Beberapa bulan lepas, kita pernah dikejutkan dengan
kebocoran maklumat pembahagian kerusi di antara parti-parti pembangkang dalam
Pakatan Rakyat (PR) yang mana DAP telah mendapat kuota bertanding kerusi
parlimen yang paling tinggi berbanding PKR dan PAS.
Pada awalnya, PR berkeras menyatakan maklumat dalaman yang
hangat diperkatakan umum tika itu hanyalah propaganda BN, namun selepas itu
tiba-tiba sahaja PR telah mengadakan mesyuarat tergempar meminda semula kuota
pembahagian kerusi parlimen di antara mereka. Pelik bukan?
Pendedahan tersebut menarik perhatian ramai kerana sejak
wujudnya PR, segala tindak tanduk gabungan itu dilihat condong mengikut dasar
liberal DAP, sementara PKR sinonim sebagai pendukung DAP, manakala kehadiran
PAS pula kelihatan sekadar bertaraf balaci suruhan sahaja.
Dengan kata lain, DAP telah berubah menjadi tonggak utama
dan mendominasi arah tuju PR, sedangkan sepatutnya sebagai parti yang paling
tua dan dilihat lebih kuat berbanding parti lain dalam PR, sewajarnya PAS yang
menjadi penentu haluan dan dasar PR.
Setelah reda seketika isu dominasi DAP dalam PR, tidak
semena-mena Sasterawan Negara, Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad pula tampil
menyuarakan kekesalannya kerana PAS kini diibaratkan seperti pak turut kepada
DAP.
Shahnon yang pernah mewakili PAS sebagai Ahli Parlimen di
Sik, Kedah tanpa berselindung mengkritik kerjasama PAS dan DAP yang
disifatkannya telah bercanggah dengan tuntutan Islam.
Katanya, pendekatan di zaman Rasulullah SAW yang bekerjasama
dengan kaum Yahudi, Kristian dan munafik waktu itu langsung tidak sama seperti
kerjasama PAS dengan DAP tika ini kerana ketika itu Islam yang memerintah dan
memimpin kaum-kaum berkenaan.
Jelas Shahnon teramat kecewa melihat senario semasa di mana
PAS terlalu mengikut rentak DAP sehingga mengorbankan banyak prinsip dan dasar
perjuangan Islam.
Kenyataan Shahnon itu sebenarnya secara tersurat dan
tersiratnya telah mengesahkan parti utama yang sedang menguasai halatuju PR
sekarang ini ialah DAP dan bukannya PAS.
Namun kritikan dan kekesalan Shahnon nampaknya tidak
berbekas di hati Mursyidul Am PAS, Nik Aziz Nik Mat apabila dalam reaksi
balasnya, beliau mempertikaikan kritikan itu dengan mengaitkan konon Shahnon
telah terpengaruh dengan propaganda media UMNO.
Orang PAS sendiri yang mempertikaikan hubungan parti itu
dengan DAP, alih-alih UMNO pula yang dijadikan kambing hitam. Ajaib, unik dan
pelik benar sikap pemimpin tertinggi PAS ini.
Nik Aziz yang juga adalah Menteri Besar Kelantan, dalam
kenyataan balasnya itu juga secara terbuka mengakui peri pentingnya kerjasama
PAS dengan DAP demi untuk mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-13
(PRU13).
Dalam perkembangan berkaitan, ketika ditanya perihal
kenyataan bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa yang mengkritik dasar
PAS yang terlampau mengutamakan kuasa dan amat bergantung harap pada DAP
berbanding prioriti mendahulukan prinsip Islam, Nik Aziz secara terbuka
mengakui PAS memerlukan sokongan pengundi Cina DAP untuk menjamin kemenangan
duniawi.
Jelas dari kenyataan MB Kelantan itu, betapa besar
harapannya pada DAP. Dengan kata mudah, pengakuan Nik Aziz itu mengesahkan
tonggak sebenar PR adalah DAP dan PAS pula hanyalah balaci dan keldai
tunggangan semata-mata.
Berpuluh tahun dulu kita tidak lupa dengan sikap PAS yang
cukup alergik dan fobia melihat kerjasama antara UMNO-MCA-MIC yang membentuk
PERIKATAN kemudiannya dikenali sebagai Barisan Nasional.
Saban hari waktu itu pemimpin PAS menghasut orang Melayu
Islam supaya menjauhi UMNO kerana didakwa telah jatuh kafir selepas redha
mengadakan kerjasama dengan orang bukan Islam.
Kini, PAS menjilat kembali ludahnya malah dimasa yang sama
secara sedar telah mengiktiraf kepentingan DAP sebagai tonggak utama demi
membolehkan PAS mengejar kuasa duniawi. Prinsip negara Islam dan hukum hudud
hilang entah ke mana, sebaliknya yang menjadi tatapan sekarang ialah, PAS terus
kekal sebagai balaci DAP.
No comments:
Post a Comment