Wednesday, November 20, 2013

Pekida Patut Saman Free Malaysia Today

Portal pro-pembangkang, Free Malaysia Today (FMT) sejak kebelakangan ini begitu hebat ‘menyerang’ kumpulan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) yang disifatkan sebagai kumpulan gangster.

Malah melalui laporan yang dikeluarkan oleh portal tersebut, pelbagai soalan ‘cepu emas’ dibangkitkan seolah-olah ingin mewujudkan persepsi masyarakat kononnya pertubuhan itu kebal dari undang-undang dan terlibat dengan pelbagai siri jenayah seperti pau, kongsi gelap dan sebagainya.

Dari satu sudut, mereka dilihat kononnya ingin membersihkan nama Pekida, namun dari satu sudut pula mereka seakan-akan menyerang NGO tersebut tanpa disedari. Lihat sahaja komen-komen yang diberikan oleh pembaca artikel yang dikeluarkan, seolah-olah langsung tidak terkesan dengan penerangan yang diberikan oleh wakil-wakil pimpinan Pekida.

Nampaknya pembangkang telah mula melakukan satu serangan gerak saraf dengan menumpukan kepada mana-mana institusi, pertubuhan dan aktiviti yang melibatkan Islam, Melayu dan Raja. Malah untuk mewujudkan persepsi yang menyeluruh mereka turut dilihat menggunakan media an portal tertentu termasuk menggunakan warga asing yang berselindung atas nama kajian, laporan dan sebagainya

Contohnya, seorang warga Perancis, Sophire Lemiere baru-baru ini mendakwa hasil kajiannya yang dijalankan mendapati Pekida atau Tiga Line adalah merupakan satu rangkaian militan politik yang ditubuhkan bagi menghalalkan aktiviti tertentu. Malah dia turut menyifatkan simbol logo pertubuhan tersebut yang berwarna merah merujuk kepada darah, kuning bermaksud Raja-Raja Melayu dan hijau bagi melambangkan agama Islam.

Sophire juga turut mengatakan objektif utama penubuhan NGO itu adalah untuk mendapatkan kuasa, wang dan keuntungan.

Natijahnya, mereka yang tidak dapat melihat ‘gerakan perang saraf’ ini merasakan apa yang dilaporkan adalah benar. Sedangkan pada hakikatnya semua tuduhan yang dilemparkan ke atas Pekida adalah merupakan persepsi, andaian dan sangkaan semata-mata.

Menurut Penasihat Pekida, Wilayah Persekutuan, Datuk Paduka Hamzah Daud Pekida adalah merupakan satu kumpulan berdaftar yang telah wujud sejak tahun 1967 lagi. Malah sebelum diiktiraf menjadi ahli Pekida, seseorang individu itu perlu melakukan sumpah bai’ah (ikrar taat setia) untuk menjaga adat, keturunan, budaya, agama, bangsa dan negara. Manakala gelaran ‘Kumpulan 30′ itu sebenarnya diambil daripada jumlah 30 juzuk al-Quran, membawa maksud kami berjuang berlandaskan agama.

Selain melakukan kerja kebajikan termasuk membina rumah anak yatim di Bentong, Pahang, pertubuhan itu turut membantu menyelamatkan anak-anak Melayu daripada terus hanyut ke dalam kesesatan. Semua ahli digerakan secara sukarela tanpa menerima sebarang gaji atau elaun. Beliau turut menegaskan Pekida tidak mendapat bantuan kewangan daripada sesiapa.

Kesimpulannya, Pekida seharusnya memandang serius akan perkara ini, demi untuk membersihkan nama pertubuhan itu dari terus dikaitkan dengan kegiatan jenayah dan sebagainya. Pihak editorial FMT juga perlu dipertanggungjawabkan di atas tindakan mereka yang semakin mengeruh keadaan dengan mewujudkan persepsi buruk masyarakat.

Atau apakah ia sebenarnya merupakan satu gerakan terancang untuk menyerang dan melemahkan orang Melayu sekali gus institusi Raja-Raja? Hanya sekadar renungan, fikir-fikirkan.

Sumber:  Beruang Biru

No comments:

Post a Comment