Kenyataan Dato’ Seri Najib mengenai GST pada hujung minggu telah diterima, dicerna dan ditafsirkan oleh rakyat mengikut ‘selera’ masing-masing. Ada yang memuji-mujinya dan seperti biasa ada saja yang mengkritik dan merungut mengenainya.
Kenyataan tersebut, antara lain menyebut bahawa “GST perlu dilaksanakan bagi mengelak negara menjadi bankrap seperti Greece jika kita memilih untuk meminjam” dan “kita perlu mencari sumber pendapatan tambahan dan kerana itulah kita perlu melaksanakan GST.”
Tanpa melihat keseluruhan ucapan atau melihat sudut lain, dua ayat ini terus terpasak dan menghantui fikiran rakyat. Ramai yang mula tertanya-tanya, apakah Malaysia benar-benar berada dalam keadaan yang begitu buruk sekali sehingga terpaksa mencari sumber pendapatan dari rakyat sendiri melalui cukai? Kebimbangan ini dikukuhkan lagi dengan perkembangan negara yang tidak memperlihatkan satu pun projek baru yang mampu menjana pendapatan dan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.
Dari sudut politik, kita terpaksa mengakui bahawa siapa pun yang menulis ucapan kepada Perdana Menteri telah ‘tersalah’ memilih dan menyusun ayat. Seharusnya, beliau lebih prihatin mengenai apa yang dilihat sebagai ‘politically incorrect’.
Hakikatnya, ekonomi Malaysia berada di dalam keadaan yang kukuh. Laporan agensi penarafan ekonomi, Moody, baru-baru ini juga telah membuktikan bahawa kedudukan ekonomi Malaysia adalah positif terutama dari segi bon asing di mana negara ini berada di tempat tertinggi di rantau Asia.
Jika enggan mempercayai laporan Moody, maka kita juga boleh mendengar sendiri dari Shane Oliver, Chief Economist, AMP Capital dalam temubual berikut: http://www.abc.net.au/news/2013-11-25/malaysia-set-to-weather-a-slowing-of-us-stimulus/5114578?section=australianetworknews
Oliver menegaskan bahawa Malaysia masih sebuah negara yang kukuh dari segi ekonomi memandangkan ia terus menjadi pilihan pelabur. Beliau juga menyentuh mengenai kesungguhan Malaysia untuk menjadi negara maju sejak dua puluh tahun lalu. Antara yang membolehkan Malaysia kekal kukuh ialah kemampuan kerajaan untuk meyakinkan pelabur dengan menawarkan berbagai-bagai kemudahan bagi memastikan rentak kemajuan yang konsisten.
Walaupun kedudukan hutang isirumah Malaysia dikatakan berada dalam keadaan membimbangkan, tetapi Oliver tidak melihatnya begitu. Baginya, ia adalah sesuatu yang biasa dalam proses kemajuan negara, tetapi beliau bersetuju yang ia mampu menjadi masalah besar sekiranya jumlah tersebut terus meningkat dari sekarang.
Secara dasarnya, Oliver bersetuju bahawa langkah-langkah kerajaan untuk memperkenalkan GST dan juga mengurangkan subsidi adalah tepat sekali. Pendek kata, rakyat Malaysia tidak perlu bimbangkan apa-apa kerana ekonomi negara ini berada dalam keadaan yang baik.
Kita tidak tahu sejauh mana rakyat meyakini penjelasan Oliver ataupun laporan-laporan positif dari agensi-agensi kewangan dunia mengenai Malaysia. Ini kerana, keberkesanan langkah kerajaan hanya boleh dinilai oleh rakyat sendiri. Pun begitu, penilaian tersebut sering dikaburi oleh persepsi yang dicetuskan oleh pengaruh dan hasutan pihak-pihak tertentu.
Mungkin rakyat Malaysia perlu berlaku adil kepada diri sendiri dengan menilai kehidupan dari kaca mata sendiri tanpa terpengaruh dengan hasutan pihak lain. Mulakan dengan bertanya diri sendiri, apakah kehidupan kita terjejas di mana-mana? Biarpun subsidi minyak dan gula ditarik balik, apakah kehidupan kita telah terpaksa berubah secara drastik? Apakah kita terpaksa menjual kereta atau tidak cukup makan?
Apa yang kita lihat ialah, semakin ramai rakyat Malaysia keluar negara bercuti di musim cuti sekolah ini. Pusat-pusat membeli-belah dan juga restoran tidak kunjung henti dengan pelanggan. Sama ada di kampung atau di bandar, kehidupan kita masih sama saja biarpun mulut tidak henti-henti merungut itu dan ini.
Justeru, apa kata jika memberi sedikit ruang untuk diri sendiri merasa tenang dan tidak terlalu menurut rentak pihak-pihak yang ingin mencetuskan prasangka dan kemarahan terhadap kerajaan. Berikan kerajaan peluang untuk membuktikan ketepatan langkah-langkah yang diambil tanpa terlebih dahulu menghukum berdasarkan satu dua kenyataan dalam sebuah ucapan.
Walaubagaimanapun, inilah diingatkan bahawa rakyat akan lebih tenang sekiranya kerajaan dapat melaksanakan beberapa projek bagi meningkatkan pendapatan negara dan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat dalam masa yang terdekat ini. Jika ini dapat dilaksanakan, kita yakin rakyat tidak akan semudah itu terpedaya dengan hasutan dan kerajaan juga akan lebih mudah untuk membela diri dari sebarang kecaman.
Sumber: Beruang Biru
No comments:
Post a Comment