Friday, November 15, 2013

Pakatan Pembangkang, Berdepan Dengan Pelbagai Isu Dalaman

Walaupun pilihan raya umum telah melabuhkan tirainya, namun saban hari ada sahaja laporan mengenai ketidakpuasan hati para pengikut dan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR). Ada yang mengambil pendekatan memendam rasa dan tidak kurang juga yang mula menzahirkan rasa ketidakpuasan hati mereka dengan mengumumkan untuk keluar dari parti yang hidup atas sandiwara dan drama.

Terbaru, dilaporkan hampir 90 peratus ahli jawatankuasa parti itu dari cabang Kota Belud mengumumkan untuk ‘keluar’beramai-ramai. Sebelum ini pula media melaporkan seramai 70 orang ahli PKR dari Cabang Pandan turut mengambil tindakan yang sama kerana sudah hilang kepercayaan terhadap parti yang menganggap Anwar Ibrahim adalah segala-galanya.

Selain ahli dan penyokong mereka, parti itu juga berdepan dengan masalah apabila Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Jeremy Malajad turut mengambil keputusan untuk tidak lagi menyokong parti itu. Pada Jumaat lalu pula, Adun Matunggong, Datuk Jelani Hamdan dilaporkan telah meletakkan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR Sabah dan menganggap dirinya bukan lagi anggota parti kerana tidak berpuas hati dengan barisan kepimpinan negeri.

Sekiranya sebelum ini, apabila ada ahli atau penyokong mereka yang mengumumkan untuk keluar parti, pembangkang dengan segera mendakwa ia hanyalah gimik yang dilakukan Umno bagi berhadapan dengan pilihan raya. Namun apa pula alasan mereka apabila tindakan tersebut dilakukan selepas pilihan raya?

Selain PKR, parti yang dilabelkan sebagai ‘ultra kiasu’ DAP turut berdepan dengan masalah yang sama. Pada 27 September lalu, ADUN Luyang, Hiew King Cheu mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN).

Malah mengikut pemerhatian yang dijalankan terhadap DAP, walaupun mereka berjaya meyakinkan pengundi Cina untuk menolak BN sekali gus menambah bilangan kerusi pada pilihan raya umum yang lalu. Namun parti itu dikatakan sedang berdepan dengan masalah perpecahan dalaman yang sangat serius.

Berikut adalah antara masalah yang sedang dihadapi oleh parti itu diperingkat negeri:

JOHOR

Pengerusi DAP negeri ini, Dr. Boo Cheng Hau tidak begitu digemari oleh dinasti Lim dan puak-puak mereka sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ini khususnya apabila beliau dilihat begitu lantang mengkritik kepimpinan Lim. Perkara ini sudah berlaku sebelum pilihan raya umum ke-13 lagi. Oleh demikian, terdapat dakwaan daripada ahli DAP bahawa dinasti Lim sengaja membuat keputusan untuk bertanding di beberapa kawasan yang rata-rata mempunyai undi Cina dengan membelakangkan Cheng Hau bersama pengikut- pengikut lain yang selama ini telah bertungkus-lumus membangunkan DAP Johor.

Cheng Hau merupakan tunjang utama yang berpengaruh dalam membawa sokongan masyarakat Cina secara khusus dan lain-lain bangsa kepada DAP. Cheng Hau juga mempunyai barisan kepimpinan tertinggi negeri yang setia kepada beliau kerana yakin dengan beliau sehinggalah muncul Lim Kit Siang di Gelang Patah.

Tidak cukup dengan itu, Kit Siang turut membawa masuk Liew Chin Tong dari Pulau Pinang (Bukit Bendera) dan Teo Nie Ching (Serdang) untuk mengukuhkan kedudukannya. Kedua-dua pemimpin ini pula merupakan orang kuat dinasti Lim. Malah, dikatakan sudah ada dakwaan terdapat 'tangan ghaib' dari DAP pusat yang bertindak menukar calon-calon mengikut'selera' dan kepentingan mereka demi memastikan kuasa dan pengaruh Cheng Hau berkurangan.

Perkara ini berterusan walaupun selepas PRU lepas. Kali ini lebih terbuka dengan terdapat usaha untuk 'mencantas' Cheng Hau selamanya. Perkara ini dijangka akan berlaku pada Konvensyen DAP negeri 2013 Disember ini.

Antara dijangkakan, Cheng Hau mungkin 'ditendang' keluar dan digantikan dengan Chin Tong yang juga pengikut setia Kit Siang yang akan mengikut semua kehendak mereka.

KEDAH

DAP Kedah pula tampak tidak sehaluan dengan pusat apabila akar umbi di negeri itu menyokong bekas pengerusi negeri, Lee Guan Aik yang dipecat oleh DAP pusat. Malahan Guan Eng bertindak melantik anak emasnya, Zairil Khir Johari yang sering mendapat jolokan Melayu celup untuk menggantikan Guan Aik.

Apa yang peliknya, pengikut serta ahli DAP di Kedah masih mahukan Guan Aik dan menolak Zairil yang tidak pernah mempunyai sebarang kaitan dengan DAP Kedah sebelum ini. Guan Aik juga merupakan antara pengkritik dinasti Lim yang disifatkan 'sudah lari' dari prinsip parti.

Guan Aik mendakwa, berlaku amalan pancung-memancung dalam DAP Kedah yang didalangi dua pimpinan DAP Pusat mewakili CEC yang diarahkan untuk menyelia negeri ini selepas PRU-13. Berikutan itu, beliau mahu Pendaftar Pertubuhan (ROS) menyiasat lantikan jawatankuasa interim DAP Kedah tersebut yang didakwa dilakukannya secara terburu-buru.

Katanya, tindakan itu bukan sahaja sebagai usaha untuk merosakkan imej parti tersebut, sebaliknya mahu menyelamatkannya daripada 'tangan-tangan hitam' yang berada dalam parti itu sendiri.

Guan Aik menambah, dia percaya setiap kejadian yang melanda pimpinan DAP Kedah sebelum PRU-13 lalu juga adalah dirancang oleh 'tangan-tangan hitam' daripada DAP Pusat yang cuba masuk campur berkaitan urusan di negeri. Terdapat khabar angin yang mengatakan Zairil dari Pulau Pinang sengaja dilantik supaya boleh mengetuai kepimpinan di Kedah dan dikuasai oleh kumpulan dinasti Lim yang ketika ini lebih dikuasai oleh penyokong bukan dinasti Lim.

MELAKA
Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri, Goh Leong San dari DAP meletakkan jawatan serta-merta apabila disindir oleh ADUN DAP kerana ucapannya yang memuji Ketua Menteri Melaka, Datuk Idris Seri Haron.

Beliau sebelum itu menyuarakan rasa kagum dan memuji kematangan yang ditonjolkan Idris dalam menerajui kepemimpinan kerajaan negeri. Peletakan jawatan Leong San telah diikuti oleh ADUN Bachang, Lim Jak Wong sebagai Ketua Whip.

Adalah sungguh memeranjatkan apabila Leong San bertindak sedemikian kerana selama ini DAP Melaka merupakan satu-satunya negeri dalam parti itu yang masih bersatu dan walaupun berlainan kem, masing-masing sanggup berdiam diri atau menyelesaikan kemelut dalam keadaan tertutup dan sukar dihidu oleh mana-mana pihak.

Leong San juga dianggap sebagai musuh utama yang sering tidak berpuas hati dengan cara kepimpinan tertinggi pusat mentadbir parti itu. Pernah beberapa kali secara lantang dia mengkritik dinasti Lim. Adalah agak sukar untuk dinasti Lim dan puaknya melebarkan kuasa di Melaka seandainya Leong San masih berpengaruh di negeri itu.

Natijahnya, akibat memuji Ketua Menteri, alasan itu terus dipergunakan untuk menekan beliau sehingga meletak jawatan. Pada pemilihan parti depan, Leong San sudah tentunya tidak lagi berpeluang memegang jawatan itu lagi. Dengar khabar, salah seorang keluarga terdekat dinasti Lim akan memegang jawatan Pengerusi negeri tersebut.

PERAK

Operasi cantas mencantas kali ini juga bakal menyaksikan kejatuhan pasangan sepupu, Datuk Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming yang tidak pernah sehaluan dengan dinasti Lim malah menganggap Perak sebagai 'milik' mereka.

Adalah sedikit sukar untuk sebarang tangan ghaib menyentuh hal negeri ini. Namun dengan menggunakan sekumpulan pemimpin dari DAP Pusat, maka sedikit kekecohan sedang dilakukan dari semasa ke semasa untuk memastikan kepimpinan pasangan sepupu itu semakin lemah. Pada konvensyen negeri kali ini mungkin kuasa kedua-dua mereka akan beralih arah kepada M.Kulasegaran dan Thomas Su yang merupakan pengikut tegar dinasti Lim.

PAHANG

Perkara yang sama juga terjadi di Pahang di mana sekumpulan pemimpin negeri digantung selama enam bulan dan tidak dibenarkan bertanding pada pemilihan negeri yang akan diadakan pada masa terdekat. Punca mereka digantung ekoran sokongan kepada ahli DAP yang keluar parti dan bertanding secara bebas. Antara yang digantung ialah ADUN Tras, Choong Siew Onn. Mereka ini bukanlah penyokong tegar dinasti Lim yang akan mengikut rentak lagu yang dimainkan.

SELANGOR
Datuk Teng Chang Kim yang merupakan musuh 'ketat' dinasti Lim juga dijangka dicantas selamanya. Namun proses itu mungkin memakan masa. Walaupun Chang Kim merupakan jaguh dalam memperjuangkan prinsip parti dan berjaya mengekalkan nama baik dalam kalangan ahli dan penyokongnya, namun kehadiran beliau dari awal lagi tidak disenangi oleh mana-mana penyokong tegar dinasti Lim.

Beliau terlampau vokal sehingga kadang- kadang amat sukar untuk mengawalnya.

Tidak ketinggalan parti yang sering mengunakan Islam sebagai modal menarik sokongan rakyat Pas, turut berdepan yang isu dalaman yang meruncing. Pertembungan antara 2 kumpulan antara Ulama dan Liberal dalam pemilihan kali ini sudah cukup meletakkan parti itu berada dalam masalah yang memeningkan.

Sumber:  Beruang Biru

No comments:

Post a Comment