Saturday, December 22, 2012

Tun Dr Lim Keng Yaik meninggal dunia akibat sakit tua



Bekas Presiden Parti Gerakan Malaysia Tun Dr Lim Keng Yaik, 73, meninggal dunia di kediamannya di Tropicana Country Resort di sini pada 4.45 petang Sabtu kerana sakit tua.

Beliau meninggalkan seorang isteri Toh Puan Wong Yoon Chuan dan tiga anak.

Selepas berita kematian Keng Yaik tersebar, warga media memenuhi kawasan luarkediaman mendiang sejak 6.30 petang bagi mendapatkan maklumat lanjut daripadaanggota keluarganya.

Anaknya, yang juga Ketua Pemuda Gerakan, Lim Si Pin ketika ditemui pemberitabagaimanapun enggan ditemu ramah.

Si Pin, yang ditemani setiausahanya, Dominic Lau, turut meminta pemberitasupaya beredar.

"Kami akan maklumkan tentang berita ini kepada anda esok," kata Dominic.

Keng Yaik dipilih Presiden Gerakan pada 1980 dan menerajui parti itu hingga2007 sebelum meletakkan jawatan, dan diganti oleh Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Beliau juga merupakan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi dari tahun 2004 hingga 2008.

Bernama melaporkan kematian beliau meninggalkan kesan di hati ramai pihak kerana personalitinya yang mudah mesra dan beterus-terang yang menyebabkan beliau tidak mudah dilupai.

Dilahirkan pada 8 April 1939 di Tapah Perak, beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di St Michael's Institution, Ipoh sebelum melanjutkan pelajaran peringkat Sarjana Muda (Perubatan dan Pembedahan) di Queen's University, Belfast, Ireland.

Mendiang memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Perubatan pada tahun 1965 sebelum menceburkan diri dalam politik pada tahun 1968 dengan menyertai parti MCA.

Beliau dilantik menjadi Anggota Dewan Negara pada penghujung tahun 1971, namun dipecat daripada MCA pada tahun 1973 kerana menentang presiden ketika itu Tun Tan Siew Sin.

Dr Lim seterusnya menyertai parti Gerakan dan dilantik sebagai Pengerusi Bahagian Ulu Kinta pada tahun yang sama.

Dalam tempoh menjadi Senator, beliau dilantik sebagai Menteri Tugas-tugas Khas (Berkenaan Kampung Baru dan Darurat) pada tahun 1972 sehingga 1973.

Pada Julai 1978, mendiang meletakkan jawatan sebagai Senator untuk bertanding pada pilihan raya umum kelima dan menang kerusi Dewan Undangan Negeri Jalong, Perak selepas menewaskan Ngan Siong Hing dari DAP dengan dengan majoriti 152 undi.

Setelah itu, beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak (AMMK). Beliau mempertahankan kedudukannya sebagai ADUN Jalong dan AMMK Perak pada penggal berikutnya hingga tahun 1986.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Presiden Gerakan pada 1980 dan mengemudi parti itu bersama-sama anggota komponen Barisan Nasional yang lain memenangi enam pilihan raya umum.

Di dalam Kabinet, Dr Lim menjawat jawatan Menteri Perusahaan Utama dari Ogos 1986 hingga November 1999.

Pada pilihan raya umum 1986, beliau telah bertukar ke kawasan Parlimen Beruas dan dilantik sebagai Penasihat Jawatankuasa Badan Perhubungan Gerakan Negeri Perak pada 1988.

Beliau mengekalkan kerusi Parlimen Beruas selama tiga penggal dan pada pilihan raya umum ke-11 (2004), mendiang berjaya mempertahankan kerusi kawasan Parlimen Beruas buat kali keempat berturut-turut setelah menewaskan calon Parti Tindakan Demokratik (DAP) Nga Hock Chech dengan kelebihan undi 1,455 undi.

Pada tahun yang sama, Dr Lim turut diberi tanggungjawab menerajui Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi sehingga pembubaran Parlimen pada 13 Feb 2008.

Selepas menerajui Gerakan selama 26 tahun tujuh bulan, Dr Lim telah meletakkan jawatan pada April 2007 dan diganti oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Dr Lim kemudiannya dilantik sebagai Penasihat Kebangsaan Gerakan pada Ogos 2007, namun meletakkan jawatan pada Oktober 2010.

Beliau pernah dimasukkan ke Pusat Perubatan Sunway di Subang, Selangor selepas menjalani satu pembedahan prostat pada September 2007.

Sepanjang khidmatnya dalam politik dan Kabinet, Dr Lim pernah diberi Anugerah Kehormat Doktor Undang-undang oleh Queen's University pada tahun 1995 dan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dari Information and Communications University, Korea pada tahun 2005.

Mendiang turut menerima Anugerah Tokoh Perpaduan daripada Yayasan Patriotik Bangsa pada 2009 dan Anugerah Pengiktirafan MPOA daripada Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) pada 2011.

Pada Jun 2008, Dr Lim dianugerahkan pingat Seri Setia Mahkota Malaysia (SSM) daripada kerajaan yang membawa gelaran Tun.

Sebelum pemergiannya, Dr Lim merupakan Pengerusi Majlis Ahli Seumur Hidup Gerakan (dilantik pada Oktober 2010) serta dilantik menjadi Pro Canselor pertama Universiti Terbuka Wawasan (WOU) pada 24 Nov lepas.

Bagi warga media yang berkesempatan membuat liputan semasa beliau menjadi Menteri dan Presiden Gerakan, Lim merupakan antara 'menteri kegemaran' kerana sikapnya yang mesra dan mudah difahami walaupun agak pelat berbahasa Malaysia.-22/12/2012

Sumber:  Agenda Daily



No comments:

Post a Comment