Perbincangan mengenai penggabungan ketiga-tiga parti komponen BN, iaitu MCA, Gerakan dan SUPP yang mewakili masyarakat Cina, kini ditangguhkan sehingga selepas pemilihan parti masing-masing. Perbincangan ini adalah bertitik-tolak dari keputusan PRU-13 yang lalu di mana ketiga-tiga parti ini telah kalah teruk.
Tidak salah jika dikatakan bahawa BN pada umumnya masih lagi terpinga-pinga dalam mencari kesilapan di dalam PRU-13 lalu di mana keputusan langsung tidak menepati jangkaan dan maklumat para strategis. Berikutan itu, ramai telah tampil mengkritik parti atas kelemahan pihak yang mengatur strategi.
Akhir-akhir ini, kritikan semakin menjadi-jadi apabila strategi yang sama iaitu ‘akur dengan tekanan pembangkang’ tetap diteruskan juga walaupun ternyata ia merupakan strategi yang salah. Laman-laman sosial penyokong BN ratanya-ratanya merungut kerana suara mereka tidak didengar dan sebaliknya, suara pembangkang, Majlis Peguam, SUHAKAM, BERSIH dan SUARAM lebih diberi perhatian.
Kata mereka, kerajaan telah keliru antara ‘rakyat’ dengan ‘Pakatan Rakyat’.
Selain faktor strategi yang salah, semua pihak turut menuding jari kepada MCA, Gerakan dan SUPP yang gagal menjalankan tugas mereka untuk menarik pengundi Cina. MCA hanya menang 7 dari 37 kerusi Parlimen dan 11 dari 90 kerusi DUN. Gerakan hanya menang 1 dari 11 kerusi parlimen dan 3 dari 31 kerusi DUN manakala SUPP pula hanya menang 1 dari tujuh kerusi parlimen. Pendek kata, 97% dari kaum Cina telah menolak BN dalam PRU-13.
Secara dasarnya, ketiga-tiga parti Cina ini telah mengaku bersalah. Berikutan dari itu, MCA enggan menerima sebarang jawatan kabinet atas dasar ketanggungjawaban. Namun, sama ada MCA, Gerakan dan SUPP, ketiga-tiganya nampaknya masih terkial-kial mencari cara untuk menangani kekalahan mereka.
Umum sedia maklum bahawa masyarakat Cina menolak parti Cina dari komponen BN bukan kerana mereka tidak berjasa, bukan juga kerana pemimpinnya punya skandal atau korup. Tetapi, masyarakat Cina menolak MCA, Gerakan dan SUPP kerana menuduh ketiga-tiga parti ini sebagai ‘Pak Turut’ kepada UMNO.
Justeru, bagi memahami penolakan kaum Cina terhadap ketiga-tiga parti itu, kita wajib terlebih dahulu memahami apa yang mereka maksudkan dengan ‘Pak Turut UMNO’.
Bagi majoriti masyarakat Cina yang dididik di Sekolah Vernakular, maksud menjadi ‘Pak Turut UMNO’ itu ialah bersuara senada dengan UMNO dan MIC dalam mendokong Perlembagaan yang tercatat di dalamnya Hak Istimewa Bumiputera dan Agama Islam sebagai agama rasmi. Ia juga bermakna mengiktiraf Raja-raja Melayu serta menjulang semangat nasionalisme. Dan ‘Pak turut UMNO’ juga bermakna menerima Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa utama dan bukannya Bahasa Mandarin.
Secara ringkasnya, masyarakat Cina menolak mentah-mentah aspirasi dan identiti negara ini. Bagi mereka, aspirasi dan identiti negara adalah UMNO dan mana-mana parti yang turut membawa aspirasi dan identiti UMNO harus ditolak mentah-mentah.
Parti Gerakan dikhabarkan memberi syarat penggabungan sebagai wajib bersifat majmuk iaitu bukan berdasarkan satu kaum. Kata mereka, parti berdasarkan kaum tidak lagi relevan dan buktinya, DAP telah mendapat sokongan padu masyarakat Cina kerana bersifat majmuk. Kesepakatan DAP dengan PAS dan PKR pula kemudiannya memberi imbuhan yang lebih lagi kepada DAP.
Apa yang Gerakan gagal fahami ialah DAP merupakan parti yang berasaskan kaum, iaitu kaum Cina. Kaum lain di dalam DAP adalah sekadar menjadi tunggul di mana kewujudan mereka hanyalah sebagai penyamaran bagi menutup sifat rasis tegar Cina parti itu. Apa yang lebih teruk, DAP bukan sahaja didominasi oleh kaum Cina, tetapi oleh satu keluarga atau keluarga tertentu sahaja.
Berbeza dengan BN, walaupun UMNO menerajui parti ini tetapi masyarakat Cina punya suara yang cukup lantang melalui MCA, Gerakan atau SUPP. Buktinya, kedudukan masyarakat Cina hari ini cukup selesa dan mewah sehingga mengatasi kaum-kaum lain di Malaysia.
Satu-satunya sekatan ke atas kelantangan suara masyarakat Cina melalui ketiga-tiga parti ini ialah apabila ia melanggar aspirasi dan identiti negara.
Justeru, jika gabungan MCA, Gerakan dan SUPP adalah dengan niat untuk menekan kerajaan agar menukar aspirasi dan identiti negara bagi mengembalikan sokongan masyarakat Cina kepada BN, maka eloklah mereka lupakan saja. Ini kerana aspirasi dan identiti negara bukan sesuatu yang dibentuk oleh UMNO, tetapi terbentuk berdasarkan sejarah, budaya dan persekitaran secara semulajadi. Semua warganegara wajib menghayati aspirasi dan identiti negara sendiri dan tidak boleh menolaknya hanya kerana ia tidak menepati citarasa kaumnya.
Kesimpulannya, bergabung atau tidak bukan isunya. Isunya ialah apakah MCA, Gerakan dan SUPP masih lagi berpegang kepada aspirasi dan cita-cita yang sama yang telah termeterai dalam Perikatan suatu ketika dahulu?
Apakah mereka mempunyai semangat nasionalisme dan patriotisme yang sama dengan UMNO dan MIC serta menerima identiti Malaysia seadanya, iaitu sebuah negara majoriti Melayu dengan pengaruh budaya Melayu yang kuat? Apakah mereka menerima Islam sebagai agama rasmi negara dan bahawa Raja-raja Melayu menjadi pelindungnya? Apakah mereka menghayati sejarah negara ini? Apakah mereka mendokong Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa rasmi, Inggeris sebagai bahasa kedua dan Mandarin hanya sekadar bahasa sampingan?
Sekiranya MCA, Gerakan dan SUPP tidak mampu menepati perjuangan BN maka tiada ertinya lagi duduk di bawah payung yang sama. Adalah lebih baik parti-parti ini menentang BN secara terang-terangan daripada berusaha untuk mengubah haluan BN dari dalam. Dalam ertikata lain, lebih baik menjadi musuh di seberang daripada bergulung dalam selimut yang sama. Lebih baik menjadi pisau yang bersedia menikam daripada menjadi gunting di dalam lipatan.
Sumber: Beruang Biru
No comments:
Post a Comment