APAKAH sebenarnya yang hendak dan perlu ditransformasikan dalam UMNO? Tidak pernah siapa pun menghuraikan. Ramai ahli UMNO sendiri, termasuk pemimpin di peringkat Cawangan dan Bahagian, tidak jelas. Setelah kira-kira tiga tahun diputuskan, transformasi paling penting sedang berlaku dalam sistem pemilihan pemimpin tahun ini.
Maka orang yang berminat pada politik - khususnya Melayu - sedang menunggu: Apakah akan ada pemimpin yang akan membawa 'suara baru' dalam UMNO? Atau yang dipilih dan terpilih, orang macam itu, itu juga!
Apakah akan terpilih pemimpin yang akan dapat melakukan atau mampu mengajak pucuk pimpinan melakukan apa-apa perubahan positif yang ketara dalam parti?
Akan adakah pemikiran baru dan cara baru dalam kegiatan UMNO, terutama dalam hal-hal yang langsung melibatkan kehidupan rakyat?
Akan adakah usaha serius membersihkan imej dan persepsi buruk rakyat terhadap pemimpin dan orang UMNO? Macam-macam keburukan telah berlaku, bukan rahsia lagi.
Jawapan kepada pertanyaan-pertanyaan inilah yang dinanti-nanti. Banyak sangat kedengaran cakap-cakap bahawa UMNO memerlukan perubahan dan peremajaan. Banyak pula kenyataan kempen calon-calon yang nadanya gagah berani.
Kata Datuk Idris Haron, beliau menawarkan diri "untuk memperkukuh kedudukan UMNO, Islam dan orang Melayu yang semakin getir selepas PRU Ke-13." (Utusan Malaysia 19 Sept. 2013)
Datuk Seri Ismail Sabri pula menegaskan, "UMNO adalah sebuah parti untuk orang Melayu. Kita perlu pemimpin yang secara terbuka dan berani memperjuangkan hak kepentingan orang Melayu. Kita tidak boleh ada pemimpin yang apologetik." (Utusan Malaysia 25 Sept. 2013)
Senanglah hati orang Melayu mendengar komitmen seperti ini. Namun akan adakah pemimpin seperti ini hasil pemilihan Oktober nanti? Pengalaman menunjukkan, ucapan hebat biasanya bergema dalam media dan di Dewan Merdeka.
Bolehkah UMNO sebagai parti tonggak kerajaan hanya akan memikirkan kepentingan Melayu saja? Presiden UMNO adalah Perdana Menteri untuk semua rakyat, bukan hanya untuk Melayu.
Akan berjayakah Datuk Mukhriz Mahathir memecah tradisi bahawa Naib Presiden mestilah orang yang senior. Kalau berjaya, apakah beliau mampu mempengaruhi pucuk pimpinan dan ahli UMNO agar "meremajakan" parti dan menerima "suara orang muda" yang akan dibawanya?
Setelah Presiden dan Timbalan Presiden menang tanpa saingan - keberanian Mukhriz mencabar tiga Naib Presiden (menteri-menteri senior) yang 'gagah, selesa dan sekata' - jadi tumpuan utama dalam pemilihan pimpinan UMNO kali ini. Ada implikasinya jika salah seorang daripada Naib Presiden itu tidak terpilih!
UMNO mempunyai amalan dan ikatan tradisi Melayu yang amat kukuh. Dan memang pun tradisi itulah yang menjadikan UMNO tonggak pemerintah yang bertahan cukup lama, yang ampuh menghadapi pelbagai gelombang dan badai besar di dalam dan dari luar parti.
Antara tradisinya, orang tua jangan disanggah. Mukhriz cuba memecahkan sedikit tradisi ini.
Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam sidang media mengumumkan pencalonannya sebagai Presiden, menegaskan: "I've always been a great advocate of continuity and change. The important thing is stability and at the same time, permit changes to take place." (NST 20 Sept. 2013).
Tekad Presiden UMNO ini dalam dan luas maknanya: Kesinambungan, perubahan dan kestabilan! Beliau "sentiasa mempertahankan kesinambungan dan perubahan". Namun yang penting adalah "kestabilan". Dan kestabilan itu mestilah memberi ruang kepada perubahan.
Maka sesiapa yang hendak membawa perubahan, mestilah mengambil kira hal ini agar perubahan apa pun jangan sampai menggugat kestabilan.
Kemasukan seorang Mukhriz dalam barisan Naib Presiden, tidak mungkin membawa perubahan yang drastik.
Namun jika tokoh muda - yang baru pertama kali masuk pertandingan MT ini - berjaya dalam pemilihan ini, tandanya sudah ada perubahan besar dalam pemikiran politik 146,500 pemimpin pelbagai peringkat yang diberikan hak menentukan pimpinan peringkat tertinggi.
Pergerakan Pemuda telah mengumumkan empat tokoh mereka sebagai satu pasukan - yang akan bersaing merebut tempat dalam MT. Pada pemilihan yang sudah-sudah, rasanya belum pernah ada pasukan rasmi Pemuda.
Dalam gambar di Utusan Malaysia 6 September, keempat-empat tokoh Pemuda itu nampak yakin dan gagah-gagah belaka. Bersalaman mengikat ikrar setiakawan menghadapi cabaran lawan. Komandernya Ketua Pemuda, Menteri Belia dan Sukan yang baru, YB Khairi Jamaluddin.
Dalam kenyataannya Khairi tidak sekadar berkempen, tetapi juga memberi arahan yang tegas agar semua Pemuda yang terpilih sebagai perwakilan "hendaklah" mengundi empat calon Pemuda ini. Apakah "peremajaan" yang akan berlaku sekiranya pasukan ini menang?
Pelantikan Ketua Wanita (bekas menteri yang terpaksa meletak jawatan akibat tempias kes NFC) Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebagai penasihat kepada Perdana Menteri dengan status menteri telah memperkukuh kedudukannya.
Justeru tiada calon yang mampu menggugat Shahrizat. Namun kiranya Shahrizat tewas, akan tercatatlah satu lagi sejarah baru dalam UMNO.
Sayangnya Pergerakan Wanita - sayap UMNO yang didukung 1.5 juta ahli dan sangat berpengaruh - telah terlepas peluang untuk ikut serta membuat perubahan. Enam daripada tujuh calonnya untuk MT, adalah tokoh-tokoh 'lama' belaka.
Mengapa tidak nampak ada calon Puteri yang bertanding MT, seperti pasukan Pemuda? Bekas Ketuanya yang sudah cukup umur, masuk bertanding sebagai calon pasukan Wanita. Apakah ini bermakna Puteri masih berada di pinggir medan perjuangan.
Entah apalah sebabnya, tiba-tiba Setiausaha Agung UMNO menyarankan agar Menteri Besar (MB) dan Ketua Menteri (KM) masuk pertandingan MT? Kata beliau, mereka tidak seharusnya mengharapkan Presiden akan melantik mereka jadi Ahli MT. Ini suara Setiausaha Agung atau suara Presiden?
Dalam banyak hal, MB dan KM lebih ada kuasa daripada seorang ahli MT. Menteri Pusat pun kena 'tunduk hormat' pada MB dan KM.
Pada akhirnya saranan itu tak dapat sambutan. Yang masuk bertanding hanya KM Melaka yang baru, Datuk Idris Haron. MB Kedah, Datuk Mukhriz masuk, tetapi terus bertanding jawatan Naib Presiden. Jika menang, sesuailah beliau diberikan tugas khas bantu mentransformasikan parti.
Sumber: Beruang Biru
No comments:
Post a Comment