Struktur Barisan Nasional yang terbahagi kepada parti berasaskan kaum telah terbukti sebagai formula keharmonian dan kemakmuran yang berjaya. Formula ini memastikan setiap kaum mempunyai suara yang lantang melalui parti masing-masing serta tidak berhadapan dengan risiko terpinggir oleh kepimpinan tertinggi. Setiap parti kemudiannya mempunyai ruang untuk menjadi pendesak kepada kepimpinan tertinggi BN. Kepimpinan tertinggi BN pula bertanggungjawab untuk berbuat sebaiknya bagi mendapatkan keputusan secara muafakat ke atas setiap isu yang dibangkitkan. Dan matlamat terakhir adalah pasti iaitu ‘kebaikan bersama’.
Seperti yang kita sedia maklum, struktur BN ini sering dijadikan sasaran kritikan pembangkang sebagai ‘rasis’.
Inilah diingatkan bahawa pembangkang di Malaysia masih belum matang. Sehingga ke hari ini, semua kritikan mereka tidak membawa tujuan membina. Telah terbukti kini bahawa semua yang didesak dan dikritik oleh mereka hanya membawa kepada keadaan yang jauh lebih buruk. Contohnya, ISA, Akta Darurat, Dakwat Kekal dan Akta Hasutan.
Dalam kata lain, kritikan yang keluar dari mulut pembangkang adalah kritikan yang membinasakan kerana itulah matlamat mereka iaitu membinasakan BN, bukannya mengukuhkan negara.
Justeru, tekanan pembangkang agar BN menjadi tidak rasis dengan menukar struktur parti adalah sebenarnya bertujuan untuk melemahkan BN.
Berikutan dengan kekalahan teruk semua parti Cina di dalam komponen BN dalam PRU-13 yang lalu, terdapat saranan agar kesemua parti-parti tersebut bergabung sahaja.
Secara dasarnya, penggabungan tidak membawa apa-apa perbezaan dari segi kekuatan sekiranya sikap dan pendekatan masih sama. Namun, tidak dinafikan ia mungkin mampu memudahkan pengurusan di semua peringkat dan mungkin juga mampu menjimatkan kos dalam beberapa segi.
Bagaimanapun, penggabungan wajib mengambil kira struktur asal dengan mengekalkannya sebagai parti yang berasaskan kaum. Ini kerana, seperti yang dikatakan di atas, struktur inilah yang membawa kejayaan kepada Malaysia, hatta kaum Cina terutamanya, yang telah menolak BN dalam PRU lepas akibat percaya bahawa kerajaan telah menindas mereka.
Telah terbukti bahawa parti semua kaum sebenarnya tidak akan mampu membela semua kaum. Sebaliknya, yang terbela hanyalah kaum yang mewakili kepimpinannya. Contoh paling jelas ialah DAP.
Parti DAP diterajui oleh kaum Cina dan sejak penubuhannya sehingga kini tiada siapa dari kaum lain yang dapat ‘menembus’ penguasaan kaum itu walaupun di peringkat Bahagian. Malah, kepimpinan DAP memastikan pula mana-mana individu dari kaum lain yang diberikan jawatan penting, merupakan individu yang mempunyai karektor yang cukup lemah iaitu boleh dipijak atau dimanipulasi dengan mudah, supaya matlamat Ketuanan Cina tercapai.
Paling jelek ialah apabila DAP meletakkan seorang Cina dengan nama Melayu bagi mewakili Melayu, semata-mata untuk mengaburi atau menipu orang Melayu ‘hidup-hidup’.
PKR juga sama. Walaupun dikatakan sebagai parti berbagai kaum, namun apakah logik jika Anwar membenarkan PKR diterajui oleh kaum lain, atau orang lain selain keluarga dan kroninya? Begitu juga Gerakan, apakah mungkin Gerakan diterajui kaum lain selain Cina, walaupun ia kononnya sebuah parti berbagai kaum?
Jawapannya, tidak mungkin sama sekali. Sebaliknya, kaum-kaum minoriti dalam parti-parti majmuk ini semua hanyalah tidak lebih dari tunggul atau simbol hipokrasi semata-mata.
Jelas, hanya melalui sistem parti berasaskan kaum maka satu-satu kaum itu akan benar-benar terbela. Oleh itu, inilah ditegaskan bahawa sekiranya MCA, Gerakan dan SUPP benar-benar ingin bergabung, mereka wajib menjadi parti yang mewakili kaum Cina dan tidak boleh bersifat majmuk.
Janganlah kita terpedaya dengan asakan pembangkang yang menuduh UMNO dan MCA sebagai rasis. Hakikatnya, struktur BN yang berasaskan kaum itulah yang menjadi kunci keteguhan Malaysia. Dan tiada apa yang lebih diinginkan pembangkang, selain dari membuka kunci itu!
Sumber: Beruang Biru
No comments:
Post a Comment