Penghapusan Akta Pencegahan Jenayah telah mencetus berbagai reaksi dan juga keadaan yang kelam kabut dalam negara. Ini berikutan meningkatkan jenayah tembak dan bunuh apabila tahanan yang kebanyakannya merupakan ahli dan kepala kumpulan kongsi gelap telah terpaksa dibebaskan.
Apa yang menarik ialah kedua-dua kerajaan dan juga pembangkang sama-sama dipersalahkan atas apa yang berlaku ini. Kerajaan dipersalahkan kerana akur dengan desakan pembangkang untuk menghapuskan Akta Pencegahan, manakala pembangkang dipersalahkan kerana mendesak kerajaan untuk berbuat demikian.
Apa yang tidak boleh diterima rakyat ialah keputusan diambil tanpa terlebih dahulu mengambilkira pendapat pihak yang berkait langsung dengan keselamatan negara, iaitu pihak polis. Akibatnya, tuding menuding jari dan tepis menepis terus berlaku di kalangan ahli politik sedangkan akhbar terus melaporkan satu demi satu kes tembakan.
Justeru, walaupun kedua-dua pihak enggan memikul kesalahan, pendapat dan kemarahan rakyat telah disuarakan secara berterusan di laman-laman sosial. Jika pihak kepimpinan mengambil sedikit masa untuk benar-benar mendengar, maka mereka pasti akan sedar bahawa rata-rata, rakyat mendesak agar Akta Pencegahan dikembalikan.
Bagi rakyat, sama ada ahli politik mengaku atau tidak kesalahan masing-masing kerana terdesak untuk menjaga ego atau air muka sendiri, adalah tidak penting lagi. Apa yang penting ialah semua pihak yang berkenaan wajib memastikan keadaan dalam negara terkawal.
Untuk itu, rakyat menyambut baik pengumuman mengenai Pindaan Akta Pencegahan 1959 semalam. Seperti yang dijelaskan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi, deraf pindaan itu sedang disiapkan oleh Jabatan Peguam Negara dan dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 23 September ini. Pindaan ini akan turut mengambilkira Sabah dan Sarawak.
Apa yang pasti, pindaan ini bertujuan untuk mengembalikan taring pihak polis yang sebelum ini telah dicabut tanpa kajian menyeluruh.
Sudah tentu rakyat merasa gembira dengan komitmen yang ditunjukkan kerajaan untuk mengakhiri keresahan yang melanda masyarakat selama berbulan-bulan ini. Walaupun pengumuman ini agak lambat, tetapi ia cukup melegakan.
Sebagai peringatan, pindaan ini wajib memberi keutamaan kepada hak rakyat untuk keselamatan dan bukannya mengutamakan hak penjenayah. Selain itu, sebarang keputusan haruslah dikaji dengan menyeluruh agar tidak terdapat sebarang kepincangan yang mungkin membawa kepada masalah yang lain pula di masa depan.
Walaubagaimanapun, jika ini sukar dilakukan, mengembalikan Akta Pencegahan yang lama juga sudah cukup untuk membuatkan rakyat gembira. Dan harapan kita ialah agar Akta ini digubal dengan seberapa segera.
Sumber: Beruang Biru
No comments:
Post a Comment