk mencari mekanisme yang dapat menentukan keseimbangan terbaik antara keperluan menjamin kebebasan bersuara setiap warga Malaysia dan keperluan menangani masalah kemajmukan yang wujud di negara ini.
Antara perkara yang digariskan dalam Akta Hasutan ialah:
3. (1) Sesuatu “kecenderungan menghasut” ialah kecenderungan
(a) bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan;
(b) bagi membangkitkan rakyat mana-mana Raja atau penduduk mana-mana wilayah yang diperintah oleh mana-mana Kerajaan supaya cuba mendapatkan perubahan, dengan apa-apa cara selain cara yang sah, apa-apa jua yang wujud menurut undang-undang di dalam wilayah Raja itu atau wilayah yang diperintah oleh Kerajaan itu;
(c) bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap pentadbiran keadilan di Malaysia atau di mana-mana Negeri;
(d) bagi menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia di kalangan rakyat Yang Di-Pertuan Agong atau rakyat Raja mana-mana Negeri atau di kalangan penduduk Malaysia atau penduduk mana-mana Negeri;
(e) bagi mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan di Malaysia; atau (f) bagi mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogative yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 152, 153 atau 181 Perlembagaan Persekutuan.
Pemansuhan ini adalah bertitik tolak dari desakan pembangkang kerana menganggapnya sebagai menghalang rakyat dari bersuara serta mengongkong kreativiti.
Akibatnya, ia mendapat kritikan banyak pihak di kalangan penyokong UMNO yang menganggap desakan tersebut merupakan satu lagi helah pembangkang untuk ‘mengenakan’ kerajaan sepertimana dakwat kekal dan ISA.
Kritikan dari penyokong UMNO dilihat sebagai mampu mengundang risiko besar kepada BN yang bergantung sepenuhnya kepada undi UMNO setelah ditolak mentah-mentah oleh kaum Cina termasuk dari MCA.
Walaubagaimanapun, di kalangan sesetengah pihak, pemansuhan Akta ini dilihat sebagai keberanian dan kesungguhan kerajaan untuk melakukan transformasi. Untuk itu, Akta Keharmonian Nasional diperkenalkan bagi menggantikan Akta Hasutan.
Keputusan ini telah diumumkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak pada 11 Julai 2012 di dalam satu majlis makan malam Jabatan Peguam Negara.
Melalui akta baru ini, beberapa perkara dari Akta Hasutan dikekalkan iaitu yang berkaitan dengan kuasa kerajaan dalam tiga perkara iaitu:
a) Mendatangkan kebencian dan penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia kepada Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja;
b) Mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan di Malaysia dan
c) Mempersoalkan apa-apa hak, kedudukan istimewa, kedaulatan atau prerogative sebagaimana yang ditetapkan atau dilindungi oleh Peruntukan Bahagian III atau Perkara 152,153 dan 181 Perlembagaan Persekutuan.
Jabatan Peguam Negara telah ditugaskan sebagai agensi yang bertanggungjawab untuk meneliti perkara ini.
Pada dasarnya, Akta Keharmonian Nasional membawa pendekatan yang lebih longgar untuk rakyat untuk melemparkan kritikan atau ketidakpuasan hati dengan syarat ia tidak membawa niat jahat dan menghasut.
Justeru, dengan jaminan kerajaan untuk mengekalkan kuasa bagi menghalang berlakunya ketegangan yang mungkin berpunca dari kelonggaran ini, tidak ada sebab untuk rakyat terus merasa musykil mengenai akta baru ini.
Sumber: Beruang Biru
No comments:
Post a Comment